Friday 15 July 2011

BAB 14

 BAB 14 ialah tentang Juju diintip ketika mandi.
Kecoh dan hiruk pikuk seisi rumah.

Mari kita baca BAB 14. Bab kena intip!

ANTARA BELACAN DAN KEJU
-BAB 14-
Intip Juju Mandi

“Hmm... kamu semua ada masalah atau tidak kalau saya bahasakan diri saya sebagai aku. Boleh? Sebab bila cakap saya macam cakap buku. Too formal. Nampak macam acara rasmi bila kita bersaya-saya. Rasa kekok sebenarnya.” Juju memberi usul kepada ahli Baby Gorgeous yang lain.
“Itu perkara kecil sahajalah Juju. Kami pun kadang-kadang cakap aku-aku juga. Lagilah kalau tengah marah. Semua keluar! Aku, saya atau I semua tidak menjadi masalah untuk grup kita. Yang penting, kita selesa.” Selaku ketua kumpulan, Leesa memberi lampu hijau dengan usul Juju.
“Haha! Ini mesti kes bila di kampung kamu sudah biasa cakap aku ya. Mana ada orang kampung cakap, saya.” Surie ketawa berdekah tidak berlapik. “Ops! Jangan marah ya Juju. Nanti cepat tua berkedut seribu.”
No sweat, Surie. Siapa yang tidak kenal dengan mulut laser kamu. Mulut berapi. Kampung-kampunglah juga. Tetapi... budak kampung ini yang jaringkan hampir sepuluh gol dalam pertandingan bola jaring tadi. Siapa yang bagi grup kita menang? Kalau hendak harapkan budak bandar macam kamu semua? Huh! Sampai esok pagi pun  belum tentu satu gol pun masuk.” Juju mendabik dada membangga diri. Benci dengan jolokan budak kampung yang sering dihamburkan kepadanya.
“Okeylah, okey... okey... kamu menang, Juju. Aku tahu aku yang silap Aku tahu mulut aku laser. Wow! Saya sudah guna perkataan akulah!” Mereka berempat ketawa berdekah dengan telatah Surie. Honey tersengih sumbing. Dia agak kekok menggunakan perkataan aku. Dia tidak dibenarkan menggunakan perkataan aku di rumah. Kalau ibunya dengar, mesti kena pulas telinga sampai merah. Kasar! Kata ibunya.
“Aku rasa macam hendak kenakan si Acan pula. Si sopan dan si kaki rapat.” Juju memberi usul baru.
“Si ketua nasyid berambut leper? Mengapa perlu kenakan dia? Acan okeylah! Dia baik. Mat jambu!”
“Eh! Hello... sudah lupa? Semua ahli keluarga belacan perlu dikenakan. Semua! Satu persatu! Satu pun tidak boleh terlepas! Sudah lupa janji kita?” Leesa, Surie dan Honey memandang tempat lain. Seolah-olah tidak mendengar soalan Juju. Malas sebenarnya untuk terlibat mengenakan keluarga belacan lagi. Apatah lagi kes Rosnita hampir mati lemas dua minggu sudah masih segar di ingatan mereka.
“Hmm... mesti sudah lupa. Atau pun... sengaja buat-buat lupa? Hari itu beria benar benar janji kita sehati sejiwa dalam semu hal. Sudah lupa siapa yang ajar kamu semua algebra semalam? Lupa? Kalau tidak, mesti semua kena berdiri atas kerusi untuk pop kuiz hari ini.”
“Okey, okey... Ya lah, Juju. Hmm... kamu pandai sungguh algebra, ya. Walhal kita belum habis belajar bab algebra. Sudahlah Singapore syllabus pula. Hebatlah.”
“Tengok kakilah kawan. Ini Maiya Juliana. Pakar dalam serba serbi.” Juju mendabik dada lagi. Dia sememangnya memang berkebolehan dalam merungkai masalah matematik. Dia dapat menyelesaikannya semudah makan kacang kuda. Lembut dan sekali telan sahaja. Ada berpuluh buku Game with Algebra yang dibeli oleh Juju ketika mengikuti Maiya Karina serta Hanzz Izzat dan Hanzz Izzul ke Singapura dahulu. Singapura yang menjadi kampung bapa tirinya Hanzz Izzat. Algebra di anggap sebagai fun game, bukannya ilmu yang menyesakkan kepala. Jadi, setakat mukadimah algebra yang ditanya dalam quiz Matematik pagi tadi, memang sudah dalam genggaman Juju. Kalau setakat algebra asas, pejam mata pun dia boleh menjawabnya. Masalah algebra yang menjadi kesukaannya ketika melepak di kandang kambing Conan dulu. Juju siap mengajar Leesa, Surie dan Honey sehari sebelum pop kuiz supaya semua ahli Baby Gorgeous di cop cerdik dan pandai. Imbal baliknya, mereka terhutang ilmu dengannya. Jadi, mereka mesti terasa kekok untuk mengatakan tidak dalam misi seterusnya untuk melumatkan keluarga belacan yang busuk.
“Okeylah! Kamu menang lagi, Juju... Okey cepat! Beritahu kami... caranya kita hendak kenakah Acan. Tolak dia dalam longkang besar? Tuduh dia curi seluar dalam? Letak dia dalam zoo beruang?”
“Hehe... Nakallah kamu, Honey. Macam ini...” Juju menarik dan merangkul bahu geng Baby Gorgeous. Masing-masing mengangguk kepala. Sepuluh saat Juju berbisik... mereka ketawa mengilai... sambung berbisik lagi dan ketawa bertambah kuat lagi. Tiba-tiba mereka berempat mengilai dan menjerit kegelian dan kesukaan. Semua pelajar yang lain di kantin hanya memandang mereka berempat. Seisi pelajar sekolah sudah masak dengan gelagat Baby Gorgeous yang terkenal dengan hilai tawa tidak mengira tempat dan waktu. Sungguh gedik dan terlebih dos mengada-ngada tahap maksima.
@@@@@@@@@@
“Eh! Mengapa menangis ini sayang? Macam orang takut! Ada apa Juju?” Juju menangis semahu mungkin. Penat dia memerah air bawang merah ke tepi bebola mata. Sakit sungguh sampai mata benar-benar merah menyala. Menjadi strategiknya walaupun terpaksa menahan kesakitan. Penat berlari keliling bilik supaya nampak penat dan berpeluh sakan. Semuanya agar lakunannya nampak kebaboom!
Mariyah Fareedaz dan Rosnita Chek Wah yang baru balik membeli belah berdua, kehairanan. Juju menangis bersungguh-sungguh. Macam budak tadika kena rotan dengan rotan buluh. Menangis ketakutan. Masing-masing berpandangan. Masing-masing bermain teka teki yang tidak tahu pokok pangkalnya. Sungguh penat berfikir punca Juju meraung hiba. Juju tidak memberi sebarang sebab. Mulutnya dikunci rapat sejak tadi. Semakin ditanya, semakin menjadi-jadi pula esakan dan raungan tangisannya. Akhirnya, setelah didesak, Juju merangkul erat Mariyah dan Rosnita.
“A... Acan... Acan... dia...” Mariyah dan Rosnita saling berpandangan lagi. Kali ini pandangan risau menerpa dan darah masing-masing berderau. Pelbagai fikiran dan tangapan negatif menerjah.
“Acan? Acan buat apa?” Rosnita terketar-ketar bertanya bersungguh-sungguh pada Juju yang berpeluh-peluh. Fikiran masing-masing bertambah kalut dan gundah gulana kerana Juju hanya berpakaian baju kimono tebal dari kain tuala. Nampak benar dia baru sudah keluar dari bilik mandi. Tali baju kimononya pula tidak terikat rapi. Muka Juju pucat dan giginya terketar ketakutan.
“Im.... Im... ke sini cepat! Panggil Acan sekali datang ke mari. Cepat!” Rosnita Chek Wah sudah menjerit dengan lantunan suara yang memekik.
Acun pula tiada di rumah. Dia dan Abby ke rumah A.C. Misai. Bibik Im dan Acan meluru ke ruang santai di tingkat dua banglo tersebut, betul-betul di luar bilik Juju. Mereka berlari tergopoh-gapah apabila dipanggil Rosnita. Masing-masing terpinga-pinga.
“Juju jangan takut! Mama Ros ada sini. Ibu Mariyah pun ada sini. Cakap terus terang. Mengapa Juju takut dan meraung. Mengapa Juju sebut nama Acan berkali-kali tadi?”
“Ya, betul Juju. Cakap, sayang. Jangan takut!” Mariyah memeluk erat Juju yang sengaja menenyeh matanya kuat supaya lakunannya nampak lebih segar dan tulen.
“Sudah banyak kali Juju nampak ada bayang.”
“Ada bayang?” Rosnita tidak sabar dengan jawapan Juju yang dirasakan lambat macam siput sedut merayap. Selaku setiausaha sulit, dia sudah biasa dengan fakta yang betul, cepat dan tepat. Mengalahkan polis menerima lapuran pula.
“A... ada bayang! Ada bayang yang selalu menghendap bilik Juju dan masa Juju mandi.” Darah Mariyah dan Rosnita semakin berderau.
“Tadi... tadi... Juju jenguk muka dari pintu bilik mandi. Juju nampak... Juju nampak dengan jelas Acan ada di situ. Acan cepat-cepat keluar dari bilik Juju bila Juju menjerit.” Juju menyambung esakan tangisannya dengan lebih deras dan kuat lagi. Tidak perlu menggunakan mikrofon lagi.
Acan terketar-ketar. Rambutnya yang tersikat rapi sudah hampir bersepah-sepah walaupun tidak ditiup angin. Dia perlu membela diri. Perlu menegakkan kebenaran. Perlu berkata benar. Tetapi... tiba-tiba dia sendiri jadi takut sebab semua mata garang memandangnya. Mata menuduh. Mata merah yang seakan ingin menerkamnya. Mamanya sendiri sudah bagaikan singa betina yang ingin membahamnya. Muka merah yang marah berapi.
Sebenarnya, sejak kebelakangan ini, Juju memang perasan seolah-olah dia diintip! Ada orang mengintainya sambil terhendap-hendap macam musang berjanggut. Juju berkira-kira sendirian. Ada dua kemungkinan sahaja yang boleh dijadikan alasan. Pertama, dia ada peminat senyap dalam diam. Tetapi... mana mungkin peminat senyap di dalam rumah sendiri? Atau... kedua, ada orang yang ingin tahu dan curiga apakah aktivitinya ketika berada di dalam bilik. Juju mula kalut menyimpan rapi buku comel yang tercatat segala misi rahsianya. Terkunci kemas di dalam laci yang mempunyai mangga kunci besi sebesar penumbuk yang dibelinya sendiri. Juju sering perasan ada bayangan yang mengintip bukan sahaja di biliknya, malah sampai ke bilik mandi juga! Sungguh menakutkan! Juju terkejut bukan kepalang apabila dia dapat melihat gerangan si pengintip di sebalik pantulan cermin. Orang tersebut ialah, tidak lain dan tidak bukan, siapa lagi kalau bukan Bibik Im! ‘Bedebah sungguh! Berani hendak intai aku! Mesti Bibik Im diupah menjadi spy!’ Juju betul-betul geram.
Paling menyakitkan hati Juju ialah, dia terdengar sendiri perbualan diantara Bibik Im dan Acun. Ketika itu, mereka bersembang di celah tiang seri banglo. Kebetulan mereka berdua tidak perasan yang Juju sedang duduk berteleku di tepi akuarium sambil membaca majalah.  Rupa-rupanya, Bibik Im sebenarnya menaruh rasa curiga pada Juju. Curiga sama ada Juju mandi atau tidak selama ini. Dia menuduh Juju malas mandi! Malas mandi sebiji sama macam kambingnya. Juju dikatakan hanya tahu sembur minyak wangi mahal setiap hari untuk menutup bau busuk badannya. Bibik Im mengagak yang Juju memang jarang benar mandi tetapi hanya berpura-pura dengan membasahkan rambut di sinki bilik air sahaja. Bibik Im juga curiga yang Juju tidak solat. Juju dianggap hanya berpura-pura berlakun solat. Sengaja mengunci pintu ketika bilal di masjid sedang mengalunkan azan. Berlakun kononnya sedang solat. Jika ambil wuduk pula, Juju dituduh sengaja membiarkan air terbuka deras tetapi bukannya sedang berwuduk. Tuduhan melampau yang berasas langsung! Juju sangat berang bukan kepalang apabila terdengar Bibik Im meluahkan rasa sangsi tentang Juju yang pada Acun. Terasa hendak terkam dan gigit Bibik Im macam harimau jadian.
Hendak dijadikan cerita, semenjak sehari dua kebelakangan ini juga, Juju ternampak pula kelibat Acan yang sering cuba terhendap-hendap di depan pintu biliknya sambil memegang sesuatu seolah-olah hadiah! Juju dapat mengagak, mungkin Acan hendak buat kejutan untuknya tanpa mahu dia ketahui. Hendak beri hadiah secara rahsia. Juju tahu benar yang Acan sering mahu mengambil hatinya.
Juju mula mendapat akal untuk mengenakan Acan melalui Bibik Im. Pukulan dua dalam satu! Acan akan dituduh si pengintip yang gatal. Harap muka sahaja sopan, tetapi kaki skodeng orangnya. Biar seisi keluarga menyangka si anak soleh yang menjadi harapan keluarga mereka, rupa-rupanya ada hati hendak intip adik kandung sendiri. Biar semua orang menyangka Acan gatal dalam diam. Acan ada hati pada Juju. Juju akan berlakun seolah-olah dia adalah gadis kampung pingitan yang teraniaya. Jadi, dalam masa yang sama, Bibik Im selaku pengintip sebenar akan merasa bersalah tidak terkira kerana Acan menjadi mangsa angkara kerja spy tidak bertauliah oleh Bibik Im.
“Astaghfirullahalazim.... ini tuduhan, mama. Fitnah! Acan tidak akan buat kerja bodoh dan kotor macam itu. Acan tidak pernah ada niat tidak baik untuk mengintip Juju. Apa lagi hendak jenguk Juju sampai ke bilik mandi.”
“Habis, bagaimana Juju kata dia nampak kelibat Acan tadi di biliknya? Dia nampak muka Acan! Acan lari kelam kabut bila Juju jerit tadi. Masih hendak kata tidak?” Mariyah bertanya mengalahkan ketua hakim di mahkamah besar. Dia tidak rela anak angkatnya dinodai abang sendiri. Abang sebapa tetapi berlainan ibu.
“Kepala dia, muka dia, Juju betul-betul nampak Acan tadi.” Juju membuat suara setakut mungkin. Suara terketar-ketar. Suara anak gadis yang perlukan perlindungan.
Acan menelan air liur. Tersekat rasanya. Memang kebetulan pula, tadi memang dia ke bilik Juju. Acan hendak letak kotak hadiah yang mengandungi tudung berkerawang dan bermanik kristal yang ditempah khas untuk Juju. Dia sangkakan hendak buat kejutan. Hendak letak perlahan-lahan ketika Juju tiada di bilik. Sudah dua hari Acan tidak berjaya meletakkan tudung bersebut. Acan hendak letak sendiri. Tidak dengan bantuan sesiapa walaupun Bibik Im. Malangnya, Acan tidak tahu yang Juju pulang awal pula hari itu. Paling malang, ketika Acan terhendap-hendap, Juju sedang berada di bilik air di dalam biliknya. Juju pula menjenguk keluar kepala dan tangannya melalui pintu bilik air untuk mengambil mandian badannya yang baru dibeli. Masa itulah Juju ternampak kelibat Acan. Acan yang terkejut, tidak jadi hendak letakkan hadiah kejutan tersebut. Dia berlari keluar bagai cicak kubing hendak kena lastik. Akibat terlalu terkejut dan takut Juju melihatnya keluar, Acan terbaling kotak hadiah yang mengandungi hadiah tudung tersebut. Masa itulah Juju menjerit ketakutan. Mariyah dan Rosnita juga pulang tepat pada masanya. Maka nampaklah seolah-olah Juju sedang ketakutan diserang hendap oleh Acan kononnya.
“Se... sebenarnya  kebetulan tadi, Acan hendak letak tudung untuk Juju tadi. A... Acan hendak buat kejutan. Hendak buat surprise! Tidak sangka pula Juju pulang awal hari ini. Jadi, itu yang Juju terserempak dengan Acan dalam bilik Juju tadi.”
“Hah? Tudung surprise? Apa semua ini Acan? Mama malu dengan sikap Acan. Apa buktinya? Mana tudung yang Acan maksudkan? Mana? Dalam bilik Juju?” Rosnita naik berang dengan Acan yang dianggap tidak bercakap benar. Acan, anak sulungnya yang sangat diharap-harapkan dan dibanggakan selama ini telah menjadi penipu besar.
“Bertenang, Ros... kita beri peluang Acan bercakap. Mungkin benar. Cepat Acan, kalau betul. Mana tudung hadiah yang Acan hendak jadikan kejutan untuk Juju. Pergi ambil.” Mariyah cuma menjadi si pendamai. Orang tengah yang menenangkan keadaan. Bibik Im sudah terasa hendak terkencing dalam seluar. Dia yang mengintip Juju selama ini, Acan pula yang terkena. Acan yang berada di tempat dan waktu yang salah.
“Erk... ta.. tadi sebab terkejut, Acan lari keluar masa Juju menjerit. Acan terbaling tudung hadiah yang Acan pegang. Entahlah terbaling mana...”
“Hassan Rabbani!” Rosnita menjengilkan matanya. Suaranya nyaring walaupun hanya sekali menyebut kuat nama Acan. Rosnita akan memanggil Acan dan Acun dengan nama penuh mereka sekiranya dia ingin menegur mereka atau menunjukkan kepada mereka bahawa dia sedang marah atau serius. Rasanya itulah pertama kali Acan kena marah sedemikian rupa. Rosnita yang terkenal dengan sikap tenang, lembut, penyabar, berhemah telah bertukar menjadi singa betina lapar hari itu. Rosnita ingin menjadi pembela Juju. Juju yang dianggap penyelamatnya dari mati lemas tempoh hari. Rosnita juga semahu mungkin mahu menunjukkan kepada Mariyah dan Juju bahawa dia adalah ibu tiri yang adil, ibu tiri yang sayangkan Juju sama macam anak kandung sendiri. Yang salah tetap salah, tidak kira walaupun anak kandungnya sendiri, Acan.
Muka Acan bagaikan tidak berdarah jika ditoreh dengan pisau ketika itu. Dia tiada bukti. Tudung tersebut telah dibaling entah di mana. Acan terketar-ketar. Giginya berlaga sehingga berbunyi. Mukanya pucat. Semua mata memandangnya seolah-olah kesalahannya setara perogol bersiri yang diburu polis.
“Jadi... tudungnya tidak ada. Ceritanya? Acan reka? Acan tipu mama? Apa semua ini, Acan? Kalau abah tahu nanti? Teruk kamu kena dengan abah! Cepat mengaku jika Acan bersalah. Cepat minta maaf.” Rosnita sudah terketar-ketar menahan marah. Mariyah juga geram dengan Acan. Tidak dapat dibayangkan jika Juju dinodai Acan, malapetaka yang sangat digeruni. Oh! Tidak! Bibik Im sangat gementar. Takutnya, pucatnya, gentarnya melebihi Acan. Juju menyanyi riang didalam hati. Misinya untuk mengenakan Acan hari ini berjaya. Berjaya membuatkan si ibu mencurigai anak kandung sendiri. Bibik Im bakal menyusul kemudian. Tunggulah.
“Tetapi... siapa pula yang mengintip Juju hampir setiap hari kebelakangan ini. Sampai ke bilik air. Juju... Juju takut. Rasa tidak selamat di rumah ini.” Juju menangis tersedu sedan. Dia sendiri kagum dengan lakunan hebatnya. Sungguh hebat!
“Apa? Hampir setiap hari Juju kena intip? Lain kali, Juju patut cepat beritahu ibu.” Kali ini Mariyah sudah berang. Terasa benar Juju tidak selamat di rumah itu. Biar Juju tinggal bersamanya sahaja.
“Acan! Apa yang Acan telah lakukan selain dari intip Juju sampai ke bilik mandi. Acan hendak tengok Juju mandi? Acan ada niat hendak... apa-apakan Juju? Cakap Acan!”
“Sumpah mama. Sumpah! Hari ini sahaja Acan tersilap. Itu pun memang sebab tudung yang Acan cakap tadi. Sebelum ini Acan tidak pernah buat kerja-kerja bodoh ini semua. Tolonglah percayakan Acan.”
“Jangan bersumpah-sumpah Acan. Nanti kena makan sumpah sendiri. Juju adik kandung Acan sendiri. Adik sebapa. Darah daging Acan. Acan tergamak ada hati hendak buat yang bukan-bukan pada adik sendiri?” Rosnita Chek Wah sudah beremosi tahap melampau. Dia menuduh Acan yang tidak dapat memberikan bukti pembelaan diri. Mariyah Fareedaz sudah tidak lagi membela Acan. Tidak lagi menenangkan Rosnita. Dia hanya mahu nasib Juju terbela. Bibik Im yang membisu dari tadi mengetap bibir. Takut sekali untuk bersuara. Takut kerana pertama kali melihat Rosnita melenting sebegitu rupa pada anak kandungnya sendiri, Acan. Jika Bibik Im mencelah ketika itu, silap-silap haribulan... Bibik Im kena halau balik ke Indonesia malam itu juga. Kena pecat dan dibuang kerja kerana mengintip anak bos mandi. Mengintip kerana curiga anak majikan tidak mandi dan tidak solat. Sungguh tidak logik untuk memberikan usul membela diri. Lebih baik mengunci mulut dengan gam gajah. Jangan hendak memandai tidak kena pada tempat dan masanya.
“Beginilah Ros... jika Ros tidak keberatan. Ros selesailah masalah ini dengan Acan elok-elok. Atau... mungkin Meli dapat nasihatkan Acan nanti. Rasanya lebih baik Mariyah bawa balik Juju ke rumah Mariyah hari ini. Tengok! Dia takut betul. Masih trauma. Kasihan dia. Boleh Ros?” Mariyah memberi usul yang berpihak kepada Juju. Juju yang perlu dilindungi haknya. Juju tertunduk. Dia masih tersedu sedan. ‘Biar Acan kena dengan abah pula. Yes! Biar padan muka. Rasakan! Biar semua jadi porak poranda!’
Rosnita mengangguk lemah. Serba salah melepaskan Juju yang dirasakan nyaris dinodai. Serba salah juga hendak bercerita pada suaminya. Takut tidak kena waktu, tidak kena masa, Acan pula mati dipukul abah sendiri nanti. Rosnita memujuk hatinya sendiri untuk tidak terus menelefon Rameli. Biar tunggu sampai Rameli pulang ke rumah. Biar Rameli tenang dan biar suasana sesuai. Biar Acan mengaku secara ikhlas jika benar dia bersalah. ‘Huh! Bukan senang hendak uruskan anak remaja rupanya. Banyak betul dugaan.’ Getus hati Rosnita lemah. Juju sudah mengikut Mariyah ke banglo sebelah. Juju nampak lemah dan ketakutan. Nampak pucat.
“Im tahu apa-apa tentang hal ini?” Bingkas Rosnita meminta kepastian dari Bibik Im yang diam membisu. Rosnita merasa sedikit pelik kerana selalunya Bibik Im memang suka menyampuk dan mencelah dalam situasi sehangat tadi. Bibik Im menggelengkan kepala sambil tertunduk macam hendak menyembam lantai.
“Tidak puan... saya tidak tahu apa-apa. Saya ke dapur dulu ya.” Belum sempat Rosnita cuba bertanya lagi. Bibik Im sudah berlari ke dapur. Rosnita meninggalkan Acan terkedu seorang diri. Terkedu menanggung masalah baru yang ditempah sendiri. Ingin memberi hadiah kejutan. Ingin Juju memakai tudung. Bahananya diri sendiri terjerat dengan tuduhan mengintip adik sendiri. Sungguh tidak adil.
@@@@@@@@@@
“Biarlah Juju tinggal dengan Mariyah malam ini. Mungkin lebih sesuai untuk dia di sana.” Rameli setuju Juju tinggal dengan Mariyah buat sementara waktu.
“Abang percaya cakap Acan tadi?”
“Apa kita boleh buat jika Acan kata tidak. Hendak paksa dia cakap benda yang dia kata dia tidak lakukan. Hendak pukul dia?”
“Eh! Peliknya! Abang sebelahkan Acan. Inilah orang lelaki. Abang... Juju itu anak abang juga. Anak kita! Dia perempuan. Maruah anak gadis kita. Biar kita betulkan jika benar ada yang tidak kena dalam rumah kita sendiri.”
“Bertenanglah Ros. Jangan panik. Abang rasa, ini bukan sikap Ros selama ini. Mana isteri abang yang penyabar, tenang dan penyayang? Acan dan Juju sama-sama anak kita. Kita kena adil. Kita selidik betul-betul. Jangan gopoh-gopoh.”
“Ya, Ros faham, abang. Tetapi... cuba abang fikir, mana bukti tudung yang dikatakan Acan? Tudung surprise! Malah, surprise lain pula yang dapat. Jika betul niat dia hendak buat kejutan pasal tudung yang dia katakan. Apa kes pula Juju katakan hampir saban hari sejak kebelakangan ini dia nampak ada kelibat orang mengintipnya? Bukan sahaja di bilik tidur... malah sampai ke bilik air. Kasihan Juju, abang. Ros faham sebab Ros orang perempuan. Ros juga sayangkan Acan tetapi Ros hendak dia bercakap benar.”
 “Hmm... Acun mana? Abang tidak nampak dia masa balik tadi.”
“Acun tidur di rumah Abby. Macam biasa, abang. Acun akan ke sekolah dengan pemandu keluarga Abby esok. Kadang-kadang Abby tidur di sini juga.”
“Anak dara yang seorang itu pun kita kena pantau juga. Remaja sekarang, kita kena lebih awasi mereka, Ros. Kes Acan dan Juju tadi, abang rasa, elok jangan beritahu Acun dulu. Nanti kecoh pula jadinya. Ros pesan pada Im juga nanti.” Rosnita mengangguk lemah. Dia menguap. Letih dan penat seharian membeli belah, balik pula ada kes tergempar. Esok hendak pergi kerja lagi.
“Sudahlah... hari pun sudah lewat malam. Tidurlah dulu, Ros. Tuhan di pihak yang benar. Jika Acan bercakap benar, semuanya akan terbukti nanti.”
Rameli merenung ke langit. Melihat bulan tanpa bintang. Tiada penyerinya. Pandangannya terasa kosong dan hambar. Satu persatu bayangan wajah Acan dan Juju datang menerpa ke kotak fikirannya. Rameli tidak dapat menerima jika benar perilaku Acan yang mengintip adiknya sendiri. Namun, Rameli juga tidak mudah percaya dengan cerita Rosnita tentang Juju. Juju yang teraniaya angkara Acan. Rameli berserah dan pasrah. Pasrah dengan ketentuan Ilahi dan bermohon diberikan pencerahan dalam mengeluk lumpur yang bertakung di lubuk muara.
@@@@@@@@@@
            “Zaibon... berhenti kejap. Berhenti di depan. Nampak macam... macam Acan. Apa dia buat seorang diri di sini?”
            “Dia tidak bagi saya jemput dia balik sekolah tadi. Dia kata ada hal. Hendak pulang sendiri.”
            “Acan... Acan!”
            “Abah! Apa abah buat di sini?”
            “Abah yang patut tanya, apa yang Acan buat di sini?”
            “Acan, Acan hendak pergi ke...” Acan menuding jari ke Kedai Tudung Ariana. Rameli cepat cuba menangkap apa yang sedang berlaku. Mesti ada kaitan kedai tudung dengan kes semalam.
            “Zaibon, Zaibon balik dulu, nanti saya telefon, datang ambil saya kemudian. Saya ada hal dengan Acan kejap.” Zaibon melambaikan tangan pada Rameli dan Acan lalu meninggalkan dua beranak tersebut. Rameli mengajak Acan mengikutinya ke Kedai Kopitiam Pak Janggut yang terletak bersebelahan dengan Kedai Tudung Ariana.
            “Jadi... Acan hendak beli tudung baru yang lain? Hendak ganti? Hendak buktikan kononnya tudung itu memang ada?”
            “Jangan tuduh Acan begitu abah, dengar dulu penjelasan Acan. Tudung itu Acan tempah khas untuk Juju. Empat hari baru siap. Acan datang untuk ambil salinan resit tempahan jika ada carbon copy nya. Bukti pada mama dan abah. Bukti tudung itu memang wujud walaupun tudungnya entah terhumban ke mana Acan campakkan.” Rameli dapat melihat cahaya keikhlasan di riak wajah anak sulungnya. Anak sulungnya yang amat disayangi.  Mereka terdiam sejenak semasa minuman dan roti bakar sampai di meja. Rameli memandang wajah Acan. Dia menepuk bahu Acan. Acan mendakap abahnya. Penuh kesyahduan.
            Pulang ke rumah, hanya ada Bibik Im. Semua ahli keluarga yang lain belum pulang.
            “Eh! Abah! Sini kejap, abah.” Acan yang memanggil Rameli ke biliknya. Bibik Im sudah dapat melihat kelibat Acan di biliknya. Bibik Im bingkas berlari ke rumah Mariyah. Takut aktivitinya diketahui. Kalau boleh dia mahu menyorok di dalam almari tong gas di banglo Mariyah.
            “Kotak hadiah tudung! Tudung ini ada atas katil Acan? Bagaimana boleh terbang sendiri elok-elok atas katil Acan?”
            “Itu yang peliknya abah. Malam tadi tidak ada. Malam tadi Acan tidur di sini.”
            “Siapa yang ada di rumah pagi tadi?”
            Serentak mereka menjawab “Bibik Im!”
@@@@@@@@@@
            Rameli, Rosnita, Acan dan Bibik Im berada di banglo Mariyah. Nasib baik Acun dan Juju belum pulang. Abby masih di rumah Abby lagi. Juju pula sibuk ke kedai buku mencari novel terkini kegemarannya. Rosnita sendiri pulang awal. Lagi pun Datuk Ziana Zeni berada di luar negara. Rosnita yang baru selesai urusan di Pejabat Imigresen untuk hal majikkannya, segera pulang bila ditelefon oleh Rameli tadi.
“Ceritalah Im. Cerita yang sebenar. Tidak perlu takut! Asalkan Im cakap yang benar. Jika kita tidak bersalah, Tuhan berada di pihak kita.” Mariyah memulakan bicara sambil memandang tepat ke mata Bibik Im.
“Me... memang saya. Saya yang letakkan kotak hadiah tudung itu di atas katil Acan. Saya jumpa pagi tadi masa menyapu di celah sofa di tingkat dua. Mungkin terpelanting di situ semalam. Terpelanting masa Acan terkejut dan tercampak ke situ.” Bibik Im berterus terang dengan nada perlahan sekali.
“Jadi benarlah cerita Acan semalam? Hmm... buktinya sudah ada di sini.” Rameli memandang muka Acan yang sudah menampakkan muka ceria. Tidak semendung bagai orang di kandang pesalah semalam.
“Apa hal pula dengan kes Juju kata hampir saban hari dia kena intip di bilik dan bilik air selama ini?” Mariyah Fareedaz masih tidak puas hati dengan jawapan Bibik Im dan Acan.
“Kalau saya cerita... tolong jangan pecat saya. Sa.. saya mahu kerja di sini.” Terketar-ketar suara Bibik Im. Tidak dapat dibayangkan jika dia terpaksa berlakon teater Ratapan Orang Gaji selepas ini.
“Ceritalah! Kami dengar. Cakap hanya yang benar.” Rosnita memegang tangan Bibik Im. Dia memang sejak dahulu merupakan majikan yang memahami dan boleh diajak berunding.
“Saya... sayalah yang mengintip Juju selama ini.”
“Apa? Bibik Im yang mengintip? Bibik sukakan perempuan?” Spontan Acan bersuara. Dia merasa pelik dengan kenyataan Bibik Im. Namun, dia amat lega kerana dia sudah selamat dari sebarang tuduhan. Nyaris dicop sebaris dengan perogol bersiri.
“Biarlah Bibik Im cakap sampai habis dulu, Acan... biar dia jelaskan. Rameli kurang senang bila Acan menyampuk tadi. Dia mahu tahu duduk letak perkara sebenar.
“Bukan bibik sukakan perempuan, Acan. Jangan main tuduh-tuduh bibik.” Bibik Im memberi amaran sambil sempat menjeling kepada Acan.
 “Sebenarnya, entah mengapa, saya sangsi sama Juju. Saya dapat rasakan dia malas mandi. Kalau mandi pun, mandinya pantas benar. Saya ada tanya pada Acun juga. Acun juga agak curiga dengan Juju. Kami mengagak Juju malas mandi jadi dia hanya mandi kepalanya di salun rambut.”
“Cuci rambut, Im... bukan mandi kepala.” Mariyah Fareedaz masih membela Juju yang dirasakan teraniaya.
“Saya rasa, Juju mungkin mandi seminggu sekali saja. Hanya sembur minyak wangi satu badan. Kalau tidak sembur, mungkin busuk macam kandang kambing.”
“Bab busuk macam kambing, baik bibik jangan sebut. Nanti Juju sensitif.” Sekali lagi Acan menyampuk. Namun, kali ini ibu bapanya turut menangguk kepala.
“Lagi satu bab solat pula, saya juga curiga yang Juju tidak solat. Dia tutup bilik waktu solat. Kalau waktu baca buku atau buat benda lain, dia tidak tutup pula pintu biliknya. Lagi pun, jarang dia berjemaah bersama kita semua waktu maghrib. Mungkin pura-pura solat dalam biliknya. Pernah masa saya kemas biliknya, Juju kata hendak ambil wuduk, tetapi... dia hanya buka air kuat-kuat dan menyanyi. Saya nampak sebab dia tidak kunci pintu bilik air. Semenjak dari hari itu, saya curi intip dia mandi, curi intip dia ambil wuduk dan solat. Hanya untuk pastikan betul atau tidak tekaan saya selama ini. Itu... itu sahaja. Maafkan saya. Tolong jangan buang saya kerja. Niat saya baik. Saya ingin tegur dia cara baik jika betul dia tidak mandi... tidak solat.”
Rameli memandang Rosnita. Rosnita memandang Mariyah. Mereka mengeluh dan tersenyum hambar. Acan hanya memandang muka Bibik Im. Bibik Im yang membuatkan dia menjadi mangsa tuduhan semalam. Acan mengeluh panjang.
“Niat kamu bagus, Im. Ada rasa tanggungjawab hendak tegur Juju. Tetapi... cara kamu silap. Im tidak boleh mengintip Juju begitu. Patut Im beritahu kami. Tahulah kami tegur dia dengan cara yang lebih tepat.” Rameli cuba membetulkan keadaan. Dia dapat melihat ada rasa kurang senang di hati Mariyah. Mariyah tidak suka orang menuduh Juju sebarangan.
“Saya rasa, Im hanya cuba intip tetapi tidak betul-betul nampak bukti yang Juju tidak solat dan tidak mandi. Betul? Rasanya tidak elok kita menaruh rasa curiga pada orang lain.” Mariyah masih cuba membela Juju yang disayanginya. Hatinya sedikit geram pada Bibik Im. Bibik Im patut tahu batas statusnya. Selaku orang gaji, walaupun sangat rapat dengan keluarga majikan, dia tidak boleh menaruh curiga pada anak majikan. Curiga hingga tahap mengintip. Sungguh di luar batasan orang gaji. Harus cepat sedar dan tahu diri. Mariyah mengetap bibirnya kegeraman.
“Ya, Saya hanya cuba intip. Cuba intip dia solat atau tidak... cuba intip dia mandi atau main air. Tetapi... saya tidak nampak sebarang bukti. Cuma dapat jenguk pintu sekejap. Itu pun Juju selalu cepat tersedar.” Bibik Im tahu nada suara Mariyah Fareedaz menunjukkan dia sedang marah. Bibik Im tidak sanggup bertentang mata dengan Mariyah.
“Apa-apa pun, kalau boleh lepas ini saya tidak mahu dengar lagi Im hendak mengintip sesiapa. Curi hendap! Perbuatan itu adalah kurang sopan. Im suka atau tidak kalau orang lain tuduh dan intip Im? Mesti tidak suka bukan? Apa-apa hal yang melibatkan anak-anak saya, cepat Im kena beritahu kami. Jangan ambil tindakan sendiri. Jangan berkomplot dengan memberitahu Acun seorang.  Biar kami yang tangani. Sebabnya, mereka sudah remaja. Anak remaja perlu ditangani dengan betul.” Berdesing suara Rosnita memberi amaran. Amaran yang julung-julung kali ditala tepat ke batang hidung Bibik Im. Mariyah puas hati. Bibik Im tertunduk bongkok tujuh, hampir terkena mukanya ke permaidani gebu. Terasa diri amat bersalah. Terasa menjadi spy yang tidak lulus ujian. Beribu kali dia mengucapkan maaf. Berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya.
“Saya harap, Im tidak perlu beritahu apa-apa pada Juju dan Acun. Biar nanti saya yang uruskan. Acan pun sama. Diam sahaja... tahulah abah hendak beritahu Juju nanti.” Bibik Im mengangguk kepala bertalu-talu. Tanda faham dengan arahan Rameli.
“Ya, jangan risau... saya pun boleh tolong jelaskan pada Juju nanti. Kasihan Juju. Mangsa keadaan.” Mariyah berkata-kata sambil memandang Rosnita dan Rameli. Rosnita memegang erat tangan Mariyah. Mariyah yang banyak membantu. Terutama dalam soal Juju.
“Sudahlah, Im balik dulu ke rumah. Acan pun balik. Pergi mandi, solat dan makan.” Rosnita memberi arahan. Dia mahu berbual lanjut dengan suaminya dan Mariyah.
“Meli... Ros... sebenarnya, Mariyah tidak pasti dengan kata-kata Im. Mungkin dia perasan saja. Kalau bab solat, rasanya Juju okey. Malah, masa tidur sini, dia pernah ketuk pintu bilik saya waktu azan subuh. Bab mandi, saya selalu juga bawa dia ke salun. Cuci rambut dan urut badan. Mungkin di rumah, dia hanya mandi badan saja. Ada salah faham di sini agaknya. Apa-apa pun, kalau betul kata Im, kita sama-samalah bimbing Juju.” Mariyah memandang Rameli dan Rosnita yang menghela nafas panjang. ‘Siapa yang terperasan di sini? Bibik Im atau Juju?’ Getus hati kecil Rameli
@@@@@@@@@@
“Ada... ada bayang-bayang putih mengintip saya malam tadi. Ada kain putih terbang tepi katil saya, puan.”
“Iskh.. kamu ini ada-ada sahaja Im. Kamu tidak boleh solat agaknya. Uzur ya. Sebab itu badan kamu lemah. Lain kali tidur baca Bismillah dua puluh satu kali. Tidak pun, kain putih itu ialah telekung kamu sendiri.”
“Sudah dua malam saya kena ganggu, puan. Saya takut! Saya rasa macam kena intip. Ada orang hendap saya. Dua malam saya tidak boleh tidur lena. Ke dapur pun saya rasa macam ada orang ikut. Ke bilik air pun sama. Atas katil pun macam ada bayang-bayang. Takut betul!” Bibik Im membuat gaya terketar-ketar.
“Ha... jangan risau Bibik Im. Solatlah banyak-banyak dan mandi betul-betul. Jangan cuba intip orang, nanti ada benda halus intip Bibik Im pula.” Juju berkata-kata dengan penuh semangat. Siap bergelak ketawa yang disambut padu oleh Leesa, Surie dan Honey. Geng Baby Gorgeous tidur dua hari bersama Juju di banglo Rameli. Dua hari menjalankan upacara menakut-nakutkan Bibik Im yang perlu diberi pengajaran. Mereka siap memasang radio dengan rakaman suara orang mengilai di tepi katil Bibik Im. Mengintipnya sama persis dia mengintip Juju tempoh hari.
Juju puas! Puas dapat membuatkan Acan rasa kena tuduh. Rasa kena marah dengan abah dan mamanya. Rasa bagaimana jika ibu dan ayah sendiri tidak sayangkan kita walaupun sebentar cuma. Juju puas dapat membuatkan keluarga belacan saling tuduh menuduh. Juju suka mengenakan Bibik Im yang hendak menyibuk soal tepi kain orang lain. Hendak sibuk soal orang lain solat atau tidak, mandi atau tidak. Sungguh bosan ada orang gaji yang melebihi bos di dalam rumah. Juju sangat puas. Misi mengenakan Acan dan Bibik serentak telah mengena dengan tepat.
Rameli memandang isterinya. Segera mereka dapat menangkap, dapat menghidu. Terang lagi bersuluh. Memang angkara Juju hendak membalas perbuatan Bibik Im. Gaya Juju dan geng Baby Gorgeousnya ketawa pada Bibik Im sudah menunjukkan bukti mereka memang hendak kenakan semula Bibik Im.
Nampaknya memang Juju sudah sedia tahu bahawa Bibik Im yang mengintipnya tempoh hari. Rameli dan Rosnita tersenyum kelat. Banyak sungguh penangan Juju semenjak kehadirannya ke banglo tersebut. Mereka berdua tidak tahu, banyak lagi yang Juju rancangkan. Rancangan mengenakan semua ahli keluarga belacan. Satu persatu, seorang pun tidak akan terlepas.
888888888888888888888888888888888888888888888888888