Friday 15 July 2011

BAB 4

 Bab 4 ialah tentang Juju dan keluarga abahnya.
Pertama kali berjumpa abah sendiri setelah berumur 17 tahun!
Juju sipenggemar keju yang tinggal di kampung,
bertemu dengan keluarga abahnya di Damansara,
keluarga penggemar belacan!

Pertama kali juga Juju bersua dengan Hassan Rabbani (Acan).
Acan adalah abangnya yang lahir sama hari dengannya.
Mereka cuma dibezakan jarak kelahiran Acan yang sejam lebih awal dari Juju.

Juju yang suka keju dan Acan yang suka belacan,
Berkongsi abah yang sama, tarikh lahir yang sama...
Tetapi ibu yang berlainan!

Marilah menjengah kisah tentang Juju dan Keluarga Belacan.

ANTARA BELACAN DAN KEJU
-BAB 4-
Juju dan Keluarga Belacan

            Lampu dinyalakan. Terasa perit sekali. Juju menggosok matanya kasar. Rasa berpinar sekejap. Meriah sungguh suasana. Sofa itali yang mewah. Meja makan yang begitu moden.  Lampu chandelier yang berjuntai macam di lobi hotel. Jambangan pelbagai jenis bunga di setiap sudut mengalahkan Florist Mama Chua di pekan Taiping. Lantai marmar yang bersinar macam cermin. Tulisan khat pada cermin yang penuh seisi dinding. Semuanya serba sempurna. Sekelumit pun tidak seperti rumahnya di kampung. Sungguh tidak adil. Juju terkedu. Tergamam dalam menghadam semua pandangan baru di depan matanya dalam sepuluh saat. Cepat dia memicit jari sendiri. ‘Ingat Juju.  Perlu jadi yang terbaik. Semua orang perlu mendapatkan gambaran pertama yang sebaik mungkin tentangnya.  Be the best you can!’
            “Maiya Juliana... anak abah. Mari sini sayang.”
            Juju serba salah. Hendak kaku di situ atau meluru mendapatkan abahnya.Tindakan refleks semulajadinya membuatkan Juju meluru gaya rindukan abah yang tidak pernah ditemui. Dia mencium tangan Rameli Saripin tiga empat kali dengan penuh emosi. Aksi yang sudah dibuat latihan tubi banyak kali malam tadi di depan cermin. Biar nampak sempurna tanpa cacat cela. Mulanya Juju mahu berlakun tetapi dia tahu, dia tidak dapat membohongi dirinya. Memang insan seiras Shahrukh Khan di depan matanya ini adalah bapa kandungnya.  Insan yang terlalu ingin untuk ditemui semenjak kecil. Semenjak dia tahu menyebut perkataan abah. Semenjak rakan sekolah mengejek dia hanya ada bapa tiri. Walau hati Juju keras, dia tidak dapat menahan sebak yang datang entah dari mana. Dia menyeka air mata dengan hujung lengan baju kurung kain kapas berbunga kecil warna merah hati berlatar putih. 
Semua yang berada di situ berdebar-debar menanti aksi Juju. Mereka tidak dapat mengagak bagaimana penerimaan Juju pada mereka pula. Adakah Juju akan bersikap negatif dengan bermasam muka? Atau... Juju seorang yang periang sebagaimana digambarkan oleh Tok Hamzah Dollah yang tidak pernah lekang memuji Juju. Masing-masing memandang wajah Zaibon yang telah bersama Juju di dalam kereta hampir empat jam. Zaibon membuat muka selamba dan tersenyum penuh rahsia. Bibik Im berbisik pada Acun yang Juju hanya mengeraskan badan ketika Bibik Im merangkulnya di luar rumah. Acun sempat memarahi Bibik Im yang memandai merangkul Juju pada perjumpaan yang pertama kali.
            Juju masih terkedu melihat lelaki tegap yang berdiri di hadapannya. Rameli Saripin juga bagai hilang kata-kata. Tersentap. Lidah menjadi kejung. Dua beranak itu memandang wajah masing-masing. Sedikit pun tidak seiras. Seorang persis hero hindustan dengan hidung yang mancung terletak. Seorang lagi sekali pandang macam Julia Rais semasa zaman mudanya. Dua kali pandang persis Juliana Evans, gadis pan asia dengan rambut perang mengurai. Macam anak mat saleh. 
            “Oh... ini rupanya hero Juju! Abah yang selalu Juju tertanya-tanya sejak kecil.”
Rameli menyeka air mata deras di pipi Juju. Melihat Juju di mata Rameli, ibarat melihat bayangan bekas isterinya Maiya Karina satu ketika dahulu.
            “Wah... cantik betul anak dara abang. Memang lebih cantik dari gambar yang ada pada kita. Macam anak patung! Selamat datang, Juju. Ini rumah Juju juga. Perlahan-lahanlah sesuaikan diri dengan suasana baru, ya.”
            “Bukan anak dara abang seorang, Ros... anak dara kita berdua. Adik Acan dan kakak Acun.”
            Rosnita Chek Wah mengatup mulutnya dengan telapak tangan. Tersilap menyusun ayat pula pada perjumpaan kali pertama. Juju mencium tangan dan merangkul mesra ibu tirinya. Wangi dan cantik sungguh wanita ini. Bau wangian Miracle dari Lancome yang sama dengan mamanya. Huh! Abahnya memilih wanita yang menggemari bauan yang sama walaupun dua wanita itu hanya sekali bersua. Bertemu pertama kali di hari persandingan Maiya Karina dan Hanzz Izzat. Satu cita rasa. Satu bauan yang sama. Patutlah mereka pernah bermadu. Cantik dan kemas betul wanita ini. Cara dia merangkul Juju juga penuh bergaya dan tertib. Begitu menjaga posisi badannya. 
‘Eh... siapa pula gadis comel sebelah Mama Ros? Dia pun pakai tudung dalam rumah? Bibik Im pun berserkup kepala.  Alamak... aku sahaja yang dari kampung tidak bertudung!’ Hati Juju berbolak balik.
            “Erk... si comel ini mesti Acun ya.  Er... Ayu... Ayu...”
            “Saya Ayu Raudatul, semua orang panggil saya Acun semenjak kecil.”
            “Acun nampak comel sungguh. Seronoklah ada adik perempuan yang cute.  Cun melecun!” Juju mula menjalankan misinya. Misi cuba sebaik mungkin mengambil hati semua orang yang baru dikenali. Nampaknya Acun tidak mudah disogok dengan pujian. Dia tidak makan puji. Dia hanya tersenyum tawar. Juju cepat memahami gerak bahasa badan Acun yang tidak mudah mesra berbanding mereka yang lain.
            “Selamat berkenalan, kakak. Selama ini saya cuma ada seorang abang. Sekarang dapat pula seorang kakak.  Welcome to the family, Kakak Juju!” Juju menyambut salam perkenalan dengan senyuman melebar. Manis pula budak tembam yang bertudung dwi tona merah jambu jenama Ariana ini. Comel macam muka Zizie Ezette.  Putih dan gebu orangnya.
“Mari sini abah kenalkan.  Inilah abang Juju, Hassan Rabbani.”
“Saya Hassan Rabbani. Semua orang panggil saya Acan. Juju boleh panggil saya abang macam Acun biasa panggil.”
            Juju memandang lelaki remaja yang berambut leper di hadapannya. Sangat sopan orangnya. Lembut bertutur kata macam Rosnita Chek Wah. Nampak benar dia cuba mengambil hati Juju. Dari tadi memang Juju perasan yang Acan nampak lurus. Betul bendul! Nampak macam tidak sabar untuk berkhidmat dengan Juju. Gaya rela disuruh apa sahaja.  Iras muka macam Justin Bieber versi melayu tetapi gayanya sangat kolot. ‘Macam ahli kumpulan nasyid kampung Ulu Trong. Dia perlu dilakukan make over.’  Bisik hati kecil Juju.
            “Haha... Acan dan Juju. Belacan dan keju. Macam berjanji pula. Kena betullah!”  Zaibon bersorak riang. Dia tidak gusar berseloroh. Dia sudah mula kenal hati budi Juju sepanjang perjalanan tadi.
            “Banyak betul kebetulan dalam hidup Juju semenjak akhir-akhir ini. Banyak pula yang pelik tetapi benar. Saya sendiri digelar Juju oleh semua orang kampung. Sebabnya ialah saya anak kampung tetapi suka makan keju. Nah! Hari ini dapat pula abang yang nama Acan sebab suka makan belacan.” Semua yang berada di situ ketawa melihat gelagat Juju.  Rameli Saripin dan Rosnita Chek Wah mengucap syukur perlahan serentak. Mereka tidak menyangka Juju begitu mudah menerima suasana baru. Begitu cepat mesra. Sangat peramah dan senang menerima keluarga barunya. Zaibon tersenyum, dia seronok melihat keluarga majikannya bahagia. Ternyata igauan keluarga Rameli Saripin risaukan tentang reaksi negatif Juju adalah meleset.  Buktinya, tidak sampai lima belas minit, Juju sudah menjadi sebahagian dari keluarga bahagia itu.
            “Baguslah abah... nampaknya Adik Juju cepat mesra dengan kita. Ini yang kita harapkan. Buatlah macam rumah sendiri ya. Memang rumah ini rumah Juju juga. Sudah lama sebenarnya abang ternanti-nanti untuk berjumpa dengan adik yang berkongsi hari lahir yang sama dengan abang.”
            “Ops... minta maaf ya. Apa? Adik Juju? Eee...! Panggillah saya Juju cukup.  Kita sebaya sebenarnya. Menurut atuk saya, Acan lahir cepat sejam sahaja dari saya. Macam kembar pula. Tidak perlu abang, adik. Panggil sahaja saya Juju. Boleh saya panggil Acan sahaja? Erk... macam geli hendak panggil abang.” Juju membuat muka geli geleman.  Semua yang berada di situ tersenyum dan gembira dengan reaksi dan gelagat Juju.  Dia menjadi tumpuan semua yang berada di situ.
            “Saya okey sahaja, panggil Acan pun okey.  Juju kata tadi kita macam kembar pun sudah cukup buat Acan senang hati.” Juju dapat membaca yang dia bakal senang mengawal Acan. Malah senang disuruh macam-macam nanti. Nampak sangat Acan menyenanginya dan cuba mengambil hatinya. Juju tersengih dalam diam.
            “Panggillah apa sahaja yang Juju selesa, sayang. Kami semua sebenarnya masih terkejut dan sangat bersyukur.”
“Terkejut?”
“Ya. Terkejut sebab sebenarnya kami sangka Juju sukar untuk menerima keluarga kami. Tetapi... ternyata Juju cepat mesra orangnya. Sangat peramah. Abah sangat bersyukur sebenarnya. Betul ya mama?” Rameli perlahan menutur butir katanya. Matanya beralih memandang isterinya. Dia betul-betul sangat terharu.
            “Betul Juju. Mama Ros memang bangga dengan Juju. Ternyata mama dan atuk Juju telah mendidik Juju sebaik mungkin. Kami gembira dapat menerima Juju sebagai ahli keluarga kami. Sejak dulu lagi kami memang menanti saat ini, Juju.”
            “Sama juga dengan Juju. Sebenarnya semalaman Juju tidak dapat tidur malam tadi.  Takut memikirkan penerimaa keluarga abah pada Juju.”
            “Ya Tuhan, itu yang dia risaukan, mama.”  Rambut Juju diusap dengan penuh kasih sayang oleh Rameli Saripin. Terasa bagai pertama kali dapat mencurahkan sepenuh kasih sayang seorang ayah kepada anak gadisnya.
            “Saya... saya pula bagaimana? Boleh saya kenalkan diri saya kepada sicantik manis ini, Puan Ros?” Bibik Im membuka mulut apabila tersedar hanya dia belum berkenalan dengan Juju. ‘Huh... sudah siap memeluk aku di luar, ada hati lagi hendak berkenalan secara formal. Dia fikir dia siapa? Lawyer? Majistret? Hendak ambil hati aku konon.’ Juju menyampah dengan gelagat Bibik Im. Juju membebel di dalam hatinya. Rosnita Chek Wah tersenyum dan mengangguk menyuruh Bibik Im memperkenalkan diri.
            “Nama saya Im.  Imra Atul binti Baim Wonggo. Panggil sahaja saya Bibik Im.  Kalau Cik Juju perlukan apa sahaja, bila-bila masa boleh panggil saya. Malah saya boleh buat soalan matematik yang simple!  Saya lulusan SMA!” Seisi keluarga mentertawakan Bibik Im. Juju yang merasa menyampah turut ketawa seiring penuh hipokrit.  Jangan ada yang perasan. Biar nampak sehati sejiwa dengan keluarga barunya.
            “Bibik kita ini sudah hampir sepuluh tahun bersama keluarga abah, Juju. Sudah jadi sebahagian dari keluarga kita. Percakapannya pun sudah macam orang kita. Malah bapanya Pak Kiyai Baim Wonggo pernah ke sini. Kami memang rapat!” Juju membuat muka seolah-olah amat berminat untuk tahu segalanya tentang Bibik Im yang berbau jamu. Macam bau daun herba perempuan baru sudah bersalin.
            “Apa-apa pun... jemput minum dulu, Juju. Jangan tidak tahu, Mama Ros sendiri yang masakkan kek kegemaran Juju. Cream Cheese Blueberry Cake!  Specially baked for you.” Nampaknya sampai kepada kek kegemaran pun mereka tahu. Tentu banyak lagi yang mereka ketahui. Ini mesti kerja atuk. Perlu lebih berhati-hati, Juju. Juju memberi amaran keras kepada dirinya sendiri.
            Bibik Im sopan menatang kek yang julung kali dibuat khas hasil air tangan Rosnita Chek Wah. Bibik Im tidak mahu lagi membuat sebarang kesilapan di depan anak majikannya yang baru ini. Dengan lafaz bismillah, kek pertama disuap oleh Rosnita Chek Wah ke mulut Juju. Juju menyorok rasa terkedunya. Terharu! Dia tidak pernah mendapat layanan sebaik ini di kampung walaupun dia tahu mamanya amat menyayanginya. Untuk memanggilnya ketika waktu makan pun tidak sama sekali. Apa lagi untuk mesra bermain upacara suap menyuap dengannya. Seingatnya, mamanya tidak pernah menyuap sebarang makanan ke mulutnya.  Mungkin ketika dia masih bayi. Yang sering menyuapnya ialah Tok Hamzah Dollah. Mereka saling suap menyuap antara satu sama lain. Terutamanya di atas Bukit Sekupang. Tempat Juju menyorok diri dikala merajuk dengan ibunya. Ternyata segala tohmahan tentang abahnya dan keluarga abahnya salah belaka. Sambil menelan kek yang sangat enak macam kek di Secret Recipe, Juju menahan sebak air hidung yang seakan ingin luruh. Keluarga barunya nampak begitu ceria. Bukan sahaja mereka saling bersuapan anak beranak, malah Bibik Im turut malu-malu apabila disuap oleh Acun. Sungguh bahagia. Kebahagian ikhlas terpancar. Kebahagiaan yang tidak dibuat-buat. Juju cemburukan semua itu. Cemburukan suasana bahagia di situ. Cemburukan kasih sayang yang melimpah ruah. Cemburukan masa silam yang dirampas darinya.
            “Boleh tolong tunjukkan bilik Juju? Juju hendak mandi. Hendak telefon atuk. Hendak telefon... mama.” 
Air matanya jatuh berderai lagi. Bukan sebab rindukan mamanya tetapi geramkan aksi kasih sayang yang melingkari di dalam rumah baru yang baru dijejaki. Kasih sayang yang sepatutnya dia miliki sejak dulu. Bukan berebut kasih sayang mamanya yang sering menyalahkan abahnya sejak kecil.  Bukan juga kasih sayang yang perlu dikongsi dengan adik tirinya Hanzz Izzul dan bapa tirinya Hanzz Izzat. Juju merasakan sesuatu yang tersekat di hatinya. Sukar untuk dia sendiri nyatakan apa yang membuatkan dia rasa sebu.  Rasa tersekat.  Tebal terbuku macam murtabak dingin beku. Rasa rimas dengan bayang-bayang sendiri.
            “Mari sayang. Mari Mama Ros sendiri yang tunjukkan bilik, Juju. Im... tolong bawakan semua beg Juju ke biliknya ya.”
            Juju menggigit bibirnya lagi. Mulia betul hati ibu tiri yang satu ini. Jauh sekali seperti yang mamanya bayangkan padanya selama ini.
            “Bilik atau hotel ini, Mama Ros? Macam bilik tuan puteri!” Juju terharu.  Tiada kata yang dapat digambarkan.
            “Memanglah bilik tuan puteri! Jujulah puteri kami. Suka warnanya? Maroon and white. Your favourite colour! Sini ada baju dan kasut baru untuk Juju. Mama Ros tahu, Juju sudah ada semuanya. Ini semua sekadar hadiah dari Mama Ros dan abah untuk Juju. Tanda kami sangat meraikan kedatangan Juju.”
            “Cantiknya! Mama Juju sendiri tidak pernah tahu warna kegemaran Juju.  Ini mesti atuk yang beritahu!”
            “Ops...! Jangan kita bandingkan apa-apa dengan ibu kandung kita, sayang. Apapun ibu kandung tetap ibu kandung. Dia mungkin tidak sedar warna kegemaran Juju tetapi dia sayangkan Juju tiada tolok bandingnya. Nothing compares with our real mother, my dear.” Juju dapat merasai dia sudah mula menyenangi wanita di depan matanya. Sangat tertib berbicara. Percakapannya sangat teratur bagai disusun. Bagai skrip drama yang sudah tertulis.  Duduknya pula penuh sopan santun.
            “Wah!  Bilik air pun macam hotel 5 bintang. Takut Juju hendak pijak. Tuala pun warna merah hati dan putih!  Wah... bath tub siap ada buih wangi dan taburan kelopak bunga ros! Wau!  This is damn fantastic, Mama Ros.”Juju terasa bagai dilayan bak tuan puteri. 
            “Ini semua kerja Bibik Im.  Dia sendiri sangat beria-ria ternanti-nantikan kedatangan Juju.  Semua persiapan ini dia yang banyak bantu sediakan.”
            ‘Huh... beria-ria penuh makna. Siap memeluk aku di luar banglo tadi. Siap posing gaya artis dalam gambar.’  Hati Juju mendengus. Dia mencebikkan mulutnya ketika Rosnita Chek Wah membelakangkannya.
            “Nah!  Ini senarai nombor telefon ahli keluarga kita. Kalau Juju mahu, esok kita boleh dapatkan telefon bimbit baru untuk Juju. May be a new blackberry curve for you?.”
            “Thanks, Mama Ros. It’s ok.  My iPhone is still in good condition.”
 “Okey... kiblat arah penjuru bilik, ya. Apa-apa hal nanti, beritahu Mama Ros. Jangan malu-malu. Mama keluar dulu, ya.”
Tiba-tiba, Juju menarik lembut tangan Rosnita Chek Wah. “Mama Ros... kejap.  Kejap sahaja... sudah lama benar Juju hendak tanya sesuatu. Juju betul-betul hendak tahu.” Rosnita Chek Wah mengawal rasa terkejutnya.
“Ya, Juju... tanyalah apa sahaja yang Juju hendak tahu. Mama Ros akan menjawab setakat yang termampu.
“Mengapa Mama Ros tidak marah dengan kehadiran Juju? Juju cuma anak tiri Mama Ros.  Malah menurut atuk, Mama Ros adalah isteri pertama abah.”
“Oh...!  Itu yang Juju hendak tahu rupanya... mari kita duduk sini, sayang. Mesti ada yang telah ceritakan pada Juju bagaimana doktor telah mengesahkan peluang Mama Ros untuk mendapat anak amat tipis dulu. Tiga kali Mama Ros keguguran. Itu belum termasuk bayi dalam perut Mama Ros yang misteri hilang begitu sahaja dua kali. Kata doktor, rahim Mama Ros amat lemah. Peratus untuk mendapat anak sendiri memang amat tipis. Tetapi... itulah kuasa Tuhan tiada siapa dapat menduga.” Rosnita sengaja berhenti sebentar. Mencari nafas mengimbau kenangan silam.
“Mama Ros mengandung bila Mama Ros izinkan abah kahwin dengan mama Juju ya.” Juju membuat cubaan berani memberitahu fakta yang diketahuinya baru-baru ini.
“Betul, Juju. Bayangkan betapa gembiranya kami bila mama Juju mengandungkan Juju, Mama Ros juga turut disahkan mengandungkan Acan. Disusuli pula dengan Acun setahun kemudian. Bukan hanya satu kurniaan Tuhan. Malah kami dapat sepasang anak. Ini semua rahmat dan dugaan Tuhan, Juju. Kelahiran Juju serentak dengan kelahiran Acan. Hari yang sama. Selain kelahiran Acan, kelahiran Juju memang amat Mama Ros nantikan. Mama Ros rasakan Juju adalah anak yang membawa rahmat buat kedua keluarga kita. Kurniaan dan rahmat Ilahi yang amat bermakna dalam hidup abah dan Mama Ros.” Mata Rosnita Chek Wah berkaca-kaca.  Pipi Juju dipicitnya kedua belah.
“Mama Ros... inilah pertama kali Juju dengar ada orang yang gembira dengan kewujudan Juju di dunia ini. Selama ini, sejak Juju kecil, mama Juju asyik kata Juju hanya beban buat dia.  A big burden and mistake that happen in her life!
“Oh... kasihan Juju. Mesti ada sebab mama Juju terlepas kata begitu. Mana ada ibu yang tidak sayangkan anak, Juju. Kita sendiri tidak berada di tempatnya pada masa itu.  Kita tidak tahu tekanan yang dilaluinya. Jadi kita tidak baik buat andaian yang bukan-bukan dan menuduh mama Juju. Nah tengok!  Sekarang, semuanya sudah okey. Juju adalah anak Mama Ros, anak abah. Juju adalah sebahagian dari famili kita.” Dua beranak tiri itu berpelukan erat.  Pelukan yang tidak pernah dibayangkan oleh mereka berdua selama ini setelah tujuh belas tahun saling tidak mengenali. 
“Okey, sekarang pergi bersihkan diri, solat asar dan rehat dulu.  Nanti turun untuk makan malam, ya. Ada family small gathering dengan sahabat handai famili kita. Kita hendak kenalkan Juju pada semua orang. Pakai cantik-cantik okey!”
            Di dalam bilik air,  Juju menangis semahu mungkin. Dia sebak. Dia keliru. Dia sangat bersyukur tetapi... jauh di sudut hatinya. Perit! Pedih! Misinya perlu diteruskan. Misi mendapatkan balik haknya selama ini. Hak masa silam yang sepatutnya indah belaka.
            Juju menguis dengan kaki buih sabun yang semerbak haruman body shop passion fruit bath & shower gel.  Pertama kali berendam begitu seumur hidupnya. Sungguh nyaman.  Terasa lekang segala daki kampungnya.
Selesai berendam setengah jam, Juju cepat mencapai pen dan buku kecil kesayangannya. Buku comel berwarna hitam pekat dengan bentuk hati merah hati di tengahnya. Pada muka surat pertama buku comel ditempek gambar atuknya sedang membelai kambing Conan. Sungguh klasik! Sambil meniarap di atas katil empuk, Juju berfikir dan menulis senarai orang-orang bandar yang baru hadir dalam hidupnya. ‘Orang bandar memang sombong. Orang KL memang berlagak diva! Perlu ajar mereka semua.’ Juju berfikir seorang diri. Misinya kelak mesti terang lagi bersuluh. Perlu didahulukan dengan target yang jelas. Tidak boleh silap! 
Senarai Orang KL Yang Baru Dikenali
Perlu Diberes / Tidak Perlu Diberes
Abah
-
Beres! 
Mama Ros
-
Beres!
Acan
-
Sangat Beres!
Boleh dibuli.  Macam Pak Turut. Boleh dijadikan kuli. Paling busuk sebab kuat makan belacan banyak sangat.
Acun
-
Belum beres! 
Perlu hati-hati. Senyuman dia penuh makna. 
Bibik Im
-
Tidak berapa beres! 
Nampak macam geng Acun. Mereka asyik berbisik.
Abang Zaibon
-
Beres! 
Body guard merangkap spy baru.

           
Juju mencucuk gaya ganas pen pada buku di tangannya.  “Huh!  Jangan harap hendak buat baik dengan aku.  Bayar balik semuanya.  Hutang 17 tahun!”
@@@@@@@@@@
“Wau... banyaknya makanan. Siap ada khemah pink! I like! Kita ada tetamu istimewa malam ini?”
Yes my dear, Mama Ros dan abah hendak kenalkan Juju dengan teman rapat keluarga kita. Just a small gathering among our close knits. Later, do help yourself, honey.  Kita makan selepas bacaan doa selamat. Tentu anak Mama Ros lapar ya. Di sebelah sini ada western food.  Specially ordered for you from Tony Romas. Ada ribs, seafood, steak dan macam-macam lagi. Sebelah sana pula untuk orang geng belacan. Masakan istimewa dari restoran abah, Restoran Can Meli Can.”
“Makanan Mama Ros pula yang mana?” Juju cuba memancing Rosnita Chek Wah.  Ingin menguji kebenaran kata-kata Zaibon tentang diet Rosnita Chek Wah.
“Haha!  Good question. Mama gonna eat everything tonite. No dieting!”
 “Acan... Acan! Yang itu... adik kamu? Biar betul! Wow, wow, wow. Kalau macam ini hari-hari aku datang sini. Mana kamu sorok dia selama ini, Acan? Mengapa tidak beritahu awal-awal.” Bertubi-tubi Fetriz melontarkan soalan. Fetriz membuat gaya jakun. Dia tergamam melihat kejelitaan adik Acan. Dia sangkakan Juju setakat muka biasa-biasa macam Acan. Walaupun Acun manis orangnya, namun Juju ternyata lebih menarik. Sedap sungguh mata memandang. Wajah pan asia berambut perang panjang mengurai. Siap berkebaya nyonya bersulam Bukit Tinggi warna merah hati dan berseluar palazo shifon warna putih bersih. Nampak begitu ayu dan sopan santun. Gaya asli tulen dan suci terbaik dari kampung.
“Oit!  Kalau ya pun, kawallah sikit, Fetriz.  Buatlah gaya gentleman. Jangan tunjuk sangat. Anyway, memang cun melecunlah dia, Acan. Betul-betul terbaik dari ladang! Kena jaga baik-baik adik kamu dari si buaya tembaga merangkap buaya darat ini.” Ahmad segera mengingatkan Acan tentang Fetriz yang semakin galak memandang Juju. Tidak sia-sia dia menghadiri majlis makan malam hari itu. Dapat pakej lengkap. Dapat menjamu selera dan menjamu mata juga. Sungguh nakal. Miang keladi walaupun SPM belum habis.
“Syy... jangan sebut terbaik dari ladang. Ini bukan sebarang ladang. Ladang mereka besar. Ada dua. Satu ladang kelapa sawit dan satu lagi ladang kandang kambing. Atuknya orang terkaya di Kampung Daun Melambai. Antara hartawan terhebat di Perak. Kalah kita di sini.” Acan memberi amaran seakan berbisik. Dia tidak mahu suara nakal tiga sahabatnya sampai didengari oleh Juju. Acan betul-betul mahu menjaga hati Juju.
“Ha? Kampung Daun Melambai? Kelakarlah! Apa-apapun memang cantik adik kamu, Acan. Tidak sia-sia diperam di kampung. Hehehe...  tetapi sayangnya dia tidak macam kamu, Acan. Muka belacan! Tengok sana, dia hanya mengadap ke meja Tony Romas. Tidak menjenguk langsung sebelah sini.” Yahaya pula memberi kenyataan hasil pemerhatiannya tentang Juju sejak tadi.
Ahmad, Fetriz dan Yahaya adalah sahabat karib Acan semenjak kecil. Mereka begitu akrab. Mereka jatuh bangun bersama. Bersama belajar naik basikal sambil sengaja tangan dilepaskan. Bersama jatuh tergolek menuruni bukit. Bersama panjat pokok mempelam epal yang penuh kerengga di belakang sekolah. Bersama ke doktor gigi ketika gigi masing-masing berlubang dua batang. Bergaduh memang sangat biasa tetapi mereka tidak rela berpisah.  Rumah Acan memang menjadi tempat mereka melepak. Masing-masing bersekolah di Sri Putra KD Boys School yang terletak tidak jauh dari rumah masing-masing. Ketika keputusan UPSR, masing-masing cemerlang dengan 5A. Mereka berempat mogok tidak mahu berpisah sebab mendapat tawaran ke asrama penuh yang berlainan. Begitu juga ketika sama-sama cemerlang dengan semua A dalam peperiksaan PMR. Apatah lagi mereka telah menubuhkan kumpulan nasyid mereka sendiri sekarang. Kumpulan nasyid, berzanji dan marhaban di bawah bimbingan dan tunjuk ajar dua orang terkenal bersuara lemak merdu, Ustaz Mahir dan Uztaz Zain.  Bilal dan Imam masjid kuning Kota Damansara sendiri.
Cuma Fetriz seorang sahaja yang kadang kala berpindah randah. Dia tinggal bersama datuknya di Kota Damansara. Bapanya, Encik Farhan adalah ketua jurutera kanan yang tersohor dengan Petronas Sauber. Keluarganya pernah menetap di Jepun, Eropah dan serata pelosok dunia yang memerlukan perkhidmat bapanya. Fetriz tidak pernah mahu mengikuti keluarga bapanya menetap keluar negara. Dia lebih rela berhujan batu di negeri sendiri. Kadang-kadang Fetriz tinggal dengan datuknya atau sanak saudara yang lain di Malaysia. Berpindah randah sudah menjadi lumrah hidupnya. Sudah terbiasa dan tidak menjadi masalah untuknya semenjak kecil.  Namun, dia paling suka ketika menetap dengan atuknya di Kota Damansara. Di situ ada tiga sahabat karibnya iaitu Acan, Ahmad dan Yahaya. Hubungan mereka terpateri erat semenjak kecil.
  Juju memandang dengan ekor matanya mereka berempat yang bersantai di tepi kolam renang. Sengaja buat-buat tidak perasan yang Fetriz sedang memerhatinya dengan penuh minat. Fetriz harus dimasukkan dalam senarai Juju sebab paling kacak. Sekali pandang macam Remy Ishak. Paling memberi perhatian pada Juju. Paling berani bermain mata. Cuma rambut mereka semua sama fesyen dengan Acan. Gaya rambut Justin Bieber yang tidak menjadi. Gaya rambut Tomok lagi lawa berbanding mereka yang berambut leper dari hujung kanan ke kiri. Gaya rambut senget siap berminyak. Nasib baik minyak rambutnya tidak busuk macam belacan. Geli betul Juju melihatnya. Orang Kampung Daun Melambai pun pandai bergaya mengalahkan empat teruna perasan di depannya ini.
“Juju, itu semua kawan-kawan Acan. Jangan tidak tahu, mereka pandai bernasyid, marhaban dan berzanji. Nanti Mama Ros kenalkan pada semua orang ya. Kita tunggu semua tetamu tiba.” Juju tersenyum gaya gadis suci murni. ‘Patutlah. Kumpulan nasyid rupanya.  Kumpulan nasyid berambut leper! Pasti mencabar kumpulan Raihan yang sudah semakin veteran.’ Juju tergelak sendirian. Dia membetulkan alis matanya. Tidak puas membelek muka pada cermin tangan genggamannya. Dia membawa turun cermin tangan yang baru pemberian Rosnita Chek Wah. Biar nampak dia pandai mengambil hati Rosnita Chek Wah. Biar semua orang sayangkannya.  

Tiba-tiba hati Juju berdenyut pantas.  Dug dag dug dag. Alamak! Siapa pula jejaka tampan yang bersembang dengan Acun dan seorang gadis lagi.  Jangan cakap si handsome itu buah hati Acun. Macam filemstar yang berdiri di sebelah Acun. Kacak macam Robert Pattinson pelakon Twilight kegemaran Juju. Cuma dia berkumis jarang sebagai pemanis wajah. Sungguh tidak adil jika benar itu teman istimewa Acun. Mengapa hidup anak-anak abah serba sempurna sejak kecil?

“Bibik... bibik... cepatlah ke sini, itu siapa?”
“Yang mana Cik Juju? Yang di sebelah Acun itukah? Oh... itu A.C. Misai. Yang perempuan itu pula Abby.”
“A.C. Misai?  Abby?”
“Ya, semua orang panggil dia A.C. Misai. Namanya Aiman Cullen. Misainya yang nampak mahal menjadi pemanis wajahnya. Ibunya wanita Jerman.  Bapanya orang melayu, pensyarah fiqah dan usuluddin di kolej islam dekat KL. Cik Abby pula nama penuhnya Abby Abadeez.  Mereka dan Acun, tiga sekawan yang rapat. Hampir setiap hari mereka kemari atau Acun ke rumah mereka. Tuisyen juga sekali. Tuan Meli sendiri selalu rujuk soal agama dengan bapa A.C. Misai. Jadi, mereka semua sudah sangat akrab.  Macam saudara!”
 “Oh! Begitu rupanya. I like! Aiman Cullen! Hensemnya!” Juju cuba memancing Bibik Im.
“Jangan ada yang cemburu nanti, Cik Juju. Si Aiman Cullen itu sudah lama berpacaran dengan Cik Acun.”
“Hei! Kami semuakan masih bersekolah. Apa yang pacarannya, bibik.Itu kawan sahajalah!”
“Si Abby itu, mengapa pula namanya macam pelik sahaja bunyinya. Abby Abadeez?  Hehe... tetapi nasib baik dia jenis stylo. Maklumlah orang bandar ya bibik.”
 “Oh... dia memang stylo milo! Semuanya perlu branded tetapi tidak sombong. Muka sahaja nampak serius. Bapanya seorang sasterawan terkenal dari seberang. Banyak buat apa itu? Ter... terjemahan buku? Namanya Abby Abadeez pula bermaksud kekal.  Abadi!”
“Huh! Kekal abadi konon. Mana ada manusia yang kekal abadi, bibik. Wah... hebat juga bibik ya. Banyak juga bibik tahu tentang mereka semua. Siap tahu pekerjaan bapa masing-masing lagi.”
“Sayakan sudah bersama keluarga Tuan Meli hampir sepuluh tahun lamanya, Cik Juju. Apa yang saya tidak tahu... hampir semuanya dalam poket saya.”
“Juju cukuplah. Tidak perlu berCik-Cik dengan saya, bibik.” Bibik Im hanya tersengih dengan kata-kata Juju.
Juju mula mencongak sendirian. ‘Nampaknya segala latar belakang hal aku dibesarkan di kampung juga pasti diketahui Bibik Im. Macam-macam yang Bibik Im tahu. Harus hati-hati! Oh... sungguh tidak adil sekali lagi. Acun akrab dengan A.C. Misai, konon.  Teman tuisyen konon.  Semua ini tidak boleh jadi.  Biar si Cullen nanti nampak siapa aku pula.’ 
Bibik Im tidak diendahkan lagi oleh Juju.  Bibik Im cuba membuang rasa curiganya pada Juju. Dia tidak mahu masuk campur tetapi dia mahukan semuanya aman sentiasa macam sedia kala. Jangan ada yang buat kecoh dengan adanya anak baru bos yang seorang ini.
“Nampaknya Mariyah Fareedaz tidak dapat datanglah, abang. Dia baru telefon saya.  Ada pelanggan VVIP di butiknya malam ini.”Jiran mereka yang paling hampir tidak dapat turut serta. Walhal dia yang beria mahu berkenalan dengan Juju. Rameli Saripin menggangguk memandang wajah isterinya yang manis. 
“Assalammualaikum semua tetamu yang sangat saya hormati dan kasihi. Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum. Majlis ringkas kita malam ini adalah untuk memperkenalkan anak kedua saya yang telah lama terpisah. Anak kedua yang sebaya dengan Hassan Rabbani sebenarnya. Mereka berkongsi tarikh lahir yang sama. Saya amat bersyukur kerana Dia telah memakbulkan pertemuan ini. Tanpa berlengah masa lagi, saya kenalkan, inilah dia anak yang amat saya rindui dan kasihi, Maiya Juliana Rameli Saripin.” Semua tetamu rapat yang hadir telah sedia maklum siapa gerangan Juju sebenarnya. Masing-masing menelah ibu Juju mesti seorang yang jelita gaya minah saleh sebab Juju tidak mewarisi wajah hindustan Rameli Saripin. Semua tetamu berbisik memuji kejelitaan Juju yang terserlah seiring dengan budi bahasa dan sopan santunnya. Sungguh pandai mengatur misi. 
Setelah selesai bacaan doa selamat oleh Ustaz Mahir. Semua tetamu menjamu selera dan berkenalan dengan Juju. Dia mula meniru gaya Rosnita Chek Wah. Misi perlu berlakon sesuci mungkin. Perlu tertib dan sopan. Perlu berjalan dengan kaki rapat gaya sopan gadis kampung yang belum tercemar otaknya. Dia sendiri sedia maklum, berapa banyak pasang mata yang memerhatikannya. Siapa tidak tahu betapa cantiknya dia. Lengkap dengan karisma, gaya, mutu dan keunggulan! Fetriz sudah terang-terangan membeliakkan matanya. Hatinya tidak putus-putus memuji gadis cantik ciptaan Ilahi di depan. Gadis yang penuh cerita duka di masa kecil. Penuh dendam kesumat. Gadis yang akan menggunakan Acan dan gengnya termasuk Fetriz sendiri untuk melaksanakan misinya kelak.
Di satu sudut, Juju tidak sedar, jika dia sibuk memasang misinya. Acun juga tidak terkecuali. Walaupun baru enam belas tahun usianya... dia sudah dapat membaca hati budi kakak baru yang hadir dalam hidup. Ada bau yang kurang enak. Bau mengalahkan belacan bakar dan keju basi. Bau hasad dengki dan busuk hati! Bau kepura-puraan. Bau yang perlu dinyahkan segera. Acun tidak rela kebahagiaan keluarganya selama ini punah. Punah hanya kerana ingin membayar hutang kasih sayang selama tujuh belas tahun. Acun memandang A.C. Misai, Abby Abadeez dan Bibik Im dengan penuh makna. Walau Acun tidak meluahkan firasat telahannya. Pandangan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata tetapi masing-masing dapat membaca erti pandangan Acun pada mereka. Pandangan supaya berhati-hati.  Awas!
Di satu sudut lain pula... dua insan berbicara dengan tidak memandang muka masing-masing. Muka mereka tetap tersenyum manis memandang dan melayan tetamu yang ada.  Masing-masing berbicara dalam nada perlahan.  Hampir berbisik.
“Ros nampak apa yang abang nampak?”
Rosnita Chek Wah tersenyum. Penuh erti tersirat. Senyum orang yang berpengalaman dalam rencah hidup. Tangannya mempelawa tetamu yang hadir untuk menikmati makanan.
“Kita ikut sahaja rentak dia ya, sayang. Biasalah anak muda. Dia inginkan perhatian. Ingat abang, latar belakang hidup banyak beri impak dalam corak hidupnya.”
“Ya, kita cuba ikut rentak dia. Dalam masa yang sama, kita sama-sama bentuk dia sebaik mungkin. Abang rasa bersalah sebab tidak bela dia selama ini, Ros.”
“Tidak perlu ulang banyak kali, abang. Tidak perlu juga asyik salahkan diri sendiri. 
Abang sudah lakukan yang terbaik. Jangan risau, Ros akan sentiasa bersama abang. Jangan ada pilih kasih, kita sama-sama bentuk Juju, Acan dan Acun sama rata sebaik mungkin.”
“Terima kasih, sayang. Terima kasih sangat.” Mereka melirik mata ke arah dua sudut yang berlainan. Di satu sudut, Juju asyik mengadap di meja makanan dari Tony Romas. Menguis sepinggan udang bersalut mentega berkeju. Di satu sudut yang lain pula Acan bersama Ahmad, Fetriz dan Yahya asyik bergelak ketawa di meja utama masakan asli melayu dari Restoran Can Meli Can.
Rameli Sarip menepuk manja bahu isteri tersayang. “Haha! Jangan ada beza antara belacan dan keju ya!”
Mereka berdua tersenyum. Penuh makna.
8888888888888888888888888888888888888888888888888