Friday 15 July 2011

BAB 13

 BAB 13 ialah tentang diantara misi paling busuk berhapak
yang diatur oleh Juju.
Terketar kepala lutut Leesa, Surie dan Honey kerana
turut bersubahat dalam misi menenggelamkan
Rosnita Chek Wah.

Rosnita Chek Wah tidak mati. Misi punah. Namun...
Siapa yang selamatkan Mama Ros? Juju sendiri? Hah!
Selamat melayari BAB 13. Bab lemas!

ANTARA BELACAN DAN KEJU
-BAB 13-
Tenggelamkan Mama Rosnita

            “Malam ini mama rasa macam hendak dinnerlah. Perut mama sudah nyanyi lagu jazz pula.”
            “Lagu keronconglah mama... mana ada perut nyanyi lagu jazz.”
            “Ha ha! Perut mama first class. Dia nyanyi lagu jazz kalau lapar. Bukan lagu keroncong. Ini perut zaman moden.” Semua yang berada di meja makan ketawa dengan jawapan Rosnita. Rasanya mungkin sebulan sekali sahaja dia menjamah makan malam. Selalunya dia hanya minum segelas susu rendah lemak atau semangkuk buah-buahan sahaja. Sudah terbiasa dengan amalan diet sedemikian rupa.           
Hmm... mama hendak ratah ikan malam ini. Mama perlukan protin tambahan. Alamak! Lupa Ros hendak beritahu abang... Ros sudah sertai kelas karate. Jadi, Ros perlu makan lebih protin.” Bibik Im yang turut makan semeja dengan keluarga majikannya menghulurkan ikan masak singgang kepada Rosnita. Semua mata memandang Rosnita. Juju nyaris tertelan tulang ikan mendengar kata-kata Rosnita.
            “Kelas karate? Aik... peliknya! Bila pula sayang minat karate? Pejabat sayang buka kelas karate untuk staffs?”
            “Dua hari sudah, masa nyaris bertengkar dengan taukeh kedai dobi pasal baju yang tertukar, tiba-tiba Cikgu Jecky Chen datang bawa baju Ros. Rupa-rupanya baju kurung Ros tertukar dengan baju karate Cikgu Jecky Chen. Hendak dijadikan cerita, kami berkenalan dan terus bertukar name card, terus dia pelawa Ros belajar karate. Tiba-tiba Ros pun macam berminat. Dia cikgu anak-anak kita. Maaf ya, patut Ros minta izin abang terlebih dahulu.” Bersungguh-sungguh Rosnita Chek Wah bercerita. Penuh gaya. Penuh semangat berkobar-kobar. Gaya penuntut karate bertauliah.
            It’s okey. Bagus juga belajar karate. Hmm... Cikgu Jecky Chen... kalau tidak silap abah, cikgu bahasa inggeris sekolah Acun dan Juju. Betul?”
            “Betul, abah. Cikgu Jecky Chen juga adalah cikgu kelab karate sekolah. Dia memang terror tahap meletup. Sekolah kami selalu selalu jadi juara karate sebab dialah. Dia pernah belajar karate di negeri China masa remaja dulu.” Acun dengan bangga bercerita tentang Cikgu Jecky Chen. Jika boleh Juju hendak mengetuk pinggan ke meja. Geram misinya tidak menjadi. Niat di hati, sengaja menukarkan baju mama Rosnya. Biar baju kesayangan Rosnita lesap. Biar rosak baju manik seribu kegemarannya. Alih-alih, sudahlah dapat semula baju yang tertukar... malah dapat pula belajar karate. ‘Iskh... geramnya, rosak rancangan aku. Mesti segera rancang yang lain.’
            “Abang jangan risau, Ros belajar dengan cikgu perempuan. Ros belajar dengan adik Cikgu Jecky Chen, Miss Louisa Chen. Dia buka kelas peribadi untuk Ros. Sekali seminggu sahaja. Mula dari asas.” Berkaca-kaca mata Rosnita, seronok bercerita tentang aktiviti baru yang bakal diceburi.
            “Baguslah mama, mula-mula ingatkan hilang baju kesayangan... akhirnya, dapat pula belajar karate. Hah! Jangan mama tidak tahu pula, Miss Louisa Chen adalah juara karate wanita bawah 25 tahun peringkat kebangsaan tahun lepas.” Acan pula bangga mencelah. Dia suka melihat mamanya ceria. Acan sebenarnya suka melihat mamanya makan malam semeja dengan mereka sekeluarga. Sebenarnya jarang mereka sekeluarga dapat duduk semeja di meja makan. Acan rindu untuk makan malam bersama.
            “Baguslah sayang... sekurang-kurangnya ada pertahanan diri. Sudahlah selalu balik lewat malam. Eloklah belajar karate. Jangan nanti malam-malam hendak karate abang pula, sudahlah.” Rosnita Chek Wah mencubit pinggang Rameli Saripin. Rameli pula nyaris menyelet sambal belacan ke pipi Rosnita. Usik mengusik yang sudah sebati dalam keluarga Rameli. Seisi keluarga ketawa seronok melihat aksi suami isteri yang penyayang itu. Penuh dengan suasana ceria. Tahap menyampah Juju sudah meluap-luap. Tanpa sengaja, dia menendang kaki meja makan. Meja marmar yang kukuh dengan kemasan kayu jati itu tidak bergerak sedikit pun. Akibatnya, kaki Juju yang terasa sakit berdenyut. Juju bingkas bangun mengangkat pinggan yang masih berbaki nasi dan lauk. Dia menolak kasar kerusi meja makan. Namun, seboleh mungkin dia menutup rasa geramnya dengan aksi Rosnita yang dianggap mengada-ngada. Hatinya bengkak melihat keceriaan dan keharmonian keluarga pemakan belacan. Sudahlah seisi meja makan busuk bau sambal belacan dan tempoyak. Hendak buat sitcom komedi karate pula. ‘Benci sungguh!’ Getus hati Juju lagi.
            “Maaf ya abah, Juju sudah kenyang. Lagi pun Juju rasa tidak berapa sedap perut. Memulas. Juju hendak ke bilik air dulu.”
            “Eh... Juju okey? Mahu mama ambilkan minyak angin? La... baru mama perasan Bibik Im tidak masak western food untuk Juju hari ini.” Juju menggelengkan kepala laju sambil tersenyum kelat. ‘Baru hendak perasan tidak ada makanan kegemaran aku malam ini.’ Tidak lalu dia hendak menatap muka Rosnita yang baik tidak bertempat. Mahu rasanya dia menyapu semangkuk sambal belacan ke muka Rosnita. Laju Juju menuju ke dapur dan berlari anak naik ke biliknya. Sedikit pun dia tidak lagi menoleh mereka yang di meja makan.
            “Petang tadi Juju kata sudah makan ‘salamon setik’ di luar. Dia yang kata tidak perlu masak makanan lain untuknya malam ini.” Bibik Im cuba membela diri. Dia masih belum khatam buku resepi makanan barat berkeju yang dibeli oleh Rosnita untuknya.
            Salmon steak lah Bibik. Bukan ‘salamon setik’. He he...” Acun yang suka membetulkan kesilapan orang segera menjadi cikgu tidak bergaji untuk Bibik Im. Mereka yang lain hanya tersenyum dengan sebutan Bibik Im. Penuh semangat bercerita tetapi sering tersalah sebutan.
            Rameli menarik tangan Rosnita yang ingin melihat keadaan Juju. Rameli menggelengkan kepala kepada isterinya. Tanda menyuruh dibiarkan sahaja anak gadis itu. Acun membuat muka bosan dengan aksi Juju. Acan memberi reaksi tidak faham. Bibik Im pula tidak mahu masuk campur. Dia begitu berselera menjamah makanan di pinggan.
            Rameli Saripin mengetap bibirnya. Dia terkenangkan kata-kata Mariyah Fareedaz padanya petang kelmarin.
“Jangan kali ini Juju yang buat hal lagi soal baju Ros sudahlah.”
“Buat hal lagi?”
“Ya lah.. buat hal sengaja menukarkan resit dobi. Siapa tahu?”
Rameli tersedar dari lamunan mengingati kata-kata Mariyah Fareedaz tentang Juju.
“Abang pun kenyanglah. Dia menyuapkan baki makanannya ke mulut Rosnita. Rosnita, Acan, Acun dan Bibik Im terus menikmati keenakan makan malam itu sambil berbual riang.
Hanya Rameli dan Juju faham mengapa mereka berdua tidak habiskan makan malam masing-masing.
@@@@@@@@@@
“Boleh Juju telefon Leesa, Surie dan Honey untuk join famili kita ke Kelab Polo? Kami hendak lepak di sana sambil menyudahkan projek Kelab Fotografi.”
“Eh! Why not? Ajaklah! Lagi ramai lagi seronok. Suruh mereka jumpa kita di Club House. Boleh join lunch. Lepas itu masing-masing boleh buat aktiviti santai di sana. Lepak-lepak, swimming, tengok movie di panggung mini, gimnasium... macam-macam lagilah.”
“Alah mama... macamlah Kak Juju tidak biasa ke Kelab Polo. Dua minggu sudah kami sudah ke sana masa mama ada luncheon di luar.  Hmm... kejap lagi lepas makan, Acun dengan Abby dan A.C. hendak main squash. Hendak potong semua spare tyre. Hendak slim dan maintain cun macam mama.”  Sekali lagi Juju meluat melihat aksi manja dua beranak itu. ‘Sengaja hendak menunjuk pada aku. Ingat aku tidak tahu. Nantilah...’ Juju cemburukan aksi mesra dua beranak itu. Manja dan mesra yang tidak pernah dapat dikecapi sebelum ini dari ibu kandungnya dulu, Maiya Karina. Ibunya yang hanya mementingkan bapa dan adik tirinya.
@@@@@@@@@@
Rosnita Chek Wah sedang bergayut di telefon bimbitnya. Tidak kira hujung minggu dan ketika bersama famili, sebagai setiausaha sulit, Rosnita sudah biasa menerima arahan Datuk Ziana tidak mengira masa, waktu dan tempat. Rameli Saripin pula bersembang di The Lepak Cafe dengan Zaibon dan seorang pengurus Restoran Can Meli Can, cawangan Shah Alam. Acan pula sibuk berlatih nasyid di Bilik Polo II di Kelab Polo. Acan bersama Ahmad, Fetriz dan Yahaya ingin membawa alunan nasyid kotemporari dengan muzik global. Mereka ingin merasmikan kumpulan nasyid mereka secara formal bila-bila masa sahaja setelah semuanya tersusun rapi. Mereka berlatih keras tanpa jemu. Cuma nama kumpulan belum dapat lagi. Juju pernah mengusulkan nama ‘Kumpulan Nasyid Berambut Leper’. Nama yang tidak boleh diterima langsung oleh mereka berempat. Nama yang dianggap sengaja memerli mereka. Namun, Acan tidak mahu mengecilkan hati Juju. Dia tahu, Juju cuma ingin berseloroh dengannya sahaja.
‘Ini masanya untuk aku masuk jarum. Kasi cucuk sampai habis. Lihatlah nanti.’ Juju segera mengaturkan aktiviti jahatnya yang perlu dilancarkan sekarang juga. Tidak boleh ditangguh lagi. Juju sudah dapat mengenal pasti semua aktiviti ahli keluarga belacan yang lain di Kelab Polo. Cuma tinggal Rosnita seorang yang sibuk dengan panggilan telefonnya. Juju sengaja mengajak geng Baby Gorgeous yang lain mengambil gambar untuk projek Kelab Fotografi. Mereka berempat sengaja beraksi di dalam lingkungan pandangan yang dapat dilihat oleh Rosnita. Sengaja berusaha menarik perhatian ibu tirinya.
“Dari tadi Mama Ros tengok susah benar kamu semua hendak letak dan adjust kamera untuk ambil gambar berempat. Mari Mama Ros tolong ambilkan. Boleh?” Rosnita Chek Wah memang ingin mengambil hati Juju. Seboleh mungkin dia mahu menjadi mama yang terbaik buat anak tirinya itu. Tiada istilah ibu tiri buatnya. Biar Juju terasa bagai ahli keluarga sebenar. Tiada jurang pemisah. Sebenarnya Rosnita sentiasa mencari peluang agar dapat mengambil hati dan mendekatkan diri dengan Juju. Biar Juju terasa selesa dan akrab.
“Eh! Tidak menyusahkan aunty? Betul aunty hendak tolong kami?” Honey pura-pura meminta kepastian bagi pihak gengnya.
“Apa yang susahnya. Bukan kerja berat. Mari sini kameranya. Aunty tolong tangkap gambar kamu semua.” Juju dan Baby Gorgeous memberi alasan mereka harus berposing membelakangkan beberapa pemandangan dari posisi tertentu untuk projek khas Kelab Fotografi. Setelah hampir lima posisi menarik mereka yang diambil oleh Rosnita, Juju ternyata nampak ceria. Rosnita perasan yang Juju suka dengan bantuan yang dihulurkannya. Rosnita seboleh mungkin ingin menggembirakan hati Juju dan gengnya disamping menjayakan projek Kelab Fotografi mereka.
“Mama Ros, jika boleh... Mama Ros tolong ambil gambar berlatar belakangkan tasik di sebelah sana... susahlah kami hendak pacak kamera dekat situ. Tolong ambil gambar kami berempat berlatarkan gambar tasik ya.” Leesa, Surie dan Honey saling berpandangan. Ada kerisauan bergendang di hati masing-masing. Namun, mereka tidak mahu Juju perasan dengan reaksi mereka.
Okey set! No problem. Perkara kecil sahaja. Lagi pun Mama Ros memang suka pun ambil gambar. Cuba tengok sini... Juju dan geng nampak fotogenik dalam gambar. Pemandangan belakang pun nampak ‘ngam’ dengan kamu berempat.” Rosnita seronok kerana Juju telah mula suka dengan bantuan ikhlas yang dihulurkannya. Mereka berlima ke tepi tasik. Rosnita mengambil beberapa aksi mereka berempat berlatar belakangkan tasik. Namun, bila sampai di tepi tasik, nampaknya ada sahaja posisi yang tidak menepati citarasa Juju. Bila Juju memuncungkan mulut atau menjegilkan matanya, cepat Baby Gorgeous dapat memahami. Segera mereka menyokong Juju yang tidak puas hati dengan hasil gambar yang diambil Rosnita di tepi tasik. Juju membuat isyarat yang sudah dirancang awal kepada Leesa, Surie dan Honey.
“Aunty Ros, kami ke sebelah sana sebentar, di belakang pokok besar. Mana tahu ada pemandangan yang cantik dari sebelah sana. Aunty Ros dengan Juju ambil gambar di sini dulu ya.” Leesa memberikan usul sepertimana ayat yang telah diatur oleh Juju semalam. Skrip yang telah sedia dirancang. Hampir terketar suaranya. Nampak tidak semulajadi. Segera Surie mencuit tangannya. Agar tidak ketara kelihatan niat busuk mereka membantu Juju.
“Pergilah... hati-hati okey!” Rosnita Chek Wah tersenyum memandang tiga anak dara yang cantik dan gedik itu. Honey serba salah hendak turut serta dalam pelan berani mati Juju. Namun, dia tidak berani bersuara. Janji seiya sekata, susah dan senang harus dikotakan dan dipegang kemas. Erat dan padu.
“Jom... Mama Ros, kita ke tepi tasik sebelah hujung sana. Juju rasa di situ lebih cantik. Lebih menarik! Tidak terlalu perit sinaran matahari di situ. Mama Ros penat? Kalau penat, tidak mengapalah.”
“Eh! Siapa kata Mama Ros penat? Mama okey. Ya lah, sebelah hujung sana memang nampak lebih cantik. Mari!”
Antara takut dan berani, antara geram bercampur baur marah... Juju nekad melaksanakan niat busuk dan jahatnya. Semalam, Juju bersama Leesa, Surie dan Honey telah selidik bahawa di hujung sebelah kanan tasik itu agak curam dan berlumut. Di situlah Juju merancang menolak dan menenggelamkan Rosnita Chek Wah. Hasrat hati yang sungguh hitam. Hitam diselaputi niat kejam dan sadis.
“Ha! Situ! Situ okey, Mama Ros. Eh...belakang sikit lagi... sikit lagi. Alah, peritlah cahaya matahari di sini. Belakang sikit lagilah, Mama Ros.”
“Sini okey, Juju? Betullah nampak tidak cantik dari sini. Perit sikit. Kejap ya. Mama ke belakang sikit. Okey, sabar sayang. Nanti Mama Ros ambilkan gambar terbaik untuk Juju.”
“Hati-hati ya Mama Ros. Nanti tergelincir pula. Jaga-jaga ya.” Juju mengetap bibirnya. Sasaran kaki Rosnita ke arah lumut yang licin sudah hampir mengena. Juju harus berpura-pura prihatin akan keselamatan Rosnita. Biar tidak terhidu sebarang niat penuh berkuman. ‘Risau juga Juju pada aku, sayang juga dia pada aku nampaknya.’ Getus hati Rosnita berbunga.
Di saat Juju melihat kaki Rosnita cuma selangkah lagi mahu mencecah batu berlumut tebal dan licin, Juju sengaja membuat aksi terjatuh.  Juju sanggup sakit asalkan rancangan berjalan bagai dirancang. Biar benar-benar jatuh. Dalam masa yang sama biar misi jahatnya benar-benar nampak tulen. Jangan ada Detektif Conan yang licik dapat menghidu kelak. Biar benar-benar dia kelihatan seolah-olah terpelecok di akar kayu pokok di tepi tasik. Sakit terseliuh sedikit boleh ditahan. Biar terhapus ibu sawat keluarga belacan. Biar misi benar-benar berjaya kali ini.
“Aduh... Mama Ros! Sakitnya!” Juju menjerit halus. Gaya orang sakit tersadung akar kayu. ‘Minta-mintalah kaki Mama Ros terpijak batu berlumut’ Sempat Juju berdoa jahat agar niat busuknya terlaksana. Di satu sudut... Leesa, Surie dan Honey mengintip di balik pokok besar. Hati mereka duk, dak, duk, dak. Sangat kencang berdenyut. Sangat risau kerana pertama kali melaksanakan misi berani mati bersama Juju. Risau jika kena masuk penjara. Risau dituduh bersubahat. Bagaimana jika Rosnita benar-benar mati di tasik? Bagaimana jika Rosnita betul-betul mati kelemasan? Risau jika mereka dimasukkan ke sekolah budak-budak jahat. Sekolah kes juvana. Oh! Tidak...! Bermacam-macam perasaan risau, gundah gulana yang bercampur aduk di benak hati mereka bertiga.
“Juju! Juju jatuh?” Rosnita mahu menerpa ke depan. Mahu melihat kaki Juju yang tersadung. Juju yang sudah berkerut dahinya menahan kesakitan yang sengaja ditempah. Akibat kalut mahu ke depan melihat keadaan Juju yang jatuh, badan Rosnita dengan kasut tumit tingginya tidak dapat diseimbangkan.
“Ya Allah... Juju.... Juju.... tolong mama, Juju. Juju!” Leesa, Surie dan Honey terasa bagai hendak terkencing melihat Rosnita benar-benar jatuh ke dalam tasik. Bagai hendak luruh jantung mereka bertiga. Bagai hendak berlari meminta pertolongan secepat mungkin. Bagai hendak memungkiri janji yang dilafazkan semasa melancarkan pelan busuk semalam.
Kaki Rosnita Chek Wah benar-benar terpijak pada batu besar berlumut tebal dan licin macam lantai simen disapu minyak masak. Rosnita terjungkit sekejap ke depan, sekejap ke belakang. Kasut tumit Jimmy Choo setinggi empat inci membuatkan kakinya bertambah susah mengawal tubuh langsingnya saat itu. Sungguh licin tidak terkawal! Akhirnya dia betul-betul terlentang ke belakang.. Rosnita betul-betul masuk ke dalam tasik. Tasik yang curam di sebelah kanan. Tasik yang licin didasarnya cepat sahaja mengheret Rosnita ke tengah tasik. Rosnita tercungap-cungap. Tidak dapat berfikir apa yang sedang berlaku. Tangannya terkapai-kapai. Tali kamera yang tergantung di lehernya hampir membelit kemas dan kejap batang lehernya. Menyusahkan lagi keadaan.
Juju tergamam! Panik! Tidak dapat mengingati apa yang dirancang bersama Leesa, Surie dan Honey semalam. Otaknya terasa berhenti berfikir sejenak. Kakinya pula terasa benar-benar sakit. Leesa, Surie dan Honey segera meluru kepada Juju.
“How Juju? Quick! How?”
“How what? Ingat pelan kita semalam?” Juju mula mengarah. Leesa, Surie dan Honey menyumpah seranah Juju di dalam hati masing-masing. Kelam kabut dibuatnya. Jika Juju ingin menyelamatkan Rosnita masih sempat. Juju sudah sebati dengan air. Sejak kecil dia memang sudah sangat biasa mandi di parit besar, di kolam kambing, di sungai kampung dan laut Pantai Remis. Pelbagai aksi dan gaya renang yang Juju memang telah sangat mahir. Juju tidak dapat meluahkan sebarang kata-kata. Juju sendiri mati kutu. Dia bungkam. Senyap dan sepi. Semuanya berlaku terlalu pantas. Dia hanya menjegilkan mata kepada Leesa, Surie dan Honey. Leesa terasa mahu menjerit sekuat hati. Surie dan Honey menangis semahu mungkin. Air mata takut dan cemas yang tidak diundang. Gugur deras tanpa dipinta.
Rosnita Chek Wah cepat menangkap suasana sekeliling. ‘Aku lemas! Mesti berenang segera ke tebing. Kuatkan semangat. Bangun Ros. Cepat!’ Rosnita Chek Wah adalah setiausaha sulit yang terlatih dari pelbagai sudut. Dia pernah menghadiri pelbagai kursus. Bukan sahaja kursus protokol, malah kursus menyelamatkan diri dan majikan dalam suasana genting dan cemas turut dipelajari. Rosnita juga tahu cara-cara betul menyelamatkan diri ketika lemas dan dengan teknik CPR. Dia juga memang biasa berenang di kampung dahulu. Rosnita selaku bekas Ratu Cantik Perak yang berasal dari Kampung Ulu Sukun. Dia membesar di kampung. Dia sudah biasa mandi manda pelbagai gaya di sungai kampung. Masa sebelum mengenali kemewahan hidup di bandar, setakat berenang di sungai kampung memang telah menjadi kegiatan hariannya masa remaja. Saling tidak tumpah, sama seperti Juju.
Juju yang ligat berfikir terkejut melihat Rosnita yang terkapai-kapai tadi sudah mula menunjukkan aksi mahu berenang.  “Eh! Mama Ros kamu macam pandai berenanglah Juju.” Leesa menuding jari kepada Rosnita yang sudah berada di tengah tasik kerana dasar tasik yang licin tadi. Surie ternganga! Honey mengatup mulutnya! ‘Hah! Mama Ros pandai berenang? Bagaimana aku tidak tahu yang Mama Ros boleh berenang? Rosak! Rosak rancangan aku! Harus segera tukar misi!’ Getus hati kecil busuk berkuman Juju dengan geramnya.
“Cepat tukar pelan Juju. Cepat selamatkan Mama Ros kamu!” Surie menolak bahu Juju. Mahu menyedarkan Juju dari lamunan. Dia sendiri tidak rela menggadai nyawa untuk ibu tiri Juju.
“Tetapi kaki aku... kaki aku sakit sangat.” Juju mengomel seorang diri dalam kekalutan.
Leesa, Surie dan Honey terpinga-pinga melihat pengawal keselamatan Kelab Polo datang meluru ke arah tasik. Dalam sekelip mata kelihatan beberapa orang ahli Kelab Polo turut datang ke arah tasik.
“Kaki kamu kita fikir kemudian. Cepat Juju! Orang ramai sudah datang ke sini. Go!”
Juju mengumpul semangat jitu. Dia yang kesakitan kaki menggagahi dirinya untuk segera bangun dan menjunam ke dalam tasik. ‘Ya! Pelan harus ditukar. Aku harus segera jadi jadi penyelamat keadaan. Biar nampak macam heroin. Biar tertutup semua pelan asal yang jahat.’ Dengan gaya penyelamat kampung yang tegar, Juju beraksi gaya penyelamat Bay Watch. Gaya Cinderella yang baik budi menyelamatkan ibu tirinya. Dengan penuh aksi, Juju menarik Rosnita dan memautnya. Juju berenang sambil menahan kakinya yang sememangnya sudah sakit akibat sengaja menyadungkan kaki agar sengaja terjatuh tadi. Juju sendiri hampir tercungap-cungap. Sengaja ditambah dos tahap cungapnya apabila berjaya menarik Rosnita yang sememangnya juga cekap berenang. Cuma Rosnita sudah lama tidak mengasah bakat berenangnya. Apatah lagi dengan faktor usia, kesibukan dan malas merendamkan dadanya yang berpenyakit semput di dalam air. Apabila Juju sedar orang ramai mula mengelilingi tasik, segera Juju menambah aksi heroin tersohor. Gaya kuak lentang, kupu-kupu dan gaya bebas digabung tiga dalam satu semasa hampir sampai ke tebing tasik. Biar diri sendiri menanggung sakit. Janji dia dapat menyelamatkan Rosnita yang hampir mati kelemasan.
Leesa, Surie dan Honey turut berubah watak. Watak jahat bersubahat dengan Juju, segera berubah menjadi pembantu kecemasan di tepi tasik. Siap menangis dan menjerit penuh hiba. Siap tolong menarik Juju dan Rosnita naik ke tebing tasik. Biar nampak bagai pembantu penyelamat yang tulus ikhlas dan berhati murni suci.
“Ya Allah... Mama! Mama! Mama!” Acun menjerit tidak tentu arah. Dia terketar-ketar. Meraung-raung dengan melampau. Seolah-olah sudah melihat satu kematian yang trajis.
“Ros... bangun sayang... bangun Juju. Tolong...!” Rameli kelam-kabut melihat keadaan isteri dan anak gadisnya.
Acun, Abby, A.C. Misai, Acan, Ahmad, Fetriz dan Yahaya berkerumun di tepi tasik. Zaibon dan Rameli paling kalut. Acun menangis macam orang terkena histeria. Sangat terkejut dengan apa yang berlaku pada mama kesayangannya. Zaibon yang sudah membuka kasut, nyaris ingin terjun bersama Juju tadi. Tetapi... ternyata tindakan Juju lebih pantas selaku Heroin of the Day. Semua ahli Kelab Polo yang berada di situ menuding jari dan berbisik antara satu sama lain. “Sok, sek, sok, sek” Mereka membuat andaian sendiri. Masing-masing nampak risau dengan keadaan Rosnita dan Juju.
“Juju... Juju... Juju mana abang? Juju yang telah selamatkan Ros tadi. Ros tidak tahu apa akan jadi pada Ros jika Juju tidak selamatkan Ros cepat tadi.” Rosnita mencari-cari Juju dengan suara terketar-ketar. Tercungap-cungap. Suaranya antara dengar dan tidak. Sebaldi air tasik dimuntahkan. Hidungnya tersumbat. Dadanya sempit. Rasa senak dan lemas.
“Jangan banyak cakap Ros... dada Ros semput. Ros lemah. Nanti susah bernafas. Bertenang sayang. Juju selamat.”
Juju membuat aksi bersusah payah mengesot mendapatkan Rosnita. Mereka berdua sangat lemah. Mereka berpelukan erat sambil basah kuyup. Pantas Rosnita mengucup Juju tanpa henti bertubi-tubi dengan linangan air mata berjujuran. Acun datang mendakap mereka berdua. Acun memeluk kemas Rosnita dan Juju. Dia menangis sambil meraung-raung nama mamanya. Acan cuba menenangkan Acun yang tidak mempedulikan lagi keadaan sekeliling. Abby agak segan dengan aksi Acun yang tidak mengawal keayuanya. Bagi Abby, walau secemas mana pun, reputasi gadis ayu perlu dikawal. Perlu nampak tenang dan tidak kelam kabut. Tidak boleh terlebih panik.
“Tadi... Mama Ros rasa macam ada kuasa, ada orang yang menolak ke belakang masa hendak tengok Juju jatuh di akar pokok tadi. Mungkin juga sebab kasut tinggi dan batu licin.”
“Ada orang tolak! Siapa? Siapa? Siapa berani tolak Mama Ros? Siapa? Biar Juju bunuh dia!” Tiba-tiba Juju beremosi tahap maksima. Gaya penyelamat dan pelindung ibu yang dikasihi. Leesa, Surie dan Honey cepat bertindak memainkan peranan menenangkan Juju.
Acan memuji-muji Juju pada Ahmad, Fetriz dan Yahaya. Berbunga muka Fetriz melihat Juju yang dikagumi. Juju yang berhati mulia. Juju yang sanggup bertarung nyawa demi menyelamatkan ibu tirinya. Sempat dia menjeling ke arah lekuk tubuh Juju macam biola di sebalik baju yang basah. Saat-saat kecemasan pun, Juju tetap nampak cun, nampak ayu, nampak jelita di mata Fetriz. Sungguh nakal! Di saat-saat orang lain tengah genting menggelabah, Fetriz sempat berfikiran gatal. A.C. Misai turut tersenyum dan mengangguk kepala memandang Juju. Tanda kagum dengan tindakan pantas Juju. Abby hanya terdiam melihat. Dia hanya memikirkan gelagat Acun yang dirasakan terlampau. Walaupun Acun dan Abby adalah sahabat sejati, Abby kurang senang melihat aksi Acun yang bagaikan histeria tadi. Sempat lagi merasa risau takut terkena jangkitan semangat histeria tersebut.
Rosnita dan Juju segera di bawa ke hospital. Rosnita perlu mengambil oksigen untuk penyakit semputnya yang sekali sekala menjengah. Kaki Juju pula bengkak membelon. Walaupun sakit bukan kepalang, Juju masih sempat lagi mengenyit mata ke arah Leesa, Surie dan Honey. Tiga sekawan itu menghela nafas panjang. Nafas kelegaan. Nyaris sahaja mereka bertiga terlibat dalam pembunuhan terancang. Tidak dapat mereka bayangkan jika malam nanti mereka bakal meringkuk di dalam lokap dan ditahan reman. Lokap yang busuk dan penuh lipas. Tiada tandas yang sempurna. Tiada tilam empuk dan selimut gebu. Tiada makanan enak dan lazat. Jauh sekali makanan berkeju kegemaran Juju. Masing-masing memandang lesu antara satu sama lain. Selama ini, sejahat-jahat dan senakal-nakal mereka bertiga, belum pernah mereka melampaui batas sejauh itu. Bersekongkol dengan Juju ibarat menjerut leher mereka sendiri. Juju, ahli Baby Gorgeous yang terbaru, ternyata adalah ahli yang brutal. Dia gadis kampung yang tegar, ganas dan penuh dendam membara. Sifat yang jauh berbeza dari luarannya yang nampak ayu, lembut dan sopan. Dalam hati Leesa, Surie dan Honey terselit sedikit rasa kesal kerana mempelawa Juju menyertai mereka dahulu. Walaupun Juju memang banyak berjasa menaikkan nama Baby Gorgeous dari pelbagai segi, tetapi ternyata Juju sendiri mendambakan mereka bertiga bersubahat menjahanamkan keluarga belacan. Juju telah menggunakan mereka. Tetapi... siapa yang berani bersuara?
Masing-masing tertunduk lesu melangkah kaki pulang. “Bagaimana Juju boleh tidak tahu yang Mama Rosnya pandai berenang? Hendak ajak kita bersubahat tetapi... dia sendiri tidak buat homework. Tidak siasat dulu.” Surie mengomel kegeraman. Dia sendiri jadi penat dibuatnya dengan kejadian tadi.
“Sudahlah! Bagus juga Aunty Ros pandai berenang. Kalau tidak, belum tentu kita boleh balik sekarang. Silap-silap kita meringkuk di balai polis sekarang. Kena soal siasat bersekongkol dengan Juju atas tuduhan menyebabkan Aunty Ros mati kelemasan. Mahu begitu?” Leesa meninggikan suaranya. Matanya dijegilkan. Dia memandang muka Surie dan Honey dengan serius.
“Eee... tidak sangguplah! Takut! Syukur semuanya sudah selesai.” Honey membuat muka ketakutan. Mereka bertiga lemah menaiki kereta yang dijemput oleh pemandu Surie. Janji tetap janji, nampaknya jauh lagi perjalanan mereka untuk membantu Juju mengenakan satu persatu ahli keluarga pemakan belacan.
Rosnita Chek Wah dan Juju dibenarkan pulang dari hospital hari itu juga. Mereka hanya ditahan di wad beberapa jam sahaja sebagai pesakit luar. Kes mereka lemas di tasik Kelab Polo Sri KD Kota Damansara mendapat liputan meluas media massa. Zaibon segera memainkan peranan selaku pengawal peribadi majikannya. Menempis secara diplomasi segala soalan wartawan yang ingin menemuramah Juju, Rosnita dan Rameli.
Rosnita mencari Rameli di bilik tidur mereka. “Kasihan Juju. Dia demam panas, abang. Ros sudah letakkan fever cooler di dahinya. Siap meracau-racau memanggil nama Ros. Sama macam suara masa dia menjerit risaukan Ros lemas siang tadi. Ros terhutang budi pada anak kita, abang. Ros hendak temankan Juju tidur malam ini.” Rameli Saripin mengusap lembut rambut isterinya. Dia mengangguk-angguk tanda faham.
“Kejap lagi abang jenguk Juju di biliknya sekali lagi. Ros sendiri perlu berehat sebenarnya. Ros masih lemah. Tadi Mariyah kata, dia hendak temankan Juju tidur malam ini. Eloklah Mariyah yang temankan. Abang risau dengan keadaan Ros sendiri. Dada Ros bukannya kuat sangat. Nanti datang pula penyakit lain.” Rosnita yang sememangnya masih lemah terpaksa akur dengan kehendak suaminya. Dia sendiri masih terasa sakit dileher dibelit tali kamera ketika lemas siang tadi.
“Jangan lupa minta Mariyah tengok-tengokkan kaki Juju sekali, ya abang. Risau sungguh Ros. Bengkak kakinya macam belon dan biru sampai lebam. Kuat tersangkut di akar pokok tadi.”
“Sudahlah... solat isyak dan cepat tidur, sayang. Abang hendak jenguk Juju pula, okey.”
Sebenarnya tadi, Juju sengaja meracau-racau memanggil nama Rosnita persis menyebut nama mamanya ketika Rosnita lemas di tasik siang tadi. Sengaja mencuri sudut emosi Rosnita. Memang Juju demam panas. Memang kakinya masih bengkak dan biru. Tetapi... itu semua adalah tiket pemudah cara untuk melancarkan misi kotornya. Tiket meloloskan diri dari dihidu rancangan busuk berkumannya. Sakit boleh ditahan. Janji hatinya puas walaupun Rosnita tidak jadi mati tenggelam.
“Kasihan betul anak ibu. Risau betul saya, Meli. Biar hari ini ibu temankan anak ibu di sini ya. Biar ibu peluk anak ibu. Biar cepat sembuh demam panasnya.” Rameli tersenyum melihat naluri keibuan Mariyah Fareedaz. Sayang betul Mariyah kepada Juju melebihi anak sendiri.  Mariyah tidak habis-habis menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku siang tadi. Katanya jika dia turut serta ke Kelab Polo siang tadi dan tidak ke majlis cukur jambul anak rakannya, pastinya dia dapat membantu seadanya. Pastinya Juju tidak mengalami kecederaan dan tidak demam panas.
“Meli pergilah temankan Rosnita. Dia tentu masih lemah. Pergilah cepat. Tinggalkan saya dengan Juju. Jangan risau, saya boleh uruskan Juju.” Cepat Mariyah seakan mengusir Rameli keluar dari bilik Juju. Dia ingin bersendirian dengan Juju yang lemah. Air matanya segera mengalir. Rindu yang teramat sangat pada arwah anaknya, Schar Minn. Risau jika sesuatu yang buruk berlaku pada Juju pula. Rameli segera meninggalkan Mariyah dan Juju berdua. Tiba-tiba, Bibik Im pula terkocoh-kocoh mahu menempek di bilik Juju juga.
“Saya pun boleh temankan sekali Juju tidur. Biar saya tidur di bawah... di tepi katil. Saya lapik toto di sini, ya Puan Mariyah.”
“Eh! Kamu Im... apa hal hendak tidur di sini pula. Kalau saya perlukan apa-apa, saya akan panggil Im nanti.”
“Biarlah puan. Susah senang keluarga ini, kita tanggung bersama. Juju juga sebahagian dari kita semua. Jangan halang saya, puan. Saya pun mahu jaga Juju malam ini.” Bibik Im berkeras. Air matanya bergenang di pelupuk matanya. Hari yang penuh drama air mata hingga ke malam. Bibik Im terus melapik toto di tepi katil Juju. Dia bingkas meletakkan bantal dan selimutnya. Tidak mempedulikan reaksi Mariyah. Air matanya gugur akhirnya. Deras tidak tertahan lagi.
“Mengapa sebenarnya Im? Mahu kongsi dengan saya?”
“Saya pernah kehilangan anak juga, puan. Saya juga sayangkan Juju. Saya tidak sanggup ada sesuatu yang bukan-bukan berlaku pada Juju. Nanti saya menyesal tidak sudah. Menyesal seumur hidup! Anak saya... anak saya dulu pun meninggal demam panas, puan. Sama panas macam Juju ini. Saya risau, puan.” Mariyah menyeka air mata Bibik Im. Tidak kekok dia memeluk Bibik Im. Tidak memandang status Bibik Im sebagai orang gaji jirannya. Dua ibu yang berdakapan. Dua ibu yang pernah kehilangan anak kesayangan masing-masing. Dua ibu yang berebut ingin menjaga Juju yang demam panas malam itu.
Juju yang pura-pura tidur terdengar perbualan mereka berdua. Tiba-tiba dia terasa ada air mata hangat mengalir perlahan membasahi pipi dan bantalnya. Jika dulu dia ketagih kasih sayang seorang ibu, sekarang pula... berebut-rebut orang lain yang bukan ibu kandungnya sendiri ingin menjaganya. Hati batunya hampir cair. Hati kerasnya lebur. Lebur dengan kasih sayang yang mencurah-curah.
Rameli mengambil udara segar di laman rumah. Jam di tangan menunjukkan pukul 11.30 malam. Hatinya tertekan. Terasa sempit. Terasa terhenyak. Antara percaya dengan tidak, dia mengimbas apa yang dilihat siang tadi. Jelas terpampang di kotak fikirannya. Sejak dari mula Rosnita mengikut Juju dan kawan-kawannya, hati Rameli tidak sedap. Ada rasa kurang senang yang bersarang. Melihat Rosnita bersama Juju dan kawan-kawannya siang tadi, Rameli pura-pura ingin ke tandas... meninggalkan Zaibon berbual bersama pengurus cawangan restoran mereka. Sebenarnya dari Kelab Polo, Rameli jelas dapat melihat semua aksi Rosnita bersama Juju dan gengnya siang tadi. Boleh sahaja Rameli meminta Zaibon mengekori Rosnita bersama Juju dan teman-temannya. Tetapi... Rameli tidak mahu apa yang diberitahu melalui telefon tempoh hari oleh Tok Hamzah Dollah dapat pula dihidu oleh Zaibon atau orang lain. Biar semua orang berfikiran positif sahaja tentang Juju. Jangan ada yang dapat mencium sebarang cacat cela dan hati busuknya. Biar sikap buruk Juju terlipat kemas ibarat habuk yang disorok di bawah permaidani.
Sebenarnya, siang tadi, dari jauh, Rameli melihat setiap aksi Juju menyuruh Rosnita mengambil foto mereka berempat. Dia melihat sendiri bagaimana tiba-tiba mereka semua ke tepi tasik dan akhirnya Rosnita terjatuh ke dalam tasik tersebut. Semuanya masih segar di benak fikirannya. Dia bukan bodoh untuk membaca bahawa Juju telah merancang kemas semua itu. Rameli tahu Juju adalah anak bijak. Bijak yang disalah gunakan. Juju sanggup mencederakan dirinya sendiri untuk melunaskan hasratnya. Juju adalah darah dagingnya. Hati Juju sekeras ibu kandungnya. Penuh dendam. Penuh api membara. Mahu mendapatkan apa sahaja yang dihajati. Tidak kira cara baik atau hitam berkudis. Rameli tertunduk lemah. Kalah dengan caturan untuk meleraikan masalah dendam kesumat anak sendiri. Setakat ini, hanya Mariyah Fareedaz dapat menghidu kebusukkan perangai Juju. Namun, Rameli tidak risau kerana Mariyah lebih bersifat pelindung. Penyelamat Juju, tidak kira apa jua keadaan. Rameli menghela nafas berat tersekat. Dia mencapai telefon bimbitnya. Dia menekan nombor penasihat peribadinya. Penasihat sejak turun temurun.
“Ayah sihat? Maaf ganggu kalau ayah sudah tidur.” Rameli masih kuat memanggil Tok Hamzah Dollah dengan panggilan ayah. Tidak bertukar dari dahulu hingga sekarang. Dari sebelum mengahwini Maiya Karina, bercerai dan memelihara Juju sekarang... panggilan utuh itu masih sebati.
“Ayah belum tidur. Apa yang sudah dia lakukan, Meli? Ceritalah Nak...”
“Ayah tahu?”
“Hati ayah tidak sedap hari ini. Ceritalah Meli... ayah sedia mendengarnya.”
Rameli bingkas bercerita pada Tok Hamzah Dollah. Tentang Rosnita dilemaskan siang tadi. Rameli turut meluahkan tentang fitnah di hari Minggu Setiausaha. Dia turut bercerita tentang Juju mengenakan Rosnita dengan Cikgu Saiful Aben dan pertukaran baju dobi Rosnita. Risau jika ceritanya dianggap remeh tetapi Tok Hamzah Dollah mendesak agar diceritakan segalanya. Jangan ada yang disembunyikan. Rameli sendiri merasa lega menghamburkan apa yang terbuku di hatinya pada Tok Hamzah. Orang tua yang begitu tenang. Begitu memahami dan sentiasa ada jalan penyelesaian dan dapat mendamaikan hati.
“Mahu hantar dia pulang ke sini?”
“Tidak sesekali, ayah. Dia anak saya. Amanah Tuhan pada saya. Saya sudah banyak terhutang pada dia, pada ayah. Saya sanggup hadapi apa sahaja. Itu janji saya pada ayah dulu. Saya anggap semua ini cabaran dan dugaan buat saya, ayah.”
“Baguslah, Meli. Itu yang ayah hendak dengar. Memang ayah boleh harapkan kamu, Meli. Jaga dia baik-baik. Dia anak kamu. Darah daging kamu. Dia... dia nyawa ayah.” Terdengar suram suara Tok Hamzah di talian. Suara sebak seorang tua. Meli mengangguk walau tidak dapat dilihat oleh Tok Hamzah. Bukan penyelesaian yang dia mahukan. Meli cuma mahu tempat meluahkan apa yang terbuku di hatinya.
“Jika ada apa-apa hal, Meli. Jangan segan silu beritahu ayah. Ayah akan tolong setakat termampu. Jangan pendam seorang diri. Nanti makan dalam.”
“Baik, ayah. Meli ingat pesan ayah.”
“Lagi satu Meli... jika selepas ini Juju buat lagi yang tidak-tidak, yang bukan-bukan... sehingga melibatkan nyawa orang jadi taruhan. Janji dengan ayah, jangan apa-apakan anak kamu walau seburuk manapun dia lakukan perkara yang kamu tidak suka. Jika kamu tidak upaya menanganinya, hantarlah dia ke sini. Tahulah ayah uruskan cucu ayah, Meli.”
“Jangan risau, ayah. Saya faham maksud ayah. Tahulah saya akan uruskan dia dengan baik. Dia cuma kekurangan satu benda sahaja, ayah.”
“Apa dia, Meli.”
“Satu benda yang dia cuma boleh dapat dari ayah selama ini... kasih sayang.” Suasana senyap sekitar sepuluh saat. Terdengar esakan hiba Tok Hamzah Dollah di talian. Hatinya sebak mendengar apa yang Rameli telah lakukan. Hatinya juga meronta merindui Juju.
Juju mengambil masa untuk memaksa dirinya tidur malam itu. Hatinya meronta. Hatinya tidak aman. Tiada langsung ketenangan. Dia sendiri tiada jawapannya. Dia melayan mencuri dengar perbualan ala-ala bisikan dari Mariyah Fareedaz dan Bibik Im. Perlahan-lahan dia hampir lali hendak tertidur. Demam panasnya bukan dibuat-buat. Sakit kakinya semakin berdenyut. Sudahlah sakit, terpaksa bergelut pula di tasik untuk menyelamatkan Rosnita. Nahas yang ditempah sendiri. Walaupun tidak berjaya melemaskan Rosnita. Juju puas! Puas kerana berjaya menenggelamkan ibu sawat keluarga belacan. Pengajaran telah diberikan. Apatah lagi dia telah dapat menjadi heroin bidan terjun siang tadi. Sungguh menarik sekali. Banyak lagi bakal menyusul mereka yang lain pula.
Malamnya... Juju bermimpi dia pula yang hampir mati lemas. Bukan di tasik. Bukan di kolam. Bukan juga di sungai atau di laut. Tetapi... dia bergelut dengan ombak tsunami yang setinggi pokok kepala. Juju hanyut! Yang pelik, semua orang lain selamat. Abah, Mama Rosnita, Ibu Mariyah, Bibik Im, Acan dan Juju semua selamat belaka. Mereka semua hanya memerhatikannya. Tanpa bicara. Tanpa kata. Tanpa reaksi. Mereka tidak menolongnya. Leesa, Surie dan Honey pula hanya mampu melambainya yang lemas dan tenggelam di dalam ombak besar tsunami. Tiada siapa yang dapat menyelamatkannya. Ibu kandungnya, bapa tiri dan adik tirinya pula hanya tersenyum memandangnya. Mereka semua selamat! Hanya dia seorang yang hanyut dan lemas. Sungguh kejam.! Sungguh tidak adil! Juju menjerit dan menangis sekuat hati. Dia menjerit memanggil semua orang ketika lemas. Juju tidak dapat menggunakan kepakarannya berenang melawan ombak tsunami yang maha dahsyat. Dia bagaikan semut merah yang hanyut di lautan api. Juju menjerit nama seseorang, nama seseorang yang selalu menjadi hero hidupnya.
“Atuk... atuk... tolong Juju atuk. Atuk...”
Mariyah Fareedaz terkejut. “Makin panas badan budak ini. Im... cepat Im! Cepat! Cepat ambil ubat. Basahkan tuala dengan ais. Ambil sekali asam jawa. Kita jerlun leher dan kepala dia dengan air asam jawa. Pelik budak ini... demam panas, kaki sejuk tetapi... peluh merecik-recik. Mimpi buruk, ya sayang. Syy... syy... mari sini, dekat dengan ibu.”
Bibik Im bingkas bangun macam lipas kudung, berlari laju ke dapur. Hampir terlondeh kain batiknya. Risau mendengar Juju meracau-racau.
“Juju okey... Juju okey. Tolong bagi telefon Juju. Tolong hulurkan, ibu. Cepat, ibu.” Mariyah Fareedaz bingkas menghulur telefon bimbit Juju. Jam sudah menunjukkan pukul tiga pagi. Sekali dail, panggilan sudah berjawap.
“Ya, Juju...mengapa sayang? Tidak boleh tidur? Juju mimpi? Juju Demam lagi?” Bertubi-tubi soalan yang menerpa.
“A... atuk belum tidur?”
“Belum sayang... atuk risaukan Juju.”
“Atuk...”
“Juju...”
“Atuk...”
Selebihnya, hanya bunyi cengkerik yang menemani Tok Hamzah Dollah dan bunyi esakan tangisan menemani Juju. Mariyah Fareedaz memeluk Juju erat. Bibik Im pula tidak segan silu memeluk Mariyah Fareedaz. Dia sudah turut bertenggek di atas katil king size milik Juju. Mariyah Fareedaz dan Bibik Im tidak sepatah pun bertanya apa-apa. Mereka cepat faham. Faham akan Juju yang terlalu merindui datuknya. Faham akan nilai kasih sayang yang tiada tolok bandingnya. Kasih sayang yang tidak boleh dijual beli.
8888888888888888888888888888888888888888888888888888