Friday 15 July 2011

BAB 12

BAB 12 ialah tentang Cikgu Saiful Apen.
Dia dijadikan boneka oleh Juju untuk mengenakan Mama Rosnya.
Cikgu Saiful Apen dengan gaya sotongnya begitu kreatif dengan hasil kerja tangan.
Sibuk membawa contoh bunga telur dan cenderahati pelbagai rupa paras.

Bagaimanakah Juju menggunakan Cikgu Saiful Apen
untuk mengenakan Rosnita Chek Wah?

Jom kita ke BAB 12.
Kita tengok peranan Ibu Mariyah menangkis kebusukan hati Juju.

ANTARA BELACAN DAN KEJU
-BAB 12-
Bunga Telur Cikgu Saiful Apen

“Saya faham, Datin. Maafkan anak saya. Dia masih baru. Saya janji akan nasihatkan dia nanti.”
“Tuan Rameli tolong jangan salah faham. Pihak sekolah tidak ada masalah dengan Maiya Juliana. Dia pelajar yang cerdik, bijak dan pandai. Infact, she’s someone extraordinary. Lain dari yang lain. Dia juga turut mengharumkan nama sekolah dalam beberapa pertandingan. Cuma... hmm... cuma dia agak nakal. Dia dengan kawan-kawan rapatnya... Nur Leesa Amirah, Surie Adelia dan Honey Afrina. Mereka memang suka mengenakan para guru atau pelajar yang lain. Mungkin mereka anggap sekadar mengusik pada mulanya. Tetapi... rasanya elok kita sama-sama pantau dari awal.”
Rameli Saripin mengangguk kepala beberapa kali. Dia sendiri buntu dan keliru hendak menangani Juju.
“Puan Rosnita tidak datang sekali?”
“Saya rasa, soal Maiya Juliana... biarlah pihak Datin berurusan dengan saya seorang sudah memadai.” Kali ini, Datin Shilaila Majidi pula mengangguk kepala tanda faham. Faham bahawa Rosnita Chek Wah ialah ibu tiri kepada Juju. Mungkin tanggapan dan penerimaannya lain pula dalam soal berkaitan Juju.
“Kali ini apa pula yang dia lakukan, Datin?”
“Banyak kes remeh temeh sahaja sebenarnya. Nanti saya semak. Hah! Semalam mereka berempat buat projek sains. Projek menguji ketahanan makanan yang dijerukkan. Mereka membuat jeruk mempelam dengan campuran cuka dan gula. Kemudian, mereka bagi kucing-kucing di kantin makan jeruk mempelam sebagai eksperimen. Sudahnya, kucing-kucing itu semua cirit birit seluruh kantin sekolah.”
“Biar betul, Datin!
“Hmm... seperkara lagi... sudah dua kali mereka berempat suka sorokkan barang-barang pelajar lain. Bukan mencuri... tetapi sengaja menyorokkan. Sahaja suka-suka. Bila ditanya... jawapan mereka ialah ’just for fun! Yang terkini, beg galas Cikgu Saiful Apen kena sorok. Padahnya mereka menuduh Ayu Raudahtul dan Abby Abadeez. Nasib baik ada pelajar yang nampak. Lagipun pihak sekolah menggunakan system smart swipe card. Easy for me to trace.”
“Bagus benar pihak sekolah menggunakan system smart swipe card, Datin. Saya tidak kisah jika anak saya sendiri didenda sekiranya memang dia yang melakukan kesalahan.”
“Hmm... bukan itu sahaja, kelmarin, pengawas sekolah juga terpaksa merampas cermin tangan yang selalu Maiya Juliana bawa.”
“Mengapa Datin... dia melaram di dalam kelas?”
“Maiya Juliana pantulkan cahaya pada cermin tersebut tepat ke muka cikgu-cikgu tertentu yang sedang mengajar. Kecoh dibuatnya. Bila ditanya, dia bagi alasan, dia sedang membuat eksperimen pantulan cahaya.” Datin Shilaila Majidi dan Rameli Saripin tergelak serentak. Ternyata Juju memang nakal tetapi sesuatu memang perlu dilakukan. Eksperimennya perlu ditangani.
@@@@@@@@@@
Cikgu Saiful Apen membetulkan kolar bajunya. Siap ada skaf ungu muda berbelang merah yang diikat dilehernya dengan gaya fesyen 70an. Jalannya sopan mengalahkan perempuan. Walaupun mendapat jolokan sebagai ‘bapa sotong’, Cikgu Saiful Apen tidak pernah ambil peduli. Lagi pun dia sudah punya dua orang anak sepasang, lelaki dan perempuan. Dua cahaya mata yang comel dan petah berkata-kata. Nampak sahaja Cikgu Saiful Apen lembut dan sopan. Tetapi... jangan buat hal di dalam kelas matematiknya, dia akan menyinga jika ada yang tidak siapkan kerja rumah masing-masing. Tiada pelajar yang berani membuat hal jika ‘bapa sotong’ menjadi sotong kurita. Nanti dilibasnya pelajar yang malas. Satu kegemaran Cikgu Saiful Apen ialah dia mahir membuat bunga telur dan hantaran pengantin. Ala-ala Pak Andam yang tidak bertauliah. Bisnes sampingan, katanya. Hasil kerja tangannya memang boleh dibanggakan. Sangat teliti dan kemas. Setanding dengan hasil kerja tangan pembuat hasil kraf yang profesional.
“Betul, Maiya Juliana? Betul mama kamu hendak jumpa saya?”
“Mestilah betul, cikgu. Cikgu ingat saya main-main? Kalau tidak percaya, tanya pada Leesa, Surie dan Honey. Mama Ros saya hendak jumpa cikgu di rumah kami petang nanti. Jam tiga petang. Mesti tepat! Hari ini Mama Ros saya pulang awal.”
“Memang betul... cikgu, kami sendiri dengar betapa terujanya Puan Rosnita bila kami beritahu yang cikgu pandai buat bunga telur dan hantaran. Cikgu jangan lupa bawa contoh. Bawa banyak-banyak. Bawa yang paling cantik.” Leesa menyokong kata-kata Juju. Surie dan Honey turut mengangguk walau tidak berapa faham duduk letaknya perkara yang dibualkan. Yang penting, mereka mesti sentiasa sehati sejiwa. Menyokong diantara satu sama lain.
“Jangan lepas peluang, cikgu... ini peluang hebat. Mama Ros saya setiausaha sulit di syarikat besar. Mereka hendak tempah untuk acara khas. Untuk jemputan kenamaan. Pak Menteri pun ada. Nanti cikgu yang dapat nama. Bila bisnes kencang nanti, boleh jadi usahawan sepenuh masa!” Juju menyuntik semangat kepada Cikgu Saiful Apen.
“Cikgu bayangkan, cikgu akan mendapat nama nanti. Mutu hasil tangan cikgu pula hebat. Nanti cikgu akan dapat kontek di kalangan ahli korporat.” Surie menyuntik kata-kata berbau harum bak bunga mekar selambak. Cikgu Saiful Apen sudah tergedik-gedik mengalahkan Baby Gorgeous.
“Berapa banyak mama kamu hendak tempah?”
“Itu saya tidak pasti. Bawalah contoh dulu. Tetapi... dalam seribu sudah tentu rasanya.”
“Seribu? Seribu? Kalau betul, saya akan datang awal. Jangan risau, cikgu akan bawa contoh-contoh yang terkini dan terhangat di pasaran.” Cikgu Saiful Apen sudah terlompat-lompat mengalahkan anak kecil. Siap bertepuk tampar dengan Baby Gorgeous di tempat parkir kereta para guru. Besar sungguh angan-angan Cikgu Saiful Apen. Hatinya berbunga. Pendapatannya bulan ini bakal bertambah. Dia bakal mendapat pelanggan di kalangan ahli korporat. Baby Gorgeous meninggalkan Cikgu Saiful Apen yang tersengih-sengih. Siap berpesan dua tiga kali supaya tepat waktu untuk temu janji petang itu.
“Juju, Mama Ros kamu hendak tempah bunga telur? Untuk bos dia? Majlis apa ya?” Leesa mahukan kepastian.
“Mana ada.”
“Hah! Jadi, petang nanti kalau Cikgu Saiful Apen ke rumah kamu bagaimana?”
“Haha.. apa saya kisah? Kita ada grup diskusi petang nanti di sekolah. Jadi, biarlah Cikgu Saiful Apen dan Mama Ros terpinga-pinga. Padan muka ibu sawat belacan. Cikgu Saiful Apen pula, siapa suruh dia denda saya minggu lepas? Rasakan! Lupa buat satu soalan matematik pun kena denda berdiri. Bukan lupa buat sepuluh soalan. Ingat saya budak tadika?”
Leesa, Surie dan Honey cuba menyorok rasa terkejut. Terkejut kerana nampak benar siapa sahaja yang menyusahkan hidup Juju, pasti terkena tempias pembalasannnya. Mereka mula memahami rentak dan cara gerak gempur Juju.
Untuk menjaga hati Juju, tiba-tiba mereka bertiga berpandangan dan mengilai macam anak pontianak. Terkekek-kekek. “Wuu... I like!” Leesa, Surie dan Honey bersorak seronok kegedikkan. Juju bangga dengan sokongan padu geng barunya.
Juju tidak sabar hendak tengok muka Mama Rosnya malam nanti dan muka Cikgu Saiful Apen pagi esok. Seronok mengenakan Mama Ros. Cikgu Saiful Apen pula hanya sebagai medium pemudah caranya.
@@@@@@@@@@
“Siapa Im?”
“Cikgu Saiful Apen katanya. Cikgu sekolah Juju ada Acun. Dia kata ada temu janji dengan puan. Dia bawa banyak... bunga telur dan cenderahati pengantin. Cantik sungguh!” Bibik Im berlari turun ke bawah semula. Mahu menyambung membelek segala bunga telur dan bekas-bekas comel hasil tangan Cikgu Saiful Apen.
Macam-macam teka-teki yang bermain di benak fikiran Rosnita Chek Wah. ‘Temu janji? Bunga telur? Barang pengantin? Biar betul. Bila masa pula aku ada buat tempahan? Aku yang terlupa atau Juju atau Acun yang tersilap bagi info?’ Rosnita Chek Wah terpinga-pinga. Walaupun dia amat tertarik dengan keunikkan dan ketelitian hasil kerja Cikgu Saiful Apen tetapi Rosnita tidak tahu menahu tentang tempahan cenderahati, majlis khas istimewa dan temu janji jam tiga petang. Rosnita tidak mahu mengecilkan hati Cikgu Saiful Apen yang begitu bersopan santun. Penuh tertib berbicara dan penuh warna-warni bajunya. Baju kemeja ikut bentuk badan dan bergemerlapan macam M. Daud Kilau. Warna bajunya ialah warna pelangi. Butangnya warna keemasan. Bibik Im pula sangat teruja memunggah dan membelek hampir lima puluh sampel yang pelbagai warna, rupa dan bentuk. Memang sangat menarik tetapi yang nyata Rosnita tidak menempah, tidak memesan dan tiada sebarang majlis. Juju pula mematikan telefon bimbitnya. Acun juga tiada di rumah. Rosnita serba salah. Antara mahu menjaga hati dan mahu menempah yang tidak ada kena mengena langsung. Keliru sungguh!
“Ros... Eh! Apa semua ini? Wau! Cantiknya. Lupa pula hendak beri salam. Assalammualaikum.”
“Waalaikumsalam... masuklah Mariyah. Kenalkan.. ini Cikgu Saiful Apen. Cikgu sekolah Juju dan Acun. Cikgu yang buat sendiri semua ini. Cuba tengok.... memang berbakat besar orangnya.”
Mariyah Fareedaz tersenyum lebar. Dia nampak sungguh anggun hari itu. Berjubah hitam pekat bermanik mutiara putih penuh di biku hujung lengan baju dan dada jubahnya. Dia mengenakan selendang ala arab yang dibelit dua kali dengan kemasan kerongsang seakan dokoh. Walaupun berjubah, dia tetap nampak anggun. Matanya bercelak tebal ala-ala wanita padang pasir. Betullah kata orang, jika sudah cantik dan seksi, mengenakan baju kurung atau jubah pun tetap nampak anggun. Mariyah Fareedaz begitu mengkagumi hasil tangan orang kreatif dan pemilik tubuhnya sekali. Memang Cikgu Saiful Apen nampak unik orangnya. Memang ada kelas hasil kerja Cikgu Saiful Apen. Mengalahkan orang perempuan. Teliti dan kemas produknya. Nampak ekslusif dan ada kelas! Mariyah Fareedaz tidak habis-habis memuji. Rosnita menarik tangan Mariyah ke belakang. Dia  membisikkan sesuatu. Menyatakan bagaimana terkejutnya dia dengan kehadiran Cikgu Saiful. Mungkin Juju tersilap katanya. Mungkin juga Acun. Atau... Cikgu Saiful Apen sendiri tersalah dengar. Rosnita Chek Wah meminta pendapat. Bagaimana hendak mengatakan tidak. Bagaimana hendak menolak dan bagaimana tidak mengecilkan hati Cikgu Saiful Apen yang sememangnya berbadan kecil molek... macam Saiful Apek. Mariyah Fareedaz cepat dapat menangkap maksud apa yang berlaku di depannya. Cepat sahaja dia dapat menghidu bau yang tidak enak di sebalik situasi yang meruncing saat itu.
“Ha... baru saya teringat cikgu... sebenarnya saya yang cakap dengan Juju tempoh hari. Saya yang hendak menempah cenderahati untuk majlis di butik muslimah saya. Ada orang kenamaan yang akan hadir. Ramai juga VIP yang akan turut serta. Kami juga hendak menjamu anak-anak istimewa. Bagaimanalah saya hampir terlupa pula. Buat seribu semuanya, ya cikgu. Bunga telur campur cenderahati yang comel-comel!”
Cikgu Saiful Apen tersengih seronok. Siap bertepuk tangan. Bibik Im terkedu. Rosnita Chek Wah tertelan air liur. Lega dan menghela nafas panjang. Pelik dan masih keliru tetapi sekurang-kurangnya masalah telah dapat dileraikan. ‘Mariyah yang hendak tempah? Aik... peliklah. Bila masa pula? Aku tidak tahu menahu pun sebelum ini.’ Berkerut-kerut dahi  Rosnita Chek Wah cuba mengingati jika ada sebelum ini Mariyah Fareedaz bercakap soal tempahan bunga telur dan cenderahati VIP. Mariyah Fareedaz sibuk memilih beberapa contoh yang disukainya dan siap membuat bayaran deposit. Benar-benar menunjukkan minatnya dan kesungguhannya untuk menempah.
“Okey! Semuanya beres, Puan Mariyah jangan risau. Dua minggu lagi, semuanya siap dan akan saya hantarkan terus ke butik Puan Mariyah.”
“Betul cikgu boleh siapkan dalam masa dua minggu untuk seribu tempahan? Saya mahu hasil yang tip top. Cantik macam contoh yang cikgu bawa. Yang ini ya, warna biru muda dan merah jambu. Confirmed! Blue pinkish!”
Bibik Im yang terlebih sudu dari kuah. Siap menjinjing ke hulu ke hilir bakul-bakul sentuhan inggeris yang mengandungi pelbagai cenderahati sentuhan inggeris, kontemporari dan tradisional. Semua jenis contoh ada. Serba lengkap. ‘Bilalah aku dapat naik pelamin semula...’ Getus hati kecil Bibik Im. Gatal merenyam dalam diam.
Rameli Saripin yang baru pulang bersama Zaibon sempat berjabat tangan dengan Cikgu Saiful Apen. Rameli sempat menjeling meminta jawapan tanpa suara dari Rosnita. Rosnita menarik Rameli ke belakang dan menjelaskan perihal kedatangan Cikgu Saiful Apen. Rosnita berbisik perlahan. Hubungannya dengan Rameli bertambah akrab semenjak kes Minggu Setiausaha yang haru biru. Perselisihan faham hari itu bertukar menjadikan ikatan mereka bertaup erat dan padu.
Cikgu Saiful Apen berangkat pulang dengan gembira. Dia menyanyi kecil keriangan. Siap berjanji untuk belanja Juju dan Baby Gorgeous nanti. Kononnya Juju memberi peluang bisnes padanya. Terlebih gembira kerana mendapat tempahan VIP ternama. Cikgu Saiful Apen melambai-lambai lembut memasuki kereta Toyota Vios yang berwarna merah jambu. Kereta yang dicat khas memenuhi citarasanya yang berhati lembut dan berjiwa seni. Bibik Im dan Zaibon yang nakal siap mengajuk gaya Cikgu Saiful Apen melambai dan menutup pintu kereta dengan lemah gemalai. Rameli Saripin, Rosnita Chek Wah dan Mariyah Fareedaz hanya tersenyum dan ketawa kecil melihat gelagat mereka.
“Ros rasa peliklah... betul Mariyah ada buat temujanji dan hendak tempah semua tadi dari Cikgu Saiful Apen? Ros tidak tahu menahu pun pasal majlis.....”
Lagu beautiful girl berkumandang dari telefon bimbit Rosnita. Dia menjenguk ke skrin telefon bimbit dan terpapar nama Datuk Ziana Zeni. Rosnita segera meminta diri ke bilik sebentar. Panggilan penting yang dinanti-nantikan, perlu mengambil fail penting di dalam bilik untuk bercakap dengan bosnya. Tidak sempat dia menghabiskan kata-katanya soal Cikgu Saiful Apen tadi.
Bibik Im beredar ke biliknya. Seronok mendapat 3 contoh cenderahati berbentuk hati dan berbau semerbak harum yang diberikan Cikgu Saiful Apen kepadanya. Zaibon pula bersiul-siul sambil duduk di laman luar banglo.
Mariyah... I smell something fishy here. Betul Mariyah yang buat tempahan dengan Cikgu Saiful Apen dari mula? Atau... sahaja Mariyah hendak selamatkan keadaan tadi.”
Mariyah Fareedaz memandang Rameli tanpa bicara. Hanya bibirnya tersenyum penuh makna dan matanya ditundukkan. Rameli Saripin cepat dapat menangkap maksud riak wajah Mariyah tanpa kata itu. Rameli menghela nafas panjang.
“Juju.... Juju...”
“Tidak tahulah bagaimana kita hendak ....”
“Hendak apa? Hendak ajar dia? Hendak sedarkan dia? I don’t think so, Meli.  I guess... we just flow with her rhythm.” Mariyah bercakap sambil merendahkan nada suaranya. Tidak mahu Rosnita terdengar. Biar rahsia dia menyelamatkan keadaan tadi tertutup kemas. Rameli menghela nafas panjang lagi. Penat memikirkan anak yang sengaja mencari perhatian dengan cara yang bukan-bukan. Hampir menguji kesabaran orang lain.
“Ya, kita ikut rentak dia tetapi... dia juga perlu sedar yang tindakannya salah. Memang boleh mencari perhatian tetapi biarlah kena caranya. Hah! Bayaran deposit tadi? Mariyah siap sudah bayar deposit 50%? Hendak bagi pada siapa pula cenderahati itu semua nanti? Iskh... saya gantikan semula duitnya... ya Mariyah?”
“Ops... bukan duit soalnya. Bukan masalah ganti atau soal apa. Itu semua perkara kecillah, Meli. Entahlah... tiba-tiba sahaja saya terasa hendak hadiahkan semua cenderahati yang ditempah tadi.”
“Hadiahkan?”
“Ya lah... hadiahkan kepada anak-anak istimewa. Anak-anak kelaianan upaya. Saja-saja, bagi mereka rasa gembira. Bagi mereka makan-makan dan hadiah cenderahati. Hiburkan hati mereka. Merekalah VIP saya sebenarnya. Pahalanya saya niatkan untuk arwah Schar Minn dan suami saya. Memang sudah harta yang ada ini pun, harta peninggalan Abang Yahya Al-Qudri.”
Rameli Saripin mengangguk lemah. Tidak mahu berbahas dengan wanita bijak dan anggun di depannya. Misi di dalam kepalanya memang selalu bernas dan memberi kebaikan kepada mereka yang di sekelilingnya.
Up to you, Mariyah! As you wish. Saya hormati niat murni Mariyah.”
“Satu sahaja saya mohon Meli... tolong janji pada saya. Pandai-pandailah Meli cakap pada Ros. Jangan sampai dia tahu saya yang jadi penyelamat pula tadi. Saya bukannya penyelamat tetapi... saya tidak mahu Juju dituduh yang bukan-bukan. Jangan ada yang salah faham maksud Juju. Rasanya memang dia hendak kenakan Rosnita tadi. Atau mungkin, hendak kenakan Cikgu Saiful Apen. Siapa tahu, kalau-kalau Cikgu Saiful ada denda Juju sebelum ini di sekoalh. Tetapi... ya lah macam yang kita kata tadi... kita ikut dulu dengan rentak dia. Kita pantau dan cantas dalam diam.”
“Juju memang sangat bertuah sebab dapat ibu angkat macam Mariyah. Mariyah sayangkan dia, melebihi kami sekeluarga pula. Selalu bela kesalahan dia. Saya hargai semua itu, Mariyah. Okey... jangan risau. Tahulah saya apa yang perlu saya cakap pada Ros nanti. Dia mama yang baik pada Juju cuma mungkin Juju belum dapat terima keadaan ini lagi.”
Tiba-tiba kedengaran suara Rosnita mencari Zaibon. Kelam kabut Rosnita berlari menuruni anak tangga dari biliknya. “Zaibon... Zaibon... mana baju yang saya suruh ambil dari dobi tadi?” Rosnita Chek Wah bingkas bertanya.
“Oh... kejap ya puan. Saya ambilkan baju puan dalam kereta.”
“Maaf, sayang... Ros ada hal kena keluar. Kena ikut Datuk Ziana ke mesyuarat malam nanti. Kes stesen janakuasa yang buat black out seluruh Penang semalam. Meeting lepas maghrib. Late info. Boleh ya?” Rameli menggangguk tanda faham. Rameli dan Mariyah tersenyum lega. Nampaknya Rosnita sudah melupakan soal Cikgu Saiful Apen tadi. Belum sempat Rosnita meminta diri untuk pulang...
“Zaibon... ini apa? Ini semua bukan baju saya, Zaibon. Mana baju kurung warna pastel yang saya suruh hantar ke dobi minggu lepas? Ini semua baju karate! Hendak buat apa dengan baju karate? Bukan saya punya.” Rosnita Chek Wah mula merungut-rungut.
“Alamak! Baju karate?” Zaibon tertelan air liurnya. Mana dia perasan sebab baju tersebut tergantung di dalam karung berzip legap. Bukan dalam sarung plastik sepertimana biasa. Zaibon memandang muka Rameli. Rameli tersenyum sumbing. Mariyah menepuk dahinya.
“Okey... okey... sempat lagi. Baru pukul 4.15 p.m. Sempat lagi ke kedai dobi. Tolong bawa saya ke sana cepat. Biar saya tanya taukeh kedai sendiri. Tersilap agaknya. Cepatlah Zaibon! Apa yang ternganga lagi di situ?” Kelam kabut betul Rosnita Chek Wah dibuatnya. ‘Janganlah baju aku dipakai oleh ahli karate pula, sudahlah.’ Getus hati kecil Rosnita.
Zaibon kalut menghidupkan enjin kereta. Rosnita mencium tangan Rameli sebelum mengikut Zaibon dari belakang. Sempat Rosnita melambai kepada Mariyah yang hilang kata-kata. Mariyah dan Rameli tersenyum geli hati melihat aksi yang penuh kelam kabut tadi. Mereka menjungkitkan bahu masing-masing.
“Jangan kali ini Juju yang buat hal lagi soal baju Ros sudahlah, Meli.”
“Buat hal lagi?”
“Ya lah.. buat hal sengaja menukarkan resit dobi. Siapa tahu?” Mariyah Fareedaz tersenyum malas. Dia sayangkan Juju. Juju yang sama paras rupa dengan arwah Schar Minn tetapi seribu kali berbeza perangai dengan anak kandungnya itu. Dia tidak terkilan atau putus asa. Dia ingin menjadikan Juju secantik peribadi Schar Minn.
Rameli tercengang dengan kata-kata Mariyah. Dia hanya melihat dengan ekor mata, kelibat Mariyah pulang ke banglo di sebelah. Cepat betul ibu angkat baru Juju menangkap maksud gerak hati dan langkah Juju. Juju yang panjang akal. Panjang akal untuk memusnahkan mereka yang melenyapkan keindahan zaman silamnya yang terkurang kasih sayang.
88888888888888888888888888888888888888888888888888888