Friday 15 July 2011

BAB 20

 Sudah sampai ke BAB 20? Ini bab terakhir yang Mama siarkan di sini. Bab genting!
Bab Acan yang alergik pada susu dan keju.
Memang wujud penyakit orang yang alergik susu dan keju.
Ada sesiapa yang alergik pada belacan?

Terima kasih sebab baca sampai ke BAB 20.
Mama hargai sangat! Nantikan sambungan penyudah bab-bab
seterusnya di pasaran nanti ya.

ANTARA BELACAN DAN KEJU

-BAB 20-

Alergik Susu dan Keju


            Juju membelek mukanya tanpa jemu pada cermin di tangannya. Putih bersih dan mulus. Tetapi hatinya? Hatinya sudah bertukar menjadi hitam berkarat. Tiba-tiba dia seolah-olah ternampak orang lain dalam cermin itu. Kulitnya yang putih bersih mula bertukar menjadi hitam, sekotor hatinya juga. Malah, macam ada tanduk syaitan kecil yang mula tumbuh perlahan-lahan di kepalanya. Macam-macam perasaan bercampur baur. Hatinya memberontak dalam diam. Dia menekup kedua belah tangan di pipinya. Dia mencari dirinya sendiri. Di mana? Tidak jumpa!

Mana perginya anak gadis dari kampung yang lembut hati, di senangi orang kampung, periang dan ceria. Mana pergi Juju yang tidak kisah kena marah dengan ibu kandungnya sendiri? Juju yang sudah lali kena maki, kena hamun sejak kecil. Mana perginya Juju yang  tidak kisah jika tidak dapat kasih sayang dari ibu dan bapa tirinya? Tidak kisah bergelumang dengan selut dan tanah merah. Tidak kisah mengait biji kelapa sawit dengan pekerja ladang. Tidak peduli diejek budak kampung tetapi suka makan keju. Tidak kisah dikatakan anak minah saleh celup. Tidak kisah berpelukan dengan kambing-kambing yang tidak suka mandi. Tidak kisah menjadikan kambing nama Conan sebagai sahabat karib. Semuanya tidak kisah belaka! Tidak menjadi hal langsung! Mana perginya Juju yang tidak kisah segalanya? Boleh bertolak ansur. Mudah diajak berunding. Mana perginya Juju yang dahulu?

Dendam, marah, cemburu, hasad dan dengki telah menenggelamkan Juju yang dahulu. Yang timbul sekarang ialah Juju yang mementingkan diri sendiri. Juju yang penuh misi jahat. Perampas, perungus, pemarah. Dia sekarang suka naik angin, suka mengarah, kasar dan jahat! Juju yang sekarang pandai berlakun. Jika ada anugerah watak hipokrit dan plastik, bermuka-muka dan berpura-pura... dialah juaranya! Dapat tempat pertama!

Ada dua suara memekak di telinganya. Suara pertama melontarkan perwatakan Juju yang dahulu. Suara kedua mengejek menyatakan siapa dia yang sebenarnya sekarang. Telinga Juju bingit. Dia menekup kedua belah telinga dengan kedua belah tapak tangannya.

“Ah...! Misi tetap misi. Mana boleh buat sekerat jalan. Mana ada orang perasan. Kalau orang lain tahu, orang semua benci... senang sahaja. Lari! Balik kampung! Sayonara!” Juju ketawa riang walaupun dia tahu dia sendiri tidak suka dengan apa yang dikatakan oleh mulutnya. Hatinya berbolak balik. Marah pada diri sendiri. Ada jiwa suci yang tenggelam kena henyak dengan jiwa karat. Jiwa yang busuk dan hapak. Lebih hapak dari bau belacan basi.

Juju melemparkan cermin di tangan. Cermin yang suka mengejeknya. Dia tercari-cari buku comel berwarna hitam pekat dengan bentuk hati merah hati di tengahnya.  Buku yang pada muka surat pertama ditempek gambar atuknya sedang membelai kambing Conan.  Buku  klasik! Buku rahsia! Buku tempat meluah perasaan. Buku penuh emosi! Mengalahkan diari hidup orang lain. Buku yang sudah lama tidak digarap misi hidup barunya sekarang.

            Juju mula mencatat dengan penuh ketekunan kesimpulan segala pelan busuknya selama ini. Segala misi yang sudah dilaksanakan. Berjaya atau tidak, bukan targetnya. Fokus utama ialah kepuasan! Kepuasan yang tidak boleh dijual beli. Puas melihat seisi keluarga menjadi carca marba dan kacau bilau. Kelam kabut dan berantakan. Tidak bercerai berai tidak mengapa. Biar merasa tempias sudah memadai.

MISI YANG SUDAH BERES!
NO.
AGENDA PADAN MUKA
KOMEN MEMBINA
1.
Minggu setiausaha Mama Ros yang haru biru.
- Padan muka Mama Ros sebab hampir kena tuduh curang.
2.
Bunga telur Cikgu Saiful Apen.
- Rasakan! Terpinga-pinga Mama Ros. Ibu Mariyah kacau di sini. Suka betul jadi penyelamat.
3.
Tenggelamkan Mama Rosnita
- Ini antara yang paling puas! Nyaris dia mati lemas. Mati betul-betul lagi bagus.
4.
Intipan mandi manda
- Haha! Acan kena tuduh dan Bibik Im pun kena juga. Dua dalam satu kena cantas!
5.
Acan Jadi Kuli Juju

- Siapa suruh silap buat karangan? Jahat betul Acan sampai aku kena denda. Acan dan Acun pun kena marah dengan abah. Yezza!
6.
Mengorat A.C. Misai

- Yang ini paling best sebab walau sakit, dapat jatuh tangga dan disambut oleh A.C. Wuh! Seronoknya masih terasa. Best betul.
7.
Misteri Kematian Deko dan Apeto

- Kasihan Deko dan Apeto rentung mati berpelukan. Juju tidak sengaja ya. Bukan rancang suruh mati begitu. Semoga bahagia di syurga. Tetapi... paling padan dengan muka si gebu yang gedik, Acun. Tidak dapat berbaik semula dengan A.C.
8.
Skandal abah dan Bibik Im

- Baju dalam hilang? Kena curi dengan doktor gila? Perasan sungguh Bibik Im konon orang minatkan dia. Rasakan penangan abah dan Mama Ros hampir bercerai berai. I like!
9.
Belacan hapak dan basi!
Mas Hendra kena dibasuhkan otaknya. Tidak cekap di saat akhir. Nasib baik muka handsome, jadi boleh dimaafkan. Tidak mengapa, janji puas dapat buat belacan basi. Kasihan Leesa, Surie dan Honey masuk hospital. Lain kali, makan hanya keju!



‘Hmm... tempat nombor 10 masih kosong. Mana seronoknya kalau habis setakat nombor 9?’ Bisik hati kecil Juju sambil tidak puas membaca apa yang ditulis sendiri. Bagai ada yang tidak kena pada pandangan matanya apabila misinya berakhir dengan nombor 9. Bagai ada cacat cela. Tidak sempurna langsung! Tempat nombor 10 mesti buat paling best! Biar tercetus sejarah!

@@@@@@@@@@

“Okey, hari ini kita kita makan bersama, ya Juju.”

“Eh! Bukan selalu kita sudah makan dengan Kak Juju. Apa yang spesial sangat abah?”

“Spesial sebab hari ini kita pun sama-sama makan apa yang Juju makan. Selama ini abah tidak pernah cuba makan apa yang Juju makan. Juju saja yang cuba sedaya upaya masak dan makan apa yang kita makan. Makan belacan sama dengan kita.”

“Betul sayang, Mama Ros pun tidak pernah cuba untuk makan favourite food Juju. Makan apa yang Juju suka, sama-sama dengan Juju. Asyik suruh Bibik Im belajar masak untuk Juju. Today, mama declare as  no diet day for mama!”

“Oh! Really? Thanks! I really appreciate. So, let’s go to... mana ya abah? Tempat yang best? Juju tidak pandai sangat tempat makan menarik di KL.” Juju ceria kerana seisi keluarga ingin bawa dia makan makanan barat berasaskan keju kegemarannya seumur hidup. Satu yang kurang ceria ialah kerana Bibik Im pun ingin turut serta. ‘Huh! Menyibuk betullah! Duduk di rumah makan tempe sudahlah. Ada hati hendak makan keju juga.’ Juju merugus dalam hati.

“Abah dan mama pilihlah. Kak Juju kampung girl. Manalah dia pandai kalau tanya dia. Dia tahu makan saja. Ops! Alamak! Sorry. Ter...” Acun sempat mengenakan Juju. Hati Acun berbunga dapat menembak Juju secara halus di depan seisi keluarga. Baik tetap baik. Kena tetap perlu dikenakan. Rosnita dan Acan menjegilkan mata ke arah Acun yang bermulut lancang. Rameli sudah tidak berdaya hendak menegur Acun. Tidak mahu merosakkan suasana. Dia biarkan sahaja Rosnita uruskan mulut Acun yang tidak berlapik.

“Ikut sajalah ya. Nanti abah bawakan tempat yang menarik untuk kita semua makan ya.” Rameli mengusap kepala  Juju. Muka Juju sudah berubah wajah dengan kata-kata Acun yang berbisa dan pedas tadi. Juju tidak membalas. Sengaja mahu mencari simpati. Nampaknya Acun masih suka mengenakannya lagi. Juju menggenggam penumbuk dalam diam!

@@@@@@@@@@

“Terima kasih ya, abah. Sebab belanja makan tadi. Sedap betul Olive Gamber Fettucine dan Calzone. Mozzarella cheese dengan chicken salami dia pun memang terangkat.  Hmm... tadi masa kita semua makan, mengapa Acan tidak mahu join kita? Dia marah pada Juju? Atau... ada yang tidak kena?”

“Jarang betul dengar anak-anak abah say thank you kalau abah belanja makan.” Rameli tersenyum bangga memandang wajah Juju. Rosnita turut tersenyum juga. Namun, dia terasa di dalam hati, tidak mengajar Acan dan Acun tertib berdiplomasi dengan abah sendiri.

“Oh! Tadi... Acan pergi jumpa Ahmad, Fetriz dan Yahaya. Ada hal penting katanya. Mama Ros pun tidak tahu urusan apa agaknya. Juju tidak payahlah hendak ambil hati ya.”

“Betul kata Mama Ros, Juju tidak perlu kecil hati sebab sebenarnya pun, Acan memang tidak makan keju. Lebih tepat lagi, tidak boleh makan keju. Dia alergik pada makanan berkeju dan susu. Memang sejak kecil lagi.” Rameli memberi penjelasan pada Juju.

“Ya lah, Mama Ros lupa agaknya hendak cerita pada Juju selama ini. Memang Acan ada macam satu penyakit. Cheese and dairy allegy symptoms!”

“Cheese and dairy allegy symptoms? Apa akan terjadi kalau dia ter... termakan juga? Maksud Juju, kalau tidak sengaja dan tanpa disedari.” Beria-ria benar Juju ingin tahu. Dari riak wajah Juju, Rameli Saripin dapat membaca ada yang tidak kena dengan soalan Juju tadi. ‘Jangan Juju hendak kenakan Acan soal makan keju dan susu, sudahlah. Nauzubillahiminzalik...’ Doa Rameli di dalam hati minta dijauhkan Tuhan dari segala musibah.

“Mama Ros hendak cakap pun takut, Juju. Pernah dia terkena sekali semasa kecil. Terminum susu baby lain di majlis hari jadi anak kawan Mama Ros. Terus Acan muntah, berbuih mulutnya, mata naik ke atas... macam orang kena sawan. Mata dia bengkak macam belon sampai tidak nampak bola mata langsung. Badan dia naik ruam teruk seluruh badan. Kelam kabut kami bawa dia ke hospital.” Rameli dapat melihat raut wajah kepuasan Juju dengan jawapan Rosnita sebentar tadi. Ada rasa gundah di hati Rameli. Ada mentol idea berkuman di kepala Juju.

“Pertama kali Juju dengar kes macam ini. Kasihan sungguh! Saudara kandung sendiri tidak dapat makan keju yang enak dan lazat berkrim. Kami berkongsi tarikh yang sama tetapi lain citarasa. Juju suka keju dan Acan suka belacan. Walaupun muntah-muntah Juju masih boleh gagahi makan laksa, kangkung belacan, nasi goreng belacan... Tetapi Acan langsung tidak boleh makan makanan berkeju dan yang berasaskan susu.” Juju membandingkan dirinya dengan Acan. Ada agenda lain bertapak di kepalanya.

“Alah, apa yang hendak dipelikkan sangat, Kak Juju. Memanglah berkongsi tarikh lahir. Berkongsi abah yang sama. Tetapi...kita tidak berkongsi ibu kandung yang sama. Jadi, mana boleh hendak samakan dalam semua hal. Lagi pun, mama kami adalah mama yang terbaik di dunia. Mama Kak Juju pula adalah mama yang dot, dot, dot.” Acun sempat mencelah jahat. Sengaja mahu mengeruhkan suasana.

“Cukup Acun! Enough! Boleh atau tidak sesekali Acun cuba cakap bagi sedap telinga orang lain dengar? Tidak menyakitkan hati orang? Apa hal Acun suka benar kenakan Kak Juju? Abah sendiri pun tidak faham dengan Acun. Ada sahaja yang tidak kena.” Kali ini Rameli sudah mendidih darahnya dengan kata-kata yang keluar dari mulut Acun. Rosnita sudah menunjukkan keresahan. Kalau boleh, Rosnita sendiri hendak memulas bibir mungil Acun menjadi riben bersimpul.

“Ops! Acun tidak tahu pun Acun tersilap cakap. Acun hanya bagi fakta hakiki. Fakta bahawa kami mempunyai abah yang sama tetapi berlainan ibu. Jadi, Kak Juju tidak boleh terkejut jika seleranya berlainan dengan kami, dengan abang Acan.” Acun masih mengejek tidak mengira suasana. Juju pula terasa bahang mendidih.

“Acun kata tadi, mama Kak Juju adalah mama yang dot, dot, dot? Makan boleh sebarang makan, Acun. Cakap, jangan sebarang cakap! Kalau bab lain, Kak Juju boleh tahan lagi.... tetapi bab mama Kak Juju, tolong jangan sentuh. Tidak kiralah bagaimana pun dan apa pun yang dia buat, dia tetap mama kandung Kak Juju!” Rameli terkedu. Rosnita tertelan air liur kelat.  Walaupun hubungan Juju dengan mama kandungnya tidak pernah mesra alam... namun, dia tidak rela ada orang yang berani memperlecehkan Maiya Karina. Acun tetap rasa tidak bersalah. Selamba bagai tidak tahu apa-apa.

“Itu saja? Why suddenly so sensitive?  It’s no big deal, anyway. Apa yang hendak jadi isu sangat? It’s facts of life!” Acun membela dirinya dengan gaya si anak manja. Rameli menunjukkan rasa bosan dengan jawapan Acun. Dia mengeluh berat dan mengurut dadanya sendiri. Rosnita tertunduk. Zaibon dan Bibik Im buat-buat tidak dengar apa-apa.

Kali ini Juju tidak mampu berdiam lagi. Tidak mampu lagi berlagak suci di depan Rameli dan Rosnita dengan tidak menjawab kelancangan mulut Acun. Rahang mulut Juju bergerak-gerak menahan geram. Kalau boleh, dia hendak terkam ke arah Acun dan ketuk mulut Acun dengan cermin di tangannya. Biar terkena kaca cermin. Biar mulut Acun yang celupar itu luka berdarah.

“Itu memanglah fakta, Acun. Kita semua pun sudah tahu yang Acan dan Kak Juju berkongsi tarikh lahir sama, abah yang sama tetapi mama yang berlainan. Tidak perlu diulang-ulangkan beribu kali. Dari kecil, Kak Juju sudah tahu itu semua. Acun sendiri suka atau tidak kalau Kak Juju ulangi tentang fakta yang Acun sudah tahu? Apa kata kalau Kak Juju ingatkan Acun tentang fakta paling terkini. Acun suka atau tidak kalau orang lain cakap berulang kali fakta tentang kematian Deko dan Apeto yang mati rentung? Mati hangus macam arang sebab kebodohan Acun sendiri dengan lilin aroma terapi? Lagi satu, fakta yang A.C. sudah tidak sudi pandang muka Acun lagi. Atau mungkin... Kak Juju perlu ulang fakta tentang kek harijadi yang jatuh tertiarap ke atas kepala Acun? Semuanya fakta belaka! Kak Juju pasti yang Kak Juju pun tidak tersilap cakap sebab Acun sendiri kata, it’s facts of life! Gotcha!” Juju bersuara selamba, tegas dan jelas. Hanya mulut yang bersuara. Badannya tidak menunjukkan sebarang bahasa badan. Semua yang ada di situ tergamam, tidak dapat mencelah Sang Juara Debat Perdana memberi hujah berhemah. Memberi fakta yang cukup berbisa, menikam dan menusuk sehingga ke akar umbi. Lalu dia meninggalkan Rameli, Rosnita, Acun, Bibik Im dan Zaibon yang terpinga-pinga. Juju pantas berlari ke biliknya dengan laju. Semua mata mengekori jejak langkah laju Juju.

Kemudian, semua mata tertumpu ke arah Acun pula. Menarik muka masam macam tapai terlebih tarikh luput. Matanya menjeling tajam melihat susuk Juju naik ke tingkat atas. Terasa bagai hendak mengejar Juju dan memijaknya sampai lembik. Kaki Acun menendang meja di ruang tamu dengan kuat. Meja tidak bergerak, tetapi kakinya yang sakit tidak tertahan. Tangannya menumbuk alas bantal gebu pada sofa. Rameli dan Rosnita menghela nafas berat dan tersekat. Bibik Im segera meminta diri ke dapur. Zaibon bersiul dan menuju ke arah luar banglo. Tidak mahu masuk campur.

Di dalam biliknya, Juju sedang menari ronggeng. Pertama kali dapat mengenakan Acun di depan Rameli dan Rosnita. Puas sungguh! ‘Yezza!’

                                                         @@@@@@@@@@       

“Betul apa yang saya dengar Leesa cerita tadi, Juju? Fetriz baru bersunat hujung minggu sudah? Umur tujuh belas tahun baru hendak bersunat? Pengsan saya dengar.” Surie tidak sabar bertanya sambil ketawa mengenangkan Fetriz. Honey sudah membuat muka gaya penyibuk paling kepoh.

“Siapa? Fetriz? Fetriz baru bersunat? Alamak! Ini kes terhangat di pasaran. Harap muka sahaja handsome macam Remy Ishak tetapi bab bersunat failed!. Eee... buat malu geng nasyid berambut leper saja. Amboi... ada orang itu bertindak sendiri tanpa kita. I thought Baby Gorgeous should work hand in hand together.” Honey menyampuk. Matanya galak terkelip-kelip mahukan jawapan segera dari Juju. Geram kerana bab hangat seperti itu dibolot Juju seorang. Tidak ajak berkomplot bersama. Geram kerana Juju tidak melibatkan mereka dalam bab lelaki.

“Sabar girls. Janganlah marah-marah. Bukan sengaja hendak ketepikan kamu semua. Tapi semuanya berlaku secara kebetulan dan tidak dirancang. Ha ha! Bayangkan Fetriz pengsan terkangkang kaki naik ke atas bila tengok alat dan senjata sunat Tok Mudim. Mas Hendra yang curi letak alat itu dalam bilik Fetriz. Siap ada darah ayam pada peralatan sunat Tok Mudim. He he he.” Juju bangga bercerita. Di dalam  hatinya mula mengakui betapa senangnya bergerak sendirian tanpa Baby Gorgeous yang kelam kabut dan mulut becok. Riuh dan hiruk pikuk.

“Pengsan tengok peralatan bersunat Tok Mudim? Mesti gempak! Kamu suruh Mas Hendra curi alat Tok Mudim dari mana? Eee... cepatlah cerita. Hari itu mengorat Aiman Cullen. Sekarang Fetriz pula. Lain kali, kongsilah dengan kami.” Surie mula terbayangkan A.C. Misai dan Fetriz yang lebih menjadi target Juju.

“Hmm... hairanlah mengapa Fetriz lambat benar baru hendak bersunat ya. Sungguh memalukan. Boleh masuk cerita muka depan Harian Metro atau Buletin Sri Putri KD Girls School!.” Leesa juga tidak sabar mendengar cerita alat Tok Mudim yang dicuri oleh Juju.

Fetriz datang ke rumah Acan bersama Ahmad dan Yahaya. Datang dengan mukanya pucat lesi. Giginya terketar-ketar. Tiada lagi wajah kacak bergaya dan tampan persis Remy Ishak. Selama ini hal sunat menyunat tidak pernah difikirkannya langsung. Boleh terlupa begitu sahaja. Boleh dipandang remeh temeh sehingga tiada ahli keluarga yang teringat langsung. Hampir tertumpah air mata jantannya ketika mengadu kepada Acan, Ahmad dan Yahaya. Takut bukan kepalang. Semuanya gara-gara selama ini bapa Fetriz, Encik Farhan begitu sibuk dengan hal kerja dan sering berpindah randah serata dunia. Encik Farhan merupakan jurutera tersohor F1 untuk pasukan Petronas Sauber. Beliau yang diiktiraf kepakarannya dalam bidang kejuruteraan kereta pernah bekerja di serata Jepun, Eropah dan menetap di serata dunia. Akibat corak hidupnya yang mencabar dan sering berpindah randah, Fetriz memilih untuk tidak mengikuti ahli keluarganya yang lain. Dia yang bersemangat patriotik dan cintakan hujan batu di negeri sendiri, memilih untuk tinggal bersama datuknya di Kuala Lumpur. Pernah juga dia menetap dengan ibu saudara atau opah sebelah ibunya juga. Sepanjang hidupnya dia sudah tinggal di merata-rata negeri dengan adik beradik atau saudara mara ibu bapanya. Dia tiada masalah dan sudah terbiasa dengan corak hidupnya yang begitu. Lagi pun bapanya tidak pernah kedekut memberi imbuhan yang besar kepada saudara mara yang menolong memelihara Fetriz. Fetriz sendiri akan melawat ibu bapanya di luar negara ketika cuti sekolah panjang pada bulan Disember setiap hujung tahun. Sesekali, ibu bapa Fetriz juga akan pulang melawatnya di Malaysia. Akibat dari corak hidup yang sedemikian rupa, masing-masing terlupa bahawa Fetriz belum melalui satu-satunya agenda yang paling bersejarah dalam hidup seorang anak remaja lelaki iaitu bersunat. Hampir serak suara Fetriz apabila mengadu kepada tiga orang sahabatnya. Mereka juga tidak sedar bahawa sahabat mereka itu belum bersunat lagi rupa-rupanya selama ini. Antara hendak ketawa dan kasihan... masing-masing cuba mententeramkan Fetriz yang sudah terketar kepala lutut.

“Alah... apa yang hendak dirisaukan, Fetriz. Uncle Meli boleh tolong uruskan. Kita buat cara moden. Guna SmartKlamp. Buat di klinik saja. Tidak perlu kecuh-kecuh. Tidak ada orang yang tahu. Silap-silap nanti, balik bersunat terus boleh berlari. Terus boleh pakai seluar jeans. Tidak perlu pegang kain pelikat macam orang dulu-dulu. Tidak sakit langsung.” Rameli Saripin muncul di belakang ketika Acan sedang berbual serius dengan Ahmad, Fetriz dan Yahaya. Dia menepuk-nepuk bahu Fetriz sambil tersenyum melihat anak teruna itu.

“Eh! Uncle... Betul Uncle Meli? Betul tidak sakit? Uncle Meli boleh tolong terangkan kepada atuk dan daddy saya? Saya malulah, uncle. Sudah besar panjang, bermisai tetapi belum bersunat lagi. Saya dengar mereka hendak buat kenduri dan panggil Tok Mudim dari kampung kami. Tolong beritahu atuk dan daddy, saya tidak mahu buat cara tradisional. Saya tidak mahu kecuh-kecuh. Mesti semua kawan-kawan dan saudara mara gelakkan saya. Saya tidak mahu tengok muka Tok Mudim.” Habis kejantanan Fetriz tercalar dengan aksi gaya budak lelaki manja ketakutan kerana takut bersunat. Fetriz tidak dapat membayangkan dia dengan kain pelikat terkedek-kedek berjalan setelah mengadap Tok Mudim dengan misai berpintal dan janggut sedepa panjangnya. Sungguh ngeri bayangan wajah garang menyinga dan peralatan Tok Mudim. Mungkin juga peralatan dan segala senjatanya berkuman, mempunyai penyakit berjangkit dan karat berdaki.  Tiba-tiba Fetriz terasa macam hendak kena demam panas dan menggigil.

“Sudahlah Fetriz. Nanti uncle sendiri telefon datuk dan daddy, Fetriz. Atau... uncle akan singgah sebentar ke rumah Fetriz kejap lagi. Biar uncle slow talk dengan mereka. Kalau mereka setuju, hujung minggu ini kita semua ke klinik Doktor Amir Khan. Kejap sahaja sudah selesai.” Rameli cuba mententeramkan Fetriz yang sudah mula menampakkan keceriaan di wajahnya.

“Ada atau tidak orang yang sunat tua, uncle? Ahmad bertanya kepada Rameli dengan wajah berkerut, gaya ingin tahu tidak tertahan.

“Eh! Hello kawan, aku cuma lambat bersunat. Bukan sunat tua! Tolong betulkan balik ayat menyimpang.” Fetriz sudah naik angin. Terasa diri diejek. Mereka yang berada di situ menahan perut hendak ketawa.

“Apa pula tidak adanya, Ahmad. Bersunat ini bagus. Elok untuk kesihatan kita. Lebih bersih dan senang hendak bersuci. Jadi, ada bangsa asing dan ugama lain yang turut bersunat. Ha! Sahabat baru kita... mualaf, mereka bersunat setelah mengucap dua khalimah syahadah. Ada yang sudah berumur. Mereka pun turut bersunat dan tiada sebarang masalah.” Acan, Ahmad dan Yahaya mengangguk tanda faham. Fetriz yang paling beria mengiyakan. Maknanya dia tidak keseorangan dalam soal bersunat lewat.

Di satu sudut di celah banglo, Juju tertidur setelah menghabiskan separuh dari novel karangan Cecilia Ahern. Dia terperosok di belakang sofa disebalik permaidani gebu tebal. Dia mengonyohkan mata apabila terdengar kekalutan suara Fetriz yang takut hendak bersunat. Semua perbualan tersebut jelas kedengaran. Tiada siapa yang tahu susuk tubuhnya terbaring di belakang sofa, tenggelam sedikit di bawah sofa dengan liputan permaidaini tebal yang gebu. Giginya menyeringai sendirian. Ada agenda yang perlu dilaksanakan. Usik-mengusik untuk mengeratkan silaturahim.

“Hello, Mas Hendra? Mahu duit lebih? Saya ada tugasan baru untuk Mas Hendra. Kerja mudah... Curi peralatan bersunat Tok Mudim. Alah... bukan susah. Saya tahu tempatnya. Okey,okey jumpa saya kejap lagi.” Juju hanya berurusan dengan Mas Hendra. Tidak melibatkan geng Baby Gorgeous. Bukan kerja serius. Buat berdua bersama Mas Hendra sudah cukup. Juju pernah terdengar Zaibon tolong uruskan anak buah silatnya hendak bersunat cara tradisional dengan Tok Mudim di Kampung Sungai Pencala. Mas Hendra diarahkan ke situ. Mencuri sekejap sahaja segala peralatan Tok Mudim dan meletakkannya di dalam bilik Fetriz malam itu. Darah ayam disimbah terlebih dahulu untuk memberi kesan dramatik yang hebat dan ngeri.

Fetriz dijumpai pengsan keesokkan paginya. Kakinya terkangkang ke atas. Apabila sedar, katanya dia tidur dikelilingi peralatan sunat Tok Mudim yang berdarah. Tetapi, tiada siapa yang nampak alat tersebut kerana telah dikembalikan ke tempat asalnya oleh Mas Hendra yang cekap melaksanakan arahan Juju. Tiada siapa yang percaya kata-kata Fetriz yang kecut perut. Ternyata  Mas Hendra berjaya mematikan alat penggera keselamatan dan mengalihkan kamera CCTV di rumah datuk Fetriz. Tambah senang kerja Mas Hendra apabila didapati rumah datuk Fetriz hanya menggunakan alat penggera keselamatan dan kamera CCTV yang palsu. Ianya adalah semata-mata untuk menakutkan pencuris sahaja. Jadi, tiada siapa yang perasan yang Mas Hendra telah berjaya pecah masuk. Tiada sebarang kecurian. Pecah masuk semata-mata untuk meletakkan peralatan Tok Mudim yang dilumuri darah dan memastikan Fetriz pengsan tergolek. Kemudian Mas Hendra perlu mencuci bersih dan memulangkan peralatan tersebut ke rumah Tok Mudim. Kali ini kerja Mas Hendra sangat tip top. Juju sungguh puas hati. Upahnya juga lumayan setimpal dengan susah payah untuk mencuri dan memecah masuk dengan cara profesioal. Memang Mas Hendra berbakat jahat, bukan sekadar handal sebagai pelakun tambahan sinetron. Kerjanya kali ini jauh lebih bagus dari misi yang gagal dalam meletakkan belacan basi dalam masakan. Juju mula terasa bahawa misinya lebih berjaya jika tiada Leesa, Surie dan Honey. Tiga anak dara yang gedik dan  mulut terlebih pok pek berbanding kerja.

“Jadi juga Fetriz bersunat walaupun pengsan?” Leesa mahukan kepastian. Surie dan Honey pun beria-ria ingin tahu penyudahnya.

“Dia pengsan sekejap saja. Tetapi... menangis macam budak perempuan hilang anak patung sebab terlalu takut sangat. Kena suntik bagi pengsan baru boleh disunatkan di klinik.” Juju bercerita dengan penuh gaya. Baby Gorgeous gelak tergolek macam hendak pecah isi perut.

“Apa maksud kamu buat semua ini, Juju? Dia bukan famili kamu, apa hal hendak kenakan dia pula? Sudahlah handsome setaraf Aiman Cullen. Dia pun memang minatkan kamu, Juju. Kasihan Fetriz.” Surie tidak faham mengapa Fetriz turut menjadi sasaran Juju.

“Baru aku puas, geng. Puas buat dia kelam kabut. Takut dan siap menangis macam budak kecil. Lagi pun dia ada kaitan dengan keluarga belacan. Dia geng baik Acan. Jadi dia tidak terkecuali. Kalau boleh aku hendak rakamkan dan masukkan semuanya dalam YouTube tetapi... hmm... kasihan jugalah. Nanti kalau dia betul-betul jadi boyfriend aku bagaimana? He he he” Leesa, Surie dan Honey sekali lagi ketawa pecah perut dengan kata-kata Juju.

Tiba-tiba satu susuk tubuh melintasi mereka berempat yang sedang minum petang di Restoran Kenny Rogers. Dari jauh Zaibon menegur lelaki kacak itu.

“Eh! Fetriz. Seorang sahaja? Mana yang lain?”

Semua ahli Baby Gorgeous tercengang. “Fetriz?” Serentak terpacul nama Fetriz dari mulut mereka. Masing-masing tertelan air liur. Fetriz tiba-tiba kelihatana semakin kacak, bergaya dan tampan. Kalah Aiman Cullen dibuatnya. Badannya tiba-tiba nampak macam gagah dan sasa. Rambutnya tidak disikat gaya leper berminyak macam geng nasyid berambut leper yang lain. Dia menyikat rambut gaya tegak ke atas. Cermin mata hitamnya sangat trendy. Seolah-olah  berlaku make over yang drastik disebabkan baru bersunat.

“Alamak, Fetriz terkena aura sunat! Tiba-tiba lepas bersunat dia jadi lebih macho. Remy Ishak mesti menangis kalau tengok Fetriz lebih tampan dari dia.” Honey yang gatal sudah bertambah dos kegedikkannya.

“Nasib baik kamu tidak suruh Mas Hendra tangkap gambar dan masukkan dalam YouTube masa dia bersunat. Kalau tidak, jenuh kamu, Juju. Rugilah kena kongsi boyfriend handsome dengan ramai orang.” Surie berkata-kata sambil tidak berkelip mata memandang Fetriz yang sedang berdiri di sebelah meja Zaibon.

Juju sendiri teruja melihat Fetriz. Berubah sekelip mata, gara-gara aura baru bersunat. Kasihan pula mengenangkan Fetriz pengsan melihat alat sunat Tok Mudim. Sudahlah ceritanya seorang pun tidak percaya. Juju mula terasa ada tarikan magnet dengan Fetriz. Tambahan pula selama ini, Fetriz memang berusaha untuk mengambil hatinya. Mahu dekat dengannya. Inilah peluang menggunakan Fetriz untuk melaksanakan misi paling ngetop. Misi nombor 10!

@@@@@@@@@@

            Mariyah Fareedaz ke Australia. Dia ingin menjenguk adiknya yang berubat di sana dengan tenaga kepakaran perubatan yang mahir dan moden. Adiknya yang terkena penyakit barah hati. Selaku kakak yang bertanggungjawab dia ingin memberi sokongan moral dengan melawat adiknya di sana. Tanda kasih sayang sejati yang tidak berbelah bahagi. Kalau boleh memang dia hendak bawa Juju sekali ke Australia. Namun, sekarang bukan musim cuti sekolah. Lagi pun hujung tahun ini Juju bakal menduduki peperiksaan SPM. Dengan berat hati Mariyah berangkat mengunjungi adiknya di sana. Dengan bersungguh-sunguh juga dia memesan agar Rameli dan Rosnita tolong tengok-tengokkan Juju yang disayangi bagai darah daging sendiri. Pada Rameli dan Rosnita pula, mereka merasa sedikit kelakar kerana Juju adalah anak mereka sebenarnya. Sedangkan Mariyah ingin meninggalkan Juju seolah-olah meninggalkan anaknya sendiri untuk dijaga oleh Rameli dan Rosnita pula. Terbalik! Tetapi... mereka hanya mengiyakan sahaja sambil tersenyum. Tidak mahu melukakan naluri keibuan Mariyah. Tidak betah melihat hati Mariyah terguris. Beruntung sungguh Juju yang didakap padu Mariyah bagai tidak mahu berpisah walau sebentar. Sedangkan dia ke Australia sekejap cuma.

            Mariyah tidak mahu menggunakan khidmat perisik upahan untuk mengintip gerak geri Juju sepanjang ketiadaanya. Rameli juga akur. Memang dari awal, Rameli kurang setuju cadangan Juju diintip. Namun dia terpaksa mengiyakan kerana Juju berperangai semakin rakus mengenakan ahli keluarganya sendiri. Sebab itulah urusan Juju menelefon Mas Hendra, mencuri alat sunat Tok Mudim, mengupah Mas Hendra pecah masuk rumah Fetriz dan menakutkan Fetriz sampai pengsan tergolek, semuanya berjalan lancar. Tiada pemantauan aktiviti Juju dari agen perisik upahan Mariyah. Tiada siapa yang mengesan gerak gerinya sepanjang ketiadaan Mariyah. Juju seolah-olah berehat dari diperhatikan sepertimana ketika gagalnya misi belacan basi.

Semenjak akhir-akhir ini, Juju begitu rajin benar ke dapur. Jika mahu cari Juju, jenguk sahaja ke dapur. Pasti di situlah kelibatnya. Juju menjadi rajin kerana ada agenda tersembunyi yang tersendiri. Rajin mencuba pelbagai resepi masakan melayu asli. Sanggup tidak makan. Sanggup hanya mengambil bau. Sanggup berpeluh. Sanggup menjadi geng dapur dengan Bibik Im. Yang pasti, dia inginkan orang lain bahagia makan apa yang dimasaknya. Juju memahirkan skil memasak masakan yang menjadikan belacan sebagai ramuan utamanya. Sungguh membuatkan hati seisi keluarga tersentuh dengan penangan masakannya.

Petang itu, Ahmad, Fetriz dan Yahaya datang bertandang ke rumah Acan. Ingin mengajak ke padang bola. Biar berkeringat keluar segala peluh jantan masing-masing. Lagi pun Fetriz semakin terserlah ciri-ciri ketampanannya semenjak bersunat. Tiada masalah untuknya bersukan walaupun masih baru bersunat. Malah, dengan bersukan Fetriz dapat rasakan badannya lebih lebih selesa dan tenang sekarang.

Bibik Im berteriak ke arah Acan dan gengnya. “Acan... marilah minum petang dulu sebelum keluar. Ajak kawan-kawannya sekali ya.”

“Minum petang? Kami hendak pergi main bola, bibik. Nanti balik main, kami minumlah.” Acan membalas kata-kata Bibik Im dengan senyuman. Fetriz pula masih belum keluar dari dalam tandas. Sakit perut katanya. Apabila keluar dari tandas, Fetriz sempat menjeling ke arah Juju yang sedang membancuh air minuman di dapur.

Bibik Im yang nampak kemunculan Fetriz di dapur segera mengajaknya untuk duduk minum. Gaya pelawaan Bibik Im mengalahkan tuan rumah. Dia sudah biasa benar dengan kawan-kawan anak-anak majikannya. “Ha! Fetriz, minumlah dulu. Juju ada goreng kuih spesial resepi dia sendiri. Ajaklah kawan-kawan dan Acan minum sekali. Bibik sudah ajak tadi tetapi semua kelam kabut hendak ke padang.”

‘Ini tidak boleh jadi, peluang keemasan tidak boleh dilepaskan.’ Getus hati kecil Fetriz yang tidak puas-puas merenung Juju yang sudah tidak keruan. Biar pun bukan Juju yang ajak minum, Fetriz sudah siap duduk mengadap cokodok dan air teh.

 “Eee... manalah Fetriz pergi? Lambat betul! Lama sangat macam perempuan. Panggil pun tidak menyahut.” Ahmad sudah membebel. Dia faham benar dengan perangai Fetriz yang banyak ragam dan panjang akal. Cuma bab bersunat sahaja yang terlebih lewat. Fetriz sudah selesa melepak di meja makan di dapur. Elok sahaja dia melabuhkan punggungnya di kerusi dapur. Inilah masanya untuk mengambil kesempatan untuk minum petang dengan Juju yang diminatinya sejak pertama kali mula terlihat Juju. Entah mengapa, jika terpandang Juju sahaja, hatinya jadi tidak tentu arah. Hatinya terasa bagai hendak luruh jatuh kedebuk ke lantai. Cinta pandang pertama agaknya. Tetapi kalau masih bersekolah, orang kata cinta monyet. Maknanya monyet juga ada pandangan pertama. Dapat tengok kelibat Juju yang sedang masak di dapur pun jadilah. Inikan pula dipelawa untuk duduk minum petang semeja dengan Juju. ‘Oh! Sungguh indah terasa hidup ini. Terasa bagai sedang bermain bola dengan Juju berdua di padang bola. Lambung-lambung bola berdua sambil kejar mengejar.’ Getus hati kecil Fetriz yang seronok berangan sampai tidak mempedulikan Acan, Ahmad dan Yahaya yang sedang menunggunya. Mereka menyangka dia masih tidak keluar-keluar dari tandas lagi.

“Minumlah dulu, cubalah kuih resepi Juju. Resepi rekaan sendiri. Yang lain semua mana?...” Kali ini, Juju sendiri yang mempelawa Fetriz minum. Fetriz mendengar pelawaan Juju seakan-akan Juju mendesaknya dengan gaya manja. Pelawaan Juju cuma menyuruh makan dan minum petang bersama... tetapi Fetriz mendengar seolah-olah Juju sedang merayunya untuk bercanda di tepian pantai. Sungguh kuat berangan. Perasan terlebih batasan. Otak kuning dan berkarat.

“Biarlah... nanti tahulah mereka masuk ke dalam bila saya tidak keluar-keluar. Bodohlah siapa yang tidak mahu minum petang dengan Juju. Sedap betul kuih ini, Juju. Kuih kodok apa ini? Sedap lain macam betul. Tidak macam yang pernah saya makan selalu. Air teh pun sedap dari orang lain buat. Serba serbi sedaplah!” Juju dan Bibik Im ketawa melihat gelagat Fetriz yang kelihatan jakun dengan cokodok resepi Juju dan teh yang dituangkan.

“Cokodok! Bukan kuih kodoklah! Air teh itu pula, teh jasmine. Aroma dia memang best. Wangi!” Juju membetulkan kata-kata Fetriz tadi. Dalam hatinya tidak sabar untuk bagi Acan yang makan cokodok tersebut. Hatinya berdegup deras menantikan saat-saat Acan makan cokodok spesial. Perancangannya ialah supaya Acan akan masuk ke dalam mencari Fetriz, kemudian Acan akan duduk dan merasa cokodok, lalu Acan akan...

“Hah! Bertuah betul! Di sini rupanya kawan kita yang baru bersunat.” Yahaya mencubit belakang Fetriz yang sedang membelek cokodok buatan Juju.

“Oit! Cakap jangan sebarang cakap. Aku pulas mulut jadi macam cokodok ini  nanti baru tahu.” Fetriz sangat geram tidak terkira. Matanya dibulatkan macam hendak terkeluar sambil memandang Yahaya yang terlepas cakap. Tidak disangka Yahaya boleh bermulut lancang di hadapan Bibik Im dan Juju tentang dia yang baru bersunat. Sedangkan itu rahsia mereka sahaja. Perlu dijaga rapi ibarat rahsia akta rasmi kerajaaan. Yahaya meminta maaf kepada Fetriz dengan nada separuh berbisik. Yahaya menekup mulutnya dengan tapak tangan. Bibik Im tersenyum simpul sambil terus menggoreng cokodok resepi Juju. Memang sengaja dibancuh banyak adunannya oleh Juju. Juju berpura-pura tidak mendengar kata-kata Yahaya tadi. Walhal Jujulah tok dalang jika bersangkutan hal Fetriz takut bersunat sampai pengsan tergolek.

“Sedapnya... amboi patutlah tidak keluar-keluar dari tadi orang tunggu sampai berjanggut di luar. Duduk makan dengan tuan puteri kayangan rupanya.” Ahmad mengejek Fetriz sambil terus menarik kerusi. Ahmad terjegil mata kerana keenakan cokodok hasil resepi Juju yang masih panas berasap. Apabila melihat Acan seakan sudah mahu masuk ke dapur, Juju cepat-cepat meminta diri ke biliknya di atas sebentar. Tertinggal telefon bimbit katanya. Fetriz sudah menarik muka masam, siap sempat memberi pesanan kepada Juju.

“Turun cepat ya Juju. Kita minum teh jasmine dan makan cokodok bersama. Tidak sedap kalau makan tanpa Juju.” Gatal sungguh bunyi kata-kata Fetriz. Ahmad dan Yahaya sudah membulatkan mata tanda amaran supaya mengawal kegatalannya tetapi tidak dipedulikan langsung oleh Fetriz. Bagi Fetriz kalau suka seseorang perlu ditunjukkan dan perlu diluahkan. Tidak boleh memendam rasa. Kelak badan yang merana.

Bibik Im mempromosi cokodok resepi Juju kepada Acan pula. “Cubalah Acan. Ini resepi Juju. Rugi siapa yang tidak makan. Kalau balik main bola baru hendak makan cokodok Juju, nanti semua habis sebab bibik yang makan.” Juju mengendap dari celah tiang seri banglo ke dapur. Mula-mula Acan meneguk teh jasmine. Kemudian mengambil cokodok spesial Juju. Juju mula berdebar-debar tidak terkata. Mula-mula satu, kemudian dua, diikuti pula yang ketiga dan berakhir dengan lima cokodok semuanya ditelan oleh Acan. Nampak berselera betul. Juju sedang melihat jam di pergelangan tangan. Sudah lima minit berlalu dari cokodok pertama yang dimakan oleh Acan. Tiba-tiba...

“Acan! Acan! Apa hal dengan Acan ini, bibik? Tolong cepat, bibik!” Fetriz adalah orang pertama yang menjerit. Bibik Im tergamam. Kalut menutup api di kuali. Ahmad ternganga. Yahaya terlopong. Tidak tahu memberi bantuan kecemasan. Perasaan panik tidak terperi mendominasi diri masing-masing.

Acan muntah tersedak sebaik sahaja menghadam lumat lima biji cokodok spesial. Serentak dengan itu dia menggeletar. Dia sesak nafas. Mata hitamnya naik ke atas. Hanya mata putih yang kelihatan. Mulutnya berbuih putih. Kemudian Acan terus rebah terlentang di atas lantai dan menggelepur macam ayam kena sembilih. Tidak ubah juga macam ikan hiasan terkeluar dari balang kaca. Sungguh trajis! Sebiji macam orang kena sawan tarik. Malah lebih teruk lagi.

“Ambulan... ambulan... telefon cepat! Ahmad segera memberi arahan kepada Yahaya. Ahmad sendiri sudah tidak tahu di mana telefon bimbitnya dalam keadaan yang panik itu. Fetriz setia memangku kepala Acan. Dia tidak mempeduli lagi buih putih bagai air liur basi yang tertumpah banyak dari mulut Acan. Kulit badan Acan pula mula ditumbuhi ruam merah yang kecil. Tiba-tiba sahaja ruam merah menjelma seluruh badan Acan. Bibik Im menjerit memanggil Juju. Juju yang terpacul ke dapur terkejut bukan main dibuatnya. Namun, hatinya bergolek menari riang gembira. Kalau boleh hendak melompat setempat dan bertepuk tangan.

Juju cepat ingat akan situasi sebenar. Dia tidak boleh seronok. Dia perlu sama-sama panik. Seboleh mungkin, Juju perlu sama-sama meraung hiba. Urat kekalutan mula terbit di muka Juju. Dia berjaya berlakun hebat dengan lagak menjerit dan meraung. Mengalahkan Acun yang selalu beraksi histeria. Air matanya berjujuran laju. Fetriz amat terharu sekali melihat Juju yang penyayang. Jika boleh, dia ingin merangkul dan memujuk Juju yang begitu prihatin dengan Acan. Jika boleh, dia ingin mengalihkan tumpuan dari mengadap Acan kepada memujuk Juju. Kasihan melihat Acan yang tidak sedarkan diri. Kasihan lagi melihat kasih sayang Juju yang begitu sayangkan saudara kandungnya.

Acan dibawa ke hospital dengan ambulan. Ahmad, Fetriz dan Yahaya mengikuti Acan ke hospital dengan ambulan tersebut. Rameli dan Rosnita pula telah menuju terus ke hospital dari tempat kerja masing-masing. Fetriz sempat berpesan kepada Bibik Im agar tolong tengok-tengokkan Juju yang meratap hiba. Sempat Fetriz mengenyit matanya pada Juju. Sungguh nakal walaupun di saat penuh huru hara dan haru biru. Acan dalam keadaan yang agak kritikal. Bernafas dengan menggunakan alat bantuan pernafasan. Dadanya berombak-ombak laju. Nafasnya tersekat-sekat. Setelah berbincang dengan doktor di hospital, Rameli dan Rosnita segera pulang ke rumah untuk bersoal siasat dan mencari punca sebenar tragedi yang menimpa Acan.

Apabila Rameli dan Rosnita sampai di rumah, Jujulah orang pertama yang menerpa ke arah mereka dan diikuti dengan Bibik Im. Juju menangis merangkul Rosnita. Dia meraung sepenuh hati seolah-olah Acan sudah menemui ajal.

“Apa puncanya Bibik?” Rameli bertanya dengan nada keras dan tegas.

“Saya yang ajak Acan minum petang. Ma... makan cokodok dan minum teh. Cokodok Juju yang buat. Re... resepi spesial.” Bibik Im terketar-ketar.

“Juju yang salah, abah. Bunuhlah Juju, abah. Juju buat resepi spesial. Cokodok keju gaul dengan secubit sambal belacan.” Juju bercakap laju dalam keadaan menangis dan meraung.

“Keju dan belacan dalam cokodok?” Rosnita terkejut beruk.

“Juju letak apa dalam cokodok?” Rameli mula curiga. Dia mengetap bibirnya.

“Ba... bahan-bahannya cumalah tepung, cheese stick, sedikit sambal belacan, udang hidup, lada, garam dan serbuk perasa. Itu saja! Juju hendak buat cokodok keju campur sambal belacan. Hendak campur keju yang Juju suka dengan sambal belacan yang famili abah suka. Tetapi... Juju lupa! Juju silap! Juju lupa betul yang Acan alergik pada keju! Juju betul-betul lupa sangat, abah. Bunuhlah Juju kalau Acan mati, abah. Juju yang bersalah, abah.” Juju meraung tidak keruan. Dia mengetuk kepalanya sendiri. Rosnita memujuk Juju yang sedang memaut kaki Rameli. Juju mengaku bersalah. Dia tidak menafikan langsung. Malah beria minta dihukum.

“Sa... saya yang bersalah, Tuan Meli. Juju tidak pelawa pun Acan makan. Juju ke biliknya masa itu. Sa... saya yang beria suruh Acan makan dan minum dengan Ahmad, Fetriz dan Yahaya. Saya tidak tahu isi cokodok itu. Saya sibuk menggoreng. Tidak sempat merasa sebelum Acan makan. Juju pun tidak salah, tuan. Juju tidak ajak pun Acan makan. Saya, tuan! Saya yang salah. Saya yang ajak Acan makan. Saya minta ampun tetapi tolong jangan bunuh saya, tuan.” Bibik Im juga sudah menangis bagai pekerja Indonesia terlepas kapal tongkang untuk pulang ke kampung halaman. Dia takut untuk mempelawa diri dibunuh sepertimana Juju. Dia tidak rela dihukum mati gara-gara cokodok berinti keju, sambal belacan dan udang.

“Cuba bawa cokodok itu ke sini. Ada lagi?” Rosnita ingin merasa cokodok berkeju yang membuatkan Acan terkena tamparan cheese allegy symptom.

Sambil mengunyah, Rameli memandang Rosnita. Rosnita membalas pandangan suaminya. Sedap bukan kepalang cokodok buatan Juju. Enak, lembut dan gebu! Memang betul ada cheese stik di tengahnya. Ada udang segar sederhana besar yang dibuang kulitnya duduk tertonggek di atas setiap satu cokodok. Ramuan tepung digaul dengan sedikit sambal belacan, daun sup dan serbuk perasa. Nisbah bancuhan yang begitu tepat. Luarnya digoreng ranggup dan garing tetapi dalamnya lembut sekali. Sungguh enak! Patutlah menurut Bibik Im tadi, Acan makan sampai lima ketul tanpa henti. Lima ketul yang nyaris membawa maut kepadanya.

Juju tidak segan-segan memeluk Bibik Im sambil menanti reaksi Rameli dan Rosnita yang masih mengunyah cokodok spesial. Walaupun baju t shirt Bibik Im agak berbau kerana berkeringat di dapur tadi. Juju menyorok di sebalik tubuh Bibik Im. Juju takut kena jerkah dengan Rameli. Juju takut Rosnita berlagak macam ibu tiri bawang merah.

Acun yang baru pulang dengan Zaibon sudah mula naik angin. Pantas dia turut memberi sedas, dua tambahan maki dan hamun kepada Juju dan Bibik Im. Namun, dia mula rasa hairan kerana abah dan mamanya kushyuk makan cokodok spesial tersebut tanpa berkata-kata. Tiba-tiba...

“Juju...!”

“Ya, Mama Ros?” Air mata Juju berlinangan. Dia merenung mata Rosnita yang sedang duduk sambil makan cokodok itu lagi.

“Sedap sungguh, sayang. Patutlah Acan makan sampai lupa diri.” Rosnita menarik Juju lalu memautnya.

“Memang sedap Juju... sayangnya Acan tidak boleh makan keju. Tidak boleh minum susu. Dia sendiri lupa agaknya.” Rameli Saripin mengakui kesedapan cokodok spesial Juju. Acun yang mendengar kata-kata abahnya, terus mengambil seketul cokodok dan dicubanya. Ternyata memang sedap. Siap dihulurkan seketul kepada Zaibon. Acun tidak mahu memuji tetapi terus mengambil tiga ketul lagi.

“Salah Juju, abah. Abah dan Mama Ros sudah beritahu Juju tentang alergik Acan tetapi Juju lupa sungguh hendak pesan pada Bibik Im. Juju ingat hendak buat surprise. Rahsiakan bahan cokodok. Jadi, Juju tidak cerita pada Bibik Im yang Juju letak keju campur sambal belacan dalam cokodok. Ampunkan Juju...” Juju meraung lagi bagai cerita Ratapan si Anak Tiri.

Malam itu Juju menari keriangan dan melompat-lompat di atas katilnya. Kalau boleh dia hendak berkaraoke. Biar Acan mati sesak nafas! Biar salah seorang keluarga belacan mati baru terasa mencapai klimaks segala misinya. Puas tahap infiniti! ‘Makan keju pun boleh sakit setengah mati. Lembik betul!’ Bisik Juju di dalam hatinya tanda mengejek Acan. Syaitan di kepala Juju sudah mula menari lebih ligat.

Juju segera menelefon Leesa, Surie dan Honey. Mereka turut gembira dan mahu meraikan bersama kejayaan misi Juju. Mereka bertiga sebenarnya mula terfikir mengapa Juju sudah membelakangkan mereka bertiga sejak akhir-akhir ini. Bertindak sendirian. Masing-masing mula merasa bersalah kerana menegur perbuatan misi-misi jahat berkuman Juju tempoh hari.  Mereka dapat merasakan yang Juju berasa hati lalu mula bertindak sendirian. Sebelum meletakkan telefon, masing-masing sempat meminta resepi cokodok spesial. Mereka mahu suruh bibik masing-masing buatkan sebagai sarapan esok pagi. Esok pagi juga mereka sepakat mahu melawat Acan di hospital beramai-ramai sebagai tanda dukacita dan simpati yang plastik. Jika boleh, Juju mahu menyaksikan keranda dan kain kapan sudah tersedia menyambut Acan. Sungguh jahat bernoda hitam hatinya.

Malam itu Rosnita menemani Acan tidur di wad hospital. Dia mendapat cuti kecemasan selagi Acan masih tenat. Di dalam hatinya tidak putus-putus memanjatkan doa agar Acan segera sembuh. Segera bangun dan memeluknya.

“How’s my son doc?” Rosnita memandang muka Doktor Farahlina dengan penuh harapan setinggi gunung.

“We have treated him with oral and topical antihistamines, inhalers and corticosteroids.”

“Thanks, doctor. Please do the best for him, doctor. Tolonglah...”

“Sabar, Puan Rosnita... bawalah banyak bersabar. Kita tunggu reaksi dari ubat-ubatan yang telah diberikan.” Doktor Farahlina memujuk Rosnita. Dia sudah berdepan dengan seribu satu kes dan biasa dengan reaksi ahli keluarga yang sedemikian rupa. Doktor Farahlina sendiri menasihati Rosnita agar berehat. Dia kelihatan pucat. Naluri keibuannya lemah dan longlai setiap kali melihat Acan yang tiada perubahan positif. Acan semakin tenat!



@@@@@@@@@@

“Sudah tiga hari Acan ditahan di wad, ayah. Dia masih belum sedar.”

“Ada kamu cuba cara kampung, Meli?”

“Belum, ayah.”

“Cubalah ikhtiarkan, Meli. Semua cara kita buat. Moden dan tradisional. Kalau kamu tidak ada tempat untuk berubat cara kampung, beritahu ayah cepat.” Rameli terdiam sejenak memikirkan kata-kata Tok Hamzah Dollah.

“Ada... ada, ayah. Kalau tidak berjaya, saya cari ayah lagi.”

“Baiklah kalau begitu, Meli. Jangan segan-segan kalau perlukan apa-apa bantuan. Cakap saja. Jangan sorok-sorok. Ini soal nyawa Acan!”

Rameli serba salah untuk bertanya selanjutnya. “Ayah... ada Juju telefon? Ada dia kata apa-apa tentang punca Acan kena...” Rameli tidak dapat menghabiskan ayatnya. Tok Hamzah Dollah sendiri diam di hujung talian. Lambat memberi respon.

“Ada, Meli... ada.” Perlahan Tok Hamzah menjawap. Rameli Saripin tidak bertanya lagi selanjutnya. Dia faham dengan nada suara Tok Hamzah tersebut.

Yang sebelah kanan, anak lelakinya yang bertarung nyawa untuk hidup. Yang sebelah kiri pula, anak gadisnya yang meraikan dalam senyap saat hampir tiba kematian abangnya. Berkongsi tarikh lahir. Berkongsi ayah. Susur galur dengan darah daging yang sama. Cuma berlainan ibu. Berlainan hati perut. Ramlee terkepit di tengah-tengah.
888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888888
(Apakah Penawar hebat kepada Alergik Keju? 
Adakah Juju yang keras kepala benar-akan insaf? 
Siapa pula Neng Baiduri yang tiba-tiba muncul? Ha! Jangan tidak tahu, 
nanti belacan dan keju akan digentil menjadi makjun istimewa. 
Bagaimanakah penyudahnya?   

Untuk Bab 21 – 25 sila dapatkan di pasaran / website Kaki Novel
bila sudah diterbitkan nanti ya. 
Mohon didoakan untuk dipermudahkan segalanya. 
Terima kasih daun keladi sebab sudi membaca sehingga ke bab 20)

(~ Mama Intan Payung 16 Julai 2011)~