Friday 15 July 2011

BAB 6

 BAB 6 ialah tentang Juju di sekolah baru.
Pertama kali bersekolah di bandar.
Acun sudah siap menabur cerita tentang kakaknya.
Cerita tentang orang kampung suka makan keju masuk ke bandar.

Ingin tahu perkembangannya? Jomlah kita ke BAB 6 ya. 

ANTARA BELACAN DAN KEJU

-BAB 6-

Sekolah Baru, Cikgu pun Baru! 


            “Pis... pis... Eh! Kamu datang dengan dia tadi, Acun? Cuba tengok, semua pelajar perhatikan dia. Not you!  Ini bencana besar!”

            “Iskh... mana ada bencana besar. Hmm... satu rumah, mestilah datang sekali.. Okeylah dapat tumpang glamor pan asia. Aku tidak mahu cari pasal pagi-pagi dengan abah dan mama.”

            “Your parents didn’t come with her for registration?”

            “Hmm... she insisted to do herself. Biarkanlah. Pelajar terbaik di sekolah kampunglah katakan. Mesti hendak tunjuk pandai. Eh! Cepatlah kita pun sudah lewat.”

            Acun dan Abby Abadeez berlari anak ke Dewan Gemilang Sri Putri KD. Pagi Isnin yang penuh bermakna buat Juju. Pertama kali bersekolah di bandar. Biar pelajar bandar tahu yang dia bukan sebarangan pelajar kampung. Perlu atur langkah dengan kemas. Jangan ada yang tersilap di hari pertama. Juju sempat membelek muka pada cermin yang dibawanya. Mana boleh lekang dengan cermin. Jangan ada yang merampas cerminnya kelak sudahlah!

              @@@@@@@@@@

“Oh! Jadi inilah dia Maiya Juliana binti Rameli Saripin. Selamat datang ke Sri Putri KD Girls School. Ayah kamu ada menelefon saya pagi tadi.  Malah dia ada datang berjumpa dengan saya pada hari Jumaat lepas berkenaan penukaran sekolah kamu. Silakan duduk.”

Datin Shilaila Majidi berjabat tangan kemas dengan Juju. Dia merupakan Pengetua Sri Putri KD Girls School. Datin Shilaila Majidi juga merupakan isteri kepada Datuk Amin Merican, usahawan terkenal di Kota Damansara yang juga salah seorang pemegang saham Bella KD Corp. Berhad. Sri Putri KD dan Sri Putra KD adalah milik penuh Bella KD Corp. Berhad. Datin Shilaila Majidi sudah biasa melihat pelbagai gaya dan pembawakan diri pelajar sekolahnya. Kebanyakannya adalah anak para VIP terkenal di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. 

Namun, hati Datin Shilaila tidak dapat berbohong. Sememangnya dia terpegun sebentar melihat pelajar di depannya. Khabarnya anak Rameli Saripin yang ini datang dari kampung. Tetapi... muka macam anak patung. Putih bersih. Ada suatu yang lain dari lain. Sukar diungkapkan. Walaupun tidak seiras ayahnya, ternyata pelajar pan asia di depannya ini ada karisma tersendiri. Ada aura tarikan dari pandangan kali pertama. Datin Shilaila Majidi bermain teka-teki sendirian.

Rameli Saripin memang dikenali oleh pengetua dan para guru kedua-dua sekolah Sri Putra KD Boys School dan Sri Putri KD Girls School. Terutamanya kerana tanpa diminta Rameli Saripin dengan Restoran Can Meli Can miliknya sering bermurah hati menaja makanan jika terdapat sebarang acara sekolah. Sebut sahaja nama acaranya. Hari Kantin, Hari Guru, Alumni Sekolah, Hari Ibubapa dan Guru, Sambutan Ramadhan serta Aidil Fitri, Program Qurban dan banyak lagi. Pastinya Restoran Can Meli Can akan membuka gerai makanan yang menjadi tarikan. Semuanya atas pembiayaan tajaan sepenuhnya oleh Rameli Saripin. Itu belum lagi termasuk perayaan untuk guru dan pelajar bangsa lain. Rameli turut menyumbang untuk acara sekolah yang melibatkan Hari Tahun Baru Cina, Deepavali dan Hari Krismas. Restoran Can Meli Can akan turut menyumbang dumpling bunjut halal, capati tip top dengan kuah dal rusuk kambing dan ayam belanda golek berempah. Masing-masing memang tertunggu-tunggu makanan tajaan Restoran Can Meli Can walaupun makanan lain berderet ditempah oleh pihak sekolah. Meriah sungguh makanan yang ditaja oleh Rameli Saripin. Dia bersemangat Satu Malaysia. Baginya yang penting anak-anaknya perlu rasa gembira bersekolah di situ. Dia mahu menyumbang semampu mungkin. Bagi Rameli Saripin apa yang diberi, biarlah ikhlas, kelak Tuhan akan beri semula dalam bentuk yang kita tidak duga.  Rameli Saripin percaya bahawa nikmat Tuhan boleh datang dalam pelbagai cara. Atas sebab itu juga, Rameli Saripin tidak pernah kedekut dalam soal tajaan makanan untuk sekolah anak-anaknya. Malahan rezeki mereka sekeluarga tambah melimpah ruah apabila para guru dan ibu bapa pelajar membuat tempahan katering untuk jamuan majlis di rumah masing-masing pula. Datuk Amin Merican dan Datin Shilaila Majidi sendiri menjadi pelanggan tetap Rameli Saripin untuk sebarang upacara majlis di villa mereka. Maka kerana itu juga Acun memang dikenali oleh para guru dan pelajar. Begitu juga dengan Acan di Sri Putra KD Boys School.

“Masuk... Oh!  Kebetulan kamu datang ke mari, boleh tolong bawakan pelajar baru kita ke kelas 5 Alpha?

Lailah Farihah yang mempunyai tubuh dengan rangka yang besar, tegap dan tinggi memandang Juju sambil tersenyum.  Lailah Farihah merupakan ketua pengawas sekolah.  Dia disegani dan dihormati. Malah digeruni para pelajar nakal. Pelajar nakal sekolah memang tidak suka melihat kelibatnya. Apatah lagi untuk berselisih bahu dengannya. Mereka menggelarnya ‘mandur sekolah’. Dengan bentuk badannya yang tinggi, tegap dan besar ragam, mana ada pelajar yang berani melawan apatah lagi untuk cuba membulinya. Dia merupakan ketua pengawas yang dilantik melalui undian secara demokrasi oleh para guru, pelajar sekolah dan seisi petugas sekolah. Malah Mak cik kantin, tukang kebun, penjaga makmal, penjaga stor, jurulatih gimnasium sekolah dan pengawal sekolah turut membuat undian dalam perlantikan ketua dan penolong pengawas sekolah setiap tahun. Sungguh demokrasri. Ini adalah kerana ketua dan penolong pengawas adalah wakil pelajar yang penting dalam berurusan dengan setiap guru, pelajar dan semua kakitangan sekolah. Pembawakan diri yang tegas dan ketokohan terpimpin pada diri Lailah Farihah membuatkan dia disenangi ramai. Malah dia turut cemerlang dalam pelajaran dan aktif dalam ko-kurikulum sekolah. Walau bagaimanapun disebabkan saiz badannya yang besar ragam, dia hanya terlibat dalam sukan lontar peluru di padang sekolah. Tidak untuk aktiviti sukan yang lain kerana badannya agak berat.

“Saya hendak berikan senarai pelajar yang dikenakan detention class minggu ini, Datin.  Cikgu Ally Putra juga telah menyemaknya.”

Cikgu Ally Putra ialah guru disiplin sekolah Sri Putri KD Girls School. Kelas tahanan atau kelas denda mencuci tandas dan longkang serta mengemas perpustakaan dikenakan kepada pelajar yang engkar dengan peraturan sekolah.  Sri Putri KD Girls School juga mengamalkan sistem merit dan demerit, di mana para pelajar mempunyai kad merah yang mengandungi markah bintang. Markah bintang akan dicongak berdasarkan kebaikan dan kesalahan yang telah lakukan. Para pengawas sekolah juga tidak terkecuali dalam sistem ini. Markah bintang tersebut akan dikira setiap hujung bulan.

“Baiklah, letak detention list di situ dulu. Maiya Juliana, kamu boleh ikut Lailah Farihah. Lailah ialah ketua pengawas sekolah. Saya pasti dia boleh membantu kamu jika kamu memerlukan apa-apa bantuan.” Dua pelajar itu tersenyum dan beriringan ke kelas 5 Alpha. Maiya Juliana teragak-agak hendak bertanya walaupun di dalam kepalanya, seribu satu soalan yang ingin diajukan kepada ketua pengawas di sebelahnya.

“Nampaknya kamu sekelas dengan saya. Tingkatan 5 ada tiga kelas semuanya. 5 Alpha, 5 Beta dan dan 5 Gamma. Paling ramai cuma 25 orang pelajar dalam setiap kelas. Guru kelas kita ialah Cikgu Errin Fazzirin. Dia guru kelas yang best!, mengajar kita Bahasa Melayu. Kamu sekolah di mana sebelum ini?”

“Kenalkan, saya Maiya Juliana binti Rameli Saripin. Eh kejap! Tadi kamu kata 25 orang sekelas? Sikitnya! Hmm... by the way, saya... saya bersekolah di kampung sebelum ini. Di Perak.”

“Maiya Juliana binti Rameli Saripin? Hmm... Oh!  Now I remember. Jadi kamu ialah anak Uncle Rameli?”

“Kamu kenal abah saya?”

“Ha ha... siapa yang tidak kenal Uncle Rameli? Dia selalu taja makanan jika ada sebarang acara di sekolah kita. Lagipun Aunty Rosnita yang jelita, mama kamu ya. Saya pernah menghadiri Grooming Class for School’s Prefects kelolaannya.”

“Oh!  Nampaknya terkenal juga abah dan Mama Ros saya di sekolah ini, ya.”

“Hmm... baru saya teringat, adik saya yang sekelas dengan Ayu Raudahtul, si Acun... adik kamu. Dia ada beritahu yang kakaknya adalah best student sekolah kampung akan berpindah ke mari. Jadi kamulah orangnya.” Juju tersenyum kelat. Ada sahaja cara Acun cuba mengenakannya.Seolah-olah badi kampung yang terpalit padanya dilihat bagai satu keburukan.  Sungguh tidak adil.

“Kamu jangan tersalah faham ya, saya tidak kata kamu orang kampung.  Di sini semua sama sahaja.  Ini sekolah swasta.  Our school is a well known prestigious private school.  Jadi bilangan pelajarnya tidak ramai dalam setiap kelas. Tumpuan lebih diberikan kepada setiap murid. Jangan rasa terpinggir hanya kerana kamu sekolah dari kampung.”

Juju merasa lega. Nampaknya Lailah Farihah lembut hati orangnya walau nampak besar ragam, lasak dan kasar. Juju berkira-kira untuk memasukkan Lailah Farihah di dalam senarainya. Senarai mereka yang bakal menolongnya dalam melaksanakan misinya. Misi mereka yang merampas nikmat darinya sejak tujuh belas tahun lalu! Lailah Farihah boleh menjadi pemudah cara bagi Juju. Perlu pegang ‘kepala pelajar’. Jika sudah rapat dengan ketua pengawas sekolah, mudahlah urusannya di sekolah itu kelak. Juju tersenyum dengan menjungkitkan bibirnya sebelah. Sambil berjalan menuju ke kelas, Juju mengkagumi suasana sekolah yang begitu bersih, cantik dan tersusun rapi. Begitu teratur. Macam suasana hotel ekslusif dalam taman. Di setiap sudut pula tertampal motto kata-kata peransang penaik semangat pelajar sekolah. Mereka sempat melalui surau yang seakan masjid mini. Di seberangnya pula terdapat sebuah bilik tertutup yang berlabel Techno Gym - Circuit Training. Sungguh tenang dan sejuk mata memandang. Juju tidak menyangka yang dia sekarang menjadi pelajar bandar dan menikmati kemudahan pelajar gaya anak VIP di sekolah swasta mewah tersebut. Sepatutnya sudah lama dia di situ. Sejak dahulu lagi!

“Hmm... saya lihat tadi, ramai juga pelajar yang tersenarai dalam kelas tahanan. Mereka kena denda?”

“Biasalah masing-masing menggunakan nama ibubapa mereka sebagai lesen untuk tidak mematuhi peraturan sekolah. Namun, guru-guru di sini tidak pandang itu semua. Di sekolah ini, jangan kata anak VIP, anak Pak Menteri atau anak diplomat terkenal, anak kerabat diraja pun akan dilayan sama rata. Tiada diskriminasi. Itu memang termaktub dalam buku visi sekolah. Cuma ada segelintir pelajar yang buat-buat lupa. Lagipun semua pelajar bayar yuran semesta yang sama.” Juju mengangguk tanda faham. Maknanya Acun termasuk dalam golongan segelintir yang buat-buat lupa. Segelintir yang perasan bagus dan bodoh sombong.

“Kebetulan pagi ini kita ada kelas bahasa melayu. Guru kelas kita sendiri yang mengajar. Cikgu Errin Fazzirin!”

“Cikgu Errin Fazzirin?  Dia garang atau tidak?  Guru bahasa melayu saya dulu ialah cikgu lelaki tua berambut kembang beruban. Kalau bercakap dengannya perlu guna ayat penuh yang lengkap. Hendak ke tandas pun kena buat ayat lengkap. Sudah hendak pencen tetapi tersangat garang! Kami gelar dia ‘singa jantan tua.’”

“Ha ha... kamu ini ada sense of humour juga ya.  Cikgu Errin kamu kata garang?  She’s the best BM teacher ever! Dari lemah karangan, saya sendiri sudah semakin okey sekarang.  Sudahlah lemah lembut, cantik, badan melentik mengalahkan model, cara mengajarnya pula sangat menarik. Tidak bosan langsung! Siapa yang dapat dia mengajar bahasa melayu memang bertuah badan. Ha! Sudah sampai pun. Inilah kelas kita.  Why not you pun your belongings in the locker first.  It’s over there. Use this temporary smart swipe card.”

Juju terkebil-kebil menggunakan loker yang dimaksudkan. Sungguh moden! Juju menyembunyikan kejakunannya. Jangan terserlah sangat gelagat tidak tahu menggunakan loker tersebut. Malu pula memegang gelaran gadis kampung. Loker untuk pelajar baru terletak di sudut hujung berdekatan dengan air pancut warna pelangi. Lailah Farihah tersenyum faham lalu menerangkan kepada Juju cara penggunaan loker pelajar. Sri Putri KD dan Sri Putra KD menggunakan sistem smart swipe card atau kad lerekan sesentuh pintar yang perlu dilerek atau disentuh setiap kali hendak akses kepada mana-mana pintu masuk penting sekolah. Sistem ini diamalkan untuk mengenal pasti arah tuju pelajar, guru dan petugas sekolah. Semuanya dapat dimonitor pada skrin khas di dalam bilik Datin Shilaila Majidi. Jika ada perkara yang tidak diingini berlaku, maka senang sahaja hendak diketahui siapa yang punya angkara. Seekor kucing pun tidak boleh menyelinap masuk sesuka hati tanpa kad pintar tersebut.

Juju menjenguk ke dalam kelasnya melalui cermin sebesar dua tapak tangan pada pintu masuk kelas 5 Alpha. Sekali lagi Juju kagum melihat kelas yang begitu moden kerusi, meja, papan putih, almari dan susun aturnya.  Seribu kali berbeza dengan sekolah di kampung. Itu baru pandangan sekilas lalu dari luar, belum lagi masuk ke dalam. Semua pintu kelas tertutup rapat kerana berhawa dingin. Lailah Farihah menggunakan kad pintarnya untuk masuk ke kelas. Kedengaran bunyi tit, tit, tit.. sejurus kad dilerekkan. Tidak perlu mengetuk pintu sepertimana biasa. Semua kelas tingkatan 5 terletak sebelah menyebelah di blok berwarna jingga menyala. Sungguh membuatkan semangat untuk belajar teransang. Lailah Farihah memperkenalkan Juju kepada Cikgu Errin Fazzirin.  Juju pula asyik memandang karpet warna jingga muda yang melatari seisi kelas. Sungguh lembut. Kelas berkarpet! Macam di hotel pula. Pertama kali melihat bilik kelas yang berkarpet gebu penuh begitu.

“Selamat pagi, Cikgu Errin.  Ini pelajar baru kelas kita. Saya baru balik dari bilik pengetua tadi. Ini ada lapuran tentang pelajar baru dari Datin untuk cikgu.”

Lailah Farihah bingkas ke tempat duduknya. Semua 23 pasang mata pelajar lain tertumpu kepada pelajar baru di depan mereka. Walaupun ringkas dengan rambut perang bertocang kuda ikat satu, Juju kelihatan sangat menarik pada pandangan pertama sesiapa yang memandangnya. Apatah lagi dia berwajah pan asia. Ada aura khas kata Tok Hamzah Dollah. Masing-masing memandang dengan pandangan teruja, cemburu dan penuh teka-teki.  Pelbagai tangapan bermain di fikiran pelajar kelas 5 Alpha. Masing-masing berbisik dengan rakan sebelah. ‘Dari mana dia ini... Ingat dia cantik sangat... Boleh tahan juga ya... Macam anak patung Barbie... Macam artislah ... Macam Juliana Evans... Tidak boleh puji, nanti dia perasan... Janganlah duduk sebelah aku... Nampak mengada-ngadalah...Ada kelaslah dia...’

Dibenak hati Juju pula, macam-macam perasaan bercampur baur yang menerpa. Dia sempat memerhati sekeliling kelas sepintas lalu sementara Cikgu Errin membelek kertas lapuran tentang Juju. ‘Eee... Bolehkah mereka terima aku? Nampak berlagak dan sombong ... Patutlah senarai yang kena denda pun ramai tadi.. Kuku merah ke sekolah?  Hah! Boleh bawa telefon bimbit? Pakai tudung bermanik? Pakai blazer bling-bling? Hmm... dasar anak orang kaya, memang susah hendak ditegur agaknya.’ Deras getus hatinya bermain teka-teki.

“Sila ke tengah kelas dan kenalkan diri kamu kepada seisi kelas.” Walau hanya sepotong ayat dilontarkan kepadanya, lemak merdu sungguh suara Cikgu Errin Fazzirin. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Ada tahi lalat di atas hidung sebagai penyeri wajah yang sudah sememangnya berseri. Manis berkurung moden kain sutera crepe mengikut potongan badan warna hijau lembut.  Memang betul pujian yang diberikan oleh Lailah Farihah tadi.

“Nama saya Maiya Juliana binti Rameli Saripin.”

“Ooo... Eh! Anak Uncle Rameli.” Semua pelajar serentak memberi reaksi. Ada pula yang berbisik-bisik sesame sendiri. Juju sudah dapat menduga, ramai yang mengenali abahnya di situ.

“Sekolah di mana dahulu?” Ada suara pelajar dari belakang bertanya. Suara ingin tahu. Suara menyibuk. Begitulah lagak mereka jika sesekali ada pelajar baru menyertai kelas mereka.

“Hmm...” Juju menggaru hidung yang tidak gatal dan membetulkan rambut yang tidak herot. Kelu untuk mengatur ayat sebaik mungkin. Bosan untuk asyik-asyik mengaku dari sekolah kampung. Untuk mengaku sekolah dan tempat asal pun, biarlah kena pada gayanya. Biar tepat caturan ceritanya. Jangan sampai, awal-awal sudah di‘boo’ nanti.

Belum sempat Juju menyusun ayat, Cikgu Errin cepat memahami. Cikgu Errin telah masak benar dengan gelagat anak-anak muridnya. Suka memandang status seseorang sebagai kayu ukur untuk dijadikan kawan mereka. Walaupun hampir semua pelajar di Sri Putri KD adalah anak orang kenamaan, mereka masih mahu memilih untuk berkawan dalam kelompok tertentu mengikut penilaian status pelajar yang mereka gemari. Seisi kelas mula berbisik sok, sek, sok, sek antara satu sama lain. 

“Diam kelas! Okey, untuk pengetahuan kamu semua Maiya Juliana adalah anak kepada penyumbang besar kepada kerja-kerja kebajikan sekolah kita. Ha!  Siapa tidak suka murtabak ayam 3 lapis yang ditaja oleh Tuan Rameli Saripin selalu? Inilah anak gadisnya.”

“Oo...” Serentak seisi kelas bersuara.

“Maiya Juliana ialah pelajar dari Sekolah Menengah Daun Melambai, Ulu Trong, Taiping, Perak.”

“Woo... Kampung girl, babes.”  Riuh rendah kelas dibuatnya.

“Ulu Trong? Entah-entah ada buah terong dalam begnya, cikgu.” Seisi kelas ketawa nakal mendengar ejekkan dari sudut kiri kelas. Juju membuat muka sedih bagai Mahsuri ditohmah.

“Bukan terong sahaja, satu kebun sayur-sayuran kampung diangkutnya. Maklumlah bapanya tukang masak!” Suara sinis semakin menjadi-jadi. Disahut dengan hilai ketawa yang tidak menjaga perasaan dan sensitiviti orang lain langsung. Suka benar menyakat pelajar baru walau tahu yang masing-masing setaraf sahaja sebenarnya.

“Sebentar kelas, untuk pengetahuan semua, mengikut rekod pada kertas ini, Maiya Juliana ialah pelajar terbaik di sekolahnya. Hmm... Ya! Terbaik ketika PMR.  Malahan, dia merupakan salah seorang pelajar terbaik PMR peringkat negeri Perak! Dalam peperiksaan akhir tahun tingkatan empat juga, markahnya sangat cemerlang. Pelajar beginilah yang kita mahukan untuk menyertai sekolah kita. Hmm... saya bangga dengan prestasi kamu, Maiya Juliana. Selamat datang ke Sri Putri KD!”

Semua mulut mula terkunci. Tiada lagi gosip liar dan kata nista. Kejayaan cemerlang boleh membuatkan orang tunduk hormat pada kita. Itu kata-kata Tok Hamzah Dollah yang dipegang oleh Juju. ‘Huh! Hendak pandang hina pada aku konon. Silap oranglah!’ Jika diikutkan hati, mahu sahaja Juju bersuara lantang meluahkan rasa geram terbuku. 

“Okey, Maiya Juliana, kamu boleh duduk di tempat kosong di depan Lailah Farihah. Hmm.. di sebelah Grace Cheah.  Duduk di situ sementara dahulu. Mungkin kita boleh tukar kemudian jika kamu kurang selesa.” Juju mengangguk kepala gaya pelajar baru yang menurut kata. Berbunga hatinya kerana dapat duduk di berhampiran Lailah Farihah, ketua pengawas sekolah. Lailah pula tersenyum ikhlas menyambut Juju duduk di depannya. Grace Cheah yang bermata sepek dan berjerawat di hidung pula tersenyum kepada Juju yang duduk di sebelahnya.

“Hmm... masih ada setengah jam. Sekarang, mari kita sambung pelajaran tadi. Ada tiga tajuk karangan di papan putih.”

Huraikan
Peranan dan Tanggungjawab Anda Sebagai Remaja Dalam :
1-      Usaha Meningkatkan Pengetahuan Teknologi Maklumat dan Kommunikasi di kalangan rakyat; ATAU
2-      Satu Jiwa, Satu Malaysia! Bagaimana menjayakan konsep Satu Malaysia berdasarkan teras keharmonian hubungan masyarakat pelbagai bangsa di negara ini; ATAU
3-      Pertanian sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi negara. Bagaimana cara untuk menarik minat remaja untuk untuk berjinak-jinak di dalam bidang pertanian negara.



“Kelas, siapa boleh datang ke depan dan huraikan secara spontan apa yang terbayang di fikiran kamu dari mana-mana tajuk tersebut. Jangan risau jika kamu tidak sempat berbincang dalam kumpulan tadi. Saya hanya mahu kamu ke depan dan bina keyakinan diri dengan bercakap di depan sini. Luahkan secara spontan. Tidak kira apa yang terfikir di fikiran kamu berdasarkan salah satu tajuk ini.” Seisi kelas senyap sunyi. Masing-masing tertunduk. Ada yang tertunduk kepala bagai mahu rebah kepala ke meja. Ada yang menongkat dagu. Tidak kurang juga yang menuding jari antara satu sama lain. Sikap pelajar yang sudah lali dipandang Cikgu Errin.

“Cepat kelas... Jangan buang masa. Siapa suka rela mahu ke depan atau mahu saya yang pilih?” Juju tidak mahu tunjuk taringnya di hari pertama jika tidak disuruh. ‘Huh setakat tajuk mudah begini. Pejam mata pun aku boleh huraikan.’Namun, Juju tidak mahu memandai. Nanti dikata berlagak dan ‘over acting’.

“Cikgu Errin, apa kata kita tengok kebolehan pelajar baru kita. Kita beri peluang dia bina keyakinan diri, cikgu. Saya rasa, pasti seisi kelas pun setuju juga. Apa kata cikgu?” Galak sungguh suara nakal datang dari pelajar yang duduk di bawah penghawa dingin. Nur Leesa Amirah yang berambut kemas dan sedikit terpacak di tengah gaya boyish cut memberi usul berani menguji Juju. Leesa adalah anak kepada Cikgu Ally Putra, guru disiplin sekolah yang disegani. Leesa juga adalah salah seorang daripada pasukan pendebat sekolah. Seluruh kelas menyambut baik permintaan Leesa sambil bersorak. Nampaknya masing-masing lega kerana bakal terlepas dari bercakap di depan.

“Pandai sungguh kamu menyuruh Maiya Juliana pula ke depan. Bukankah tidak sampai sepuluh minit dia baru masuk kelas kita? Mengapa tidak kamu sahaja ke depan, Leesa?”

“Alah, biarlah cikgu, Leesa sudah selalu benar ke depan. Kita sama-sama tengok kebolehan pelajar terbaik dari kampung.” Surie Adelia yang berkaca mata Gucci pula nakal menyokong usul Nur Leesa Amirah. Bagai ada komplot terancang sengaja mengenakan Juju.

“Woo...” Seisi kelas mengejek. Sememangnya semua pelajar mahu melihat kebolehan pelajar hebat dari kampung. Mungkin ada magis di hari pertama atau mungkin ada ibu sipari-pari akan datang menyelamat keadaan. Ada pelajar yang mencebek dan memuncungkan mulut. Awal-awal membuat gaya tidak percaya dengan kebolehan pelajar kampung. 

“Maiya Juliana... kamu mahu sahut cabaran kelas pada kamu?” Cikgu Errin mempersilakan Juju ke depan sambil tersenyum penuh harapan. Semua mata memandang Juju berjalan ke depan. Ada mata yang mencemburui kecantikan semulajadinya ketika dia berlenggok menuju ke papan putih. Berjalan ke depan kelas pun gaya model catwalk. Penuh gaya tersusun yang sengaja dibuat-buat sebenarnya. Juju sengaja membuat gaya  seolah-olah berfikir lima saat sambil meletakkan jari telunjuk di bibirnya. Gaya dramatik si tokoh pelajar terbaik dari kampung sedang berfikir.

Kemudian dengan bersahaja, Juju memulakan bicara. Dia memilih tajuk ‘Peranan remaja dalam merealisasikan pertanian sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi negara’. Juju memberi hujah dengan penuh gaya, bersahaja dan santai. Satu persatu butiran dikupas dengan terperinci walau tanpa nota atau skrip di tangan. Semuanya bulat-bulat secara spontan dari apa yang terlintas di otak. Bukan satu atau dua, tetapi Juju memberi lapan isi penting secara spontan bagaimana peranan remaja dalam memajukan bidang pertanian negara. Ada mulut yang melopong dan tercengang. Semua pelajar dalam diam terpaksa akur dengan kepetahannya. Gaya genius dari Ulu Trong!

“Hebat! Memang hebat sekali. Tepukan untuk Maiya Julina, kelas.” Seisi kelas bertepuk tangan gemuruh. Pertama kali melihat kehebatan pelajar sehebat Juju. Sememangnya Sri Putri KD ketandusan pelajar yang boleh berhujah sepetah Juju. Nur Leesa Amirah, Surie Adelia dan Honey Afrina selaku pendebat pasukan sekolah juga turut terlopong. Ternyata Juju jauh bagus dari mereka bertiga. Mereka sudah ada saingan!

Mulut masing-masing masih ternganga. Paling kuat bertepuk tangan dan siap berdiri di belakang ialah Lailah Farihah. Tiba-tiba Lailah merasa bangga kerana menjadi pelajar pertama berkenalan dengan Juju yang hebat. Nur Leesa Amirah memandang Surie Adelia yang sibuk membetulkan cermin matanya. Gaya tidak percaya dengan kehebatan Juju. Leesa turut memandang Honey Afrina yang masih tidak menutup mulutnya yang ternganga. Ternganga akibat terpegun sehingga menampakkan giginya yang sedikit tidak rata susun aturnya.

Leesa, Surie dan Honey adalah dari kumpulan Baby Gorgeous yang sememangnya gedik, nakal dan cerdik. Siapa yang tidak kenal dengan Baby Gorgeous. Kumpulan yang ditubuhkan semenjak mereka di tingkatan satu lagi. Kekal bersama, sehati sejiwa. Sejak dahulu, tiada pelajar yang berani mengusul diri untuk menyertai kumpulan mereka. Mereka sendiri tidak pernah nampak pelajar lain yang layak mendapat taraf gorgeous sehebat mereka bertiga.   Mereka adalah tiga sahabat karib, tiga jelitawan, tiga ternakal, tiga genius dan tiga ahli pasukan debat sekolah. Ketika peperiksaan, tempat pertama sehingga ke tiga di dalam kelas sering dimonopoli oleh mereka bertiga. Sesekali Lailah Farihah dapat memotong mereka. Baby Gorgeous terkenal dengan mempunyai kekebalan dari didenda oleh pihak sekolah. Terutamanya kerana Nur Leesa Amirah adalah anak kepada Cikgu Ally Putra. Guru disiplin berhemah tinggi, kacak bergaya yang bukan digeruni tetapi dihormati, disayangi dan dianggap sebagai bapa oleh seisi sekolah. Leesa sering dikatakan berlindung disebalik kehebatan bapanya. Namun ramai yang pejam mata sahaja kerana Cikgu Ally Putra amat dihormati dan Leesa pula tergolong dalam golongan pelajar yang pintar. Mereka dua beranak sering menaikkan nama sekolah di dalam pelbagai acara dan pertandingan. Jarang ada guru disiplin yang disayangi seisi sekolah seperti Cikgu Ally Putra yang sememangnya mempunyai tokoh kepimpinan yang berwibawa. Cikgu Ally Putra tidak perlu menjerit. Cukup sekadar merenung dan menegur secara baik sudah membuatkan para pelajar memahami. Cikgu Ally Putra adalah seorang duda kacak bergaya yang telah kematian isteri. Dia mendapat jolokan ‘duda terhangat di pasaran’.  Datin Shilaila Majidi sendiri sangat mengkagumi Cikgu Ally Putra kerana sering menaikkan martabat dan mengekalkan nama baik sekolah di mata orang luar dari pelbagai segi.

Leesa, Surie dan Honey memandang tajam ke arah Juju yang masih teguh berdiri penuh gaya di sebelah Cikgu Errin Fazzirin di depan kelas. Mereka bukan memandang kepada Juju kerana kagum tetapi.. pandangan cemburu yang menikam kalbu. Mereka bertiga tersenyum kecil. Senyuman plastik yang dibuat-buat.

“Maiya Juliana, kamu pemidato sekolah?”

“Tidak cikgu, maksud saya... saya adalah pemidato peringkat daerah. Cuma saya seorang sahaja pelajar dari sekolah biasa yang mewakili daerah Larut Matang dan Selama. Lagi dua peserta yang mewakili daerah kami ialah pelajar dari MRSM Taiping dan Sekolah Menengah Sains Sultan Azlan Shah, Taiping. Hmm... saya juga adalah Pengerusi Persatuan Bahasa Malaysia sekolah, cikgu.” Juju bercakap dengan begitu teratur dan tersusun. Sengaja memancing perhatian. Petah berbicara dengan tona suara yang diturun naikkan. Penuh melo drama. Bukan sahaja seisi kelas teruja, Cikgu Errin Fazzirin turut mengkagumi akan kehebatan pelajar baru di depannya.

“Wah! Hebat sekali, Maiya Juliana. Memang sangat hebat! Kamu dapat berdiri sebaris dengan pelajar dari sekolah berasrama penuh. Saya betul-betul bangga dengan kamu. Fakta kamu dalam contoh tentang ladang kelapa sawit dan ladang ternakan kambing tadi juga sangat menarik dan kamu memberi hujah dengan isi yang begitu mantap. Begitu spontan! Kamu sudi berkongsi sebarang rahsia dengan seisi kelas? Maksud saya, bagaimana kamu dapat menghuraikan dengan lengkap tanpa perlu menulis terlebih dahulu.”

“Tiada sebarang rahsia, cikgu. Sebenarnya... tidak malu untuk saya katakan saya adalah anak kampung yang bergelumang dengan biji kelapa sawit dan kandang kambing.  Bidang pertanian sudah menjadi asam garam dalam hidup saya, cikgu.”

Seisi kelas memandang Juju bagai tidak percaya. Cikgu Errin Fazzirin sendiri begitu teruja ingin tahu lebih lanjut. Gadis berkulit putih bersih dan mulus seperti Juju bergelumang dengan biji sawit dan kambing? Mesti ada sesuatu yang luar biasa tentang pelajar hebat ini. Masing-masing riuh berbisik. Selama ini semua pelajar hanya terbiasa dengan anak VIP, anak diplomat, anak menteri kabinet, anak keturunan diRaja, anak usahawan, anak jutawan, hartawan dan dermawan. Kali ini sungguh berbeza! Anak kampung yang cerdik, bijak, cantik dan kaya raya juga. Sungguh lain dari yang lain.

“Di kandang kambing? Bunyi macam sungguh menarik, Maiya Juliana. Boleh kongsi sedikit cerita? Kita masih ada lima minit lagi sebelum habis waktu.” Cikgu Errin Fazzirin tidak menyembunyikan langsung rasa ingin tahunya. Siap bertepuk tangan dan kalau boleh ingin meloncat kecil setempat. Dia sememangnya amat terkesan dengan pakej pembawakan diri yang berhemah dan kepintaran pelajar barunya ini. Pasti Cikgu Errin ada cerita paling hangat untuk dihebahkan di bilik guru sebentar nanti. Bukan lagi cerita muak yang sering didengari. Cerita basi tentang pelajar paling nakal membawa gajet terkini di pasaran, pelajar anak hartawan mendapat kelas tambahan peribadi khas atau pun cerita bosan tentang pelajar yang memanggil ibubapa mereka ke sekolah mengadukan hal yang remeh temeh. Cikgu Errrin Fazzirin dan para tenaga pengajar yang lain sudah mangli dengan karenah pelajar Sri Putri KD yang penuh dengan gaya ala-ala diva. Jarang benar ada pelajar yang sehebat Maiya Juliana binti Rameli Saripin!

“Sebenarnya, datuk saya adalah pemilik ladang kelapa sawit dan ladang ternakan kambing Maiya Global Group. Setakat membuat kerja sekolah di ladang memang telah menjadi kebiasaan buat saya dari kecil, cikgu. Tiada lagi rasa geli atau bau busuk. Sudah terbiasa sejak kecil dengan lecak dan tanah merah. Saya tidak pernah menghadiri sebarang kelas tambahan, cikgu. Saya juga amat minat membaca. Tidak kiralah buku cerita atau apa sahaja. Kadang-kadang sampai tertidur sambil membaca di bangsal khas yang yang dibuat oleh datuk saya di tengah-tengah ladang. Hmm... saya juga jarang berfacebook atau twitter macam remaja lain. Capaian internet di ladang agak kurang memuaskan. Cuma agak okey pada sebelah malam. Jadi, bukulah menjadi peneman saya, siang dan malam.” Juju membuat penjelasan gaya merendah diri. Suaranya naik turun ketika bercerita. Mengalahkan gaya pembaca berita. Dia sengaja menekankan minat membaca untuk memikat hati Cikgu Errin Fazzirin. Strategi mesti betul dan tepat. Biar nampak kekampungan tetapi berotak geliga. Itulah senjata ampuhnya. Cikgu Errin Fazzirin sangat bangga mendengar penjelasan Juju. Bukan sebarangan pelajar baru yang masuk ke kelasnya hari itu. Bangga sekali kerana Juju terpilih menjadi anak muridnya. Semua pelajar berbisik sesama sendiri. Masing-masing memandang Juju antara kagum, teruja dan cemburu.

“Haha... nasib baik kamu tidak busuk macam kambing. Malah wangi pula. Kambing pan asialah katakan...” Seluruh kelas tergelak serentak dengan seloroh M.Kajoli yang selamba berkata-kata dari sudut sebelah kanan. Kajoli adalah anak kepada Doktor Malhotra yang membuka klinik pakar kanak-kanak Damansara,. 

Kelas bersurai. Cikgu Errin ada satu macam rasa bangga berjalan menuju ke bilik guru.  Dia segera bercerita tentang pelajar baru yang menarik perhatiannya sebentar tadi. Cerita yang paling hangat pagi tersebut!

“Memang dia asal dari sekolah kampung. Tetapi... dia antara pelajar terbaik peringkat negeri! Sudahlah cerdik. Merendah diri pula. So humble! Exactly like Tuan Rameli Saripin.  Infact she carries the beauty of Puan Rosnita.”Cikgu Saiful Apen yang paling ralit mendengar celoteh Cikgu Errin. Cikgu Saiful Apen terkenal dengan gaya kaki rapatnya.  Cikgu lelaki yang sopan santun dan lemah lembut. Cikgu Saiful Apen mendapat jolokan ‘bapa sotong’. Gaya lembut tetapi sudah beranak dua. Dia membetulkan tali leher bercorak polka dot berwarna merah jambu di dadanya. Siap ada bunga klip bunga ros terselit di celah tali lehernya.

 “Oh really? Sounds great! Tuan Rameli sorok anak dara dia di kampung selama ini ya.”  Para guru yang mengelilingi Cikgu Errin Fazzirin saling berpandangan. Masing-masing berminat mendengar cerita tentang Juju. Pelajar baru yang dikatakan petah berhujah, bijak, pandai dan sangat bersopan santun. Anak dan cucu jutawan yang merendah diri. Semua guru yang berada di bilik guru pagi itu tidak mahu ketinggalan mendengar cerita hebat tentang pelajar yang lain dari yang lain.

Juju tersenyum ketika melintasi bilik guru, sengaja mencuri dengar perbualan para guru. Jelas terdengar namanya disebut-sebut. Strategi hari pertamanya berjalan lancar. Juju ke bilik guru bersama Lailah Farihah untuk mengisi borang bagi mendapatkan kad lerekan pintar untuk pelajar dari Cikgu Ally Putra. Kubikal Cikgu Ally Putra adalah di sudut paling hujung. Tiada guru yang perasan akan kehadiran Juju dan Lailah di situ. Cikgu Ally Putra pula tiada di tempat duduknya ketika itu. Dengan ditemani Lailah Farihah, Juju sengaja mengisi borang kad pintar pelajar dengan perlahan. Sengaja buat-buat pen terjatuh. Sengaja mengisi borang lambat-lambat. Tujuannya ialah untuk membuka cuping telinga sebesar cuping telinga gajah. Seronok mendengar pujian melambung tentang dirinya.

“Wah... Kamu dengar apa yang saya dengar? Cikgu Errin memuji kamulah. Kamu memang hebat pun.”

“Syy... mana ada. Saya biasa-biasa sahaja tadi. Kamu lagi hebat. Kalau tidak, masakan kamu jadi ketua pengawas. Hmm... mulai sekarang, kamu boleh panggil saya Juju sahaja!”

“Okey Juju! Cepatlah isi borang, lepas isi, boleh cepat dapat smart swipe card.” Juju mengangguk tertib. Perlu menjaga hubungan baik dengan ketua pengawas. Juju tersenyum gaya bangga seorang diri.

Tidak sampai setengah hari namanya telah menjadi perbualan para guru. Itulah yang Juju mahukan. Walaupun berasal dari kampung, Juju mahukan perhatian, tumpuan dan populariti.  Acun? Adakah sesiapa yang kenal Acun jika bukan kerana abah mereka, Rameli Saripin.  Hati Juju menari keriangan. Juju membelek wajahnya di cermin tangan yang dibawa. Dia menggenggam erat cermin berbingkai baldu itu. Tersenyum nakal penuh erti. Senyuman tanda langkah pertama ke sekolah baru telah berjaya!

88888888888888888888888888888888888888