Friday 15 July 2011

BAB 9

 BAB 9 ialah tentang kemasukan bersyarat.
Amboi! Hendak masuk kumpulan terhebat di pasaran pun bersyarat benar.
Itulah Juju. Jika mahukan dia. Gadis kampung IQ hebat,
Silalah ikut syarat-syaratnya.
Geng Baby Gorgeous betul-betul rasa tercabar.
Sudahlah dijemput sertai mereka, siap bersyarat pula.
Juju fikir dia siapa? Lawyer? Majistret?

Okey geng, marilah menerjah ke BAB 9 pula ya.

ANTARA BELACAN DAN KEJU
-BAB 9-
Syarat Juju

“Apa dia? Kamu biar betul Juliana. Syarat kamu syarat gila! Jahat-jahat kami pun, kami backup famili sendiri. Kamu pula hendak hancurkan famili baru kamu.” Honey membuat muka berkerut. Dia memandang Leesa dan Surie. Masing-masing tidak sangka dengan syarat berani mati Juju. Juju tetap selamba. Sedikit pun tidak terpukul dengan kata-kata Honey. ‘Mana janji mereka semalam? Baru sehari sudah berubah! Memang tidak boleh pakai langsung!.’
“Hmm... saya ingat kamu bertiga sudah berjanji untuk sehati sejiwa membantu masalah di sekolah mahupun masalah peribadi. Sanggup berkongsi rahsia. Sanggup susah payah tidak kira apa pun juga. Tidak kira kerja baik atau sebaliknya. Baru sehari menabur janji. Sudah bercabang lidah! Macam ini hendak ajak saya join Baby Gorgeous? Saya rasa lebih baik saya...”
Leesa selaku ketua kumpulan cepat-cepat menangkas kata-kata Juju. Tidak mahu Juju berubah fikiran. Biar pokok masalah dibincang dari hati ke hati. Biar faham puncanya. Jangan ada kudis baru yang melarat.
“Relax Juliana... kami sebenarnya tidak mungkir ikrar grup kita. Kami bukan grup baru. Bukan sehari atau setahun jagung. Kami sudah bersama sejak di tingkatan satu. Sudah hampir lima tahun mengharungi segalanya bersama. Lebih dari ini pun pernah sebenarnya.” Leesa, Surie dan Honey saling berpandangan. Mereka berpegangan tangan. Masing-masing teringat suka duka mereka sebelum ini. Berharta tidak semestinya kaya dengan kebahagiaan. Leesa, Surie dan Honey hanya memerhati banana chocolate cake dan air epal kasturi di depan mereka. Juju si gila keju memilih marble cheese cake. Mereka sepakat bertemu di Secret Recipes selepas waktu sekolah. Zaibon yang tolong hantarkan. Alasannya mereka ingin berbincang tentang Kuiz Perdana. Perlu bincang untuk menang!
“Mesti ada sebabnya, Juliana. Mesti ada sebab yang kukuh. Jika tidak, masakan kamu hendak hancurkan adik beradik sendiri, hendak kenakan Mama Ros kamu. Hendak ajar abah kamu. Mesti ada sejarah silam. Am I right? If you want to be part of us. Why not you tell us everything... A to Z!” Leesa cuba mengorek rahsia. Biar jelas segalanya. Biar tiada tuduhan melulu terhadap Juju.
Juju menarik nafas panjang dalam-dalam. Dia memang memerlukan tempat meluahkan perasaan. Dia memerlukan rakan sebaya yang memahami. Selama ini hanya Tok Hamzah pendengar setia. Juju sempat lagi membelek muka di cermin tangannya. Pemegang cermin berbingkai kain kapas berbelang hitam putih menjadi pilihan Juju hari itu. Siap berenda krim lace Perancis. Leesa, Surie dan Honey sedang memaksa diri menerima tabiat pelik ahli baru mereka. Masing-masing mencebik mulut. Membuat muka herot benyot.
Juju memulakan cerita dengan Bismillah di dalam hati. Walaupun tidak alim. Dia masih tidak lalai mengerjakan solat sepertimana dipesan Tok Hamzah Dollah. Walaupun misi ceritanya pada Baby Gorgeous berpasakkan hati kuman, dia masih sempat memulakan dengan basmallah. Ceritanya benar. Bukan rekaan. Kisah sejarah hidup berduri. Juju tidak mahu beremosi. Namun, ketika ceritanya ditebarkan. Dia pasrah, airmatanya bertakung. Juju yang keras kepala. Juju yang kuat semangat. Juju yang penuh dendam kesumat... rebah dengan sejarah hidup liku duka lalu. Segalanya dihambur keluar. Kisah kelahirannya yang tidak diundang. Tiada majlis cukur jambul. Jauh sekali majlis kenduri doa selamat dan aqiqah. Malah dimaki hamun oleh ibu kandung yang gila meroyan. Dapat pula bapa tiri baru. Tidak pernah merasa kasih sayang sejati seorang ibu kandung. Kalau ada pun, kasih sayang yang dibuat-buat. Plastik belaka. Hipokrit! Juju menambah, dari kecil mindanya sudah disumbat setiap hari tanpa jemu bahawa abahnya maha jahat, tidak adil, tidak bertanggungjawab, tidak memberi nafkah, tidak menjenguk muka langsung, tidak peduli langsung! Tiba-tiba pula setelah tujuh belas tahun, dia disuruh menerima hakikat sebaliknya. Semata-mata atas rasa insaf ibu kandungnya. Rasa insaf setelah ingin berangkat ke London. Meninggalkannya seorang diri. Tidak boleh bersama atuk yang disayangi tetapi... mesti tinggal dengan keluarga baru abahnya. Senang-senang hatinya dilambung. Dibaling bagai bola. Dipaksa terima setiap ketentuan. Tiada perbincangan. Tiada kompromi. Jiwanya tertekan. Hatinya sudah cukup parah. Makan dalam! Itu belum termasuk lagi semenjak kelahiran adik tirinya, Hanzz Izzul yang persis Jehan Miskin. Kacak tetapi sedari kecil kehadirannya sentiasa dibeza-bezakan dengan Juju. Hanzz Izzul putera idaman. Juju bagai anak pungut yang bergelumang dengan tanah merah. Comot, busuk dan selekeh. Syukur kerana dikurniakan kecantikan semulajadi. Tidak pernah ada keadilan dalam hidupnya.
Tambah panas setelah mengenali keluarga barunya, Acun menunjukkan belang tidak terperi. Dasar tidak sedar diri, kekayaan keluarganya adalah dari datuk kesayangan Juju, Tok Hamzah Dollah. Sungguh lupa daratan. Asyik berangan berenang di lautan luas. Asyik berada di zon selesa sejak kecil. Sedangkan diri Juju? Nikmat sebenar kasih sayang dan kesenangan hidup di bandar direntap-rentap rakus darinya.
Air mata Juju deras mengalir sudah tidak tertahan. Leesa, Surie dan Honey siap menongkat dagu, ternganga dan mengetap gigi setiap kali Juju beralih cerita. Ketika Juju berlinangan air mata, mereka asyik tertunduk. Menjadi pendengar setia tanpa suara. Menadah telinga mendengar rintihan ahli baru yang penuh liku duka penuh lara. Di akhir kata, Juju bercerita tentang Mariyah Fareedaz. Hatinya sedikit berbunga. Masih ada yang sayang katanya.
Habis berlipur lara, Juju memandang tiga wajah di depannya. Dia mencari riak wajah yang pasti dapat menggambarkan reaksi dari ceritanya tadi. Leesa menghela nafas bagai mengeluh. Airmatanya ditahan keras dari tertumpah. Tidak mahu nampak lemah sebagai ketua kumpulan. Surie membuang pandangannya jauh ke luar cermin Secret Recipes. Habis pisang dalam kek coklat didepannya dicucuk-cucuk dengan garpu. Honey pula menggengam jari-jari Juju. Biar pun baru mengenali gadis pan asia di depannya, Honey dapat membaca keikhlasan dan kejujuran yang diluahkan. Bukan senang si keras kepala macam Juju hendak bercerita kisah silamnya kepada sebarangan orang.
Semua mulut terkunci bagai diplaster kemas. Tiada kata sebagai komen. Masing-masing memandang antara satu sama lain. Pandangan sarat tetapi tidak terluah. Bohonglah jika masih tidak faham mengapa syarat tegar yang diberikan oleh Juju di awal pertemuan tadi. Syarat gila berani mati. Syarat untuk menerima pelawaan Baby Gorgeous selaku ahli baru. Juju perlukan teman pelaksana. Teman dari grup baru untuk sama-sama melaksanakan misi melumatkan keluarga belacan. Macam melumatkan sambal belacan. Belacan dan cili perlu hancur dan lumat. Keluarga Rameli Saripin digelar keluarga belacan. Alasannya mudah! Mereka terhutang masa silamnya. Mereka meragut haknya. Mereka bersenang lenang selama tujuh belas tahun hasil dari modal datuknya. Rameli Saripin tidak bersungguh memberi haknya sebagaimana Acan dan Acun menikmatinya. Rosnita Chek Wah menikmati segalanya sejak dahulu. Lupa daratan setelah memperolehi anak sendiri. Sedangkan dahulu dia bekas Ratu Perak berasal dari kampung juga, Kampung Ulu Sukun.
Mereka bukan perlu dibunuh. Tidak sekejam itu naluri busuk Juju. Dia mahu mengenakan mereka. Memberi mereka pengajaran secara halus. Jangan asyik tenggelam dalam kemewahan dari hak asal orang lain yang bersusah payah. Tidak sedar ada insan yang menderita di sebalik semua kemewahan selama ini. Bagi Juju, hati keluarga belacan, adalah sebusuk belacan dan penuh dengan kuman. Virus padu!
“Itulah ceritanya. Syarat saya amat mudah. Kamu bertiga sanggup laksanakan segala misi mengenakan keluarga belacan. Dan saya... akan sanggup melaksanakan apa sahaja misi Baby Gorgeous. Saya akan pastikan Kuiz Perdana milik kita. Saya akan pastikan kita dapat apa sahaja yang kita mahu. Tiada yang tidak boleh! Saya akan pastikan kita akan lebih glamor, lebih berkuasa, lebih percikan populariti dari yang sedia ada selama ini. Bukan sahaja di Sri Putri KD, malah di luar sekolah juga. Paling penting pelajar lelaki Sri Putra KD juga perlu tahu siapa kita. Jika mereka sudah tahu siapa Baby Gorgeous sebelum ini, kita perlu buat mereka kenal apa kelebihan kita pula.” Juju bercakap gaya pemidato sekolah terbaik yang mewakili sekolah. Berkobar-kobar dan berapi. Gaya memujuk tiga sahabat barunya.
Leesa, Surie dan Honey mengaitkan jari kelingking masing-masing. Itu isyarat badan grup mereka. Tanda setuju dan seia sekata. Hati masing-masing telah semakin pulih dari terkedu dengan cerita sejarah silam Juju. Leesa memandang Surie. Isyarat minta bercakap dahulu bagi pihak Baby Gorgeous.
“Juliana, kami setuju dengan syarat kamu! Cerita kamu memang nampak ikhlas. Sangat trajis! Kami sendiri punya pelbagai cerita sendiri. Jadi, rasanya walaupun kisah kamu penuh liku. Kami tiada masalah untuk melaksanakan misi bersama. Kita kongsi sama-sama. Biar ahli keluarga kamu mendapat pengajaran. Si Acun dan Abby memang dari dulu berlagak diva. Terlebih sudu dari kuah. Ada hati hendak kalahkan kami! Tetapi, bab Acun kami jarang ambil kisah sebab abah kamu, Juliana. Dia memang baik sebenarnya. Nampak ikhlas. Sudahlah taukeh rangkaian restoran besar. Dermawan pula. Tidak kedekut langsung menaja makanan. Tidak sangka pula segala modal asal datang dari datuk kamu. Bekas mertuanya.”
“Boleh panggil saya Juju sahaja. Tidak perlu panggil Juliana lagi.”
“Juju? Haha! Sebab kamu suka makan keju? Hantu keju!” Juju tersenyum dengan usikan Honey. Dia menarik nafas panjang. Dalam-dalam. ‘Akhirnya... ada orang mahu bantu melaksanakan misi aku. Akhirnya!’
Ada resah membuku di benak hati Leesa sejak tadi. Dia kasihankan Juju tetapi dia bagai cemburukan sesuatu yang sukar diungkapkan. Juju sendiri menantikan Leesa berkata-kata sesuatu. Sekurang-kurangnya menyetujui syaratnya. Menerimanya secara rasmi sebagai ahli baru Baby Gorgeous. Maklumlah, Leesa adalah ketua kumpulan.
“Juliana... hmm... Juju! Sebenarnya terus terang... saya cemburukan kamu.” Semua mata memandang Leesa. Leesa yang dihormati oleh Surie dan Honey boleh merasa cemburu dengan Juju, ahli baru. Mesti ada pisang jauh tersembunyi di sebalik kek coklat. Mesti ada udang yang tergolek di sebalik mee. Juju tidak bertanya. Dia hanya menanti Leesa meluahkan rasa hati. Juju selamba memandang Leesa dengan pandangan ingin tahu apa yang berkocak di hati Leesa. Biar terhambur segala yang terbuku. Jangan ada telingkah di kemudian hari.
“Saya memang sangat terpukul dengan cerita kamu tadi, Juju. Jika saya di tempat kamu, belum tentu saya setabah kamu. Entah-entah... terang-terangan saya minta hak saya yang direntap secara halus selama ini. Tetapi... kamu tahu atau tidak, kamu sebenarnya amat bertuah!”
“Saya bertuah?! Bertuah kerana diri saya dianiaya selama ini? Bertuah kerana tiada kasih sayang dari ibu sendiri? Bertuah kerana tidak mengenali bapa sendiri selama tujuh belas tahun? Bertuah lagi kerana ada adik macam Acun yang dengkikan saya? Ber...” Juju memberi reaksi penuh emosi. Dia rasa dipersendakan. Sungguh penat bercerita. Sungguh sedih hatinya pilu berdarah, masih dikatakan bertuah?
“Relaks, Juju. Sabar dulu. Biar saya terangkan maksud saya. Tolong jangan salah faham.” Leesa mententeramkan Juju. Surie dan Honey sudah berdebar-debar. Mereka sudah sedia maklum keras hati Leesa. Malah mereka turut semakin faham hati batu ahli baru grup mereka. Sama-sama berlaga angin. Perlu cari sebaldi air untuk disimbah di kepala masing-masing. Biar sejuk dan tidak mendidih.
            Leesa memegang jari Juju. Pertama kami berbuat demikian kepada pelajar selain Surie dan Honey. Leesa mahu ribut di hati Juju reda dahulu. “Saya kata kamu bertuah sebab sekarang, kamu bukan ada satu atau dua ibu. Tetapi... kamu ada tiga ibu! Ibu kandung, ibu tiri dan ibu angkat. Mama kamu sendiri sudah insaf. Saya pasti, dia sudah sangat menyesal. Jika tidak, mana mungkin dia mahu kamu tinggal dengan keluarga baru kamu sekarang? Mama Ros kamu pula... rasanya dia sebaik-baik ibu tiri. Cuma dia berada di tempat yang salah pada masa yang salah. Dulu, dia tiada anak. Bila ibu kandung kamu mengandungkan kamu... tiba-tiba Mama Ros kamu pula mengandung. Dapat pula Acan dan Acun. Sungguh! Memang dia abaikan hak kamu dengan abah kamu tetapi dia tetap ibu tiri yang bukan macam ibu tiri Cinderella.”
            Juju tertunduk. Dia menghumban pandangan geram keluar cermin Secret Recipes. Kata-kata Leesa sangat tepat tetapi dia tidak kisah itu semua. Dia dikatakan bertuah! Tetapi... siapa yang boleh membayar hutang kasih sayangnya selama ini?
            “Nah! Sekarang, kamu dapat pula ibu angkat! Vogue pula orangnya. Artis pun kalah. Sebut sahaja apa kamu mahu, Juju. Kamu pengganti arwah anaknya. Tuhan bayar segalanya tunai! Kamu dapat balik segala yang kamu telah hilang selama ini. Kamu tahu bagaimana hidup saya Juju? Saya... saya tidak pernah merasai langsung kasih sayang seorang ibu. Ibu saya meninggal semasa melahirkan saya. Daddy saya sudah tiga kali gagal mendapat pengganti. Ada sahaja yang tidak kena. Saya ada segalanya, tetapi saya tidak pernah ada kasih sayang seorang ibu. Kamu... kamu ada tiga ibu sekarang! Sebab itu saya katakan kamu memang sangat bertuah!”
            Berjujuran air mata Nur Leesa Amirah binti Ally Putra. Tidak lagi boleh menahan takungan air mata. Dia yang terkenal dengan gaya tomboy selama ini, kalah dengan emosi sendiri. Hati Leesa cukup terpukul jika melibatkan soal ibu. Dia sering mereka-reka sendiri dan berangan bagaimana jika punya ibu yang hebat, yang memahami jiwa remajanya dan sudi mendengar masalahnya. Surie dan Honey menarik kerusi masing-masing dan melentukkan kepala mereka ke bahu Leesa yang menahan sedu. Juju terasa sedikit bersalah tetapi hatinya tetap keras. ‘Apa yang mereka tahu tentang apa yang aku lalui? Cakap soal ibu sahaja boleh lembik tengkuk. Mudah sangat cair!’
            “Saya minta maaf, Leesa. Saya faham maksud kamu. Hidup kita tidak sama. Mungkin kamu agak beremosi jika melibatkan soal ibu. Kamu beritahu saya sekarang. Apa rasanya ada ibu yang tidak pernah sayangkan kamu selama tujuh belas tahun? Tiba-tiba pula dapat ibu tiri yang penuh tatatertib, penuh undang-undang, penuh protokol. Tidak boleh berpelukan sebarangan dengan Mama Ros. Bajunya perlu sentiasa rapi. Tidak boleh berkedut. Jalannya teratur. Kata-katanya teratur dan beradab. Dia pula ada dua orang anak lain. Saingan saya. Sebaya saya. Ibu angkat saya? Saya sering dipanggil Schar Minn. Bukan Juju. Saya adalah bayangan anaknya. Arwah anaknya. Dia bukan sepenuh hati sayangkan saya. Saya ibarat jelmaan anaknya. Itu yang kamu cemburukan saya? Itu yang kamu katakan kasih sayang tiga ibu?”
            Juju mengetuk jarinya pada meja. Kemudian dia mengacau kuat spatula di dalam air epal kasturi. Mukanya muram dan suram.
            “Kamu tidak mahu cemburukan abah saya pula? Saya ada abah kandung dan ada Baba Izzat, bapa tiri saya. Bapa tiri saya adalah kekasih di zaman muda ibu kandung saya. Bila mereka berkahwin, adik tiri saya adalah segala-galanya bagi mereka. Saya? Siapa saya di hati mereka? Penyemak keadaan. Penyibuk! Pengacau! Bapa kandung saya sendiri pula... pernah dia berusaha untuk mendapatkan hak membela saya? Bukan dia tidak tahu yang ibu saya gila meroyan setelah melahirkan saya? Dia mengalami sakit jiwa yang kronik pada masa itu. Gila kerana dipaksa kahwin. Saya dianggap beban! Mana abah saya masa itu? Sudah dapat anak sendiri dengan Mama Ros, saya diketepikan walaupun saya juga anak kandungnya. Mengapa tidak berusaha mendapatkan hak untuk membela saya ketika ibu saya sakit jiwa? Mengapa tidak salut saya dengan kebahagiaan dan kemewahan yang Acan dan Acun dapat? Mengapa pinggirkan saya? Itu yang kamu katakan sangat bertuah? Itu yang kamu cemburu? Masih tidak faham dan masih tidak puas hati?!”
            Juju menolak kerusinya. Dia bingkas bangun. Air jernih di pipinya berjurai deras. ‘Buang karan sahaja . Buang masa bagi syarat tetapi hendak emosi soal kasih sayang tiga ibu aku. Baik aku balik tidur lagi bagus!’ Leesa, Surie dan Honey menarik tangan Juju. Merentap tangannya. Sedikit kuat. Tanda mahu dia kekal duduk semula.
            “Duduk dulu Juju. Duduk! Okey... okey... saya faham Juju. I’m so sorry. I’m not in your shoe. I didn’t know the true picture. The real colour of what you have been through. Memang betul kata kamu. Nilai yang sebenar ialah kasih sayang yang hilang dari kita. Ya, jika saya di tempat kamu... saya juga mahu semuanya dibayar kembali.” Leesa cuba menaikkan semangat Juju yang menjunam sebentar tadi. Terasa diri amat bersalah pula.
            “Kasian kamu, Juju. Kamu tiada kasih sayang ibu sejati.  Abah kandung pula sudah ada keluarga sendiri. Tiada kasih sayang keluarga sebenar. Asyik perlu berkasih sayang dengan kambing Conan. He he agaknya kambing Conan kurus kering rindukan kamu, Juju.” Surie cuba menceriakan suasana. Honey memegang tangan Leesa, Surie dan Juju.
            “Okey, kita teruskan misi kita! Masalah Juju... masalah kita bersama! Misi melumatkan keluarga belacan. Misi kita berempat! Masalah setiap ahli Baby Gorgeous adalah masalah kita bersama. Jangan ada sangsi. Jangan ada ragu-ragu. Hati perlu bulat. Misi perlu tepat. Kata biar sepakat!” Honey menyemarakkan suasana.
            “Bagaimana hendak aturkan misi melumatkan belacan?” Leesa memandang muka Juju.
            “Semuanya sudah terpasak dalam kepala saya. Tunggu untuk dilaksanakan!” Juju bangga memberitahu. Dia tersengih bagai kerang bakar kena kopek.
            Di satu sudut, di hujung Secret Recipes...  Zaibon yang sedang memerhati, mula merasa hairan. Dia membasahkan tekak dengan air laici blended. Zaibon masih menunggu Juju kerana amanat selaku pemandu dan pengawal peribadi anak majikannya. Acan dan Acun sudah berada di rumah sejak pulang dari sekolah tadi.
            “Bincang pasal Kuiz Perdana siap dengan linangan air mata? Kejap menangis. Kejap marah. Kejap gelak. Kuiz apa ya? Hmm... dahsyat...”       
 888888888888888888888888888888888888888888888888888