Friday 15 July 2011

BAB 1


Bab 1 ialah tentang watak utama iaitu Juju.
Nama sebenarnya ialah Maiya Juliana binti Rameli Saripin.
Gadis kampung tetapi penggemar keju tahap cipan! 
Suka makan keju, nama pun Juju. 

Selamat Membaca BAB 1 sambil memakan keju. 
Yummy! Gumok! 


ANTARA BELACAN DAN KEJU

-BAB 1-

Maiya Juliana binti Rameli Saripin (Juju)


            “Selama tujuh belas tahun mama kata, abah jahat. Tujuh belas tahun juga mama kata, abah tidak pernah bertanggungjawab! Kalau duit abah bagi, jangan ambil! Mak tiri aku jahat...! Tadi... tadi pula, mama kata sebenarnya selama ini semua silap. Mama kata, abah sebenarnya baik. Dan aku... aku bakal tinggal dengah abah pula? Pelik! Pelik betul! Senang-senang ubah fakta. Mama memang suka main drama. Buat aku macam anak patung. Lambung sana sini! Oh!  Tidak... No, no, no! Ini tidak boleh jadi!” Kuat suara Juju membebel seorang diri. Suaranya disambut riang oleh unggas dan nyamuk. Juju merungus dan mendengus tanda tidak puas hati. Sudah tujuh belas tahun kakinya berpijak nyata dan membesar di ladang kepala sawit dan bergelumang dengan kandang kambing.  Sekarang, mahu diasak dan dipaksa untuk ke Kuala Lumpur pula. Tinggal bersama abah dan ibu tirinya. Arahan mamanya yang tanpa kompromi. Muktamad! 

            “Mama ingat aku apa? Bola netball? Boleh dilambung dan dibaling ikut selera mama. Kurang-kurang pun, bincanglah dengan aku. Ini tidak! Mengarah dan paksa! Iskh... geramlah!” Juju masih terus mengeluh seorang diri. Geram tidak terperi dengan ibu kandung sendiri.

Maiya Juliana atau lebih mesra disapa sebagai Juju memandang jauh ke deretan bukit yang berbalam. Dia sendiri sedang duduk bertenggek di atas puncak Bukit Sekupang,  Kampung Daun Melambai. Anak bukit yang penuh dengan pelbagai pohon renek terutamanya pokok daun turi, pokok ubi kayu dan pokok asam gelugor yang terletak di belakang rumahnya. Bukit Sekupang jugalah tempat Juju menyembunyikan diri di kala merajuk atau hatinya bengkak. Pemandangan hari itu semuanya nampak suram. Kaku! Sesuram hatinya yang berbolak balik sambil menghirup udara petang yang nyaman dan segar. Rasa tidak puas untuk mengaup udara bersih yang mungkin tidak dapat dihirup lagi selepas ini.

             Juju menggigit kecil bibirnya yang mungil. Dia ibarat anak patung Barbie versi kampung. Mukanya masih kelihatan ayu walau berdebu dan berpeluh menitik di tepi dahi. Berpeluh kerana penat kerabat Bukit Sekupang tadi. Dia membelek muka pan asianya di dalam cermin tangan yang dibawa ke hulu, ke hilir. Tidak pernah bosan dan tidak pernah lekang dengan cermin di tangan. Tangkai cermin di genggam kemas. Tidak kira sama ada ke sekolah, ke pasar, ke Bukit Sekupang, hatta ke ladang kambing pun dia setia membawa cermin comelnya. Cermin berbingkai baldu warna merah bata dan berbunga kecil warna putih. Cermin yang dibeli sendiri di pasar malam Taiping sebulan yang sudah. Masuk kali ini, sudah empat belas cermin yang dibeli buat peneman ke sana kemari. Biar orang kata geng kambing atau perasan lawa, hakikatnya penampilan diri perlu dijaga, wajah mesti selalu dibelek rapi! 

            Cermin genggaman tangan ditauk ke tepi. Jika selama ini cermin yang dibawa ke sana ke mari itu tidak pernah lekang buat membelek wajah, kini cermin itu tidak bisa mencerminkan pantulan wajah cerianya lagi. Habis semua ranting kering ditendang bersepah. Jarinya pula rakus mencapai daun pokok asam gelugor lalu digentil dan dilipat menjadi seumpama daun serih dan dikunyah gaya kambing kesayangannya yang diberi nama Conan.

            “Hah! Juju! Cucu atuk berangan di sini rupanya.”

            Juju tersentak. Pinggangnya dicuit dari belakang oleh datuk kesayangannya, Tok Hamzah Dollah. 

            “Atuk cari Juju?  Kasihannya... atuk.  Mesti penat gila ya.”

            “Alah, ini mesti kes Juju ingat atuk sudah tua... Juju ingat orang veteran tidak boleh kerabat bukit? Setakat Bukit Sekupang, apa hal? Hmm... ulang alik dua kali naik turun pun bolehlah...” Tok Hamzah Dollah menyembunyikan rasa tercungapnya sambil memandang sayu penuh kasih sayang ke wajah cucu perempuan kesayangannya. Wajah gadis remaja pan asia yang ayu walaupun bergelumang dengan biji buah kelapa sawit dan kandang kambing.

            “Kamu membesar di depan mata atuk, cu. Mestilah atuk sudah masak benar dengan perangai kamu. Setakat port lepak kamu, dalam tangan atuklah. Mana lagi kamu hendak lepak kalau bukan ke kandang kambing Conan atau atas Bukit Sekupang.” Juju membuat muka tidak bersalah sambil memandang bekalan makanan yang dibawa oleh atuknya.  Perutnya tiba-tiba berlagu keroncong walau baru tiga jam membawa hati yang merajuk di atas bukit.

            “Nah! Ambil! Minumlah! Dalam bekas lagi satu, ada atuk bawakan burger keju ayam dua lapis. Jangan tidak tahu, atuk yang masak sendiri!”

            “Ha... ini yang buat Juju sayangkan atuk tahap meletup! Siap bawakan makanan kegemaran. Atuklah atuk yang paling best in the world!” Juju merampas ganas makanan dari tangan atuknya. Gaya orang lapar tidak makan empat hari. Sengaja dia berkelakuan begitu untuk mencuit hati atuknya yang bersusah payah panjat bukit dengan bekalan makanan untuknya.

            “Makanlah cu, manalah atuk hendak cari cucu macam Juju,  geng kambing tetapi suka makan keju.  Makan puas-puas, nanti minggu depan hendak ke Kuala Lumpur. Tidak dapat lagi makan masakan atuk.”

Semenjak kecil, Juju telah terbiasa dengan makanan barat mengikut halwa tekak ibunya, Maiya Karina. Semenjak kecil jugalah, Maiya Juliana mendapat nama manjanya iaitu Juju kerana jolokan yang diberi oleh orang kampung padanya yang suka benar makan keju. Keju dipanggil Juju padanya. Biar dengar sedikit manja kata Mak Sepah gigi berterabur yang sering merasa pelik dan geli hati melihat anak kampung ketagihkan keju semasa Juju masih kecil.

Di zaman remajanya, Tok Hamzah Dollah merupakan anak muda yang lain dari anak-anak muda yang sebaya dengannya. Berpegang padu kepada konsep hijrah untuk merubah taraf hidup, dia sanggup menumpang kapal dan tongkang, berkelana sehingga ke Cina, Afrika dan England. Sebut apa sahaja kerja yang ditidak pernah dilakukannya. Buruh kasar? Anak kapal? Pelayan restoran? Peladang? Tukang masak? Semuanya pernah ditempuhi dan diharungi dengan tabah. Satu yang dipegangnya ialah asas agama yang kukuh di dalam hati. Itu pesanan arwah ibunya... tidak kira di mana pun dia berada, solat perlu menjadi pokok utama pegangannya. Selain dari itu, semasa zaman mudanya, Tok Hamzah Dollah memang seorang yang bertuah kerana sifat rajinnnya, ringan tulang membantu apa sahaja dan dikurniakan paras rupa yang tampan serta berbadan sasa.

Hendak dijadikan cerita, ketika di London, Tok Hamzah Dollah telah secara tidak sengaja berjaya menyelamatkan anak gadis hartawan inggeris yang ingin membunuh diri dengan terjun dari kapal mewah. Gadis inggeris tersebut mengalami kemurungan melampau akibat cinta bertepuk sebelah tangan dengan seorang paderi. Dia menjadi seorang seorang murung, pasif dan sering menyendiri. Setelah bertemu Tok Hamzah Dollah, gadis anak orang putih tersebut telah perlahan-lahan berubah menjadi positif. Dia menjadi begitu tertarik apabila Tok Hamzah Dollah mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran. Terasa bahagia yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Bapa anak gadis orang putih tersebut pasrah. Dia nekad menjodohkan anak gadisnya dengan Tok Hamzah Dollah, sekiranya benar jejaka itulah yang dapat mengembalikan kehidupan ceria anak gadisnya. Di situlah bermulanya episod baru dalam hidup Tok Hamzah Dollah, memperisterikan wanita inggeris yang bernama Jenet Jeksen (nama islamnya Jenab Abdullah).

Setelah hampir sepuluh tahun hidup aman damai di London, Jenab Abdullah, isteri kesayangan Tok Hamzah Dollah, buah hati pengarang jantungnya itu, telah meninggal dunia di London kerana mengalami komplikasi buah pinggang. Ketika itu, satu-satunya anak perempuan mereka iaitu Maiya Karina... ibu kepada Maiya Juliana baru berusia tujuh tahun. Harta peninggalan Jenab Abdullah kepada suami dan anaknya cukup membuatkan mereka berdua tidak perlu bekerja selama tujuh keturunan pun mungkin harta tersebut tidak habis-habis. Dia dikatakan ada bau-bau bacang saudara jauh dengan kerabat diraja England, Ratu Elizabeth yang mahsyur dan tersohor. Ikatan susur galur persaudaraan diraja yang tidak begitu mesra alam, tetapi... mereka mempunyai harta pusaka, tanah, dusun, bisnes perkapalan dan perladangan yang berkoyan-koyan tidak terbilang. Selepas kematian arwah isteri kesayangannya itu, Tok Hamzah Dollah dipujuk oleh keluarga mertua dan ipar duainya untuk  tinggal sahaja di London. Namun, Tok Hamzah nekad, dia ingin membawa pulang anak tunggalnya, Maiya Karina pulang ke Malaysia. Lebih tepat lagi ke Kampung Daun Melambai, Ulu Trong, Taiping, Perak.

Di kampung, dengan harta peninggalan arwah Jenab Abdullah yang berjuta ringgit, Tok Hamzah Dollah hidup secara bersederhana. Dia telah mengusahakan ladang kelapa sawit seluas berpuluh hektar dan bersebelahannya pula dia mengusahakan ladang kambing baka Boer yang begitu subur membiak. Tok Hamzah mengusahakan Maiya Global dengan dibantu orang-orang kepercayaannya. Sengaja mencari kehidupan kampung yang mendamaikan. Jauh dari hiruk pikuk kota raya yang merimaskan.

            Tok Hamzah Dollah leka teringatkan kenangan indah bersama arwah isteri tercinta, nenek kepada Juju. Tiba-tiba Tok Hamzah tersentak... “Aduh!  Sedapnya atuk. Sedap betul burger atuk buat untuk Juju.” Juju membuat gaya menjilat jari pada cebisan keju yang terselit dijarinya. Sengaja mengambil hati atuknya.

Melihat Tok Hamzah tersenyum, Juju cuba mengalih topik dari keenakkan burger kepada penghijrahannya ke Kuala Lumpur pula. “Atuk, atuk... sebenarnya Juju runsinglah.  Mengapa selama ini mama kata abah macam sudah tidak wujud, tidak pedulikan Juju langsung. Sekarang segalanya berubah. Semuanya sudah tukar. Tiba-tiba pula suruh Juju tinggal dengan abah.  Tinggal dengan keluarga baru abah.  Dengan mama Rosnita Chek Wah.  Ee... ibu tiri mesti garang macam singa betina.  Iskh... rimaslah kepala otak Juju macam ini. Mama ingat Juju apa atuk? Suka-suka tauk sana sini.” Tok Hamzah Dollah hanya tersenyum memandang jauh ke arah bukit berbalam. Sengaja memberi peluang Juju meluahkan segala yang terbuku.

            Juju ada cara tersendiri ketika menikmati burger. Burger dua lapis dibuka dan dimakan sekeping demi sekeping. Cara menikmati burger gayanya ialah tidak boleh menjamah semua sekali tetapi harus dibuka selapis demi selapis. Makan roti ranggup berbijan di atas terlebih dahulu. Langkah kedua, lipat salad dan tomato bersama mayonis pula. Kemudian, barulah giliran keju dan dagingnya yang di tengah. Akhir sekali pula, dijamah lapisan roti pelapik di bawah daging burger tersebut sebagai penutup santapan. Gaya pelik tapi benar. Gaya makan burger yang menimbulkan kelazatan tidak terperi. Ketika menjamah bahagian keju berlapis, matanya ditutup rapat dan hidungnya kempas kempis seolah-olah menikmati makanan terlazat di dunia dengan sepenuh hati.  Keju sudah menjadi makanan rutin Juju mengalahkan nasi. Semua orang kampung dan rakan sekolahnya telah lali dengan perangai anak orang kaya pemilik ladang kelapa sawit dan ladang ternakan kambing Maiya Global itu. Anak gadis berwajah pan asia yang sering comot bersalut hamis bau kambing dan taburan biji sawit tetapi gemar memakan makanan barat.

            “Atuk bayangkanlah ya, mana Juju hendak cari mee udang bersalut cream cheese macam di gerai Mak Biah. Hanya ada di Kampung Daun Melambai kita ini, atuk.” Terkebil-kebil mata Juju membayangkan menu kegemarannya yang dijual di pekan kampungnya, gerai milik Mak Biah di Ulu Trong, Taiping, Perak.

            “Hmm... itu menu yang kamu sendiri suruh gerai Mak Biah masakkan.  Siap kamu sendiri yang bawakan cream cheese.  Menu untuk kamu seorang!  Mana ada tekak orang melayu di sini yang lalu hendak telan mee udang dengan keju macam kamu.  Tidak pernah dibuat dek orang.”

            “He he... tetapi atuk tolong jangan tukar topic ya.  Juju betul-betul hendak tahu apa sebenarnya rancangan mama? Mesti ada udang galah gemuk di sebalik mee. Sudahlah selama ini asyik Izzul, Izzul, Izzul! Mana pernah nama Juju yang mama panggilkan kalau sampai waktu makan.” Juju memberontak mengingati mamanya, Maiya Karina yang dikatakan berlebih-lebih sayangkan adik tirinya, Hanzz Izzul.  Hanzz Izzul adalah anak lelaki Maiya Karina yang berumur lima belas tahun dan berwajah persis Jehan Miskin.  Bulu keningnya hampir sahaja bercantum.  Anak lelaki hasil dari perkahwinan Maiya Karina yang kedua.  Suami keduanya ialah kekasih zaman sekolahnya iaitu Hanzz Izzat, bapa tiri kepada Juju.  Juju sering merasa terpinggir, tidak dipedulikan dan tidak mendapat perhatian. Tok Hamzah Dollah dan kambing kesayangannya, Conanlah tempat Juju mencurah kasih dan perasaan.  Anak-anak gadis Kampung Daun Melambai dan rakan sekolah Juju kekok untuk berkawan rapat dengannya yang mempunyai darah pan asia sebelah neneknya.  Juju dicop sebagai cucu Orang Kaya Tok Hamzah, berwajah ala inggeris, sukakan makanan barat tetapi bergelumang dengan taik kambing dan biji sawit.  Namun demikian, sikapnya yang peramah, mudah mesra dan tidak geli dengan becak dan tanah merah membuatkan orang-orang kampung amat menyenanginya. Sikap yang berlainan sekali dengan mamanya, Maiya Karina yang sering meletakkan dirinya sedarjat lebih tinggi melebihi orang-orang kampung.

            “Juju. Suka sangat tuduh mama kamu pilih kasih. Mama kamu tidak sebut nama kamu masa makan pun, kamu tetap laju memecut ke meja makan. Tengok ini hah! Hampir habis burger atuk bawakan, kamu makan tidak sampai dua minit. Juju, Juju... janganlah asyik mahu berkira dengan adik kamu. Jangan suka menyalahkan mama kamu, Juju.”

            “Atuk memang tidak faham. Semua orang sama. Macam sengaja tidak perasan, sejak kecil, cuma Izzul seorang anak kesayangan di mata mama.  Sekarang, mama hendak campak pula Juju tinggal dengan abah. Abah yang mama hina selama ini, sekarang dipuji baik macam bapa mithali pula. Pelik bin ajaib sungguhlah! Suka cakap pusing-pusing!”

            “Inilah atuk hendak beritahu. Mama sendiri yang minta atuk jelaskan pada kamu. Sebenarnya minggu depan mama, baba dan adik kamu akan ke London.  Permohonan mama kamu untuk melanjutkan pengajian PhD di sana telah diterima. Lagipun arwah nenek kamu ada meninggalkan sejumlah harta dan perniagaan dalam bidang hartanah di London. Adik nenek kamu, Nenek Sue Ann Marry, memang sudah lama minta mama kamu uruskan segalanya yang menjadi milik nenek kamu. Atuk memang sudah tidak larat lagi, Juju.” Tersedak sisa burger ayam yang ditelan Juju. Tersembur baki keju yang membaluti isi burger ayam tersebut.

            “London? Mama pergi London dengan baba dan Izzul? Tinggalkan Juju? Alamak! Ini apa kes pula? Pergi London tinggal Juju! Juju seorang sahaja tidak tahu hal yang besar macam ini? Tidak adil betul! Oh... sebab itu beria benar suruh Juju dengan abah di Kuala Lumpur?  Kalau macam ini, baik Juju tinggal dengan atuk.  Biar kita sama-sama urus ladang sawit dan kandang kambing kita.  Juju tidak mahu duduk dengan abah.” Matanya sudah bergenang menahan butiran jernih yang bakal terhambur bila-bila masa.  Dia jenis yang susah menangis. Jenis yang keras kepala tetapi tindakan mamanya mengenepikannya kali ini benar-benar membuatkan dadanya terasa sebak, senak dan sempit.

            “Dengar sini, Juju. Ladang sawit dan kandang kambing kita bukanlah masalahnya.  Pekerja kita ramai. Pokoknya sekarang, mama kamu merasa amat bersalah kerana telah sekian lama dia memburukkan abah kamu. Sebenarnya, mama kamu marahkan atuk memaksanya kahwin dengan abah kamu dulu.”

            “Mama kena paksa kahwin dengan abah? Atuk yang paksa? Oh!  Tolonglah atuk, tolonglah jangan buat drama samarinda pula kali ini.” Juju sengaja tidak mahu bertentang mata dengan datuknya. Pandanganya dilontar ke bawah bukit yang landai. Dia tidak kuasa mendengar cerita rekaan semata-mata kerana mamanya mahu ke London dan tinggalkannya terkontang kanting dengan keluarga baru abahnya. Tok Hamzah Dollah menarik nafas panjang mencari kekuatan untuk meneruskan cerita silam. Cerita benar sejarah kelahiran Juju. 

            “Kalau Juju hendak tahu, lebih kurang tujuh belas tahun yang lalu, abah kamu datang ke kampung kita bersama kawannya. Mereka kemari untuk mencari peluang kerja mengangkut biji kepala sawit dan keperluan kambing kita.  Abah kamu dan kawannya datang dengan sebuah lori kecil masa itu.  Sanggup susah payah. Sanggup buat kerja apa sahaja di ladang kita bermodalkan lori yang dibawa.  Hanya abah kamu, Rameli Saripin yang lebih menjadi perhatian atuk masa itu. Abah kamu, orangnya memang sejuk mata memandang, Juju. Hah! Macam muka Shahrukh Khan. Hidungnya terpacak dan senyumannya menawan hati atuk untuk dijadikan menantu.  Yang paling atuk berkenan ialah dia sangat berbudi bahasa, tutur katanya tertib, hormat orang kampung dan sangat rajin ke surau. Yang paling penting ialah dia sangat ringan tulang dan menjaga solatnya.” Tok Hamzah Dollah sebenarnya melihat bayangan dirinya sendiri di dalam diri Rameli Saripin, abah kepada Juju.

            Juju yang dari tadi tidak memandang muka datuknya, mula mengangkat sedikit kelopak matanya.  Dia sebenarnya tidak dapat menyembunyi rasa ingin tahu tentang abahnya yang selama ini, tiada siapa ingin bercerita.  Jauh sekali ada orang yang memuji orang yang bergelar abah dalam hidupnya. Selama ini juga, mama Juju melarangnya menyebut apa sahaja yang berkaitan abahnya, Rameli Saripin yang dikatakan kacak bak artis hindustan.

            “Ketika itu, mama kamu sedang asyik bercinta dengan baba kamu sekarang.  Belum habis sekolah, sudah asyik bercinta dengan Hanzz Izzat.  Masa itu pula, baba kamu asyik berpeleseran, tiada pekerjaan... anak orang kaya kampung seberang.  Manalah atuk tidak naik angin. Sayang sekali sebab masa itu mama kamu memang bijak tetapi tidak peduli langsung bab pelajaran. Nah!  Sekarang baru sibuk hendak lanjutkan pelajaran.”

            “Habis, bila masa pula atuk paksa abah dan mama kahwin? Kenapa sampai perlu paksa kahwin?” Juju sudah beria ingin tahu.

            “Dengan kuasa yang ada pada atuk selaku orang ternama yang berpengaruh di kampung kita masa itu, atuk telah memaksa abah dan mama kamu berkahwin.  Baba Hanzz Izzat kamu sendiri telah dihantar oleh orang tuanya ke Singapura, ke kampung halaman mereka untuk sambung belajar di sana. Tujuan atuk hanya satu masa itu. Atuk rasakan mama kamu perlu dikahwinkan dengan orang yang dapat membimbingnya ke jalan yang betul. Kedatangan abah kamu ke kampung kita dengan pembawakan dirinya yang menarik perhatian atuk adalah sangat tepat pada masanya. Paling penting, atuk memandang abah kamu yang sangat mementingkan bab solat dan ada pegangan agama.  Sanggup berhenti apa sahaja yang dilakukan semata-mata hendak solat diawal waktu.  Malah, semua anak-anak muda pekerja ladang atuk diajaknya solat berjemaah dengan cara yang begitu santai.” Terkebil-kebil mata Tok Hamzah mengingati menantu pujaan hatinya itu, Rameli Saripin yang sangat berhemah tinggi di matanya. Juju pula sudah bertongkat dagu mendengar sambil ternganga. Pertama kali ada orang yang memuji seorang yang bernama abah dalam hidupnya.   Pertama kali juga dia merasakan abahnya adalah hero hatinya. Pertama kali juga merasa nikmat mempunyai seorang yang bergelar abah dalam hidupnya.

            “Mama kamu tersangat marah pada atuk.  Pertama, kerana dipaksa kahwin.  Kedua, mama kamu menuduh atuk memaksa baba kamu ke Singapura, padahal keluarganya yang suruh.  Ketiga...” Tok Hamzah Dolah sengaja memancing perhatian Juju.  Sengaja berhenti sejenak untuk meneguk air kopi tarik yang dibawa untuk bekalan kepada Juju tadi. 

            “Alah... ketiga apa atuk?  Cepatlah cerita.” Tok Hamzah Dollah tersengih melihat telatah cucunya yang memang tidak sabar jika mahukan sesuatu.

            “Ketiga sebab abah kamu sebenarnya sudah berkahwin di bandar. Sudah mempunyai isteri sebelum berkahwin dengan mama kamu.”

            “Hah!  Biar betul atuk! Atuk biar mama dimadukan? Mama jadi isteri nombor dua?  Oh...!  Maknanya mama Rosnita, ibu tiri Juju ialah isteri pertama abah?”  Mulut Juju semakin melopong bulat dua kali ganda apabila pertama kali mengetahui rahsia keluarga sendiri.  Rasa ingin tahunya bertambah meluap-luap.

            “Abah dan mama Rosnita kamu telah berkahwin lima tahun tetapi tidak mempunyai anak ketika itu. Diburukkan lagi keadaan, menurut abah kamu, mama Rosnita kamu telah tiga kali keguguran dan doktor mengesahkan rahimnya amat lemah dan tidak kuat ketika itu.  Kemungkinan untuk mempunyai zuriat sendiri, amatlah tipis. Malah, mama Rosnita kamu yang selalu mengusulkan agar abah kamu kahwin lain demi zuriat.”

            “Hmm... patutlah mama marah betul. Mama bencikan abah! Hasilnya, mama bencikan Juju juga! Atuk yang paksa mama kahwin dan atuk sorok pula bab abah sudah berkahwin. Hmm... habis mengapa abah dan mama bercerai pula?” Juju mula membuat perhitungan sendiri dari cerita Tok Hamzah Dollah.

            “Mana ada mama kamu bencikan kamu, Juju. Itu cuma perasaan kamu.  Hmm... hidup mama dan abah kamu tidak pernah berdamai pada masa itu. Abah kamu yang banyak benar bersabar dengan mama. Tahap kesabarannya yang tinggi memang patut dipuji. Kamu sendiri tahulah kerenah mama kamu. Tetapi... Alhamdullilah, setelah tiga bulan, mama kamu disahkan mengandungkan kamu, Juju.” Tok Hamzah memandang mata cucunya dengan penuh rasa kasih sayang.  Dia menepuk bahu Juju sambil menyambung kisah silam mama dan abah Juju.

            “Tuhan yang maha kuasa memang maha pengasih dan penyayang.  Abah kamu telah diuji dengan ujian yang besar.  Hendak dijadikan cerita, mama Rosnita kamu juga mengandung pada masa yang sama. Walhal dia disahkan sukar untuk mengandung sebelum ini. Jadi, jenuhlah abah kamu berulang alik ke Kuala Lumpur dan ke kampung kita. Dia memang seorang suami yang adil dan penyayang... tetapi itulah, mama kamu sering minta diceraikan kerana tidak puas hati, geram dan berdendam.” Tok Hamzah Dollah mengeluh berat.

            “Hah!  Jadi abah ada anak sebaya sayalah atuk? Mengapa tiada siapa yang beritahu saya pun?” Cepat-cepat cermin mukanya di ambil dan belek-belek seolah-olah tidak tengok muka sudah empat hari. Hatinya berbisik... ‘Mungkinkah abah ada anak muka macam aku, suka makan keju macam aku?’

            “Ada muka anaknya serupa dengan muka saya, atuk?”

            “Dari tidak boleh mengandung, abah kamu dapat dua orang anak dengan isteri pertamanya. Mereka dikurniakan sepasang anak lelaki dan perempuan.  Yang lelaki betul-betul sebaya dengan kamu dan yang perempuan menyusul setahun kemudian.  Atuk sendiri tidak pernah melihat muka atau gambar mereka berdua.”

            “Ada anak lelaki sebaya saya?  Iskh... ini tidak boleh jadi atuk, nampaknya saya ada saingan.”

            “Apa yang tidak boleh jadi, sayang?  Semuanya boleh dan telah pun terjadi dengan kuasa Tuhan, Juju.  Kamu jangan terkejut jika atuk katakan, bukan sahaja sebaya tetapi... kamu lahir pada hari yang sama dengan anak lelaki Mama Rosnita kamu. Sama hari!  Cuma kamu lewat sejam. Atuk tidak dapat lupa, sebab kamu berdua lahir pada hari yang sama. Mama kamu marah betul sebab abah kamu ke Kuala Lumpur untuk menyambut kelahiran anak lelakinya.  Mama kamu yang dijangkakan lagi seminggu melahirkan kamu telah terawal tarikh pula.”

            “Betul atuk?  Mengapa selama ini tiada siapa yang cerita pada Juju?  Rahsia dari Juju? Kalau tidak, sudah penuh blog Juju tulis kisah sejarah hidup yang penuh tragis!” Juju teringatkan blognya yang begitu menarik. Asyik-asyik bercerita soal ladang kelapa sawit, kambing-kambing dan susahnya hendak makan masakan berkeju di kampung.

            “Apa pula yang tragisnya, Juju?  Itukan satu rahmat!  Maknanya kamu ada abang dan adik perempuan. Abang yang cuma beza waktu lahir sejam dari kamu. Kamu mungkin satu dalam sejuta orang yang mendapat nikmat sebegini, Juju. Kamu ada abang yang lahir dari perut ibu yang berlainan, berkongsi abah dan sama tarikh lahir!”

            “Abang?  Juju ada abang dan adik perempuan?  Wah!  Tidak pernah Juju bayangkan semua ini selama ini, atuk. Rasa macam pelik pun ada, geli pun ada.” Juju memberi reaksi antara suka dan tidak. Dia keliru. Selama tujuh belas tahun tiada siapa yang bercerita tentang keluarga abahnya, kisah silam mamanya dan kehadiran adik beradik dalam hidupnya. Fikiran dan nafasnya terasa senak untuk menghadam semua maklumat yang baru diterima.

            “Hmm... selama ini Juju selalu kena saing macam-macam dengan Izzul.  Sekarang Juju kena duduk dengan abah dan kena saing pula dengan abang dan adik baru. Paling teruk ada abang sebaya Juju!  Aduh!  Atuk... peninglah.”

            “Mana ada yang peningnya. Anggaplah semua ini ketentuan Tuhan yang sayangkan Juju, sebab itu setelah tujuh belas tahun baru Juju tahu yang Juju ada abang dan adik baru.  Paling best, abah Juju sekarang berniaga restoran makanan dan katering. Kalau tidak silap atuk, abah kamu kata hari itu, sudah ada lapan cawangan restoran. Atuk betul-betul bangga dengan abah kamu.”

            “Restoran makanan dan katering?”

            “Ya betul, Juju.  Namanya Restoran dan Katering Can Meli Can. He he... namanya Can Meli Can sebab Can untuk belacan dan Meli adalah singkatan nama abah kamu sendiri.  Jangan tidak tahu, sebenarnya abah kamu pakar masak memasak. Makanan utama ialah masakan kampung dan tradisional melayu. Masa di kampung dialah yang masak lemang dan rendang ketika raya di sini. Ramai yang suka dengan lemang dan rendang abah kamu, Juju.”

            “Hah! Apa atuk kata? Belacan? Restoran masakan kampung? Habis Juju hendak makan apa?” Juju telah menunjukkan ciri-ciri kerisauan melampau. Risau kena beralih selera dari keju kepada belacan. Tok Hamzah Dollah sendiri baru teringat yang Juju hanya sukakan makanan barat. Anak kampung yang sukakan spaghetti, makaroni, burger dan semuanya harus berasaskan keju. Tekak gadis kampung yang mewarisi darah inggeris dari ibu dan neneknya.

            “Alamak, atuk lupalah. Ha ha... jangan risau, mesti boleh dibereskan. Atuk sendiri akan jelaskan pada abah kamu. Nanti kita borong semua makanan kegemaran untuk kamu sebelum kamu tinggal dengan abah ya. Kalau boleh, kita beli satu peti ais khas untuk keju kamu seorang. Lagipun di Kuala Lumpur, apa yang tidak boleh dibeli? Ha... apa-apa pun kalau hendak tahu cerita lebih lanjut, kita balik ke rumah dahulu.  Lepas maghrib kita boleh sambung cerita panjang lebar.” Kepala Juju berlegar memikirkan masalah belacan tadi, Juju melangkah kakinya longlai mengikut atuknya pulang ke rumah mereka yang tersergam besar dengan lapan bilik tidur.  Rumah kampung sentuhan dari Bali yang mempunyai halaman seluas padang bola sepak. 

            “Ee... gelilah belacan. Orang Kuala Lumpur makan belacan? Sungguh tidak sesuai!  Yaks.... Busuk!  Busuk!  Busuk!”
88888888888888888888888888888888888888888888888888