Friday 15 July 2011

BAB 2

Bab 2 bercerita tentang detik satu ketika dahulu. 
Mengapa Juju diketepikan oleh Ibu kandung sendiri? 
Mengapa Juju hanya mengadu domba pada datuknya? 
Mengapa Juju bergelumang di ladang kelapa sawit 
dan di kandang kambing?

Marilah menjengah BAB 2 pula ya.  

ANTARA BELACAN DAN KEJU

-BAB 2-

Satu ketika Dahulu


            ‘Yang penting, aku mesti tahu semua cerita sebenar. Cerita sejarah hidup aku! Mengapa abah tidak bela aku selama ini... Mengapa tiba-tiba mama jadi baik sekarang... Kena buat-buat baik malam ini. Senang hendak korek rahsia. Mula-mula perlu buat-buat merajuk, kemudian... peluk mama bagi hati mama cair. Biar lembut hati dia, senang dia luahkan semua yang dia rahsiakan selama ini.’ Juju berbisik sendirian di dalam hatinya. Idea nakal memang selalu bersarang dalam kepalanya. Tidak kira apa pun caranya, Juju mahu malam ini, segalanya jelas dan terang lagi bersuluh. Jangan ada yang terselindung lagi.

Tiba-tiba lamunan Juju terhenti. “Juju, sedap grilled cheezy mushroom chicken tadi?”

            “Hmm... okeylah. Not bad...”

            Semua yang ada di situ memandang Juju dengan ekor mata.  Tiada mulut mahu bersuara menegur sikap acuh tidak acuhnya. Bukan tidak berani menegur, tetapi malas untuk mengeruhkan suasana. Masing-masing cuba untuk mewujudkan keadaan sedamai mungkin.  Juju membuat aksi tidak bosan membelek muka dan giginya di cermin muka yang digenggam. Sedetik pun dia tidak mengangkat muka memandang mamanya yang cuba mengambil hatinya yang masih diamuk rajuk. Biar seisi keluarga tahu yang dia masih tidak puas hati mengapa tiba-tiba dia harus dihantar ke Kuala Lumpur. Mengapa sekarang? Mengapa tidak tujuh belas tahun dahulu? Juju sengaja membuat aksi kurang ajar. Protes dalam diam tetapi habis makanan sepinggan. Mana mungkin menolak makanan berkeju lemak berkrim yang disukainya. Syukurlah dia mewarisi susuk tubuh kewanitaan arwah nenek dan ibunya.  Kecil molek dan langsing.  Belum ada lemak keju yang berani bertapak di pinggangnya.

            “Apa yang tidak sedapnya, Karina? Cuba tengok, licin sepinggan masakan kamu dijamahnya. Mesti Juju rindukan masakan mama di Kuala Lumpur nanti.” Tok Hamzah Dollah cuba memecah kesunyian.

            “Sesekali, cubalah masakan melayu pula. Sedap..., Juju. Tambah-tambah lagi kalau mama yang masak.” Hanzz Izzat, bapa tiri yang dipanggil baba oleh Juju cuba memancing hati Juju pula sambil memuji masakan air tangan isterinya. Sejak Juju kecil, Hanzz Izzat tidak pernah jemu cuba mencuit sisi lembut hati anak tiri yang dianggap sebagai anak sendiri. Dia bukanlah menantu pilihan satu ketika dahulu. Namun, keadaan telah berubah. Hanzz Izzat sedaya mungkin cuba menjadi ketua keluarga yang terbaik buat keluarga kecilnya itu. 

Makan malam  hari itu,  grilled cheezy mushroom chicken hanya dimasak khas untuk Juju seorang. Seperti biasa, jika ingin melihat Juju makan berselera, pastikan ada masakan barat berkeju untuknya. Tekak ahli keluarga yang lain pula lebih berselera dengan ikan pari bakar cicah air asam, sambal telur puyuh dan sayur kalian ikan masin. Maiya Karina sendiri boleh makan sebarang makanan. Tidak hanya tertumpu kepada tekak berkeju seperti anak gadisnya. Walaupun tidak setaraf chef, Maiya Karina memang boleh memasak bukan sahaja masakan barat tetapi juga masakan melayu asli. Air tangannya sesedap rasa. Cukup seimbang lemak, masin, masam dan manisnya. 

            Juju masih membelek cermin comel di tangannya. Digenggam erat tangkai cermin tanpa mempedulikan orang sekelilingnya. Sebelah tangan lagi menggenggam cheese stick kononnya sebagai makanan pencuci mulut. Dalam hatinya geram memikirkan mengapa mama, atuk dan babanya lambat benar memulakan bicara penting. Asyik sibuk bab makan sahaja. Makan bila pun boleh sembang. Sengaja melengah-lengahkan bicara soal mengapa dia harus dipaksa ke Kuala Lumpur. Entah-entah Hanzz Izzul, adik tirinya juga sudah tahu. Maknanya hanya dia yang terkebil-kebil tidak tahu dengan jelas duduk letaknya pemergiannya ke rumah abahnya minggu depan. Paling Juju geram adalah kerana semenjak akhir-akhir ini mamanya sering cuba berbuat baik dengannya. ‘Nampak sangat plastik! Selama ini suka marah-marah, benci aku, mengarah itu ini, lebihkan Izzul. Tiba-tiba sekarang sebab hendak pergi London, tinggal aku... hendak buat-buat baik pula. Hipokrit!’ Hati Juju panas mendidih lagi dalam diam.

            “Eh! Apa pula ini mama?”

            “Bacalah dulu, sayang...”

            ‘Sayang? Alamak!’ Juju menahan rasa terkejutnya sendirian. Juju geli mendengar mamanya memanggilnya dengan panggilan sayang. Rasa macam hendak tersedak mendengar mamanya memanggilnya dengan panggilan sayang malam itu. Panggilan yang hanya muncul setelah ingin menghantarnya untuk tinggal bersama abahnya di Kuala Lumpur. Juju membuat muka pelik tanpa sembunyi. Padanya, mamanya yang selalu tegas dan berlebihan memanjakan Hanzz Izzul, memanggilnya dengan perkataan sayang yang tiba-tiba dirasakan begitu asing.  Mesti ada bebola ikan di sebalik mi sanggul.  Mesti ada sesuatu yang pelik.  Juju sengaja lambat-lambat membaca keratan akhbar yang dihulurkan kepadanya.  Sengaja membuat muka tidak berminat.

            “Hmm...” Juju membaca keratan akhbar yang dihulurkan oleh mamanya tadi. Dia menelan air liur terkejut dengan kejayaan mamanya.

            Produk Keju Krim Analog Menang Pingat Platinum
Pingat platinum dimenangi melalui teknologi hasil penyelidikan selama lima tahun bertajuk Potential of Palm Oil in the Production of Cream Cheese Analogue on Different Food Applications.  Pemenang pingat plantinum, Puan Maiya Karina binti Hamzah Dollah selaku penyelidik bioteknologi yang berpengalaman berkata, ciri khas penyelidikkannya adalah menggunakan minyak sawit keluaran negara sebagai menggantikan lemak susu impot yang kebiasaanya digunakan di dalam penghasilan keju krim...



“Erk... mama? Betul mama yang menang pingat?” Juju tidak dapat membohongi dirinya sendiri. Dia terkejut dan berbangga dengan pencapaian mamanya.

            Maiya Karina mempunyai ijazah sarjana dalam bidang bioteknologi. Sejak lima tahun yang lalu dia bertambah gigih berusaha membuat kajian tentang kelebihan dan kebaikan produk minyak sawit di makmal sawit milik ladang Maiya Global.  Dia berjaya mencetuskan idea menghasilkan produk yang tidak mengandungi kolestrol, halal dan lebih murah.  Antara aplikasi keju krim analog adalah bahan dalam produk kek keju, salad dan sos keju.  Keju yang dijadikan pengganti mentega atau minyak zaitun dalam kentang kisar untuk rasa yang lebih enak dan berkrim.

            “Ya, betullah. Mama yang menang pingat tersebut. Sekali gus juga, mama dapat hadiah biasisawa penuh dari University of Nottingham, United Kingdom. Mama akan buat PhD di sana. Pengkhususan dalam penyelidikan minyak sawit dan keju.”

            “Tahniah mama! Mama memang hebat! Juju bang...ga dengan mama.”

            “Semua ini kerana Juju juga, sayang.”

            “Kerana Juju?”

            “Betul! Semua sebab Juju! Juju yang suka makan keju sejak kecil. Terikut-ikut dengan selera arwah nenek Jenab. Nah! Alang-alang kita ada ladang kelapa sawit, mama hasilkan kajian bioteknologi dengan keju krim analog ini.”

            “Wah... seronoknya.  Rasa macam pertama kali mama sayangkan Juju. Mama puji Juju.  Macam tidak percaya. Hmm... selama ini kan asyik nama Izzul yang meniti di bibir mama. Anak manja mama.” Semua mata memandang Izzul serentak.   

            “Sayang Izzul?  Iskh... kakak suka perasanlah. Mama sayang kita semualah. Kakak yang selalu rasa mama pilih kasih.” Izzul membela diri tanda protes dituduh anak manja. Tok Hamzah Dollah dan Hanzz Izzat menepuk-nepuk belakang Hanzz Izzul yang memang tidak suka dicop baby mamanya.

            “Jadi, memang betullah mama akan ke London minggu depan? Cepat sangat! Minggu depan? Juju? Juju kena tinggal?” Soalan bertubi-tubi sengaja dihamburkan yang menambahkan lagi rasa senak di hati Maiya Karina.

            “Sebenarnya semua ini silap mama. Salah mama! Mama patut beritahu Juju lebih awal. Perancangan awalnya Juju memang patut ikut sekali... tetapi setelah difikir-fikirkan...” Tiba-tiba suasana menjadi hening.  Tidak semena-mena Maiya Karina menitikkan air mata dicelah keseronokan dua orang anak remajanya.

            Juju hairan melihat mamanya menangis. Tidak dapat dikesan, air mata kesedihan atau kegembiraan. “La... orang lain seronok dengan kejayaan mama, mama pula menangis. Banyak betul dramalah hari ini. Siang tadi drama atuk buat atas Bukit Sekupang. Sekarang pula, drama mama menangis selepas beritahu menang pingat keju dan sawit.” Semua mata memandang Tok Hamzah Dollah pula.

             Tok Hamzah Dollah cuba sebaik mungkin untuk menceriakan suasana. Jangan ada deraian air mata di saat semuanya akan berpisah minggu hadapan. “Umph... macam atuk beritahu siang tadi Juju, selain urusan PhD mama kamu, adik beradik arwah nenek Jenab di London sudah beberapa kali minta mama kamu meneruskan business hartanah di sana. Hendak diharapkan atuk, memang sudah larat lagi tulang empat kerat dan urat tua atuk ini, Juju. Soal mama tidak bawa Juju ke London pula sebab abah Juju kan tidak berpeluang bela Juju selama ini, jadi mama dan atuk rasa... inilah masanya Juju dapat kenal abah dengan lebih dekat.” Juju pura-pura masih tidak faham dengan penjelasan Tok Hamzah. Sengaja mahukan penjelasan lanjut.

            “Biar mama berterus terang... Mama sudah banyak bersalah, Juju. Mama sudah penat memendam rasa seorang diri kerana berdosa selama ini. Berdosa pada kamu, Juju. Paling teruk, berdosa pada abah kamu. Biarlah malam ini mama ceritakan segalanya. Biar kamu tahu hal sebenar.” Teresak-esak Maiya Karina meluahkan rasa hatinya yang senak berbuku di hulu hati.  Bukan mudah untuknya menghambur ego dihati yang dipendam selama hampir sama usia dengan Juju... hampir tujuh belas tahun lamanya. Ego dalam membuat tuduhan kepada bekas suaminya, abah kepada Juju. Hanzz Izzat dan Hanzz Izzul hanya mampu memandang sayu dan membisu. Masing-masing ingin memberi ruang kepada Maiya Karina meluahkan isi hati. Lebih baik mulut dikunci. Tidak perlu menyampuk. Biar dua beranak itu lega meluahkan segala-galanya malam itu. Malam yang membongkar kisah silam Maiya Juliana, Juju si gadis kampung berwajah pan asia yang ayu, berjiwa lasak dan pemakan keju yang tegar.

            “Mama percaya, siang tadi, atuk kamu ada jelaskan serba sedikit tentang mama dan abah kamu. Tentang bagaimana kami berkahwin dan..”

            Juju sengaja memotong kata-kata Maiya Karina. Risau mamanya hendak sembunyikan soal dipaksa kahwin dahulu. “Ya, atuk ada ceritakan tentang mama yang kena paksa kahwin. Hmm... mungkin juga itulah penyebab utama mengapa mama begitu bencikan abah selama ini. Bencikan Juju juga. Tuding semua kesalahan ke bahu abah. Segala yang Juju buat semuanya tidak kena di mata mama.” Semua mata memandang kepada Tok Hamzah Dollah pula. Seolah-olah memandang si tukang bawa cerita kepada Juju dan si tukang paksa anaknya berkahwin dahulu.

            “Betul Juju... masa itu mama sendiri masih tidak dapat menerima jodoh yang telah Tuhan tetapkan. Jodoh hasil paksaan atuk. Tidak kiralah apa pun alasan atuk, mama tidak dapat terima masa itu. Mama rasa marah, benci, geram! Semuanya bercampur baur! Mama salahkan atuk kamu atas segalanya. Mama bencikan abah kamu. Jadi, mama tanamkan dalam fikiran kamu sejak kecil yang abah kamu jahat. Supaya, bila besar... kamu pula bencikan abah. Sama macam mama bencikan dia. Duit nafkah yang diberikan pada kamu, mama tidak pernah peduli, atuk yang uruskan. Mama katakan pada kamu, abah kamu tidak bertanggungjawab. Walhal, sebenarnya...” Suasana menjadi pilu.  Malam yang dingin berada di gazebo di luar rumah menjadi begitu hening dan sunyi.  Cuma esakan keinsafan Maiya Karina.

            Melihat Maiya Karina yang masih tersedu sedan, Tok Hamzah pula mencelah. “Sebenarnya abah kamu tidak bersalah langsung, Juju. Dia beri duit nafkah bulanan dari kamu lahir sampai sekarang. Tidak pernah sebulan pun dia abaikan. Tidak pernah sedikit pun juga duit itu terusik. Abah sendiri pernah bekerja di ladang sawit dan kandang kambing kita. Walaupun dia tahu kita jauh lebih berkemampuan darinya, dia tetap tidak pernah lalai dengan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa. Tidak pernah henti menghulurkan nafkah bulanan mengikut setakat kemampuannya. Semuanya dimasukkan dalam buku simpanan bank, kemudian atuk alihkan dalam ASB, untuk pelaburan masa depan Juju juga. Nah! Ambil! Ini buku bank dan ASB kamu. Semuanya duit hasil nafkah dari abah kepada kamu... yang mama kamu telah ketepikan hak kamu.” Tok Hamzah menghulurkan kepada Juju, buku simpanan bank dan buku ASB dari poket baju melayunya. Juju menyambut dengan sedikit terpinga.  Cuba memahami semua input bertalu-talu dalam satu masa.

            Serba salah Juju hendak bertanyakan soalan selanjutnya. “Ta... tapi abah tidak pernah mahu jenguk Juju. Mengapa abah tidak berusaha sedaya upaya untuk bela Juju, jaga Juju, macam anak-anak abah yang lain?”

            “Mama yang larang. Mama yang halang dan mama yang ugut dia macam-macam. Mama...” Maiya Karina tidak mampu menatap wajah Juju lagi.

            “Inilah ketentuan Ilahi, Juju.” Hanzz Izzat menyampuk sambil menggenggam tangan Maiya Karina.

            ‘Ketentuan Ilahi? Ketentuan supaya aku dibesarkan di kampung. Main dengan kambing. Kotor dan busuk! Sekarang semua orang hendak ke London. Baru hendak hantar aku pada abah? Huh! Baik duduk dengan atuk!’ Juju kurang senang kata-kata bapa tirinya yang menyampuk. Dia meresah di dalam hati sendirian.

            Hanzz Izzat pula menjadi tukang cerita bilamana dilihat Maiya Karina dan Tok Hamzah Dollah berat untuk membuka mulut. “Sebaik sahaja kamu dilahirkan, mama menjadi hampir separuh gila jadinya, Juju. Apa... orang melayu kita kata macam kena penyakit gila meroyan? Tahap kronik juga penyakitnya. Jenuh atuk bawakan mama kamu berjumpa pakar sakit jiwa sampai ke Hospital Kuala Lumpur, berubat kampung dan pelbagai cara. Mama jadi tidak terurus, apatah lagi untuk menguruskan kamu, Juju. Mama asyik salahkan atuk dan abah kamu yang didapati telah mempunyai isteri dan anak yang lahir sama hari dengan kamu pula.” 

            “Oh... jadi baba ada sekali pada masa itu?”

            “Atuk kamu yang menelefon baba di Singapura. Alhamdullilah, bila baba ke sini, dengan izin Tuhan, mama kamu semakin pulih. Kemudian, mama minta diceraikan dari Rameli Saripin dan... dan kami pun bernikah.” Hanzz Izzat memandang muka Tok Hamzah Dollah. Pandangan yang cepat dimengertikan oleh orang tua yang lebih dahulu telah masak dengan rencah kehidupan. Dia segera menyambung cerita pula.

            “Betul, Juju. Atuk sendiri terpaksa beralah demi mengembalikan semangat dan kesihatan mama kamu ketika itu. Atuk tidak mahu kehilangan satu-satunya anak tunggal atuk walaupun atuk sangat berkenan bermenantukan Rameli Saripin, abah kamu pada ketika itu. Selepas bercerai dan selesai tempoh edah, mama dan Baba Izzat kamu pun bernikah. Baba Izzat pun telah banyak berubah semenjak berkahwin dengan mama. Jadi suami yang baik dan baba yang baik untuk Izzul dan kamu juga. Semangat mama pun semakin pulih. Atuk yang mohon dari Rameli agar kami yang memelihara kamu, Juju. Abah kamu tidak bersalah langsung dalam hal ini. Lagi satu, sebenarnya, kamu sangat mirip cinta hati atuk, mirip benar wajah arwah nenek Jenab kamu. Sebab itu atuk yang beria benar mahu pelihara kamu, Juju.”

            “Aik, Juju ingatkan Juju sama muka dengan mama. Rupa-rupanya Juju sama dengan arwah nenek Jenab?” Juju memegang pipinya dan membelek muka pada cermin di tangannya.

            “Ha ha... mama mahu juga makan sambal belacan. Makan masakan melayu. Kamu Juju... bukan sahaja sama rupa, suka makan keju pun sama sebiji macam arwah mummy.  Mana mahu lepas dengan cheese stick di tangan. Lagi satu, itu... cermin di tangan, itukan jolokan buat nenek Jenab kamu, dari mama kecil semasa di London, nenek kamu ajar mama main mirror mirror on the wall who is the fairest of them all...  atuk kamu pula akan menjawab, Jenab is the fairest of them all!”            Serentak mereka berlima ketawa, memecah deraian air mata dan rasa gundah yang terbuku di hati masing-masing.

            “Hmm... itu puncanya. Sebab muka Juju sama dengan Nenek Jenab, Juju kena tinggal di kampung dengan atuk dan mama... pengubat rindu atuk pada arwah nenenk. Sekarang sebab mama hendak ke London, baru mahu kenalkan Juju dengan abah. Sebab mama rasa bersalah. Tetapi... Juju tetap rasakan sepatutnya Juju dapat hak yang sama macam anak-anak abah yang lain. Mesti seronok kalau dibesarkan di KL.” Juju sengaja mengulang fakta yang baru dihadamnya.

            “Juju tidak suka tinggal dengan atuk dan mama di sini selama ini?” Tok Hamzah cuba mencuit hati Juju.

            “Mestilah suka! Atuklah segalanya buat Juju. Juju sayang atuk! Tetapi... Juju pun hendak rasa hidup dan membesar macam orang lain. Ada mama, ada abah. Macam Izzul! Semuanya rasa macam terlalu mendadak! Minggu depan! Minggu depan Juju kena duduk dengan famili abah yang Juju tidak kenal.” Seisi keluarga mengeluh berat memandang Juju. Dalam diam, Hanzz Izzul sendiri mula terasa betapa bersyukurnya mempunyai ibu dan ayah kandung yang selalu melebihkannya selama ini. Berbeza dengan Juju.

“Mama memang berhutang segalanya pada Juju selama ini. Maafkan mama sekali lagi Juju... Beritahu mama, apa yang dapat buat Juju maafkan mama. Mama akan buat! Mama juga risau sebenarnya. Takut Juju tidak dapat sesuaikan diri dengan KL, keluarga abah, sekolah baru...” Maiya Karina tidak tahu bagaimana lagi perlu hendak minta maaf. Nampaknya masih ada rasa tidak puas hati yang mendalam di hati Juju.

Juju seronok dapat membuatkan seisi keluarga resah dan merasa bersalah. Biar sepadan dengan kehidupan yang dilalui selama ini. “Mama tidak perlu buat apa-apa. Tidak perlu hendak minta maaf pada Juju. Juju pun faham. Sudah ini ketentuan sejarah hidup Juju.” Juju sengaja sekali lagi menagih simpati. Biar mamanya terasa lebih bersalah. Maiya Karina tertunduk lemah.

Juju suka melihat mamanya rasa bersalah begitu. Hatinya melonjak girang. Berjaya membuatkan mamanya yang suka menyalahkannya selama ini, mengaku kalah pada diri sendiri. Tiba pula masanya Juju memainkan peranan dengan berlembut pula. “Jangan risaulah! Ini Juju, anak mama! Siapa tidak kenal Juju? Setiap tahun jadi pelajar terbaik Sekolah Menengah Daun Melambai.  Sudahlah pandai, cantik pula. He he.” Juju mengangkat bakul sendiri. Juju sengaja mencari reaksi di wajah adik tirinya, Hanzz Izzul. Memang Hanzz Izzul cemburu dengan otak geliga Juju yang berjaya menggondol pelbagai anugerah cemerlang di sekolah setiap tahun.

            “Amboi, amboi... malulah sikit kakak. Masuk bakul angkat sendiri. Baik naik troli terus. Lagi senang! Alah, setakat terbaik dan tercantik di sekolah kampung, apa kelas?  Nanti di KL, hendak sebut nama sekolah kita pun kakak mesti malu.” Niat Hanzz Izzul untuk menyakat kakaknya Juju membuatkan suasana terkedu sebentar. Tok Hamzah, Maiya Karina dan Hanzz Izzat mula menjegilkan mata masing-masing kea rah Hanzz Izzul. Jelingan tajam yang penuh amaran.

            “Erk... Kak Juju, Izzul tidak bermaksud untuk...”

            “Tidak mengapalah Izzul. Kakak pun faham maksud Izzul. Kita pun memang bersekolah di kampung selama ini. Nama sekolah pun tidak glamour. Lainlah Izzul. Izzul akan ikut mama dan baba ke London minggu depan. Kakak hanya ke KL, mana ada kelas kan.” Izzul menggigit bibir sendiri mendengar kata-kata Juju. Dia tertunduk. Terasa menyesal benar meluahkan kata-kata tidak berlapik tadi. Juju sempat memerli Maiya Karina secara tidak langsung sambil tersenyum selamba gaya teraniaya dengan kata-kata Hanzz Izzul. Tok Hamzah hanya memandang wajah Hanzz Izzat. Itulah perangai sebenar Juju. Menampal senyuman plastik di muka tetapi berbuku dendam di hati.

            Juju segera dapat membaca perubahan wajah Izzul. ‘Seronok betul tengok Izzul kena jegil mata dengan atuk, mama dan baba tadi. Padan muka!’ bisik hati kecil Juju keriangan.“Alah, Izzul, Nanti kakak pandailah sesuaikan diri di sekolah KL. Kakak rasa, sekolah mana sekali pun... London, KL atau sekolah kampung, kalau kita rajin, kita tetap akan berjaya. Tambah pula pelajar vogue macam kakak. Huh! Siapa yang tidak pandang nanti?” Juju mengibas rambutnya yang berwarna perang semula jadi dan membuat gaya ala model catwalk sedang beraksi di pentas. Semua tersenyum riang melihat gelagat Juju yang nakal. Nakal dan keras kepala semenjak kecil macam mamanya.

            “Mama rasa bersyukur ada anak macam Juju. Alhamdullilah kalau Juju berfikiran positif hendak tinggal dengan famili abah dan sekolah di sana. Kalau Juju perlukan apa-apa atau kalau ada yang tidak kena, beritahu atuk dan mama cepat ya. Maafkan mama sekali lagi, Juju.”

            ‘Huh! Pertama kali dengar mama bersyukur ada anak macam aku. Hipokrit!’ Hati Juju berbisik dengan kenyataan yang baru diungkap oleh mamanya. “Sudah-sudahlah mama. Mama tidak bersalah pun. Macam atuk selalu kata, semua yang berlaku pasti ada hikmah. Mungkin susah untuk Juju terima, tetapi tengoklah nanti. Siapa tahu, ada sesuatu yang menarik menanti Juju bila tinggal dengan abah? Jangan risaulah, mama.” Juju tersenyum nakal. Tok Hamzah mencari makna senyuman Juju itu. Dia telah masak benar dengan kerenah Juju. ‘Juju hendak mencari sesuatu yang menarik bila tinggal dengan Meli? Jangan dia buat yang bukan-bukan sudahlah’ Tok Hamzah berteka-teki dengan dirinya sendiri.

            Dua Maiya berpelukan.  Pelukan erat ibu dan anak yang sama cantik, sama cerdik dan sama keras hati. Maiya Karina dan Maiya Juliana berpelukan bagai pertama kali mengenali hati budi masing-masing yang terpendam membuku keras selama ini. Juju mengetap bibirnya sambil mengomel di dalam hati. ‘Jangan harap aku hendak contact mama lagi lepas ini.’ Tangan Juju memaut mamanya namun hatinya terus ganas berdendam. ‘Memang semua orang hutang masa silam dengan aku! Mama dan abah sama saja. Tujuh belas tahun hutang kasih sayang dengan aku!’ Juju merengus dalam hatinya.

            “Alhamdulillah....”  serentak Tok Hamzah Dollah dan Hanzz Izzat mengucap syukur melihat dua beranak itu berpelukan erat bagai digam dengan gam gajah. Masing-masing lega. Tidak begitu sukar rupanya untuk menjelaskan kisah silam sejarah Juju yang penuh warna-warni. Ternyata Juju anak yang senang memahami dan menerima seadanya apa yang telah berlaku. Hanzz Izzat lega. Tok Hamzah Dollah tetap curiga.

            “Wah! Nampaknya semua sudah beres! Juju mesti boleh menerima keluarga baru Juju di KL nanti. Dengan izinNya, selain abah kamu, atuk yakin kamu dapat menerima baik mama Rosnita serta abang dan adik kamu. Mungkin ambil sedikit masa... tetapi atuk percaya, orang macam Juju senang menyesuaikan diri.”

            “Memang senanglah atuk, senang sesuaikan diri jika hari-hari ada keju, ada mushroom soup, ada makaroni, spaghetti... tambah pula orang itu ada abang dan adik baru.” Hanzz Izzul mengejek Juju lagi.  Juju memulas manja telinga Hanzz Izzul.  Semua yang ada di situ ketawa riang melihat gelagat dua beradik tiri itu. Perkataan tiri yang tidak pernah terungkap diantara mereka.

            “Parah sebenarnya mama, atuk kata mereka semua sukakan masakan melayu asli.  Siap ada restoran masakan melayu. Paling geli, atuk kata sambal belacan satu kemestian dalam rumah abah.” Juju mencebik mulut.  Maiya Karina memandang Tok Hamzah Dollah yang telah bercerita berlebihan tentang keluarga Rameli Saripin. Tok Hamzah Dollah membuat muka selamba dan menjungkitkan keningnya. Muka tidak bersalah sambil tersenyum simpul.

            “Ha... eloklah Juju.  Ada keluarga baru yang juga sayangkan Juju. Malah ada mama baru yang cantik macam ratu!” Hanzz Izzat terkenangkan Rameli Saripin yang datang bersama Rosnita Chek Wah di hari persandingannya bersama Maiya Karina.

            “Mama baru yang cantik macam ratu?” 

            “Iskh... ada-ada sahaja.  Memang hendak kena cubit!”

            “Auwww...!” Merah paha Hanzz Izzat dicubit isterinya. Dia sempat ketawa kemiangan. Tok Hamzah Dollah senang hati melihat gelagat keluarganya yang ceria.

            “Hmm... Mama Rosnita kamu, siapa tidak kenal dengan Rosnita Chek Wah. Anak gadis Kampung Ulu Sukun yang menjadi Ratu Cantik Negeri Perak zaman mama dahulu.  Cantik-cantik dia pun, merasa juga dimadukan dengan mama sekejap.” Maiya Karina menjuihkan mulutnya.

            “Wau... dapat mama baru bekas ratu cantiklah!”

            “Sudah... sudahlah... jangan diungkit kisah silam.  Kita hendak menjernihkan segala yang suram dan keruh. Malam ini memang sangat bererti buat atuk. Buat kita semua. Segala yang bersimpul telah dapat kita leraikan. Juju sudah faham kisah silamnya. Juju sudah faham mengapa perlu tinggal dengan abah. Mengapa mama ke London. Nah! Malam esok, elok kita adakan kenduri kesyukuran sebelum kamu semua ke London dan Juju ke Kuala Lumpur.”

            “Betul sangat. Maafkan mama sekali lagi ya, sayang.  Memang kamu layak menerima segalanya yang terbaik, Juju.  Mama ingin membayar segala masa silam yang mama hutang dengan kamu.  Elok benar kita buat kenduri arwah untuk nenek Jenab sekali ya. Lagipun selain melanjutkan pengajian, mama akan menguruskan bisnes peninggalan nenek di London.”

            “Atuk? Atuk ikut Juju ya. Atau... biar Juju teman atuk di sini. Jumpa abah kejap dan Juju patah balik tinggal dengan atuk.” Juju membuat muka manja dan melentuk ke arah bahu Tok Hamzah.

            “Eh! Mana boleh! Juju kena tinggal dengan abah. Atuk kena duduk sini. Siapa hendak tengok rumah kita? Siapa hendak jaga kambing dan ladang sawit kita? Memang ada orang-orang kanan atuk tetapi atuk tetap kena tengok-tengokan.” Juju sayu mendengar kata-kata Tok Hamzah. Tok Hamzah Dollah merangkul mereka berempat. Tiada kata yang dapat diluahkan. Buruk baiknya, merekalah jantung hatinya. Nyawanya! Hatinya terlalu sebak dan sepi tanpa mereka semua kelak. Namun, dia puas! Puas kerana dapat menebus segala masa silam. Masa silam ketika dia memaksa Maiya Karina bernikah dengan Rameli Saripin. Masa silam Juju yang berpisah dengan kasih ayah kandung yang dituduh yang bukan-bukan.

            “Oh!  Ya. Baru atuk ingat! Kelmarin, abah kamu ada bagi sesuatu buat kamu, Juju. Selalunya, tanpa perlu bertanya dengan mama kamu, atuk pulangkan dengan cara baik.  Hmm... tetapi kali ini atuk ambil sebab atuk rasa sudah tiba masanya kita perlu menjalinkan hubungan baik antara dua keluarga. Biar kita ada keluarga yang lebih besar.” Tok Hamzah Dollah mula merasa serba salah. Dengan senyuman kelat dia memandang wajah anaknya Maiya Karina. Bukan meminta izin tetapi untuk menjaga hati. Jangan ada yang rasa tidak senang dengan pemberian yang diterima dalam saat-saat indah sebegitu. Maiya Karina tersenyum sayu, dia mengangguk kepala memandang wajah bapa kesayangannya yang banyak bersusah payah membesarkannya. Tok Hamzah Dollah berlari anak ke dalam rumah untuk mendapatkan pemberian khas dari Rameli Saripin yang dimaksudkan tadi. Berlari sambil memegang kain pelekat yang terjongket sebelah.

            “Nah! Juju, ini istimewa buat kamu.  Dari abah!”

            “Untuk Juju? Wau... seronoknya. Macam tidak percaya. Pertama kali dapat sesuatu dari abah sendiri. Amboi! Besarnya kad!” Mereka berlima bertenggek di bangku yang mengelilingi meja kecil di tengah gazebo. Masing-masing tidak sabar melihat pemberian Rameli Saripin. Pemberian yang pertama kali diterima dengan hati terbuka.

            Mata masing-masing bercahaya melihat sampul sebesar dua depa berwarna hijau biru pastel yang dibuka oleh Juju. Terdapat sebuah kad yang besar hasil buatan tangan oleh Rameli Saripin dan keluarganya khas untuk Juju. Kad ucapan selamat datang menjadi ahli keluarga baru mereka. Kad yang siap dihiasi lampu comel macam lampu kelip kelip dan apabila kad dibuka, ada pula lagu selamat datang khas kepada Juju. Lagu istimewa yang dirakam hasil paduan suara ahli keluarga Rameli. Sungguh menyentuh perasaan dan mencuit hati mereka berlima. Tercatat ucapan ikhlas dari Rameli Saripin dan keluarganya buat Juju.

“Selamat Datang ke famili Rameli Saripin”
Istimewa buat anak abah yang amat dirindui sentiasa.
Anak abah yang tidak lekang dalam doa abah setiap hari.
Kami semua tidak sabar menanti kedatangan Juju.
Ikhlas dari kami sefamili yang sangat menyayangi
Maiya Juliana binti Rameli Saripin.

           

“Eh...!  Ada gambar mereka sekeluargalah.  Ada nama mereka di bawah gambar! Wah! Meriah sungguh. Siap ada gambar kucing, arnab, hamster dan burung. Macam mini zoo!” Mereka berlima berhimpit mahu melihat gambar ahli keluarga Rameli Saripin. 

            “Betul cakap baba, Mama Rosnita Chek Wah memang cantik.  Masih jelita!  Dia tulis sini, suruh Juju panggil dia Mama Ros. Sangat mesra!” Hanzz Izzul mengakui kejelitaan ibu tiri Juju. Kenyataan yang tidak berani dilafazkan oleh baba mereka, Hanzz Izzat. Maiya Karina hanya mampu tersenyum kelat dan menjuih. Mengakui dalam diam akan  kejelitaan bekas madunya satu ketika dahulu.

            “Haha! Cuba lihat yang ini pula, yang inilah budak lelaki yang sebaya Juju. Namanya Hassan Rabbani, dalam kurungan : Acan!” Tok Hamzah Dollah membetulkan cermin matanya sambil membaca kuat nama anak Rameli Saripin yang berkongsi tarikh lahir dengan Juju.

            “Hehe... kelakarnya, rambut dia leper macam pakai minyak rambut segantang. Orang KL tetapi macam mat skema. Nampak sopan. Duduk pun kaki rapat! Sedap-sedap nama Hassan Rabbani, mengapa dipanggil Acan?  Ha...!  Mesti kuat makan belacan!” Mereka berlima ketawa berdekah dengan lawak spontan Juju.

            “Jangan ketawakan nama oranglah kakak. Nanti orang ketawakan kakak pula. Juju!  Sebab suka makan keju!” Kali ini mereka berlima ketawa lagi sampai sakit perut dengan maklum balas yang diberikan oleh Hanzz Izzul.

            “Eh...! Comel juga budak perempuan yang duduk sebelah Mama Rosnita.  Hmm... namanya Ayu Raudahtul.  Ada nama dalam kurungan juga.  Haha... panggilannya Acun!”

            “Acun? Mungkin sebab dia cun. Sebab itu dipanggil Acun. Hmm...” Hanzz Izzul menunjukkan ke arah gambar Acun yang comel bersimpuh di sebelah Rosnita Chek Wah.  Gadis gebu yang putih melepak. Bagai tidak puas Juju melihat keluarga baru yang bakal hadir dalam hidupnya. Bakal hadir dalam hidupnya bukan tahun depan, bukan bulan depan tetapi minggu depan!

            “Oh! Mereka berdualah yang mendapat kasih sayang abah selama ini. Juju pula dibesarkan di kampung dengan kambing dan pokok sawit.  Memang tidak adil!” Masing-masing memerhatikan lagak nakal Juju mengeksperikan rasa tidak puas hatinya. Dalam protes, dia tetap tidak lekang memandang gambar keluarga barunya. Ada rasa kurang senang di hati Tok Hamzah dengan luahan hati Juju tadi.

            “Yang berdiri di belakang ini pula... Ha! Tertulis di sini, namanya Bibik Im.  Dahsyat juga, bukan sebarangan orang mahu memasukkan bibik dalam gambar keluarga. Mesti bibik ini pandai mengayat. Bibik kesayangan.” Juju menunjuk ke arah gambar pembantu rumah Rameli Saripin yang kelihatan tersenyum meleret penuh gaya mengalahkan tuan rumah.

             “Apa kakak hendak kisah bibik boleh masuk dalam gambar keluarga mereka. Binatang kesayangan pun turut bergambar, inikan pula pembantu rumah. Keluarga ini memang betul-betul nampak ceria, atuk.”

            “Ha...!  Tengok sini pula, ada pantun pula di belakang kad ini.  Pantun untuk Juju.”



Ke Ulu Trong melabuhkan sampan;
Mendayung sampan sambil ketawa;
Walau belacan menjadi santapan;
Keju tetap dihidang istimewa.

Juju membaca kuat pantun empat kerat, gaya pantun santai yang dititipkan abahnya. Bapa kandung yang tidak dikenali sebelum ini. Selesai membaca pantun,  Juju memandang muka Tok Hamzah Dollah.           

            “Eh...!  Abah tahu Juju suka keju?”

            “Apa yang abah kamu tidak tahu tentang kamu, sayang. Semuanya! Semuanya dia tahu.” Juju merasa dadanya sempit. Kilauan jernih di mata yang tersekat tadi akhirnya luruh.  Menyisakan jejak basah di pipi. Tiba-tiba hidung mamanya turut berair seperti orang selsema. Mereka berlima mendekat dan merangkul bahu masing-masing. Suasana yang tidak boleh dijual beli. Rasa kasih dan sayang yang sebak untuk berpisah dan bertemu orang baru. 

            Dalam merangkul erat anak dan cucunya, Tok Hamzah Dollah sempat merasa risau di dalam hatinya... ‘Janganlah ada agenda rahsia Juju di sebalik penghijrahannya ke rumah Meli.’

Dalam menyeka deraian air jernih di pipi, Juju juga sempat berbisik di hatinya... ‘Acan dan Acun, konon.  Huh!  Tunggulah aku datang nanti!  Kita tengok siapa yang abah lebih sayang.’

888888888888888888888888888888888888888888888888888