Friday 15 July 2011

BAB 3

 Bab 3 ialah tentang Abang Zaibon. Bujang lagi orangnya. 
Gagah dan perkasa. Maklumlah dia adalah guru silat.
Siapakah gerangannya dia dalam hidup Juju si pengemar keju?
Ha! Dialah body guard keluarga baru Juju.
Ops! Abang Zaibon juga adalah 'drebar' kepada keluarga baru Juju.
Sebelum berkenalan dengan keluarga barunya,
Juju terlebih dahulu mengorek rahsia dari Abang Zaibon.

Selamat Membaca cerita yang dikhabarkan oleh Abang Zaibon.


ANTARA BELACAN DAN KEJU
-BAB 3-
Cerita Abang Zaibon

            “Hmm... jauh lagi...?”
            “Lebih kurang lagi dua jam setengah lagi, Cik Maiya Juliana. Hmm... hendak berhenti ke tandas atau... hendak berhenti minum?” 
Zaibon cuba bersuara sebaik mungkin kepada anak bosnya yang baru. Semenjak setengah jam tadi, perjalanannya menjemput anak majikannya dari Kampung Daun Melambai, Ulu Trong, Taiping, Perak agak sunyi sepi. Hanya bertemankan lagu evergreen ‘Bukan Kerana Nama’ dendangan Papa Rock, Ramli Sarip. Lagu kesukaan turun temurun keluarga Rameli Saripin. Satu-satunya cakera padat yang terdapat di dalam kereta mercedes benz S-Class yang dipandu Zaibon untuk menjemput Juju. Menyesal pula kerana terlupa membawa lagu-lagu kegemarannya yang lain. Zaibon segera memasang radio pula.  Terdengar pula lagu Sedetik Lebih dendangan Anuar Zain. Sungguh enak halwa telinga. 
            “Saya okey. Belum terasa dahaga dan tidak pula rasa hendak ke tandas.Abang Zaibon panggil sahaja saya Juju. Tidak payahlah berCik-Cik dengan saya. Semua orang kampung panggil saya,Juju. Sebenarnya saya sangkakan abah sendiri yang akan menjemput saya tadi. Rasa macam tetamu yang tidak diundang pula.” Juju merungut kecil.  Rungutan yang sengaja dibuat agar didengari oleh Zaibon, pemandu keluarga Rameli Saripin.Zaibon sempat mengerling kepada anak majikannya yang baru di sebelahnya. Juju sempat membelek muka di cermin yang dipegangnya. Tidak kekok walaupun diperhatikan oleh Zaibon.  Hati kecil Zaibon tidak dapat membohongi... ‘Huh!Macam anak patung Barbie yang tersorok di kampung!’
Zaibon bin Zailan baru hampir dua tahun bekerja dengan keluarga Rameli Saripin. Dahulu, ayahnya Pakcik Zailan merupakan bekas pemandu setia keluarga Rameli Saripin selama lebih sepuluh tahun. Dua tahun yang sudah, Pakcik Zailan yang baru pulang dari tanah suci Mekah, telah menerima pelawaan bosnya. Pelawaan Rameli untuk mengendalikan salah sebuah rangkaian Restoran Can Meli Can. Cawangan restoran Can Meli Can yang kelapan telah dibuka di kampung halaman Pakcik Zailan di Changkat Jerung. Pelawaan yang bagaikan kecil tapak tangan, padang bola ditadah itu diterima dengan besar hati dan penuh kesyukuran oleh Pakcik Zailan sekeluarga. Sebagai galang ganti buat mengambil alih tempatnya, anaknya Zaibon dengan sukarela mengambil alih tempat bapanya setelah lima tahun Zaibon menjadi pemandu van kilang kicap Aminah Husin.
“Jangan cakap begitu Juju. Erk... saya panggil Juju ya. Tadi ada Abang Zaibon terangkan pada Tok Hamzah. Sebenarnya bukan sahaja Tuan Meli yang mahu menjemput Juju. Malah satu keluarga hendak ikut sekali. Malangnya petang semalam ada panggilan kecemasan dari kampung Puan Rosnita. Ibu Puan Rosnita jatuh tangga katanya. Terseliuh.  Itu yang mereka pulang kejap ke kampung. Rasanya kejap lagi mereka semua sampailah di rumah.”
‘Huh! Alasan!’ Getus hati kecil Juju dengan geram.
“Pertama kali saya berpisah dengan keluarga saya di kampung sebenarnya, Abang Zaibon. Semalam saya betul-betul serba salah. Rasa macam hendak ikut mama, baba dan adik saya ke London.  Atau... saya sebenarnya patut tinggal sahaja dengan atuk saya.” Entah mengapa, Juju tiba-tiba merasa begitu selesa berbicara pemandu abahnya yang baru dikenali.  Muka Zaibon nampak sangat mesra alam. Mudah didekati.  Muka yang mempunyai ciri-ciri pelawak. Lagipun, rasanya memang elok berbuat baik dengan pemandu abahnya. Senang jika hendak ke sana ke mari. Juga senang untuk mengorek rahsia mana yang patut. Biar mudah perjalanan kehidupannya di Kuala Lumpur nanti.
“Eh... janganlah sedih. Abang Zaibon percaya yang Juju sudah buat keputusan yang tepat. Sebenarnya Tuan Meli sendiri ada cerita serba sedikit kepada Abang Zaibon tentang Juju.”
“Cerita tentang saya pada Abang Zaibon?”
“Ya. Lagipun selain pemandu, Abang Zaibon juga bertindak sebagai pengawal peribadi keluarga Tuan Meli. Jadi, Abang Zaibon perlu tahu serba sedikit tentang Juju. Hah...! Tengok lengan Abang Zaibon. Banyak otot berketul! Abang Zaibon juga ialah seorang guru silat.” Abang Zaibon tersenyum dengan bangga sambil menunjukkan ketulan isi di lengan yang tertonjol hasil rejim disiplin latih tubi di gimnasium. Dia juga merupakan ketua pencak silat cekak di mukim Kayu Ara dan Sungai Pencala. 
Mata Juju mula bersinar-sinar. Redup dan suram hatinya mengingati ahli keluarga yang ditinggalkan mula terubat sedikit. Apatah lagi dia tidak dapat meluahkan betapa rindunya dia pada kambing Conan. Sempat Juju meninggalkan gelang kaki dengan loceng berbentuk potongan keju untuk kambing baka Boer yang diberi nama Conan kesayangannya itu. Gelang kaki perak yang ditempah khas dengan Tok Zaman Ismail, bekas tukang barang kemas diRaja yang membuka kedai pertukangan di Ulu Trong.
“Kalau Abang Zaibon tidak kisah, boleh tolong ceritakan serba sedikit tentang rumah dan keluarga baru saya?  Atau... mungkin tentang abah?”
“Oh... itu yang Juju hendak tahu rupanya. Juju mesti seronok nanti sebab keluarga Juju sungguh meriah. Walaupun adik beradik Juju cuma dua orang, Acan dan Acun. Riuhnya macam sepuluh orang. Meriah jika semua berkumpul bersama. Abang Zaibon dan Bibik Im sendiri sudah rasa macam sebahagian dari ahli keluarga Tuan Meli. Abang Zaibon baru bekerja dalam dua tahun dengan Tuan Meli, gantikan ayah Abang Zaibon.”
Baru Juju dapat mengagak mengapa Zaibon tidak bergambar sekali dalam gambar yang dilihatnya tempoh hari. Masih agak baru bekerja rupanya. Sudah pasti Bibik Im telah berkhidmat lebih lama. Bibik Im yang terselit dalam gambar keluarga abahnya. Siap melentuk liuk mengalahkan lagak tuan rumah. Belum kenal dengan Bibik Im, sudah terbit rasa meluat di hati Juju. Namun, dia harus beraksi baik dengan Bibik Im, barulah mudah semuanya kelak. Juju memikirkan peranan yang mesti dilakunkan nanti.
“Rumah abah dekat mana? Juju tahulah di Kuala Lumpur tetapi dekat mana ya?”
“Oh... rumah keluarga Juju terletak di kawasan elit Polo d’Remba Villa. Banglo di Kota Damansara.  Rumah banglo berkembar tiga tingkat yang tersergam indah.”
 “Banglo? Berkembar? Wow! Mesti besar gila ya.”
“Ya, banglo berkembar. Jangan tidak tahu, Juju. Ada seorang janda cantik tinggal di sebelah! Erk... maksud Abang Zaibon, balu. Nama dia Puan Mariyah Fareedaz.” Zaibon sempat membayangkan balu cantik, jiran bosnya. Hatinya tiba-tiba berbunga. Bagai dalam hati ada taman.
“Kasihan sungguh! Tinggal seorang diri di banglo besar. Huh! Cantik orangnya, Juju. Lekuk badan macam gitar. Dia ada salun dan menjual pakaian wanita muslimah. Dia juga merupakan stokis kepada pelbagai produk kecantikan.”
“Siapa?”
“Puan Mariyah Fareedaz, jiran keluarga Tuan Meli tadi. Eh... maaf ya. Hehe... tersasul. Sibuk cerita pasal jiran pula. Sebenarnya kalau hendak diikutkan besar, besar lagi rumah keluarga Juju di kampung. Macam istana ala Bali. Siap dengan laman rumah sebesar padang bola sepak.” Tiba-tiba, Juju diamuk rasa cemburu. Bukan rumah atuknya yang lebih besar menjadi ukuran. Juju mula terbit rasa dengki memikirkan segalanya yang telah dia terlepas di masa silamnya. Segala kebahagian dan kemewahan dari abahnya yang patut dinikmati. Pasti lebih indah jika tinggal di kota besar berbanding dengan bergelumang dengan tanah merah, bau kambing, ladang sawit dan kehidupan kampung yang serba tidak moden. Serba ketinggalan zaman.
“Abang Zaibon tengok Juju juga jenis yang up todate. Bergaya!  Macam gadis remaja kota yang lain juga.  Juju selalu ke Kuala Lumpur?”
“Ada juga saya ikut mama shopping di KLCC. Kadang ke Pavilion. Sebenarnya kami lagi kerap ke Singapura sebab keluarga sebelah bapa tiri saya tinggal di sana.”
“Oh... patutlah.  Nampak stylo! Hah! Abang Zaibon juga selalu bawa Puan Rosnita ke KLCC dan Pavilion. Sesekali ke Star Hill. Nanti bolehlah Juju ikut sekali. Puan Rosnita dan Acun paling suka ke The Curve. Lebih dekat dengan rumah.”
 “Kalau bab abah, Juju ada juga dengar atuk Juju ceritakan. Kalau bab Mama Ros, hmm... dia garang atau tidak ya, Abang Zaibon?”
“Ha ha... Puan Ros! Garang? Hmm... Juju jangan risau. Dia okey. Nanti mesti Juju suka dia. Senyum memanjang.  Kita pun tidak tahu bila dia marah. Tidak suka marah-marah. Jauh sekali hendak membebel. Jika tidak suka sesuatu, dia hanya diam. Ha! Rupa dia sebiji macam pelakon Rozita Che Wan. Sebenarnya dia boleh duduk goyang kaki di rumah sahaja, tidak perlu bekerja... tetapi sebab sudah biasa bekerja, dia lebih selesa berkerjaya. Puan Rosnita merupakan setiausaha sulit kepada tuan punya Merimbun Berhad.”
“Merimbun Berhad?  Syarikat penjanakuasa elektrik swasta yang besar itu?”
“Wah! Juju pun tahu Merimbun Berhad. Betul, Puan Rosnita sudah berkhidmat di sana sejak Acan dan Acun masih kecil. Lagipun big boss Merimbun Berhad ialah seorang wanita korporat yang terkenal, Datuk Ziana Zeni. Jadi tidak risaulah Tuan Meli jika Puan Rosnita perlu balik lewat. Maklumlah dia setiausaha sulit. Balik rumah tidak tentu masa. Dia lebih suka memandu sendiri. Abang Zaibon lebih banyak menguruskan hal anak-anak. Ha!  Nanti Juju hendak ke mana sahaja, beritahu Abang Zaibon. Semua beres!”
“Nampak gambarnya macam garang. Baik rupanya. Maklumlah, orang selalu kata ibu tiri garang.  Itu yang saya agak takut, Abang Zaibon. Takut dapat ibu tiri macam Cinderella. Nanti saya pula jadi bibik di rumah abah sendiri.”
“He he. Jangan risaulah Juju. Ha! Walaupun dia tidak garang tetapi satu hal,  segalanya perlu bersih serba-serbi. Mesti susun teratur. Dia juga sangat menjaga penampilan diri. Tertib tutur bahasanya. Jangan tidak tahu, Puan Rosnita selalu pergi kursus. Kursus protokol!  Kata Puan Rosnita, setiausaha memang selalu kena hadiri kursus protokol. Hmm... Puan Rosnita ini jenis orang yang tidak boleh tengok benda kotor atau berselerak sana sini. Alergik jika tengok rumah bersepah.  Tiba-tiba nanti suhunya akan mendidih!
 “Hehe... suhu mendidih itu maknanya naik angin ya, Abang Zaibon.”
“Betul. Dia tidak marah tetapi dari air mukanya yang berubah kita boleh faham.  Jangan risaulah Juju! Bibik Im yang telah bekerja di rumah Tuan Meli selama lebih sepuluh tahun, sudah masak benar dengan perangai Puan Rosnita. Nampak macam cerewet tetapi semua dia ikut protokol. Susun atur letak sudu dan garpu pun mesti betul. Cadar katil mesti rata sentiasa. Tidak boleh berkedut.  Kasut dan sandal mesti tersusun rapi. Mesti susun ikut warna. Ikut jenis dan jenama. Tetapi... itu semua tugas bibik Im. Bab urusan masakan restoran pula tidak langsung dibawa ke rumah. Semuanya mesti diuruskan di restoran sahaja. Walaupun ketika menerima tempahan katering yang banyak. Rumah mesti tetap sentiasa bersih. Tiada periuk belanga atau pinggan mangkuk bersepah. Tengok sahaja kereta yang Abang Zaibon pandu ini, mana ada habuk berani hinggap. Kalau tidak, mesti Puan Rosnita sudah menjeling sebatu pada abang. Hehe...”
“Alamak...! Macam gerun bunyinya. Sangat tertib dan penuh protokol. Takutlah! Cadar di kampung keremut seribu pun tidak ada orang marah. Sudu dan garpu lagilah... suka hati hendak letak macam mana. Kasut, selipar... merata ada. Atas tangga, bawah rumah. Ha! Dekat kandang kambing pun ada selipar Juju. Bersepah. Maknanya lepas ini Juju pun kena belajarlah.”
“Semua orang ada cara masing-masing, Juju. Kita cara kita. Puan Ros dengan cara dia. Lama-lama nanti Juju biasalah. Ha! Lagi satu, alang-alang Juju sudah tanya pasal Puan Ros... elok Abang Zaibon beritahu satu hal lagi. Bab makan!”
 “Bab makan? Bukankah abah ada rangkaian restoran yang besar. Pilihlah sahaja apa yang Mama Ros hendak makan. Apa masalahnya?”
 “Dia tidak campur urusan bisnes abah Juju. Puan Rosnita sangat menjaga diet hariannya. Abang Zaibon dan Bibik Im diberikan senarai barang yang perlu dibeli mengikut amalan dietnya pada bulan atau minggu tertentu. Macam-macam jenis diet ada. Bulan ini south beach diet.  Ada juga diet pisang tujuh hari, diet sup kobis, atkins diet, diet tinggi protin dan selalunya ialah diet makan buah sahaja. Satu troli Abang Zaibon beli, penuh hanya dengan buah-buahan sahaja. Kalau ke restoran Tuan Meli, Puan Ros akan hanya makan ulam. Di rumah Juju nanti juga ada gimnasium mini... tetapi janganlah risau, ahli keluarga yang lain semua boleh makan ikut selera masing-masing.” Bangga Zaibon menceritakan perihal pemakanan isteri majikannya. Dia sudah lali dengan senarai barang yang perlu diborong setiap minggu. Satu senarai untuk seisi rumah. Satu senarai lagi pula untuk Puan Rosnita yang begitu menjaga diet pemakanannya. Bibik Im yang akan memborong barang mentah di pasar borong atau pasaraya besar. Abang Zaibon akan membantu seada mungkin. Mereka ceria dan bahagia bertuankan majikan yang tidak banyak berkira dan begitu berbudi bahasa menghormati pekerja mereka.
 “Alamak! Macam ini susahlah. Nampaknya saya akan ada masalah, Abang Zaibon.  Saya pemakan keju. Bukan sikit-sikit tetapi setiap hari! Saya suka makanan barat. Jangan gelakkan saya, Abang Zaibon. Saya tahu saya orang kampung tetapi tekak saya sudah terbiasa. Ikut keturunan nenek saya.”
Juju membuat muka runsing memikirkan ibu tirinya yang sangat tertib soal penampilan, kebersihan dan pemakanan. Dia sempat membelek mukanya semula di cermin yang digenggamnya pada tangkai yang tergantung beruang kecil dari Australia.
 “Apalah yang hendak dirisaukan Juju. Sebenarnya kehadiran Juju amat dinanti-nantikan oleh keluarga Tuan Meli. Sejak sebulan lalu semua persiapan telah diuruskan. Bab makan, bilik mengikut warna kesukaan Juju, baju, kasut semuanya telah tersedia. Tuan Meli minta Tok Hamzah senaraikan dengan terperinci segala kesukaan Juju. Ha... malah Abang Zaibon ada temankan Puan Rosnita belikan sedozen cermin comel macam yang Juju pegang sekarang. Semuanya tersusun rapi dalam bilik Juju.” Abang Zaibon tersenyum bangga bercerita betapa keluarga baru Juju sangat menanti kehadirannya. Sangat mengambil berat.  Juju membuat muka terkejut. Sangat teruja. Betul-betul tidak sangka. Mulutnya ternganga dan menjenguk melihat muka Abang Zaibon yang sedang memandu.  Tiada perkataan yang terungkap.
 “Jangan terkejut yang kami semua tahu tentang Conan juga. Kalau boleh, Conan pun Tuan Meli hendak angkut ke mari... tetapi atuk Juju suruh tinggalkan di kampung. Ha! Rumah Tuan Meli ada zoo mini. Penuh dengan binatang di ruang khas di belakang. Jangan risau, semuanya sangat bersih. Ruang yang anti bau busuk. Siap ada semburan pewangi lavender setiap sepuluh minit. Ada Sinchan, Hagemaru, Syimbe, Yamada, Naruto, Atashinci dan banyak lagi..”
 “Zoo mini? Ha! Ini semua mesti nama kucing, arnab, hamster, burung... semuanya ada dalam gambar yang abah kepilkan dalam kad untuk Juju.”
Mereka berdua ketawa berdekah serentak. Dalam takut, risau, suka dan penuh tanda tanya. Juju sangat teruja mahu menjejak kaki pertama kali ke rumah abahnya. Bertemu keluarga baru yang dikatakan penuh ceria. Hatinya berdetak dentum. Perasaannya bercampur baur. Dia sangat rindukan atuk, mama, baba dan adik Izzul, Conan... tetapi dia juga mahu menikmati apa yang sepatutnya dia dapat selama ini.  Matanya berkaca-kaca.
            “Jom kita berhenti kejap di R & R Tapah. Kita solat zohor dan makan tengahari ya.”
            “Okey... tetapi Abang Zaibon mesti janji nanti sambung cerita masa makan ya.  Juju hendak tahu semua tentang famili abah.”
            “Beres! No problem.”
            Kereta mercedes benz S-Class warna hitam metalik di belok masuk ke parkir.  Masing-masing membawa haluan ke surau. Sebenarnya risau juga hati Zaibon melepaskan haluan anak bosnya seorang diri. Zaibon perasan, banyak ekor mata galak yang sempat mengerling kepada Juju. Selesai solat, Juju berdoa agar kehidupan barunya di rumah abahnya kelak akan menjadi sesempurna mungkin. Biar dirinya nampak suci murni di depan semua orang. Biar seisi keluarga termasuk para haiwan di mini zoo rumah abah sukakan dirinya.  Langkah pertama ke rumah abah perlu molek belaka. Tanggapan pertama keluarga baru padanya adalah sangat penting. Perlu nampak positif belaka. Jangan ada secuit pun tanggapan serong. Sikap dengki dan busuk hati perlu ditutup kemas.  Zip jangan sampai terbocor. Perlu disorok. Jangan ada yang terhidu. 
            “Makan burger ayam dan hotdog sahaja? Cukup? Eh...!  Biar Abang Zaibon bayar.  Ini hah! Abah Juju bagi duit belanja.”
            “Cukuplah burger dan hotdog jumbo.  Dua ketul mestilah kenyang.”
            “Hehe... kalau Abang Zaibon, lima ketul pun belum tentu kenyang. Hanya boleh kenyang dengan nasi.  Perut melayu tulen. Baru sedap perut.  Jom duduk di sana.”
            “Abah Juju pandai masak?”
            “Bukan setakat pandai, Juju. Pakar nombor satu. Walaupun tiada sebarang sijil macam chef. Dia boleh masak apa sahaja. Bakat semulajadi. Terutama masakan kampung melayu asli. Hah!  Belacan mestilah jadi ramuan utama. Abang Zaibon boleh makan tiga pinggan kalau ke Restoran Can Meli Can.  Asam pedas, ikan bakar air asam, sambal belacan, cencaru sumbat, ikan keli sambal...”
            “Sedap sangatkah Abang Zaibo?  Bukan belacan itu busuk?”
“Hish! Mana ada busuk?  Belacan adalah penyedap rasa. Ada belacan barulah sedap.  Fuh... sambal belacan gaul dengan mangga ranum dan sambal tempoyak Restoran Can Meli Can adalah yang terbaik. Orang kata, terangkat! Tidak dapat cari di tempat lain.  Pelanggannya pelbagai bangsa. Tidak kira melayu, cina, india, sikh, indon, bangla... semua datang dari jauh atau dekat, semata-mata untuk mencari sambal belacan mangga dan  sambal tempoyak Tuan Meli. ” Bersungguh-sungguh Zaibon bercerita sambil menyuap nasi goreng belacan dengan ikan masin sepat ke mulutnya.
            “Oh! Hebat betul ya. Mana abah dapat bekalan belacan? Dari kilang mana? Sebab dengar macam asyik-asyik belacan sahaja. Restoran pun nama belacan, Can Meli Can. Gelilah!  Mesti perlukan bekalan yang banyak.”
            “Ha!  Yang ini kira macam rahsia keluarga Juju. Lebih baik Juju tanya sendiri dengan Tuan Meli.  Abang Zaibon sendiri cuma pekerjanya.” Zaibon cuba memancing reaksi Juju.
            “Eh! Janganlah macam ini Abang Zaibon. Beritahu sajalah kalau tahu. Juju betul hendak tahu semuanya. Seganlah hendak tanya dengan abah. Nama sahaja dia abah Juju tetapi kami tidak pernah berjumpa langsung, Abang Zaibon. Tidak pernah langsung!”
            “Okey... okey... sila bawa bersabar. Jika cerita Abang Zaibon dapat membantu Juju, Abang Zaibon akan ceritakan apa yang Juju ingin tahu. Tetapi... tiada tokok tambah ya. Kita bercerita pasal orang lain. Pasal keluarga Tuan Meli, abah Juju dan majikan Abang Zaibon. Jadi, Abang Zaibon akan cerita setakat yang betul Abang Zaibon tahu ya.”
            “Ya lah, Juju pun faham, Abang Zaibon bekerja dengan abah. Juju pula baru kejap kenal Abang Zaibon tetapi sudah mahu korek macam-macam hal tentang keluarga abah. Juju tiada niat lain. Cuma ikhlas ingin kenal dengan lebih rapat supaya cepat mesra dengan keluarga baru Juju. Hendak bertanya pada mereka sendiri nanti, mestilah segan.”
            “Okey... makan hotdog di tangan sampai habis dulu. Hmm... jika tidak silap Abang Zaibon, Tok Hamzah Dollah banyak membantu Tuan Meli. Tuan Meli sendiri kerap bercerita pada Abang Zaibon yang modal asal untuk berniaga restoran dan katering semuanya datangnya dari atuk Juju sendiri. Sebab itu Tuan Meli sangat menghormati Tok Hamzah Dollah. Hubungan mereka tidak pernah putus. Malah bertambah erat disebabkan Juju sendiri.”
            “Disebabkan Juju?”
            “Betullah. Disebabkan Juju anak Tuan Meli. Anak kandung darah daging Tuan Meli yang dipelihara oleh mama Juju dan Tok Hamzah Dollah.”
            “Belacan tadi, asal dari mana pula?”
            “Tuan Meli pernah cerita yang Tok Hamzah Dollah yang kenalkan dia dengan pembekal belacan yang terkenal di Perlis iaitu Belacan Cap Ezzaniz.  Tuan milik Belacan Cap Ezzaniz telah memberi pelbagai resepi masakan melayu asli yang meletup. Tuan Meli pula sangat rajin dan berdisiplin orangnya. Sekejap sahaja restorannya terkenal dan menjadi bualan hangat masyarakat setempat. Paling meletup, sambal belacan Can Meli Can.  Memang lain dari lain. Siapa makan, mesti hendak datang lagi dan lagi. Nah!  Sekarang sudah ada lapan cawangan, semuanya berasaskan be... la... can!
            ‘Patutlah berjaya. Modal dari atuk rupanya. Sumber belacan pun dari atuk. Semuanya dari atuk. Abah berjaya, keluarga dia yang dapat nikmati semuanya. Sungguh tidak adil!’  Juju dirasuk rasa dengki semula. Hatinya berkecamuk berbisik sendiri. Juju memuncungkan mulut seinci sambil mengunyah hotdog. Belacan, belacan, belacan... lauk Abang Zaibon di depannya sahaja sudah membuatkan hidungnya gatal.  Nasi goreng ikan masin dengan belacan.
            “Ops... sorry, jangan marah bos kecil.  Tuan Meli juga boleh masak masakan barat.  Namakan sahaja. Abang Zaibon ada nampak sesekali Tuan Meli dan Puan Rosnita di dapur sediakan apa itu... salmon bakar, asparagus dengan kentang lenyek.  Makanan barat cara diet Puan Rosnita. Ha! Acan dan Acun juga suka makaroni cheese. Walaupun cuma makan sesekali makan macam itu tetapi bukanlah satu masalah untuk Juju nanti.  Kalau Juju mahu, hari-hari pun Abang Zaibon boleh belikan keju.  Bibik Im boleh tolong masakkan. Bibik Im ada buku resepi setinggi pintu dapur. Semua dia boleh belajar masak untuk Juju. Semua ditanggung beres!”
            “Ha ha! Jangan si Bibik Im gaul keju dengan sambal belacan sudahlah.” Mereka berdua ketawa serentak. Dalam hati Juju masih tidak dapat menerima pembantu yang dipanggil Bibik Im. Bibik yang kedengaran begitu berkuasa di rumah abahnya. Bergambar dengan aksi terlebih manja. Bibik Im yang akan masak untuk dirinya? Oh tidak, Juju tidak mahu makan masakan bibik. Geli dan terasa meloyakan. Lebih rela masak sendiri. Zaibon seakan dapat membaca isi hati.
            “Belum kenal belum tahu, Juju. Macam orang selalu kata, tidak kenal maka tidak cinta. Bibik Im itu bukan calang-calang orangnya. Bapanya seorang kiyai ternama di Bandung. Kiyai itu ialah orang alim dan dia pandai dalam perubatan cara islam.  Namanya Pak Kiyai Baim Wonggo. Bibik Im sudah lapan tahun kematian suami. Suami dia mati kena hempap batu besar di tapak pembinaan. Sungguh trajis! Menurut ayah Abang Zaibon, semenjak itu Bibik Im curahkan rasa kasih dan sayang kepada keluarga Tuan Meli. Mereka anggap dia macam keluarga sendiri.”
            “Oh...!  Bibik Im kematian suami rupanya. Ada anak?”
            “Anaknya pula meninggal semasa masih kecil akibat demam panas. Hmm... ayah Abah Zaibon pernah cerita, lima tahun yang sudah Puan Rosnita pernah teruk terkena buatan orang yang dengkikan kecantikan dan kejayaannya. Sampai kurus kering melidi. Pak Kiyai Baim Wonggo sudah berumur hampir 70an tetapi sanggup bersusah payah datang dari Bandung untuk berubat cara kampung. Cara perubatan islam. Dengan izinNya tidak sampai dua hari, Puan Rosnita pulih dan sihat semula. Semenjak itu bertambahlah erat ikatan keluarga mereka. Eh!  Kalau ya pun, Juju makanlah burger sampai habis. Mengapa ternganga pula.”
            “Wah...!  Nasib baik Abang Zaibon hendak ceritakan semua ini.  Banyak betul yang Juju perlu tahu.”
            “Ha! Tengok ini, Tuan Meli sudah hantar sms tanyakan Juju.  Cepat makan ya, Juju.  Nampaknya semua orang sudah tidak sabar untuk berjumpa dengan Juju.”
            “Okey... tetapi jangan lupa sambung cerita dalam kereta.”
            “Aik... sambung cerita lagi?”
            “Ya, sambung cerita tentang Acan dan Acun pula.  Adik beradik Juju!” Zaibon tersenyum senget sebelah tetapi tetap mengangguk kepala. Dia terkenang kata-kata Tuan Meli padanya semalam. 
“Nanti dalam perjalanan dengan anak saya, jika ada sebarang soalan yang dia ingin tahu, jawab sahaja dengan jujur, Zaibon.”
“Kalau dia ingin tahu soal peribadi atau latar belakang famili Tuan bagaimana?”
“Biarlah Zaibon. Memang pun dia berhak tahu. Saya rasa dia mungkin akan selesa bertanya dengan kamu, Zaibon.”  Rameli Saripin menepuk bahu pemandunya. Anak Pak Zailan yang memang senang didekati oleh sesiapa sahaja. Mudah mesra, muka macam pelawak dan suka berjenaka. Rambutnya terpacak di tengah. Agak kacak orangnya tetapi sayangnya dia masih belum berpunya. Usianya sudah lewat tiga puluhan.
“Busuklah. Cepatlah pergi cuci tangan.” Juju sudah menutup hidungnya. Zaibon yang terleka segera ke sinki untuk membasuh tangan. Tangannya kuat berbau belacan dan ikan masin. Juju cukup geli dengan bau belacan. Menusuk hidung sampai ke lubuk dada.
Di dalam kereta, Juju mula mengelamun. Baru sekejap meninggalkan Tok Hamzah Dollah tetapi rindunya meluap-luap. Tiada siapa yang dapat mengganti tempat atuknya.  Tiada galang ganti. Juju terkenangkan pula mamanya. Rasa terhenyak hatinya saat berpisah dengan mamanya semalam. Mama yang suka marah dan bebelkannya selama ini. Entah mengapa, Juju rindu dengan bebelan mamanya. Entah bila pula akan bertemu. Ada rasa geram pada mamanya kerana tidak dapat turut serta ke London. Walaupun sering bertegang leher dan ada sahaja yang tidak sekepala dengan mama, baba dan adiknya Hanzz Izzul, Juju tidak dapat membohongi hatinya. Dia rindu. Dia sayu. Dia mahukan mereka sentiasa dekat dengannya. Perpisahan ini amat menyeksakan. Amat pilu dan amat perit. Zaibon mungkin bercerita yang indah-indah belaka. Siapa tahu semuanya ada pakej yang tersembunyi. Pakej dua dalam satu. Busuk hati dan pura-pura baik. 
“Juju... kalau Juju hendak tahu, Juju paling beruntung. Dapat pakej tiga dalam satu sebenarnya.  Dapat jumpa abah Juju yang datang dengan tiga pakej. Lengkap dengan mama Juju, abang dan adik! Mana hendak cari orang yang bertuah macam Juju. Abang Zaibon sendiri menumpang kasih keluarga Tuan Meli. Abang tiada adik beradik.”
“Juju... Juju...tadi kata hendak tahu tentang Acan dan Acun. Tidur rupanya budak ini. Penat agaknya.  Kasihan.”
Zaibon memandu terus menderu ke banglo Rameli Saripin. Biarlah Juju tidur. Jika terjaga, tidak berhenti seminit pun mulut mungilnya bertanyakan itu dan ini. Ada sahaja yang dia ingin tahu. Belum habis Zaibon menjawab, satu lagi soalan sudah sedia menanti. Jam sudah menunjukkan lewat pukul tiga petang. Zaibon membelok ke susur keluar lebuhraya PLUS menuju ke Kota Damansara. 
“Mama... mama jangan tinggalkan Juju... Mama! Atuk!”
Juju tersedar dari tidur. Air jernih membasahi pipinya. Dia tersentak. Berpeluh di dalam penghawa dingin kereta yang dipulas sehingga takuk ketiga.
“Juju mimpi di siang hari rupanya.”
“Mama, mama... Abang Zaibon. Sampai hati mama tinggalkan Juju.”
“Okey, sekarang ambil tisu di sebelah Juju. Sapu muka Juju. Kita sudah hendak sampai. Nanti sampai, kita boleh telefon mama Juju ya.” Butiran air jernih masih deras menuruni pipinya tanpa perlu dipinta. Puas diseka matanya. Juju membelek mukanya di cermin kesayangan yang tidak lekang dari tangan. Dia menambah bedak dwi padat ke muka.  Sedikit pengilat bibir berwarna merah jambu dioles. 
“Alhamdulillah... kita sudah selamat sampai. Abang Zaibon sudah selamat membawa pulang anak gadis Tuan Meli yang sangat-sangat dia nantikan. Selamat datang ke banglo Tuan Meli, Juju. Ke rumah Juju sendiri juga.”
‘Mana semua orang? Kata tidak sabar tunggu aku. Masih di kampung Mama Ros?  Eee... rasa macam hendak balik duduk dengan atuk! Bencinya!’ Bisik hati kecil Juju kegeraman.
“Nah! Cuba tengok siapa yang sampai. Si cantik manis. Jemputlah masuk Cik Maiya Juliana.”
‘Uh... yang ini mesti si Bibik Im. Manis betul mulut dia berkata-kata. Kenapa dia yang sambut aku? Mana orang lain? Eee.. badan bau busuk. Bau pelik. Bau jamu pun ada, bau busuk belacan ada. Sudahlah dijemput pemandu. Disambut pula oleh bibik.  Sungguh tidak adil!’  Juju merungut-rungut sendirian.  Kakinya bagai hendak merejang memberontak.
Juju tersenyum kelat sambil bersalaman dengan Bibik Im yang menyambutnya di kereta. Bibik Im merangkul Juju macam selalu yang dilakukan kepada Acun. Tindakan spontan yang sudah terbiasa. Juju mengeraskan badannya macam anak patung Barbie. Dia terasa kejung. Pertama kali dipeluk oleh seorang bibik. Orang gaji abahnya. Dia memberikan senyuman antara ikhlas dengan dibuat-buat. Tiba-tiba Bibik Im tersedar. Mula timbul rasa amat bersalah tindakannya merangkul Juju tadi. Baru kenal sudah berdakapan. Sudahlah tidak mendapat respon. Apatah lagi dia lupa dirinya cuma seorang bibik, pembantu rumah, orang gaji... bukan boleh senang-senang mahu peluk anak majikan yang pertama kali bersua. Tidak sudah-sudah Bibik Im menyalahkan dirinya sendiri.  Diketuk-ketuknya kepalanya sendiri.
Kaki Juju lambat melangkah ke banglo yang tersergam indah. Dia menggigit kecil hujung bibirnya. Nyaris tidak berdarah. Macam tidak percaya sedang berada di rumah bapa kandung sendiri. Terkedu melihat kesergaman banglo berwarna biru pastel dengan lanskap yang begitu teratur.  Tiada palitan tanah merah macam di kampung.  Di satu sudut, Juju merasa seolah-olah berada di kampung. Sarat dengan pokok serai, pandan, halia, cekur, lengkuas, pokok kari, limau purut, kantan, senohong, selum dan pegaga. Semua daun-daun ulam kampung yang ditanam oleh Tok Hamzah Dollah di rumah mereka di Kampung Daun Melambai ada di situ. Susun atur pokok-pokok tersebut sangat rapi dan teratur. Di tanam dalam bentuk semi bulatan dengan pagar kayu yang nampak seragam. Juju melangkah perlahan ke dalam rumah sambil dipelawa beberapa kali oleh Bibik Im.
 “Eh! Mengapa gelap dan sunyi sepi. Black out?
Tiba-tiba Juju terhidu bau yang tidak asing lagi. Bau kek keju panas yang baru keluar dari ketuhar!          
            “Surprise!!!!”
888888888888888888888888888888888888888