Friday 15 July 2011

BAB 17

BAB 17 ialah tentang misteri kematian Deko dan Apeto!
Siapakah mereka berdua yang comel lote?
Apa kaitannya dengan Juju?
Jadi pembunuh Deko dan Apeto?
Apa kena mengena dengan Acun?

Jom singgah dan bertandang ke BAB 17.

ANTARA BELACAN DAN KEJU
-BAB 17-
Misteri Kematian Deko dan Apeto

Acun dan A.C. Misai sudah berantakan. Macam putus terus! Puas Rameli Saripin dan Rosnita Chek Wah masuk campur. Puas berbuat baik dengan keluarga A.C., tetapi semuanya sia-sia belaka. Hati mereka belum sejuk. Masih merajuk. Masih berasa hati dengan aksi Acun yang suka menjerit, mengamuk tidak kena gaya, tidak peduli tempat dan masa. Masih terasa panas pelempang yang hinggap di pipi A.C. Misai. Senang-senang memberi penampar ke pipi A.C., anak tunggal yang ditatang bagai sup ekor panas penuh menupu oleh ibubapanya.
Hadiah istimewa rantai dan lokek 3D yang boleh berpusing 360 darjah dengan gambar A.C. dan Acun di tengahnya juga telah dirampas oleh ibu A.C. Puas Acun meminta maaf. Puas memujuk. Puas merayu. Tiada sebarang maklum balas positif dari A.C. dan keluarganya. Acun yang selama ini hanya tahu memberontak, merungus, merajuk dan membentak... betul-betul terpukul dengan apa yang terjadi pada majlis harijadinya. Dia menjadi pendiam. Dia merasa bersalah dan memaki hamun diri sendiri dalam diam. Juju pula telah mula memainkan jarumnya saktinya. Juju pandai mengambil kesempatan. Ruang yang ada perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Terutama di depan abah, ibu tiri dan ibu angkatnya. Pada Juju, mereka bertiga perlu hanya nampak Juju sebagai seorang yang sopan santun, suci murni dan tulus ikhlas.
“Cuba tengok Ros, bukan Mariyah hendak sebelahkan Juju. Tapi... Ros dan Meli tengoklah sendiri. Juju tidak perasan pun kita sedang perhatikan dia.” Suara Mariyah Fareedaz separuh berbisik. Dia kagum dengan aksi dua beradik di depan matanya. Aksi si kakak sedang memujuk si adik yang sedang berduka lara.
“Tengok! Punyalah si Juju hendak ambil hati Acun. Dipujuknya si Acun. Siap hendak suapkan Acun makan. Juju cuma dahagakan kasih sayang. Dia sayangkan adik dia. Dia sayangkan keluarga kamu, Meli... Ros. Kasihan Juju.” Mariyah Fareedaz sejuk hati memandang Juju yang sedang berusaha mengambil hati Acun. Acun yang menebalkan muka. Bermuram durja tanpa reaksi. Acun yang sudah bagai tiada perasaan. Bagai orang kematian suami. Sudah dua hari tidak menjamah walau sebutir nasi pun. Walhal A.C. Misai cumalah kawannya sahaja. Sekadar kawan lelaki yang sedikit terlebih istimewa, bukan tunangannya... jauh sekali suaminya. Mereka sama-sama masih bersekolah. Masih belajar. Namun, gaya mereka seolah-olah bagaikan orang dewasa. Saling merajuk, saling memujuk... menyampah betul pada pandangan mata Juju.
Thanks, Juju... Juju cubalah pujuk Acun suruh makan ya. Mama Ros risau betul tengok Acun. Macam senseless. Dia betul-betul terpukul dengan apa yang berlaku. Dia salahkan dirinya sendiri atas apa yang berlaku. Mama Ros takut dia apa-apakan dirinya sendiri.” Rosnita cuba mengambil hati Juju di depan Mariyah dan Rameli. Dia hanya risaukan Acun sebenarnya.
“Ya lah, Juju... abah pun hendak minta maaf bagi pihak Acun. Dia tuduh Juju bersubahat dengan A.C. soal kek dan hadiah hari itu. Juju jangan ambil hati ya Nak. Maafkan adik ya.” Rameli mengusap kepala Juju yang beraksi baik dan mulus tertunduk bagai orang baru balik dari surau. Mariyah Fareedaz bangga melihat Juju yang disayanginya. Segalanya tentang Juju adalah baik belaka di matanya. Begitu suci murni!
“Hah! Juju ada satu idea. Kita boleh bagi Acun ceria semula! Baru Juju teringat!” Juju menjerit kecil. Hampir terkejut Rameli, Rosnita dan Mariyah serentak dengan gelagat anak gadis itu.
“Bibik Im... Bibik Im...Tolong ambilkan hadiah dari mama A.C. untuk birthday Acun.” Bibik Im terkedek-kedek berlari ke depan membawa sangkar kayu comel bercat keemasan bertutupkan kain renda warna senada. Tangkai sangkar indah berukir gaya klasik. Sangkar kayu mewah itu nampak mahal. Isinya masih menjadi tanda tanya.
“Hadiah dari mama A.C.? Bila dia bagi?” Hampir serentak Rameli, Rosnita dan Mariyah bertanya. Masing-masing tidak tahu hujung pangkal.
“Iyalah tuan, puan. Puan Sabarina, mama si A.C. berikan masa majlis harijadi Acun baru hendak berlangsung malam kelmarin. Sebab di dalamnya ada binatang dan ada najisnya pula, langsung Juju suruh saya bawakan ke belakang rumah... di zoo mini kita. Terus saya bersihkan. Maafkan saya, terlupa pula hendak beritahu... sebab sangat sibuk pada malam itu.” Juju bangga dengan Bibik Im yang dapat memberi penerangan jelas tanpa dipinta. Markah A+ untuk jawapan yang tepat dari Bibik Im. Memang boleh diharapkan disaat-saat yang memerlukannya. Juju tersenyum berlubang di tepi bibirnya, gaya anak manja sambil memandang Bibik Im. Selepas membalas senyuman Juju, pantas Bibik Im ke dapur... takut kena marah sebab terlupa memberitahu hadiah tersebut selepas dua hari berlalu.
“Binatang? Ada najis?” Rameli separuh geli hati. Rosnita cepat menyelak kain renda emas yang menutupi sangkar emas comel yang cantik.
Hey! That’s nice! Mari tengok sini, Acun. There’s something special for you from A.C.’s mother. Come here quick, dear.” Pantas Mariyah memanggil Acun yang melihat dari ekor matanya sejak tadi. Juju cemburu dengan nada manja Mariyah Fareedaz memanggil Acun. Baginya kasih sayang Mariyah Fareedaz hanya untuk dirinya seorang. Tidak rela berkongsi dengan si gebu yang kuat merajuk. Sempat Juju menjelir lidah di belakang Acun. Sungguh nakal!
“Eh! Anak arnab! Dua ekor! So cute! Pinkish dan orange colour! I like them so much! Acun suka pink dan A.C. suka oren.” Secara automatik Acun menitikkan air matanya deras. Dia sedih teringatkan A.C. Misai. Langsung Acun memeluk Juju erat. Seolah-olah Juju adalah penyambung ikatan dan ingatan antara dia dan A.C., buah hatinya. Acun menangis semahu mungkin. Meminta maaf dari Juju. Juju memujuk manja. Gaya kakak berhemah memujuk si adik. Puas Juju memaksa airmatanya agak keluar menderu, tidak mahu keluar pula ketika itu. Acun mengucapkan terima kasih pada Juju yang sering mengambil hatinya walaupun sering kena tuduh macam-macam. Juju pula mengambil peluang menjadi pemaaf yang ikhlas dan mulia. Pemaaf yang tidak pernah berkecil hati. Inilah masanya untuk bermain drama hebat di depan Rameli, Rosnita dan Mariyah. Yang penting, Juju menang! Rameli menepuk bahu Rosnita yang turut mengalirkan air mata bersama Acun. Mariyah memeluk erat dua anak gadis itu. Dia seorang ibu yang lembut hatinya. Mudah tersentuh orangnya.
“Eh! Cuba tengok sini, ada tag nama pada kaki anak arnab. Deko dan Apeto! Comel sangat!” Juju menjerit memberitahu Acun. Acun teruja dan melompat setempat tiga kali. Acun terkinja-kinja. Juju menjuihkan bibirnya dalam diam. ‘Menyampah! Lompat macam katak!’
“Mesti kes mama A.C. minat lagu hindustan zaman dulu-dulu. Deko dan Apeto nama dari cerita zaman 70an kalau tidak silap abah.” Rameli sempat menyanyi sebaris lagu tersebut. Rosnita dan Mariyah ketawa riang bersama. Senang melihat Juju dan Acun berbaik-baik. Suka melihat Acun telah ceria kembali.
“Alamak laparlah!” Acun tiba-tiba merasa lapar. Sudah dua hari tidak makan. Dia tidak makan sedikit pun semenjak kek meletup tertiarap di atas kepalanya tempoh hari. Rameli, Rosnita dan Mariyah tersenyum riang dengan gelagat Acun. Kelam kabut Bibik Im menyediakan makanan untuk anak manja bosnya. Juju pura-pura turut tersenyum dan menemani Acun makan. Ikutkan hatinya, mahu sahaja diterapkan pinggan nasi ke atas kepala Acun pula. Sungguh mengada-ngada! Acun sibuk mengusung Deko dan Apeto yang comel dan gebu ke sana ke mari.
Malamnya, Juju mencari idea baru. Penyudah bagi melengkapkan misi mengenakan Acun yang getik kelakuannya. Dia segera menghantar pesanan ringkas kepada ahli Baby Gorgeous yang lain.
“Geng! Kita ada misi baru. Misi Deko Apeto!” Juju melapurkan macam geng perisik antarabangsa memberi maklumat. Dia berlagak bagai ketua spy bertaraf antarabangsa.
“Hah! Misi Deko Apeto? Eee... ada-ada sahajalah Juju.” Leesa sudah mengantuk. Bising dia mengomel sendirian di atas katilnya. Surie sudah tiga kali menguap. Honey terus membalas mesej Juju dengan mata terpejam.
“Okey, esoklah detail ya, Juju.”
“Okey esok! Esok kita jumpa dan bincang. Mesti kasi bakar semua!” Juju memberi mesej kata penutup malam itu kepada Baby Gorgeous.
Mereka bertiga terjerit serentak dari bilik tidur di rumah masing-masing.
“Bakar?”
@@@@@@@@@@
“Ada Tok Hamzah telefon Juju?” Rameli cuba mencuit sisi ceria di hati Juju. Juju pasti tersenyum riang jika nama atuknya disebut. Sebenarnya, Rameli balik sebentar sahaja ke rumah. Mencari senduk panjang di dalam stor di belakang. Tak kala melihat Juju seorang diri di ruang tamu sedang mengadap komputer riba, terasa pula di hati Rameli untuk menyapa sedikit anaknya. Jarang dapat peluang berbual berdua begitu.
“Ada, abah! Mestilah ada. Kalau atuk tidak telefon. Juju akan kacau atuk malam-malam. Telefon atuk sampai ke subuh.” Benar sekali. Juju cepat melonjak ceria kalau Tok Hamzah yang menjadi topik perbualan.
“Ajaklah atuk datang sini. Boleh jumpa Juju. Atau... kalau Juju hendak balik kampung, abah pun boleh ikut sama. Hantar Juju! Kita ramai-ramai balik kampung.” Rameli cuba memancing pemikiran anak gadisnya. Seronok tengok Juju ceria begitu.
“Puas Juju ajak... atuk kata, nantilah! Atuk kata biar Juju lama sikit mesra alam di sini. Campur gaul dengan famili abah. Atuk takut! Takut Juju tidak mahu balik sini lagi kalau Juju balik kampung. Atuk juga takut Juju sekat atuk balik kampung kalau atuk yang datang sini.” Mata Juju bersinar kala membicarakan segalanya tentang Tok Hamzah Dollah.
“Kalau Juju tidak kisah... boleh abah tanya tentang mama Juju? Ada dia telefon dari London? Atau... SMS?” Juju menggelengkan kepala lemah. Sengaja mencampak pandangan ke luar pintu gerbang banglo. Tiada lagi senyuman mesra di bibirnya. Memang selalu Maiya Karina menelefon dan menghantar pesanan ringkas tetapi semuanya dipadam terus dari telefon bimbit Juju. Maiya Karina terpaksa pula bertanya pada Tok Hamzah Dollah tentang Juju, anaknya. Maiya Karina tidak pernah berkecil hati dengan sikap Juju. Malah, dia menyalahkan dirinya sendiri. Dia yang mengabaikan perkara paling penting untuk Juju selama ini. Kasih sayang suci murni seorang ibu kandung.
“Kalau tidak pun, Juju sendiri boleh telefon atau SMS mama Juju. Apa salahnya tanya khabar sekali-sekala.” Rameli cuba mengusul cadangan. Mahu mengeratkan hubungan Juju dengan ibu kandung sendiri. Juju memekakkan telinganya. Sibuk membelek muka di cermin. Jika diturutkan hati, rasa mahu terbang pulang ke kampung saat itu juga. Bertenggek di atas Bukit Sekupang dengan Tok Hamzah Dollah. Juju muak mendengar walau sekelumit tentang Maiya Karina. Ibunya yang telah dibuang jauh dari hatinya. Rameli tiba-tiba berasa bersalah. Takut topik perbualannya tersilap mengubah suasana ceria jadi muram dan suram.
Tiba-tiba, terdengar ada suara kelam kabut dari arah belakang banglo. Suara yang paling terkenal dengan jeritan mega maha hebat. Jeritan membelah bumi yang nyaring. Tidak lain dan tidak bukan siapa lagi kalau bukan suara milik Acun. Acun yang layak menjadi ketua pasukan koir kebangsaan. Nyaring dan tinggi pitching suara jeritannya.
“Tolong... tolong! Tolong!” Rameli bingkas! Juju menerpa! Bibik Im kalut! Masing-masing berlari macam lipas kudung menuju ke arah suara Acun meminta tolong. ‘Ada-ada sahaja Acun buat hal. Apa pulalah kali ini...’ bisik hati kecil Rameli. ‘Hah! Jadi pun! Ingatkan tadi tidak menjadi. Padan muka! Rasakan!’ Juju membisik di dalam hati sambil berlari menerpa ke belakang banglo dengan penuh keriangan di hati. Sempat berdoa di dalam hati agar segala rancangan busuknya menjadi belaka.
“Api? Api.... Api!” Bibik Im adalah orang yang pertama yang tiba di sisi Acun yang berada di zoo mini ketika terdengar jeritan histerianya. Bibik Im bertindak macam bomba baru masuk kerja. Menjerit-jerit mencari alat pemadam api yang hilang entah di mana. Seumur hidupnya berkhidmat di banglo Rameli Saripin, Bibik Im sudah hafal benar... alat pemadam api memang sentiasa berada di dalam bilik stor sebelah dapur kering. Hari ini, saat ini, ketika api menyemarak, alat pemadam api boleh hilang. Lesap tiba-tiba. Ghaib! Berjalan sendiri entah ke mana. Ada kaki agaknya. Awal-awal lagi Juju telah menauk alat pemadam api tersebut ke bawah kotak di dalam stor dan ditendang jauh terguling ke penjuru bilik stor yang hapak dan terperap.
“Alat pemadam api tidak ada, tuan. Hilang! Selalunya ada dalam stor.” Bibik Im kalut memberitahu Rameli yang sibuk mengambil baldi. Semua memandang Bibik Im yang disangkakan bakal menjadi penyelamat yang datang dengan alat pemadam api.
“Terjatuh tergolek agaknya tadi. Mungkin masa abah ambil senduk panjang tadi?” Juju membuat tekaan, menjawap kemusykilan Bibik Im. Kebetulan pula Rameli orang terakhir memasuki bilik stor sebentar tadi. Masing-masing memandang Rameli.  Rameli sendiri tidak dapat berfikir lagi. Api semakin marak menyala. Akal perlu pantas berfikir. Perlu cari alternatif lain.
“Air! Air! Buka cepat pili air di belakang reban merpati.” Rameli mengarah Bibik Im.
“Getah paip bocor? Eh! Bukan! Air memang tidak ada! Puas sudah saya pulas, tuan!” Bibik Im sampai menendang kepala paip air. Air tidak tersembur keluar, setitik pun tidak meleleh. Kaki Bibik Im pula yang dapat sakit akibat menendang.
“Acun! Jaga-jaga! Jangan dekat dengan api!” Juju menjerit kuat. Dia menolak Acun pantas. Gaya penyelamat adiknya. Tangan Juju sendiri terkena api demi menyelamatkan Acun. Bibik Im terkejut dan meneriak. Serba salah hendak melihat keadaan Acun yang terhumban ke tepi atau Juju yang terkena api di tangannya.
“Juju!” Rameli yang datang dengan sebaldi kecil air di tangan menghumban baldi itu ke tepi. Terkejut bukan kepalang melihat dua anak daranya terguling berhampiran sangkar arnab yang terbakar. Acun meraung sekuat mungkin. Melebihi histeria yang biasa dibuatnya. Suaranya sampai menjadi serak-serak basah. Sangkar Deko dan Apeto tidak dapat diselamatkan lagi. Deko dan Apeto pula tidak kelihatan lagi. Hilang dicelah api memarak semakin kuat. Bibik Im pantas mencari baldi yang lebih besar. Setelah lima kali berulang alik dari bilik air mencurah air ke sangkar kayu bercat emas itu, barulah api mula padam sepenuhnya. Bau hangus kuat menusuk hidung masing-masing. Cuma sangkar Deko dan Apeto yang terbakar. Sangkar binatang lain di zoo mini semuanya selamat!
Acun adalah orang pertama yang kalut menguis pintu sangkar Deko dan Apeto. Sungguh tragis! Deko dan Apeto rentung! Mereka mati berpelukan. Acun hampir pengsan. Badannya longlai. Dia terjelepuk lemah. Nyaris sempat dipaut oleh Rameli. Juju yang masih luka melecur tanganya cuba memujuk Acun bersungguh-sungguh. Acun yang lemah terkulai menangis semahu mungkin. Hasrat di hatinya, Deko dan Apeto bakal mengeratkan semula hubungannya dengan A.C. Misai. Harapannya hancur dan musnah bersama Deko dan Apeto yang hangus terbakar. Juju memaut Acun. Mereka berdua menangis bersama. Esakan mereka saling bersahutan. Juju sendiri tidak dapat membohongi dirinya. Berderau darahnya melihat Deko dan Apeto dalam keadaan berpelukan. Sungguh tersentuh hati sesiapa sahaja yang melihatnya. Mungkin dua ekor anak arnab itu turut meraung dan menangis kesakitan ketika api menjilat badan mereka. Tiba-tiba Juju terbayangkan kambing Conannya. Hatinya sebak. Sayu! Bagaimana jika Kambing Conan mati terbakar begitu? Juju tidak rela perkara yang sama berlaku pada binatang kesayangannya. Jika hanya janggut kambing Conan terbakar pun Juju akan mencari si pembuat angkara, sampai ke lubang cacing.
Petang itu, seisi keluarga berkumpul di ruang luar banglo. Suasana sedih menyelubungi. Mereka sekeluarga baru mengebumikan bangkai Deko dan Apeto di bawah pokok kemboja putih di tepi zoo mini. Deko dan Apeto ditanam berpelukan sepertimana ditemui setelah rentung. Bangkai mereka dibalut dengan sutera satin Itali. Kain yang pernah diberikan oleh A.C. Misai kepada Acun beberapa bulan yang lalu. Tanah perkuburan disiram dengan air mawar yang semerbak baunya. Acan tolong membuat batu nisan comel dengan batu sungai yang ada berlambak dalam kolam ikan mereka. Acun berganda sedih kerana A.C. Misai dan ibunya tidak membalas panggilan telefon dan pesanan ringkas tentang kematian Deko dan Apeto. Sungguh tidak bersimpati langsung. Tdiak berhati perut! Juju gembira dalam diam. Nampaknya Aiman Cullen memang sudah berpatah arang dengan si putih gebu, Acun yang mengada-ngada.
Mariyah Fareedaz yang baru pulang turut terkedu dan terkejut bukan kepalang. Tambah terkejut apabila melihat tangan Juju berbalut kerana melecur terkena api. Mariyah Fareedaz sempat mengusulkan rawatan terapi terbaik untuk Juju dengan doktor kenalan rapatnya. Semua akan ditanggungnya 100%.  Acun monyok, diam seribu bahasa. Lidahnya kelu. Hatinya perit. Matanya merah. Air mata masih belum kering dari pelupuk matanya.
“Sudahlah sayang. Sudah ajal dan takdir Deko dan Apeto untuk mati begitu. Mereka pasti masuk syurga! Kasihan betul anak mama.” Acun melentukkan kepala ke bahu Rosnita.
“Memang pelik betullah, puan. Alat pemadam apinya hilang. Paip air di zoo mini kita tidak berfungsi. Api pula, entah datang dari mana? Sangkar binatang lain semua selamat! Hanya sangkar Deko dan Apeto saja yang terbakar! Hairan betul bila saya fikir-fikirkan.” Bibik Im memainkan peranan macam Inspektor Sahab dalam filem hindustan. Hati Juju sudah mula mendidih. Pandai-pandai pula si bibik memulakan usul macam spy tidak bergaji. Kunci mulut senyap-senyap sudahlah. Sibuk cari punca api pun bukan dapat naik pangkat pun.
“Hmm... mungkin abang yang terlanggar alat pemadam api tadi. Abang masuk stor dalam gelap tidak buka lampu. Abang hendak ambil senduk panjang dalam stor.” Rameli memandang muka Rosnita.
Acan yang berjalan pantas dari belakang rumah mengelapkan tangannya yang berair pada sisi baju kemejanya. “Acan baru periksa paip air di belakang. Adalah airnya! Macam biasa saja. Mungkin tadi sebab panik, paip air elok-elok pun bibik kata tidak ada air.” Semua yang berada di situ memandang Acan, kemudian memandang Bibik Im pula. Bibik Im mengangkat bahunya tanda tidak tahu. Pelik bin ajaib sungguh fikirnya.
“Acun rasa Acun yang silap...” Tiba-tiba Acun bersuara lemah.
“Acun yang silap?” Acan memang sudah mengagak dari mula... pasti Acun yang cuai!
“Acun terbaca sebuah artikel kelmarin. Artikel tentang haruman aroma terapi untuk binatang kesayangan kita. Aroma terapi yang dapat mendamai binatang kesayangan. Boleh buat rasa damai, tenang dan lega. Acun letaklah lilin aroma terapi mama dengan minyak lavender luar sangkar Deko dan Apeto.” Acun menarik nafas panjang. Tersekat rasanya untuk menyambung cerita. Takut hendak mengakui hakikat kesilapannya.
“Acun sendiri dapat tengok dengan jelas, Deko dan Apeto nampak damai... aman dan tenteram dengan bauan aroma terapi. Nampak lebih relax! Acun rasa... mungkin...” Acun sudah menangis kembali. Semakin menjadi-jadi pula.
“Mungkin api dari lilin aroma terapi menyambar tudung kain lace penutup sangkar? Apa lagi, terbakarlah sangkar Deko dan Apeto. Sudahlah sangkar kayu pula. Acun patut fikir dulu sebelum letak. Kalau tidak pun tanyalah pendapat orang lain dulu. Niat Acun memanglah hendak bagi Deko dan Apeto rasa tenang dan aman damai. Tengok! Apa sudah jadi? Tenang dan aman damai mati hangus berpelukan.” Acan menyambung fakta. Di dalam hatinya mendengus kerana ketidak bijaksanaan adiknya itu. Meletak lilin aroma terapi dekat sangkar kayu dan penutup kain. Mestilah mudah di sambar api.
Acun menjebikkan bibirnya mendengar penjelasan logik Acan. Acun tertunduk sayu. Rameli dan Rosnita, sedikit pun tidak menafikan kata-kata Acan walaupun kedengaran agak kasar Acan menegur adiknya.
“Kasihan Juju. Sampai melecur tangan Juju. Bersusah payah hendak selamatkan Deko dan Apeto. Juju menolak tangan Acun masa Acun masa hendak buka sangkar yang terbakar. Tengoklah tangan Juju, melecur terkena api. Saya lihat sendiri, puan.” Bibik Im memberi kata-kata hikmat yang membuatkan hati Juju berbunga. Terasa bagai berada di bintang. Tiba-tiba tangannya terasa tidak sakit langsung. Rosnita mengusap kepala Juju. Terasa terhutang budi benar pada Juju si heroin budiman.
“Terima kasih, sayang. Hari itu Juju selamatkan mama nyaris mati lemas. Hari ini pula selamatkan Acun. Mulia betul hati anak Mama Ros. We owe you so much, dear.” Rosnita langsung memaut Juju. Mariyah Fareedaz turut bangga memandang Juju. Juju yang sanggup melukakan diri sendiri demi menyelamatkan orang lain.
Malam itu, atas permintaan Acun... “Boleh kita mengaji bersama semua? Kita bertadarus. Sebenarnya Acun hendak hadiahkan pahala bacaan ayat-ayat suci untuk Deko dan Apeto. Biar Deko dan Apeto, aman dan damai di syurga.” Kalau diikutkan hati Acun, dia ingin mengusulkan kenduri tahlil untuk Deko dan Apeto. Sungguh keanak-anakan. Hatinya masih terlalu sedih. Semua yang memandang Acun tidak terkata apa-apa. Rameli Saripin hampir tersedak. Rosnita meneguk air liur. Acan berdehem dan Mariyah Fareedaz tersenyum. Bibik Im takut berkata-kata yang membuatkan hati Acun terguris pula. Juju terasa mahu berguling. ‘Mahu mengaji untuk arnab? Memanglah tidak matang langsung! Ha ha gelilah’ bisiknya sendirian.
“Tidak mengapalah Acun. Niat baik apa salahnya. Kita sama-sama bertadarus ramai-ramai. Kita buat doa selamat nanti. Kita niatkan kerana kesyukuran sebab kita semua selamat. Nasib baik bukan banglo kita yang terbakar. Syukur Acun dan Juju selamat tadi.” Rameli Saripin serba salah dengan permintaan Acun sebenarnya. Tetapi... dia tidak mahu melukakan hati si anak. Dia tidak mahu membuatkan Acun bertambah sedih. Sengaja diubah niat Acun. Juju menyanyi riang di dalam hati. Rancangannya berjalan lancar dengan rapi. Kemas teratur. Tidak kisah tangannya luka dan sakit tidak terperi. Luka di hati Acun yang lebih penting buatnya. Biar punah hasrat Acun untuk berbaik dengan A.C. Misai. Biar terhapus segala kenangan di antara mereka berdua. Biar hilang sebarang ikatan penambat hubungan mereka.
Juju tidak sabar untuk bercerita pada Baby Gorgeous. Rancangan mereka berjaya! Artikel rekaan Leesa yang diletakkan di atas meja tentang lilin aroma terapi untuk binatang peliharaan memang berhasil. Sudahnya, Juju sendiri yang mengubah kedudukan lilin tersebut betul-betul hampir benar dengan renda kain penutup sangkar berkayu. Surie yang memberi cadangan agar paip air di belakang banglo dekat zoo mini di tutup awal-awal. Honey pula yang mengingatkan Juju agar menyembunyikan alat pemadam api. Cuma Juju tidak sempat menyorokkan semua baldi di bilik air. Tidak mengapa! Yang penting Deko dan Apeto telah menjadi bangkai hangus rentung. Terkekek-kekek dan mengilai Juju ketawa di dalam telefon bersama tiga sahabatnya. Seronok bergelar pembunuh binatang kesayangan Acun. Juju puas! Kalau boleh dia hendak melompat kegirangan sampai mencecah syiling biliknya.
Malamnya Juju menjerit-jerit seorang diri. Macam orang kena sampuk. Badannya berpeluh-peluh dalam kedinginan penghawa dingin 16 darjah selsius. Juju bermimpikan kandang kambing Conannya terbakar. Rentung! Tok Hamzah Dollah pula nyaris turut terbakar dalam usaha menyelamatkan Conan kesayangannya. Kambing-kambing lain pula jadi terkejut dan berlari lintang pukang memijak ganas tubuh tua Tok Hamzah Dollah yang tercungap-cungap. Juju terkejut! Dia terjaga dari tidurnya. Dia takut yang teramat sangat. Takut jika Tok Hamzah Dollah mati rentung terbakar berpelukan dengan Conan! Sungguh tidak logik tetapi... siapa tahu semuanya bakal berlaku sebagai pembalasan perbuatannya. Dia kelam kabut tidak keruan. Macam anak kucing kehilangan si ibu. Juju mencari telefon bimbitnya. Puas ditekan tidak boleh berfungsi pula. Terasa ingin menjerit sekuat hati. Juju menarik nafas panjang dan beristighfar beberapa kali. Dia lantas bangun dan mengambil wuduk. Hatinya mula sejuk sambil mengelap peluh yang memercik. Tiba-tiba telefon bimbitnya mula boleh berfungsi semula.
“Atuk? Atuk sihat? Atuk okey?” Kelam kabut Juju berbicara bagai tidak tersusun kata-katanya.
“Assalamualaikum, Juju. Mengapa Juju?”
“Waalaikummusalam. Jawaplah dulu... Atuk okey? Conan? Conan okey?”
“Alhamdulillah... kami semua sihat di sini. Cakap perlahan-lahan, Juju. Cuba bawa bersabar.”
“Juju... Juju mimpi Conan mati terbakar. Atuk pula kena hempap dengan semua kambing. Juju takut...” Dia sudah mula mahu meraung hiba.
“Juju buat apa pula kali ini, sayang? Cerita pada atuk. Atuk dengar sini.”
Juju bungkam. Lidahnya kelu. Otaknya mula dapat menangkap apa yang berlaku kepadanya sebentar tadi. Mimpi ngeri rupa-rupanya. Betul-betul bagai terasa benar-benar terjadi. Benar-benar Conan dan atuknya di kandang yang terbakar. Dia sendiri pelik cuba menangkap caturan Tuhan pada dirinya. Asal buat jahat sahaja, dia mendapat alamat mimpi. Asal menenggelamkan Rosnita tempoh hari, dia bermimpi buruk. Sekarang, sama juga yang berlaku. Mimpi lagi!
Juju tidak berniat langsung untuk memberitahu segala rancangan jahatnya kepada Tok Hamzah. Mana mungkin dia bercerita yang dialah empunya angkara merancang Deko dan Apeto mati hangus berpelukan? Tetapi, Juju kalah malam itu. Kalah apabila bercakap di talian dengan orang yang paling disayanginya. Juju menangis tersedu sedan dan menghamburkan segalanya. Kali ini, tidak dapat dipendamkannya lagi. Dia meluahkan segalanya. Tok Hamzah Dollah tersentak dan terkedu. Dia cuba mengawal emosi. Pura-pura tidak terkejut langsung. Tok Hamzah memujuk dari jauh, walau tanpa ada sebarang jawapan balas dari Juju. Hanya esakan Juju menemani kata-kata Tok Hamzah Dollah. Bersusah payah Tok Hamzah Dollah bangun mengambil wuduk dan bertahajud. Kederat tuanya bukan sekuat dulu lagi. Dia mengadu pada Yang Maha Esa. Berdoa agar hati Juju bersih dari kuman jahat dan noda hitam. Bersih dari hasad dengki. Bersih dari angkara mahu menghapuskan keluarga pemakan dan penggemar belacan. Rindunya pada Juju hanya Tuhan yang tahu. Perangai nakal dan jahat Juju hanya Tok Hamzah yang faham.
Keesokkan harinya, Rameli Saripin bangun awal pagi. Dia perlu ke cawangan Restoran Can Meli Can di Changkat Jerung. Restoran miliknya yang diuruskan sepenuhnya oleh bapa Zaibon, Pak cik Zailan. Ada katering besar yang perlu diuruskan. Rameli mahu tiba di sana awal bersama Zaibon. Sesudah subuh, Rameli sudah mahu bergerak. Sebelum berangkat, Rameli mengambil udara segar di sekeliling rumah sambil menunggu ketibaan Zaibon. Rameli sempat menjenguk ke arah tempat bersejarah di mana Deko dan Apeto hangus terbakar. Sisa sangkar yang rentung masih di situ. Belum diuruskan oleh Bibik Im. Dalam samar kegelapan mentari pagi baru menjengah, Rameli terlihat ada benda bersinar dari celah tempat kebakaran. Apabila diambil dan dibelek... ternyata ianya ialah friendship bangle milik Juju. Siap ada terukir nama Juju dan BG – singkatan Baby Gorgeous. Setiap ahli kumpulan mereka memakai gelang yang sama. Sudah dua hari cangkuk penyambung gelang emas tersebut hampir tercabut. Juju belum sempat menyuruh Zaibon bawa ke kedai untuk dibetulkan. Tanpa disedari, ketika mengalihkan api lilin aroma terapi supaya betul-betul terkena dengan penutup renda sangkar kayu arnab, gelang tersebut telah terjatuh pula. Bagai sengaja meninggalkan bahan bukti perbuatan jahatnya.
Rameli Saripin masih hairan sambil membelek gelang tersebut. Dia cuba membuat andaian sendiri. Dia tidak mahu cepat melatah. Mungkin juga Juju terjatuhkan gelang tersebut masa kalut menyelamatkan Acun. Tidak mungkin Juju membuat angkara lagi jika sampai sanggup melecurkan tangan sendiri. Rameli menyimpan kemas friendship bangle tersebut. Tidak mahu membuat kecuh. Jangan sampai ada yang tahu. Biar kemusykilannya ditelan sendiri. Hatinya tergerak dan teringatkan pakar penasihatnya. Rameli mencapai telefon bimbitnya.
“Assalamualaikum ayah... Juju ada telefon ayah malam tadi? Apa? Menangis? Mimpi Conan terbakar? Betul apa yang ayah cakapkan ini? Hmm... okey, okey, saya faham ayah. Jangan risau... Terima kasih ayah. Tahulah saya menguruskan Juju. Ya, ya... saya ingat pesan ayah. Dia anak saya, ayah.” Rameli Saripin mengeluh berat. Namun, dia tetap bersyukur. Bersyukur kerana dalam beberapa insiden yang berlaku, Tuhan mahu dia selaku bapa Juju yang menjumpai segala bahan bukti, bukan Rosnita, bukan Bibik Im, bukan orang lain selain dari Rameli sendiri. Biar dia seorang tahu rahsia perbuatan hasutan syaitan yang dilakukan anaknya. Dadanya terasa semput. Hatinya berserabut. Kusut!
88888888888888888888888888888888888888888888888