Friday 15 July 2011

BAB 18

 BAB 18 ialah tentang Rameli Saripin dan Bibik Im.
Mereka ada skandal? Alamak! Abah Juju dan Bibik Im buat apa?
Juju yang punya angkara? Suka sangat tengok keluarganya haru biru.
Tergolek berguling-guling seronok tengok semuanya hampir punah.

Selamat membaca BAB 18. Juju menggunakan misi geli geleman di sini. Misi busuk!

ANTARA BELACAN DAN KEJU
-BAB 18-
Skandal Rameli Saripin dan Bibik Im

          “Apalah! Soalan matematik senang macam kacang kuda rebus pun tidak boleh buat. Dulu kata, you all are among the best students. Sambil pejam mata pun aku boleh buat.” Bongkak sungguh Juju memberi kenyataan. Mulutnya dijuihkan. Hilang seketika keayuannya apabila riak dan angkuh menguasai jiwa.
            “Ya lah, ya lah. Kamu menang, Juju. Memang terror. Thanks ya. Sebab tolong kami selesaikan semua soalan semalam. Ini barulah geng namanya!” Surie menepuk bahu Juju. Dia tidak dapat menafikan Juju memang pandai serba serbi. Baik pun dia. Jahat pun, dia juga.
            “Okey, Juju, Jom makan! Sebut apa sahaja. Kami belanja! Anything!” Honey turut berterima kasih kerana Juju telah kerana menolong memberi isi penting untuk essay English semalam. Hati Honey berbisik, ‘Memang Juju serba boleh. Bijak, pandai dan nakal tidak terperi.’
            “Terima kasih juga ya Juju. Kamu pun tolong saya juga. Tolong bagi rancangan untuk menggagalkan daddy dating lagi dengan si baby face.” Leesa mencubit manja pinggang Juju yang ramping macam kerengga. Bangga dapat membuatkan buah hati baru bapanya terkandas di tepi jalan. Bukan satu, bukan dua tetapi keempat-empat tayar keretanya pancit. Tayar simpanan pula hilang dari bonet. Semuanya perancangan rapi bersama Juju yang panjang akal.
            “Haha! Baby facelah konon. Harap muka sahaja comel tetapi hati busuk macam tapai basi hendak buat apa? Baik simpan sahaja dalam muzium zaman purba. Ada ibu tiri memang terseksa hidup zahir dan batin... jiwa dan raga kena siksa.” Juju membalas kata-kata Leesa dengan penuh gaya. Dia selalu menunjukkan kepada mereka bertiga betapa dia memang anti ibu tirinya. Dia sentiasa membayangkan kepada mereka bertiga bahawa Rosnita Chek Wah yang baik hati itu sebagai ibu tiri yang kejam dan jahat dalam diam. Fitnah yang sengaja diberi percikan perisa penambah.
            “Cepatlah! Hendak kami belanja makan apa? Belacan?” Leesa mengusik Juju. Sengaja menyentuh soal belacan yang dibenci seumur hidupnya.
            “Yaks! Geli! Loya! Macam hendak muntah hijau. Jangan berani sebut lagi perkataan be... la... can...!” Juju membaling Leesa dengan buku di tangannya.
            “Okey! Okey, kalau hendak balas budi sangat, ada satu cara! Asyik-asyik kalau hendak balas budi kena belanja makan. Nanti gemuklah kita! Bulat macam apom! Okey, tolong aku dengan misi paling besar. Misi mengenakan bapa segala belacan pula. Biar puas hati aku!” Juju bercakap dengan penuh semangat. Masing-masing memandang Juju tanpa reaksi. Mereka menyangka sudah habis agenda mengenakan seisi keluarga belacan.
            “Eee... aku, aku! asyik beraku-aku. Macam kasarlah bunyinya.” Honey mengeluh perlahan. Baby Gorgeous sememangnya sudah biasa bersaya dan berawak sejak dahulu lagi. Mereka anak bandar yang asli dan tulen. City girls! Juju yang semenjak akhir-akhir ini gemar membahasakan dirinya sebagai aku, menjadi pelik pada pendengaran halwa telinga Leesa, Surie dan Honey.
            “Aku atau saya, sama saja. Yang penting, kalau bahasakan diri sebagai aku, kita akan rasa macam lebih taiko! Lebih tegas dan lebih yakin. Kalau asyik berawak saya, dengar macam silembik yang senang dibuli.” Juju membulatkan matanya. Memberi fakta yang susah untuk dihadam oleh Leesa, Surie dan Honey.
            “Taiko? Apa? Ketua? Ganaslah! Kita geng Baby Gorgeous. We have to look gorgeous, cute, polite and down to earth.” Surie pernah mendengar perkataan taiko yang kurang disenanginya. Bahasa kasar, pada hematnya.
            “Sudahlah! Yang penting, mesti tolong aku kali ini. Kita mesti lebih berhati-hati sebab kali ini kita hendak kenakan abah aku. Dialah punca segalanya. Macam ketua kepala belacan! Selagi dia tidak kena, selagi itu aku belum betul-betul puas!” Juju bersuara bagai kepala kumpulan gangster yang memakai baju kurung sekolah. Sungguh tidak sesuai.
            “Eee... ketua keluarga belacan? Dulu kata Mama Ros kamu adalah ibu sawat, sekarang pula kata abah kamu sebagai bapa segala belacan. Yang mana satu yang betul, Juju?” Surie meminta kepastian walaupun sebenarnya dia agak faham dengan pokok perbicaraan Juju.
            “Kalau betul hendak balas budi, ikut sahajalah. Kita sama-sama buat pelan paling best! Paling hebat! Misi mengenakan abah aku. Rasa macam ada yang tidak lengkap selagi Tuan Rameli Saripin yang engkau orang hormati, belum terkena buku dengan ruas. Hutang tujuh belas tahun! Tinggalkan aku terbiar di kampung!” Juju sudah bersuara dengan nada bagai ketua pemberontak. Kedengaran agak kasar dan seram di telinga ahli Baby Gorgeous yang lain. Suaranya mendesak dan lebih berbentuk mengarah.
            “Bila misi ini hendak bermula? Hendak buat bagaimana pula kali ini?” Surie bercakap kepada Juju tetapi tidak memandangnya. Surie sengaja sibuk mengelap cermin mata Guccinya yang telah sedia bersih berkilat.
            “Kita buat macam biasalah. Macam yang sebelum ini. Bila sesuai sahaja, kita masuk jarum. Kita selit diantara rutin harian abah aku. Biar nampak natural.” Walaupun tidak berapa setuju, entah mengapa mereka bertiga tidak berani bersuara. Walaupun Juju ahli terbaru geng mereka. Juju bagai ada kuasa. Bagai ketua Power Rangers! Kata-katanya perlu diguna pakai. Mereka bertiga menikus. Tujuan asalnya ialah hendak belanja makan sebagai tanda membalas budi menolong buat kerja sekolah dan mengenakan ibu tiri Leesa. Padahnya, mereka perlu berkomplot pula mengenakan abah Juju. Kes bekerjasama membunuh Deko dan Apeto pun masih segar dalam ingatan mereka bertiga, inikan pula hendak mengenakan Tuan Rameli Saripin yang mereka hormati selama ini. Masing-masing terasa lemah lutut dan bagai hendak ke tandas.
            @@@@@@@@@@
            “Apa pendapat ayah? Maaf kalau saya katakan, Juju semakin menjadi-jadi, ayah. Saya takut kalau dia...”
            Tok Hamzah Dollah cepat memotong andaian Rameli. Dia kurang senang Rameli berlebihan beranggapan negatif tentang Juju. “Sabar Meli, percayalah cakap ayah. Dengan Juju kita jangan main tarik tali. Takut nanti terputus. Atau... tersimpul terus. Ayah kenal sangat dengan perangai dia. Kita ikut sahaja rentak dia sekarang. Tengok sejauh mana dia boleh pergi.”
            “Kalau begitu kata ayah... baiklah, ayah. Meli ikut sahaja yang terbaik pada fikiran ayah. Jadi sekarang? Kita biar sahaja dia...”
            “Ya, Meli. Kita tengok apa pula selepas ini. Ikut sahaja. Kita patahkan dengan berhemah dalam diam. Ayah sudah nasihatkan dia sehabis mungkin malam itu. Cuma satu alasannya.”
“Cuma satu alasan? Apa dia ayah?” Rameli tidak sabar mahu mengetahui punca segala kelakuan Juju selama ini.
 “Dia cemburu dengan kesenangan hidup kamu anak beranak di bandar selama ini. Sedangkan dia, hampir tujuh belas tahun terperuk di kampung. Dia cuma mahu mengenakan satu persatu ahli keluarga kamu. Keluarga belacan, katanya!”
            “Keluarga belacan?” Rameli Saripin seakan tersedak.
            “Ya lah, dia suka makan keju. Kamu sekeluarga makan belacan. Terbalik. Anak kampung makan keju. Kamu sekeluarga duduk di bandar makan belacan. Benci, katanya. Sekali sekala, apa salahnya kamu layan sekejap selera tekak Juju. Cuba makan makanan kesukaan dia bersama. Bukannya susah hendak ambil hati dia, Meli. Ayah pun layan makan mee udang letak keju di atas. Pelik dan loya tetapi... asalkan Juju gembira, ayah turut sahaja. Bukan selalu pun.” Tok Hamzah Dollah tidak mahu bertapis lagi. Biar senang Rameli faham. Rameli terdiam. Baru tersedar selama Juju di rumahnya, mereka memang menuruti segala permintaan makanan kegemarannya, tetapi hanya dia makan seorang tanpa seorang pun mahu makan bersamanya. Rameli dan ahli keluarga yang lain lebih senang dengan hidangan ala-ala kampung dari Restoran Can Meli Can. Rameli mengakui kebenaran kata-kata Tok Hamzah. Redup matanya memandang lantai.
            “Okeylah Meli. Ayah pun hendak ke surau. Sudah hendak masuk maghrib. Janganlah risau. Ayah sendiri ada rancangan ayah. Cuma ayah mohon... jangan hilang sabar dengan Juju. Dia amanah Tuhan pada kamu. Juju sengaja mengenakan dan menguji keluarga kamu. Sebenarnya, Tuhan yang sedang menguji kita, Meli.”
            Rameli Saripin menarik nafas panjang-panjang. Terasa lapang dadanya. Memang dari dahulu, Tok Hamzah Dollah dapat memberi kata-kata yang tenang dan mendamaikan. Tidak kira dalam situasi sekusut mana pun. Rameli lega. Lapang mendengar Tok Hamzah Dollah sendiri ada perancangan tersendiri. Semuanya demi Juju!
@@@@@@@@@@
            “Juju, kamu ingat Mak Ngah Sarah?  Alah, Mak Ngah Sarah yang suka pakai bulu mata palsu dua, tiga lapis. Rumah dia dekat-dekat dengan rumah kamu juga sebenarnya. Ops! I mean your banglo.” Leesa beria-ria ingin bercerita tentang ibu saudaranya pada Juju.
            “Alah, Juju... Mak Ngah Sarah! Mak saudara si Leesa yang vogue dengan bulu mata macam Rozita Che Wan. Ingat? Yang suka melaram macam artis.” Honey cuba mengimbas kembali ingatan Juju yang masih terpinga.
            “Mak Ngah Sarah... Ha! Ingat... ingat! Apa hal pula dengan  dia, Leesa? Hendak ikut pakai bulu mata palsu macam dia pula?” Juju membuat muka separuh terkejut. Leesa yang berambut boyish cut dengan gaya tomboy hendak cuba pakai bulu mata palsu. Mesti sangat kelakar. Agaknya Leesa sudah mahu menjadi wanita melayu terakhir.
“Iskh! Bukan pasal bulu mata dialah. Ini cerita lebih gempak dari bulu mata palsu tiga lapis. Sekarang ini, kecuh katanya. Ada kes orang curi pakaian dalam walaupun disidai di dalam pagar rumah. Benda lain tidak dicuri. Hanya suka curi seluar dan baju dalam perempuan sahaja.” Juju, Surie dan Honey sudah mula ternganga.
            “Alamak! Psycho agaknya pencuri itu. Cuma suka seluar dan baju dalam! Setakat hari ini, tidak dengar pula Bibik Im cerita pasal sebarang kecurian. Selalunya kalau bab pakaian kami sekeluarga semua Bibik Im yang uruskan. Kalau ada kes curi, mesti Bibik Im sudah kecuh macam bertih jagung. Pok pek, pok pek. Pencuri itu sengaja mahu mencuri perhatian agaknya. Tidak pun, dia terlepas dari hospiltal mental.” Juju memberi reaksi sambil tersenyum memikirkan sipencuri yang mempunyai citarasa yang pelik dari kebiasaan.
            “Cuba bayangkan. Mak Ngah Sarah kata, jiran dia letak golf set yang mahal dekat penyidai baju tetapi... hanya seluar dan baju dalam sahaja kena curi. Yang lain tersusun rapi. Tidak terusik langsung. Pelikkan! Agaknya ada aroma terapi pada pakaian dalam yang dia curi. Ada aura! He he.” Leesa sempat berseloroh. Maklumlah melibatkan isu pakaian dalam.
            “Atau pun... agaknya, masa kecil dulu pencuri itu tidak merasa memakai seluar dan baju dalam yang cute. Jadi, dia  geram tengok baju dalam dan seluar dalam bercorak polka dot, belang-belang, bling bling, ada bunga... teringin hendak merasa pakai agaknya.” Surie memberi pendapat sambil ketawa terkekeh-kekeh.
            “Itu kalau pencuri itu perempuan. Kalau lelaki? Eee... imagine how if the person is a series rapist! Dia curi pakaian dalam untuk menaikkan nafsunya bila tiba di rumh. Takutlah! Seram!” Honey mula berfikir yang bukan-bukan. Dia suka membaca novel penyiasatan dan misteri sehingga terbawa-bawa dalam pemikiran sehariannya. Juju, Leesa dan Surie terdiam! Ada juga kebenarannya kata-kata Honey tadi. Ada logiknya. Perlu berhati-hati.
            “Hah! Saya ada idea paling best! Kamu hendak kenakan abah kamu kan. Inilah masanya, Juju.” Leesa ceria memberi pendapat berhati busuk, berpalit kuman. Juju sudah melonjak kegirangan. Hatinya bernyanyi riang. Leesa rakus menyatakan ideanya. Idea mengenakan Rameli Saripin berkaitan dengan kes kecurian pakaian dalam tadi. Suaranya separuh berbisik. Sok sek, sok sek dengan laju. Mata Leesa melilau sambil memberikan idea bagai syaitan bertanduk.
            Surie dan Honey sudah menjegilkan mata pada Leesa yang bermulut lancang memberi idea jahat. Isyarat yang menandakan mereka tidak senang dengan idea Leesa. Surie dan Honey menajamkan pandangan pada Leesa yang sudah lupa daratan. Leesa baru tersedar. Nyaris tersedak. Terlajak perahu boleh berundur. Terlajak memberi idea jahat pada Juju, memang mencari nahas. Ibarat sengaja menempah tempat untuk sama-sama berkomplot dengan Juju melaksanakan misi menghancur keluarga belacan.
            @@@@@@@@@@
Bibik Im kebingungan. Dia mula perasan. Baru tersedar, baju-baju dalam miliknya lesap entah ke mana kesemuanya. Ghaib begitu sahaja. Puas diselak merata laci, celah katil dan bawah almari.  Nasib baik di ampaian masih ada dua helai baju dalamnya yang masih belum kering. ‘Hilang di dalam bilik sendiri? Siapa ambil? Siapa yang masuk bilik aku? Atau tersilap letak agaknya.’ Selepas menggaru kepala yang tidak gatal, Bibik Im menggaru dagunya pula berkali-kali. Cuba berfikir gaya orang bijak pandai. Mulanya Bibik Im kebingungan. Namun, dia mula risau pula. Risau kalau ada orang yang berminat dengan baju dalamnya. Atau pun... dia mempunyai peminat senyap. Secret admirer yang sudah lama memerhatinya dari kejauhan. Bermakna, ada lelaki yang meminatinya dalam diam-diam. Seram sejuk pula Bibik Im memikirkannya. Mengapa hanya dia seorang yang menjadi sasaran si pencuri? Cuma berbaki dua helai sahaja sekarang yang belum kering. Sungguh kejam, dalam berbelas baju dalam miliknya, sekarang cuma tinggal dua helai sahaja sekarang? Baju dalam jenama Avon yang selalu dibeli oleh Rosnita untuknya. Bibik Im sendiri yang memilih baju dalam kegemarannya dari katalog Avon yang dilangganinya setiap bulan. Pilih sahaja mahu yang mana, pasti Rosnita Chek Wah, majikan yang pemurah dan baik hati sedia belanja tanpa banyak soal. Hairan sungguh! Mengapa hanya miliknya seorang yang menjadi pilihan? Sungguh sadis sipencuri yang tidak berhati perut.
            @@@@@@@@@@
“Abah... Juju dengan Leesa, Surie dan Honey dapat masuk Debat Perdana. Wakil sekolah! Pertandingan di antara sekolah-sekolah swasta seluruh Malaysia.” Juju tersenyum lebar dengan muka ceria sambil melonjak gembira.
“Wah! Tahniah, Juju. Ada juga waris abah yang pandai berdebat. Abah hanya mampu berdebat di restoran kita saja. Baguslah! Sampai ke peringkat Debat Perdana. Hebat, Juju! Ada apa-apa yang abah boleh tolong? Mahu abah belikan buku atau majalah tertentu untuk kumpul fakta buat rujukan mungkin? Juju mahu duit lebih?” Rameli tersenyum memandang Juju yang seolah-olah ingin memberitahu atau meminta sesuatu.
Thanks, abah. Duit yang abah bagi hari itu pun ada lagi. Semua bahan rujukan lengkap di rumah Leesa, Surie dan Honey. Kami juga boleh dapatkan dari pusat sumber atau dari internet. Cuma dalam seminggu dua ini, Juju ingin minta izin dari abah. Kami bertiga perlu buat banyak rujukan. Mungkin Juju perlu tidur di rumah mereka. Atau juga mereka akan tidur di sini. Tengok pada keadaan. Kami hendak cari bahan dan berlatih berdebat bersama. Mesti buat yang terbaik bersungguh-sungguh. Kami sudah janji dengan Datin Shilaila. Hari itu kami merupakan juara bertahan untuk Kuiz Perdana. Kali ini, kami mahu bawa pulang piala Debat Perdana pula. Abah tolong doakan kejayaaan kami ya.”  Juju bersuara bagai anak manja yang mohon doa restu seorang ayah. Bercahaya muka Rameli apabila Juju meminta didoakan kejayaannya. Jika tidak dikenangkan segala rancangan jahat Juju selama ini, memang tiada siapa dapat mengesyaki sebarang onar berbisa disebalik wajah persis Barbie doll milik Juju. Manis dan ayu orangnya. Rameli mengangguk memberi restu dan izin. Memberi kebenaran untuk Juju membuat persiapan dan latihan di rumah sahabat-sahabatnya. Lagi pun bukan tidak biasa Juju tidur dan melepak di rumah ahli Baby Gorgeous yang lain. Begitu juga dengan Leesa, Surie dan Honey... banglo Meli sudah menjadi tempat mereka keluar masuk. Juju memaklumkan kepada Rameli yang dia akan ke rumah Leesa malam itu. Malam itu bermulanya kerja keras Juju dan kawan-kawannya untuk berbincang dan berlatih untuk Debat Perdana. Juju turut memaklumkan hal yang sama kepada Bibik Im.
Juju bersama geng Baby Gorgeous yang lain mempunyai agenda tersendiri sebenarnya. Sudah tentunya agenda bernoda hitam dan berhati busuk. Tujuan memberitahu tentang Debat Perdana hanyalah sebagai alasan. Semuanya supaya Rameli tidak syak kalau Juju sesuka hati keluar masuk membawa kawan-kawannya tidur di rumah mereka atau dia sendiri yang akan tidur di rumah mereka. Ini disebabkan kebetulan pula, Rosnita Chek Wah mengikuti Datuk Ziana Zeni ke Taiwan selama seminggu. Mariyah Fareedaz pula pulang ke rumah ibunya selama beberapa hari. Acun dan Abby pula mengikuti perkhemahan pengakap di Hutan Belum. Maknanya selain Bibik Im., yang ada di rumah sekarang ialah Acan dan Rameli sahaja. Dua orang jejaka, seorang separuh umur dan seorang lagi muda remaja yang tinggal bersama seorang bibik yang berstatus janda. Pada hemat Juju, banyak idea jahat yang boleh diolah dari situasi tersebut. Leesa memberi idea untuk mengambil kesempatan dari kekecuhan kehilangan pakaian dalam di kawasan tersebut. Mereka akan mencuri baju dalam Bibik Im. Hanya baju dalam sahaja. Tidak boleh mencuri seluar dalam milik Bibik Im. Baby Gorgeous geli memikirkan rupa paras seluar dalam Bibik Im. Paling takut jika Bibik Im ada penyakit misteri yang dirahsiakan. Tidak pasal-pasal, mereka pula yang terkena jangkitan kumannya nanti. Pastinya, Bibik Im akan kelam kabut mencari kehilangan baju dalamnya nanti. Mereka merancang untuk merakam perbualan apabila Bibik Im bercerita pada Rameli tentang kehilangan pakaian dalamnya. Kemudian, rakaman tersebut akan disunting. Biar nampak bagai ada skandal di antara mereka berdua. Biar nampak seolah-olah Rameli tahu sehingga ke perihal pakaian dalam orang gajinya. Kelak, ianya akan menjadi modal untuk memporak porandakan rumah tangga Rameli dan Rosnita. Juju sangat teruja dan suka dengan idea yang hebat dan jahat bagai ayam berbulu landak itu. Sanggup memporak porandakan abahnya sendiri demi menghancurkan keluarga belacan.
Semalam Juju dan Leesa telah tertinggal untuk mencuri dua helai baju dalam Bibik Im yang berada di ampaian. Mereka hanya ambil semua yang di dalam almari sahaja. Malam ini pula, mereka merancang untuk mencuri habis-habisan. Biar Bibik Im tidak mempunyai baju dalam walau sehelai pun. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Tidak dapat dibayangkan bagaimana aksi Bibik Im tanpa sehelai pun baju dalam. Pada malam itu, Juju dan Leesa menyelinap masuk ke bilik Bibik Im. Sudah tentu Juju ada kunci pendua banglo abahnya. Jika terserempak dengan Rameli, Juju boleh beri alasan yang mereka ingin membuat latihan di bilik Juju sahaja malam itu. Tidak jadi membuat latihan di rumah Leesa. Nasibnya sungguh baik... tiada seorang pun yang sedar apabila dia dan Leesa masuk senyap-senyap lewat malam itu. Terhendap-hendap bagai musang berjanggut mencari ayam dara. Surie dan Honey pula terpaksa bertungkus lumus menyudahkan isi kandungan bahan fakta untuk Debat Perdana. Juju dan Leesa ada misi lain yang lebih penting. Surie dan Honey rela menyediakan segala bahan fakta untuk Debat Perdana berbanding kerja keras menjadi pencuri baju dalam Bibik Im. Juju dan Leesa telah siap sedia dengan baju fit overall serba hitam gaya pencuri profesional. Baju yang melekat di badan, seakan baju renang seluar panjang dengan lengan panjang. Siap berhud di kepala. Baju yang sama dipakai ketika mencuri baju dalam Bibik Im malam kelmarin. Baju-baju dalam Bibik Im yang dicuri semalam telah mereka bungkus rapi di dalam tiga lapis beg plastik dan di humban ke dalam lori sampah alam flora. Mereka mencuri baju dalam Bibik Im dengan memakai sarung tangan anti kuman. Tidak rela terkena kuman berjangkit dari baju dalam milik seorang bibik. Siapa tahu di celah pelipat ketiak Bibik Im ada kuman beribu walaupun baju dalam itu semuanya kelihatan bersih, baru dibasuh. Bukan susah untuk menyelongkar almari bibik Im. Juju sudah biasa dengan susun aturnya. Beberapa hari yang sudah, sengaja Juju melepak di bilik Bibik Im. Berbual berdua sambil membaca novel dan Bibik Im melipat kalin baju. Lagipun, Bibik Im tidur berdengkur bagai keretapi dengan kuasa arang batu. Bergegar seisi bilik. Senanglah menyelinap masuk walau berbunyi kuak pintu dibuka. Akhirnya, tamatlah sudah riwayat dua helai baju dalam terakhir yang berwarna ungu celoreng dan krim berbunga kecil. Mereka membuang baju dalam tersebut di dalam kotak kasut kosong dan diikat dengan beg sampah hitam lalu dibuang oleh Juju dan Leesa yang tersenyum bangga gaya pencuri harta karun.
Keesokan paginya, Bibik Im panik tidak terperi. Terlopong selama sepuluh saat. Tidak keruan jadinya. Sudahlah malam tadi dia tidur tanpa berbaju dalam. Memang kebiasaannya begitu semenjak mempunyai penyakit ruam yang menular di badan. Baki baju dalam yang tinggal dua helai juga telah hilang entah ke mana. Walaupun tidak sehebat baju dalam majikannya, Rosnita... bagi Bibik Im, baju-baju dalamnya yang hilang juga tidak kurang comel corak-coraknya. Ada kaki agaknya, boleh berjalan dan hilang semuanya. Atau pun... bagai dicuri oleh jin almari. Sebab ianya tersimpan rapi di bawah lipatan t shirt Bibik Im yang disusun bertingkat. Namun, tiada langsung sebarang ciri-ciri biliknya dipecah masuk. Tidak berselerak lipatan baju yang bertimbun. Masih kemas seperti sediakala. Bibik Im sudah tidak tentu arah. Dia menyalahkan dirinya sendiri. Mungkin tersilap letak agaknya. Mungkin lupa akibat sudah nyanyuk. Siapa yang mahukan baju dalam miliknya yang telah diguna pakai? Bukan yang baru. Jauh sekali yang mahal. Lagipun, baki yang dua helai semalam... hilang di dalam biliknya sendiri. Bukan diampaian. Bibik Im menggeletar memikirkan jika benarlah diambil pencuri, bermakna pencuri itu memasuki bilik tidurnya. Masuk ke bilik tidurnya tanpa disedarinya langsung.  Masuk ketika dia lena nyenyak tidur tanpa memakai baju dalam. Bibik Im terasa hendak pengsan. Takut bukan kepalang.
Bibik Im tidak tahu hendak mengadu pada siapa. Serba salah betul dibuatnya. Nanti dikatakan mengada-adakan cerita. Nanti dituduh bercakap lucah. Nanti dikatakan nyanyuk, letak di tempat lain, cari di tempat lain pula. Sudahlah Rosnita, Acun dan Mariyah tiada. Juju pula tidur di rumah Leesa, Surie dan Honey. Yang ada cuma Rameli dan Acan sahaja.  ‘Ajak sahajalah Zaibon ke pasar raya. Nanti minta izin Tuan Meli. Boleh beli yang baru. Nanti bila puan balik, boleh beli lagi dari katalog Avon.’ Getus hati kecil Bibik Im. Walaupun mereka lelaki, Bibik Im menganggap Zaibon setaraf adiknya. Rameli pula boss yang sangat sporting. Acan dianggap bagai anak sendiri. Boleh diajak berunding. Bibik Im sudah biasa berbincang apa sahaja dengan Rameli dan Rosnita. Mereka adalah majikan yang berfikiran terbuka.
Bibik Im terpaksa mengenakan baju sejuk yang tebal hari itu. Baju sejuk berlapis. Baju sejuk yang dipakai ketika ke Genting Highland atau ke Cameroon Highland bersama keluarga Rameli selalu. Jika selalunya Bibik Im hanya mengenakan serkup kepala sambil membereskan kerja rumah, hari itu Bibik Im memakai tudung labuh menutupi dadanya. Biar tebal dan panas. Yang penting, jangan ada sebarang imbasan seksi yang kelihatan. Maklumlah dia tidak berbaju dalam.
Bibik Im teringatkan seluar dalamnya pula. Pucat seketika. Cepat-cepat dia memeriksa seluar dalam di dalam laci khas berlapik kain batik lepas dari Indonesia. Takut pula seluar dalam berenda juga turut lesap. Lega! Ternyata semuanya tersusun elok, terletak kemas dan rapi. Siap dikira satu persatu. Cukup sebelas semuanya, ada belaka. Nampaknya, cuma baju dalamnya menjadi pilihan si pencuri. Bibik Im tidak puas hati. Dia tetap menyalahkan diri sendiri. Takut tersilap letak. Maklumlah umurnya pun semakin bertambah. Sebelum dikatakan nyanyuk, baik dicari betul-betul sebelum mengadu hilang. Sampai ke dapur dan ke celah pasu bunga dicarinya. Sampai ke zoo mini dan ke dalam bakul ubi kentang dijenguk Bibik Im. Ternyata, memang pasti tidak nampak langsung. Semuanya sudah hilang begitu sahaja.
“Apa hal, Im. Macam kucing hilang anak? Cari apa? Dari tadi saya tengok mundar mandir, ke depan, ke atas, ke belakang...” Rameli yang sedang bersarapan mengerling dari tadi ke arah Bibik Im. Gelagat bibik sungguh pelik pagi itu. Di satu sudut rahsia, Juju dan Leesa sudah bersiap sedia dari sesudah subuh, mengambil posisi paling sesuai. Rakaman aduan rakyat yang perlu diambil dengan berhati-hati. Masing-masing memasang telinga bagai telinga gajah.
Acan pula sudah keluar awal pagi di jemput pemandu Fetriz. Acan dan Fetriz ada latihan bola sepak pagi itu. Acan yang semakin macho sudah memberanikan diri beraksi di padang selain asyik bernasyid sahaja. Jika boleh, dia mahu menyertai pasukan ragbi sekolah. Malangnya, dia tidak terpilih di dalam pada ujian saringan.
“Apa hal berbaju tebal dua tiga lapis ini Im? Demam?” Rameli agak keliru dengan gelagat orang gajinya pagi itu. Berpakaian bagai orang demam tetapi cergas berpeluh ke sana ke mari. Bagai ada udang kering di sebalik bihun goreng. Mesti ada yang tidak kena.
“Ada rahsialah tuan...” Bibik Im tersipu-sipu macam siput. Dia memeluk tubuhnya. Mukanya berpeluh-peluh. Bibik Im mengelap peluhnya dengan hujung tudung yang dipakainya.
“Rahsia? Rahsia apa? Kamu ini demam agaknya Im.” Rameli kelakar melihat gelagat Bibik Im yang sudah lama dikenalinya. Dia sudah masak benar dengan perangai Bibik Im. Juju dan Leesa semakin galak dan tekun merakam perbualan yang kelihatan semakin hangat.
“Hilang tuan, Hilang semuanya!” Bibik Im bersuara antara dengar dan tidak. Malu-malu untuk berterus terang. Berpeluk tubuh dan terkepit-kepit pula kakinya.
“Apa yang hilang? Cakap biar terang, Im. Apa yang malu dan tersipu-sipu? Terus terang sahaja. Dengan saya pun Im hendak malu?” Rameli Saripin bertanya ikhlas. Juju dan Leesa siap bertepuk tampar tanpa bunyi. Percakapan Rameli boleh memberi impak gaya ada skandal di antara mereka berdua. Pasti Rosnita berbulu seluruh badan bila mendengarnya.
“Baju... baju dalam saya, tuan. Hilang! Hilang semuanya. Ada pencuri besar. Tidak ada sehelai pun yang tinggal. Semua tempat sudah saya cari. Seluruh rumah!” Suara Bibik Im kedengaran malu-malu dan perlahan.
 “Alamak. Ini kes berat. Ada pencuri masuk dalam rumah kita atau ambil dari ampaian luar? Kamu sudah cari seluruh rumah? Periksa semua sekali. Takut tersilap letak dalam bilik Juju, Acun atau...”
“Tidak mungkin saya tersilap atau tertukar dengan anak-anak tuan atau yang puan punya. Lagi pun yang puan punya, mahal. Memang seluruh rumah sudah saya cari kecuali di bilik tuanlah.” Bibik Im sendiri tidak tahu mengapa dia boleh memberi jawapan begitu. Dia geram pada dirinya sendiri. Tidak mungkin hendak cari baju dalam yang hilang di dalam bilik Rameli ketika Rosnita tidak ada di rumah. ‘Aduh! Apa hal gatalnya mulut aku...’ Getus hati kecil Bibik Im. Juju dan Leesa saling berpandangan. Agenda mereka memang menjadi benar. Memang sesiapa sahaja yang mendengar aduan Bibik Im boleh tersilap sangka, boleh tersilap tafsir. Mereka berdua merakam dengan menggunakan Sony Handycam sambil tersenyum riang. Tidak sia-sia menjadi pencuri baju dalam yang profesional. Tidak meninggalkan sebarang jejak bertapak yang mencurigakan.
Hampir tersembur kopi tarik yang diteguk oleh Rameli. Tersedak dengan jawapan Bibik Im. Ada hati hendak mencari baju-baju dalam yang hilang sehingga ke biliknya. Ramah tidak bertempat. Namun, Rameli tersenyum memandang Bibik Im yang membetulkan tudung agar kemas menutupi dadanya. Maklumlah dia tidak berbaju dalam. Semuanya habis diangkut sang pencuri.
“Entahlah tuan. Pening saya dibuatnya. Atau... mungkin saya sendiri yang lupa agaknya. Lupa letak di mana.” Bibik Im masih tersipu-sipu. Mengawal perasaan malunya. Mukanya merah padam. Malu pula rasanya. Pertama kali berbual soal peribadi begitu berdua sahaja dengan Rameli.
“Lupa? Eh! Masih muda lagi sudah lupa letak di mana? Jadi maknanya, hilang semua sekali?” Rameli memandang Bibik Im yang sudah dianggap bagai ahli keluarga sendiri. Bibik Im tersengih bila Rameli mengatakan dia masih muda. Dia masih montok dan masih ada potongan badan.
“Iyalah tuan. Hilang semuanya sekali. Sekarang pun saya tidak pakai. Puan Ros dan Puan Mariyah pun tidak ada sekarang. Acun pula ke rumah Abby. Juju juga tidak ada di rumah.” Bibik Im menekup mulut dengan kedua belah tangannya. Sekali lagi merasa bersalah. Malu dan mengutuk dirinya sendiri. Tersilap menyebut ayat : sekarang pun tidak pakai! Sungguh keterlaluan bunyinya. Tidak sudah-sudah dia menyumpah dirinya sendiri dalam diam. Dia beristighfar tanpa henti di dalam hati. Sudahlah Rosnita tiada di rumah. Dia pula boleh galak berbicara dengan Rameli sebegitu. Anak Pak Kiyai Baim Wonggo boleh bercakap soal baju dalam dengan majikan lelakinya. Kalau orang kampungnya tahu, pasti sudah hangat menjadi topik utama akhbar tabloid di sana.
Juju dan Leesa yang menyorok disebalik tiang seri banglo tersebut telah dapat merakamkan sepenuhnya. Selain perakam Sony Handycam, telefon bimbit juga digunakan sebagai back up singer. Takut jika ada rakaman yang tidak menjadi. Juju puas! Menjadi betul pelannya. Elok berjalan lancar walau tidak diatur perbualan tersebut. Betul-betul nampak natural. Sesiapa pun yang mendengarnya, pasti nampak benar kegatalan Bibik Im dan abahnya yang selamba melayan perbualan Bibik Im. Perbualan tentang masalah baju dalam yang hilang semuanya. Topik yang sungguh hangat! Rameli dan Bibik Im tidak perasan langsung yang Juju dan Leesa bermalam di dalam bilik Juju. Mereka sangkakan Juju bermalam di rumah Leesa.
“Sudahlah, Im. Kejap lagi bila Zaibon sampai, pergilah beli baju dalam kamu atau apa-apa lagi yang perlu. Ha... beli sekali stok barang dapur yang sudah habis. Lepas itu, saya boleh pandu sendiri ke restoran.” Soal barangan dapur terutamanya stok untuk diet rapi Rosnita, memang menjadi tanggungjawab Bibik Im untuk menguruskan segalanya. Rameli Saripin menghulur sejumlah wang pada Bibik Im sepertimana kebiasaan.
            “Terima kasih, tuan...” Terketar-ketar suaranya. Bibik Im terkedek-kedek ke dapur. Kakinya berjalan rapat macam perempuan Jepun berkimono. Semenjak hari itu juga, lebih seminggu Juju tidak pulang ke rumah. Tidur di rumah Leesa, Surie atau Honey. Tiada siapa menyangka pagi yang bersejarah itu, dia berada di rumah bersama Leesa dan merakam segala perbualan yang boleh menimbulkan syak wasangka dan porak poranda. Sekarang, masanya untuk Juju gigih berusaha untuk Debat Perdana. Mahu menjulang gelaran juara. Juju juga gigih menyunting rakaman romantis. Suntingan dengan sentuhan Surie yang Honey yang lebih arif dalam soal video editing. Perbualan yang disunting bahagian tertentu sahaja. Bahagian percakapan yang paling gempak. Nampak bagai macam benar-benar ada skandal di antara Rameli dan Bibik Im. Rakaman perbualan kisah kehilangan baju dalam seorang bibik!
@@@@@@@@@@
“Abah! Kami jadi juara! Juara Debat Perdana. Terima kasih abah. Ini mesti sebab doa abah untuk kejayaan Juju.” Juju pantas mencium tangan Rameli. Ada suasana mendung dengan awan hitam berarak pergi di raut wajah Rameli. Suasana sunyi sepi bagai sesudah pantai dilanda amukan ikan todak. Rameli tidak memberi sebarang ucapan tahniah. Hanya tersenyum sambil menepuk bahu Juju. Tanda bangga Juju menjadi juara. Sebenarnya dia sayu mendengar Juju mengatakan dia berjaya sebab doa abahnya. Bertambah sayu memikirkan Rosnita yang merajuk membawa hati yang luka dan Bibik Im yang baru sebentar lari dari rumah dengan mengheret tiga biji beg besar.
Acan bungkam. Tunduk mengadap meja makan tanpa sebarang hidangan. Acun menangis sayu di satu sudut, di celah sofa kulit berbentuk L. Mereka dua beradik risau jika betul-betul rumah tangga ibu bapa mereka berantakan gara-gara orang gaji yang telah lama berkhidmat dengan mereka sekeluarga. Hati Juju sudah menari tarian agogo lagi. ‘Yes! Yes! Biar sampai bercerai berai lagi bagus. Padan muka!.’ Juju merayakan kejayaannya di dalam hati.  
Tiba-tiba Mariyah Fareedaz muncul dengan gaya tercari-cari dan kelam kabut. Dia terpacul dari arah bilik Bibik Im. Gaya kelam kabut tukang penyelamat keadaan yang meruncing.
“Juju! Cepat! Tolong ibu, kita kena cari Mama Ros dan Bibik Im. Sekarang!  Ibu rasa semua ini salah sangka saja. Mesti ada yang silap. Mesti angkara orang yang dengki.”
Juju mula geram tidak terkira. Bagaimana pula ibu angkatnya yang berhati mulia itu boleh tiba tepat pada hari dan waktu yang sepatutnya semuanya musnah. Juju perlu segera tukar pelannya. Biar nampak sebagai anak baik yang mahukan keluarganya bersatu. Perlu meraung dan menangis hiba macam anak yang dahagakan kasih sayang ibu dan kasihankan orang gaji yang lari dengan beg besar. Lagi pun, Juju tidak rugi apa-apa. Semua orang tahu dia tiada di rumah pada hari tersebut. Sekurang-kurangnya Rameli, Rosnita dan Bibik Im  pastinya telah bercakaran dan berguling bergaduh sebentar tadi. Saling tuduh menuduh atau mungkin Rosnita dan Bibik Im saling tarik rambut. Saling bergusti bergolek-golek. Juju puas! Sekarang perlu segera tukar haluan misinya pula.
Juju menggoncang bahu Mariyah dengan kedua belah tangannya. “Apa sudah terjadi dengan keluarga kita? Cakaplah ibu! Cerita pada Juju sekarang. Acun? Mengapa Acun menangis? Apa hal pula Acan dan abah diam dan sedih? Mana Mama Ros? Mana Bibik Im?” Juju tidak mampu berhisteria sebagaimana yang dibuat oleh Acun selalu. Namun, memang nampak tulen teriakannya. Paling seronok kerana dia berjaya menangis spontan. Gaya orang kesedihan dan hiba tidak terkata.
“Sudah! Mari ikut ibu cepat! Kita cari Mama Ros dan Bibik Im. Nanti tidak sempat kejar mereka. Nanti dalam kereta, ibu ceritakan.” Mariyah menyeka air mata Juju. Dia kasihankan Juju yang baru pulang membawa piala juara Debat Perdana, disambut pula dengan masalah keluarga yang datang bertimpa. Sungguh mengharukan.
“Acun mahu ikut cari mama dan bibik? Acan? Jom ikut sekali?” Mariyah sentiasa cergas dan proaktif. Dia menjadi begitu semenjak kematian anak dan suaminya. Hidup perlu diteruskan. Tidak boleh menoleh ke belakang. Kesilapan boleh diperbetulkan. Jangan diulang sudahlah. Acun tidak memberi reaksi. Masih menangis tersedu sedan. Tidak rela mama dan abahnya berpisah gara-gara baju dalam bibik yang dikatakan sebagai punca angkara. Bibik yang menjaganya semenjak lebih sepuluh tahun yang lalu.
“Okey Acan ikut! Jom cepat!” Acan telah menunjukkan ciri-ciri kejantannya. Cergas bertindak. Tidak boleh tunggu sahaja sambil mengadap meja yang kosong. Lagi pun, perutnya sudah berlagu keroncong, irama lagu asli. Masing-masing memandang wajah Rameli pula. Rameli yang kena fitnah. Kononnya tidak dapat mengawal hawa nafsu dan beraksi gatal bersama orang gaji dikala isteri yang cantik jelita mencari rezeki ke luar negara. Rosnita yang boleh percaya bulat-bulat akan rakaman perbualan yang dianggap berbau skandal dan gaya berkepit kaki Bibik Im membuatkan darahnya mendidih hangat. Mariyah Fareedaz juga menerima rakaman tersebut pada telefon bimbitnya. Pelik! Entah siapa yang hantar masa tengah malam buta semalam. Tidak dapat dikesan si penghantar video bergambar. Sungguh licik! Walaupun agak terkejut dan tidak mahu masuk campur, Mariyah terpaksa main peranan apabila mendengar suara hiruk pikuk sesudah subuh pagi tadi. Riuh rendah bunyi suara saling tuduh menuduh dan membela diri yang disulami dengan suara tangisan syahdu Bibik Im.
“Pergilah dulu. Tahulah saya hendak cari Rosnita di mana nanti. Jangan risau.” Rameli Saripin bercakap gaya orang yang tenang. Dia tidak mudah kalut dan panik. Dugaan Tuhan padanya satu persatu yang terima sebagai ujian penyuci dosa atau ada hikmah yang dia sendiri belum tahu. Rameli Saripin mahu hati Rosnita sejuk dahulu. Biar isterinya tenang dan tidak serabut. Kemudian tahulah dia datang untuk menyusul dan memujuk Rosnita di salah satu tempat yang Rameli telah sedia maklum. Tidak sanggup berpisah dengan isterinya yang disayangi dunia dan akhirat. Tempat berkongsi suka dan duka, pahit dan manis.
Sebelum keluar bersama Acan dan Mariyah, Juju sempat mencium sekali lagi tangan Rameli. “Janji pada Juju, abah! Janji ya, bawa Mama Ros balik! Bawa mama Juju pulang ke rumah kita. Cukuplah Juju sudah hilang kasih sayang ibu kandung sendiri. Hilang rasa bahagia mempunyai sebuah keluarga. Juju tidak sanggup hilang lagi kali ini. Tolong Juju ya, abah.” Juju meratap hiba. Semua yang berada di situ sangat terharu. Rameli mengusap-usap kepala Juju. Terasa benar kata-kata Tok Hamzah Dollah, anak itu kehilangan satu benda, iaitu kasih sayang sejati sebuah keluarga yang bahagia. Hampir menitis air mata jantan Rameli. Dia perlu segera memujuk Rosnita di bilik Hotel Merlindah. Hotel milik Datuk Ziana Zeni di mana Rosnita diberikan bilik suite khas di situ. Memang di situlah kemungkinan besar selalunya tempat Rosnita membawa hati yang rajuk. Tidak sekelumit pun Rameli syak Juju terlibat dalam kes kali ini.
@@@@@@@@@@
“Yea... kita semua sudah berkumpul macam satu keluarga semula! Mari makan cepat! Hari ini Bibik Im berehat. Juju dan ibu Mariyah yang masak.” Juju melompat riang di tepi meja makan. Dia mengangkat satu persatu hidangan dari dapur. Rameli yang baru berbaik dengan Mariyah tersenyum sipu. Macam pengantin baru pula. Bibik Im yang duduk di atas karpet tidak habis mengucap maaf kali yang ke 144. Bibik Im seronok juga sesekali tidak perlu mengotorkan tangan di dapur. Acun memeluk bahu mamanya erat dan padu dari belakang. Acan pula memegang tangan kedua ibu bapanya. Mereka tidak rela keluarga bahagia itu berantakan gara-gara salah sangka dan salah tafsiran.
“Sudah... sudah. Mari makan cepat. Ada makanan spesial! Tadi Mariyah hendak beli saja lauk pauk, tetapi Juju ini hah! Beria ajak masak pula. Marilah cepat! Mari...makan.” Masing-masing menuju ke arah meja makan utama. Teruja mendengar makanan dimasak oleh Juju si pemakan keju yang tegar. Air tangan anak gadis Kampung Daun Melambai. Pastinya masakan berkeju juga yang bakal terhidang.
“Betul Juju yang masak semua ini?” Hampir serentak Rameli dan Rosnita bertanya. Masing-masing malu-malu sebab baru berdamai. Bibik Im yang terkejut melihat hidangan makanan, masih takut-takut untuk bersuara.
“Eh! Mana makanan untuk Kak Juju? Semua makanan belacan. Ikan pari asam pedas, daging masak merah, kembung rebus siram air asam, sayur kangkung goreng belacan, telur dadar gebu... Alamak! Laksa Penang dan rojak buah dengan kuah rojak belacan pun ada? Wau! Boleh ganti abah buka restoranlah.” Acun teruja dan tidak percaya melihat semua makanan yang terhidang di depan matanya. Macam tidak percaya mereka yang lain mendengar pujian itu datangnya dari Acun. Acun yang selalu bertikam lidah dengan Juju. Masing-masing bukan tidak biasa dengan makanan seenak begitu. Yang mengejutkan ialah Juju yang telah bersusah payah memasak untuk seisi keluarga. Semua yang ada memandang Juju yang menyorok di belakang Mariyah Fareedaz. Risau kerana ramai juri yang bakal memberi markah kepada hasil masakan sulungnya.
“Memang Juju yang masak semua... Ros, Meli... dia belajar dengan Mariyah setiap hujung minggu. Dia belajar makan laksa walaupun muntah-muntah pada mulanya. Beria dia ingin ambil hati kamu sekeluarga.” Ada nada sebak di hati Mariyah Fareedaz. Dia memeluk Juju. Rosnita dan Acun tanpa segan silu, turut memaut Juju.
“Wah! Masakan ini mengalahkan masakan bibik. Pandai betul Juju. Ada bakat rupanya.” Takut-takut Bibik Im memuji. Takut suaranya tidak diterima seisi keluarga.
“Nampaknya abah sudah ada waris tukang masak restoran kita.” Rameli menghirup sedikit kuah asam pedas. “Memang terangkat! Sedap betul, Juju. Cukup rasanya.” Seisi keluarga ketawa gembira dan makan bersama. Mariyah siap menyuap Juju sesekali. Sayang betul dia pada Juju. Bergenang air matanya mengingati arwah Schar Minn.
“Mama Ros sendiri tidak pernah cuba makan apa yang Juju suka makan selama ini. Your favourite cheesy food. Maafkan mama ya, sayang.” Perlahan Rosnita berbicara disebalik kesunyian seisi keluarga menikmati penangan keenakkan masakan Juju. Hatinya terasa amat bersalah pada anak tiri yang selalu cuba mengambil hatinya.
“Abah pun... abah pun tidak pernah sekali cuba untuk makan sedikit pun spaghetti olio atau macaroni cheese yang Juju suka. Betul cakap Tok Hamzah, patutnya abah belajar makan apa yang Juju suka.” Rameli meluahkan isi hati sambil mencuba pula semangkuk laksa Penang masakan Juju. Memang terasa cukup perisa masakan Juju. Mariyah Fareedaz tersenyum penuh makna. Acun memandang Juju tanpa kata, ada rasa kagum yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Acan sangat berbangga dengan Juju.
“Sekali lagi, terima kasih... tuan, puan, sebab terima saya semula. Minta maaf sekali lagi, ampunkan saya. Saya...” Bibik Im mengucapkan maaf sekali lagi. Entah kali yang keberapa. Sudah naik bosan pula mendengarnya.
“Sudahlah Im. Saya juga bersalah. Nanti kita order tiga dozen yang baru dari Avon.” Rosnita mahu tutup kes. Yang penting keluarganya aman bahagia. Jangan pula perkara bodoh dan remeh temeh boleh membuatkan dia dan Rameli bercerai berai. Nasib baik juga Mariyah, Acan dan Juju sempat mengejar Bibik Im yang sedang menunggu teksi. Bersusah payah memujuk Bibik Im yang nyaris tergolek dalam longkang dengan tiga biji begnya yang berat macam sauh kapal.
“Wah! Mama hendak beli baju dalam untuk Bibik Im sampai tiga dozen? Acan pun mahu boxer baru!” Acan seronok mencelah. Acun menjegilkan matanya ke arah Acan lalu mencubit pinggang abangnya.
Boxer abang Acan ada banyak lagilah. Masih elok. Tidak ada orang yang teringin hendak curi boxer abang.” Seisi keluarga ketawa riang dengan usik mengusik di antara Acan dan Acun.
Tiba-tiba telefon bimbit Juju bergetar di dalam poket seluarnya. Sengaja diletak pada mod senyap dan getaran sahaja. Juju sorok-sorok membaca pesanan ringkas yang dihantar oleh Surie Adelia. Bertubi-tubi pesanan ringkas diterima. Diselangi pula pesanan ringkas dari Leesa dan Honey juga. Wajah Juju berubah ceria bagai berada di taman sari. Ada maklumat terkini yang bakal menutup segala onar berbisa dan duri meruncing.
“Bibik Im... cepat tolong bukankan TV11. Cepat! Ada berita terkini tentang kecurian di kawasan kita.” Bibik Im kelam kabut mencari alat kawalan televisyen. Dia membuka televisyen yang paling hampir dengan ruang meja makan utama. Suara dikuatkan. Semua mata tertumpu pada berita terkini yang dimaksudkan. Mulut masing-masing masih meneruskan baki makanan dipinggan. Masing-masing memasang telinga.
Mereka semua saling berpandangan. Terkejut dan melopong. Bibik Im yang paling hebat beraksi ternganga. Rameli menggenggam sebelah tangan Rosnita. Acun yang makan dengan sudu dan garpu sempat bertepuk tangan riang.
“Ha! Sekarang sudah jelas terbukti. Pencuri pakaian dalam sudah kena cekup. Sungguh tidak sangka kerja seorang yang profesional. Doktor ini gila agaknya.” Mariyah Fareedaz beria membuat ringkasan dari berita hangat terkini yang dibaca oleh pembaca berita di TV11.
“Cuba tengok! Ada beratus helai baju dan seluar dalam orang yang curinya. Penuh satu rumah. Sakit mental betul doktor ini. Harap muka sahaja handsome. Otak senget." Acun terkejut melihat paparan pada televisyen yang menunjukkan longgokan pakaian dalam di dalam rumah doktor yang dikatakan pencuri tersebut.
“Maknanya selama ini kita tidak sedar ada pencuri di kawasan perumahan kita. Itu banglo di Lorong Bangau Bertenggek. Empat lorong sahaja dari banglo kita! Betullah kata Leesa, banglo pencuri itu dekat dengan banglo Mak Ngah Sarah, ibu saudara Leesa. Memang ramai jiran yang kehilangan hanya pakaian dalam sejak sebulan sudah.” Juju memberi hujah dan fakta bagai pendebat yang sedang berhujah dalam pertandingan Debat Perdana. Maklum sahajalah dia merupakan juara yang baru dijulang sebagai johan. Rameli memandang Juju dengan penuh makna. Ada rasa kurang senang di hati Juju dengan pandangan abahnya itu. Juju menyesal pula berkata-kata tadi. Menyesal memandai memberitahu bahawa dia sudah tahu akan hal tersebut melalui Leesa yang mempunyai ibu saudara yang tinggal berhampiran rumah sipencuri.
“Ya ampun, takutnya saya, maknanya doktor gila ini masuk ke dalam bilik saya senyap-senyap di malam hari. Aduh! Seramnya. Nasib baik dia tidak apa-apakan saya. Kalau saya dirogolnya, pasti bapa saya di kampung terkejut sampai mati berdiri.” Bibik Im sudah ketakutan tahap maksima. Namun, tangannya masih sempat menyicah rojak buah yang agak pedas kuahnya tapi enak.
“Nauzubillahminzalik... mulut kamu ini, Im. Jangan disebut bab rogol begitu. Minta Tuhan lindungi kita semua. Cuba tengok, berita itu ada menyebut... dia hanya curi pakaian dalam, tidak mengambil selain dari itu. Bermakna kalau letak emas atau berlian di depan mata sekali pun, dia tidak sentuh. Dia juga bukan perogol atau pembunuh. Dia hanya gilakan pakaian dalam sahaja. ” Mariyah Fareedaz membebel sambil memandang Bibik Im.
Bibik Im tidak layan dengan teguran Mariyah. Dia sibuk mendekati televisyen. Sementara lensa kamera di televisyen masih memaparkan ruang tamu doktor yang dikatakan sakit mental tersebut, Bibik Im mencari kalau-kalau ada kelibat baju dalamnya dalam longgokan pakaian dalam yang berterabur.
“Eh! Peliklah, berita kata pencuri itu hanya mencuri di ampaian. Tidak masuk ke dalam rumah langsung. Lagi pun dia curi baju dan seluar dalam. Bibik Im hilang baju dalam sahaja dan hilang dari dalam almari.” Acan cuba mendalami fakta berita. Rosnita dan Rameli membuat gaya sedang berfikir. Darah Juju sudah menyirap dengan Acan yang memandai mahu menjadi penyiasat dan penyibuk. Sungguh kepoh! Paling risau apabila dia sempat menjeling ke arah Rameli yang sedang galak berfikir dengan apa yang dikatakan Acan.
“Alamak! Maknanya doktor gila itu sukakan saya seorang saja. Dia sampai sanggup masuk ke dalam bilik saya seorang. Orang lain punya, hanya dia ambil di ampaian saja. Agaknya dia memang minatkan Im, puan. Lagi pun dia tinggal dekat-dekat sini sahaja. Kalau doktor itu tidak gila,kan bagus.” Bibik Im yang perasan masih berangan jika doktor gila tersebut meminatinya dalam diam. Masing-masing tersenyum dan menggelengkan kepala melihat Bibik Im yang masih terkelip-kelip matanya. Juju melonjak kegembiranan dalam hatinya. Bibik Im sudah dapat mematahkan kata-kata penuh syak wasangka oleh Acan tadi.
Rosnita memandang manja ke arah suaminya. “Yang penting sayang, kita semua sudah berbaik semula. Maafkan Ros sekali lagi sebab Ros tinggikan suara dan menuduh abang dan Bibik Im yang keterlaluan semasa salah sangka. Semuanya gara-gara doktor gila ini.” Rameli Saripin tersenyum melebar. Hatinya sangat lega.
Juju meminta diri ke bilik air. Dia mengorek dan memuntahkan segala yang dimakannya. Memang tidak boleh dipaksa dan tekaknya tidak dapat menerima semua yang dihidangkannya sendiri tadi. Merah padam mukanya kerana penat akibat memuntahkan segala isi perutnya. Juju tersenyum riang seorang diri sambil mengadap cermin besar di dalam bilik air. Lega kerana Rameli atau sesiapa sahaja tidak perasan lagaknya sebagai pencuri baju dalam Bibik Im tempoh hari. Yang penting, dia dapat menggegarkan rumah tangga abahnya. Dapat bagi Acan dan Acun merasa sakitnya bagai terkena petir apabila ibu dan ayah masing-masing hampir berantakan. Hikmahnya pula, Juju sendiri mendapat pujian terhebat kerana masakannya yang enak. Malah Rameli dan Rosnita juga bertambah erat ikatan mereka setelah diuji dengan ujian api cemburu. Bibik Im paling bertuah kerana mendapat tiga dozen baju dalam yang baru jenama Avon. Acan dan Acun pula semakin menghargai kehadiran Juju. Acun memuji dan mengkagumi Juju dalam diam walau tidak terluah melalui kata-kata. Mariyah Fareedaz pula semakin meluap-luap menyayangi Juju yang ditatang bagai sup cendawan berkrim yang penuh semangkuk.
Di satu sudut lain di bumi Tuhan yang maha adil, di tempat gelandangan... orang-orang yang terbiar dan pengutip sampah sarap sedang membuka sekarung plastik yang berbalut kemas. Di dalamnya ada beberapa baju dalam yang masih elok. Di dalam sebuah kotak kasut pula ada lagi dua baju dalam berwarna ungu dan krim yang masih elok rupa bentuknya. Perempuan-perempuan gelandangan yang tidak pernah memakai baju dalam yang elok dan selesa, berebut-rebut baju dalam yang masih terlalu elok pada pandangan mereka. Tidak tercemar langsung kerana dibalut berlapis-lapis dengan plastik. Begitulah caturan Tuhan. Setiap apa yang orang lain buang dan anggap sebagai sampah, ada pula insan lain yang menganggapnya sebagai rezeki.
Di satu sudut, di ruang surau kecil di banglo Rameli... ada suara esakan dan sedu sedan. Pengaduan pada yang Maha Esa di tengah keheningan malam. Biar hanya dia yang telan sendiri kali ini. Biar hanya dia yang pendam dalam duka. Selain video rakaman yang dikatakan skandal yang terima oleh mereka seisi keluarga dan Mariyah, Rameli sendiri dalam diam-diam telah melihat paparan sebenar dalam CCTV tersembunyi di rumahnya. Hatinya luruh. Jelas kelihatan dua kelibat menyelinap dua kali. Berbaju hitam bagai baju renang. Selesai kerja mereka mencuri di bilik Bibik Im, dua kelibat itu membuka hud kepala mereka. Jelas dan terang kelihatan wajah Juju dan Leesa. Rameli juga dapat melihat gelagat mereka merakam perbualan Rameli dan Bibik Im di meja makan pagi itu. Rameli pedih terkenangkan semua itu. Dia sujud sekali lagi. Sujud panjang yang penuh kesyahduan. Mohon keampunan Ilahi kerana kesilapannya mengabaikan anak sendiri selama ini.
88888888888888888888888888888888888888888