Friday 15 July 2011

BAB 5

 Bab 5 ialah tentang Acun yang tidak kurang cunnya.
Putih gebu orangnya walaupun sukakan belacan.
Siapakah Acun? Baru kenal dengan Juju sudah mahu tunjuk belang.
Sungguh tidak sedarkan diri.
Sudah lupakah dari mana datangnya modal dan harta kekayaan bapanya?

Jemputlah membaca BAB 5. Boleh melunjur kaki atau baring tergolek.

ANTARA BELACAN DAN KEJU
-BAB 5-
Acun Tunjuk Belang 

Senarai Orang KL Yang Baru Dikenali
Perlu Diberes / Tidak Perlu Diberes

Ahmad,Fetriz dan Yahya
-
Beres! 
Perlu gunakan mereka sebaik mungkin macam Acan. Perlu buat baik dengan mereka. Perlu tackle Fetriz yang handsome!
A.C. Misai
(Aiman Cullen)
-
Tidak Beres!
Perlu rampas dia dari Acun. Barulah adil. Biar yang terbaik aku yang dapat semuanya. Semua yang kacak, aku yang punya.
Abby Abadeez
-
Tidak Beres!
Tidak begitu mengancam tetapi harus waspada sebab geng Acun.

            Juju tersengih macam lala kena rebus. Sebelum tidur, dia mengemaskinikan senarai orang yang perlu dibereskan. Menambah sasaran target yang baru hadir dalam misinya. Jam sudah hampir pukul 11.30 malam.
            “Assalammualaikum... boleh abah dan Mama Ros masuk?” Juju cepat-cepat membaling buku comel kesayangannya ke bawah katil. Hampir sahaja gambar Tok Hamzah Dollah dengan kambing Conan yang terselit di dalam buku comel tercabut gamnya. Juju menyumpah diri sendiri kerana lalai membiarkan pintu biliknya terkuak tidak berkunci tadi.
            “Eh... buat apa belum tidur lagi? Sudah solat isyak, sayang?” Juju mengangguk kepala gaya anak solehah. Sengaja telekung yang baru diguna dibiarkan berselerak di atas katil. Biar jelas dia dilihat sebagai anak terdidik soal ilmu dunia akhirat.
            “Sedap makanan tadi?  Juju kenyang?”
            “Hmm... abah dan Mama Ros tidak perlu risau sangat pasal Juju. Walaupun Juju masih baru sangat di sini, Juju tahu menyesuaikan diri. Dulu sebelum datang memang Juju agak risau bab makan tetapi nampak gayanya, semua beres!”
            “Wah! Inilah yang kita hendak dengar ya, sayang. Juju memang anak yang baik. Lega hati abah dan mama.” Rosnita Chek Wah tersenyum memandang Juju. Pandai bawa diri anak gadis ini. Bukan sahaja cantik tetapi juga panjang akal.
            “Esok hari Ahad, Mama Ros hendak bawa Juju pergi shopping barang sekolah keperluan Juju. Kami juga sudah daftarkan Juju di sekolah yang sama dengan Acun. Abang Zaibon akan hantar dan ambil Juju pergi dan balik sekolah setiap hari.”
            “Juju sekolah sama dengan Acun? Acan sekolah mana?”
            “Juju dan Acun sekolah di Sri Putri KD Girls School, Kota Damansara.  can pula di Sri Putra KD Boys School. Tidak jauh antara satu sama lain. Dua sekolah yang hanya dipisahkan oleh padang polo, mini taman tasik dan Masjid Kota Damansara. Kalau Juju mahu tengok, esok kita boleh lalu di situ sebelum pergi shopping.”
            “Oh... sekolah asing antara lelaki dan perempuan rupanya. How nice!  Juju hanya sekolah di kampung sebelum ini. Serba kekurangan. Sekolah Menengah Daun Melambai, Ulu Trong. Mesti sangat berbeza. Takut pula rasanya.” Juju membuat muka sepuluh sen. Muka minta simpati. Muka kasihan. Muka budak kampung tulen. Rameli Saripin dan Rosnita Chek Wah saling berpandangan. Wujud simpati pada Juju yang merasa rendah diri.
            “Takut?  Apa yang hendak ditakutkan, Juju. Haha! Jangan Juju tidak tahu. Kami sudah tengok kad lapuran Juju di sekolah lama. You are the best student during PMR!  Sengaja tidak mahu masuk ke MRSM Taiping. Mahu sentiasa dekat dengan atuknya. Walhal Ulu Trong dan Taiping tidak sampai satu jam. Betulkan?” Juju terus menunduk gaya Sinchan malu dipuji. Namun hatinya tersentuh bila nama atuknya disebut. Tidak sanggup berpisah sekiranya tidak dipaksa oleh atuknya sendiri.
            “So, you don’t have to feel inferiority complex. Be positive! Show who you are.  et people know Maiya Juliana is somebody to proud of.”  Rosnita memberi semangkuk semangat kepada Juju untuk membuatkannya ceria.        Juju mendongak mukanya sambil terkelip-kelip kelopak matanya. Dia memang suka mendengar kata-kata peransang. Dia memang bukan calang-calang pelajar. Jenis yang ada otak. Malah sudah target mahu orang sekolah bandar tahu betapa cerdiknya dia yang datang dari kampung. Jangan sesekali biar diri dihina. Jangan buat orang pandang rendah padanya. Rasanya, orang bandar pun boleh kalah dengan kejelitaan dan kepandaiannya  Tunggulah!
            “Haha! Macam inilah Mama Ros kamu, Juju. Hari-hari kita kena dengar ceramah pendek motivasi harian. Mama Ros kamu selalu pergi kursus motivasi. Hari-hari kami semua dimotivasikannya. Bibik Im pun kena dengar. Okeylah, Juju... it’s tidur time!  Bismillah 21 kali.  Baca al-Fatihah dan 3 Qul sebelum tidur.”
            “Eh!  Sama macam Tok Hamzah. Hari-hari sebelum tidur dari kecil sampai besar tidak pernah lupa suruh Juju baca Bismillah 21 kali, al-Fatihah dan 3 Qul. Sebiji sama!  Okeylah!  Juju hendak masuk tidur dulu... Erk, boleh Juju cium tangan abah dan Mama Ros?” Sejuk hati Rameli Saripin dan Rosnita Chek Wah melihat Juju tulus mencium tangan mereka sebelum tidur. Nampaknya, anak gadis ini rindukan atuknya. Rosnita Chek Wah mencium ubun-ubun Juju. Jatuh kasihan pula pada Juju. Cepat-cepat diketepikan segala prasangka tentang Juju. Memang Juju berhak akan segala yang dia tidak dapat selama ini. Lampu bilik dipadamkan. Lampu tidur berbentuk bintang cabang lima dinyalakan. Pintu ditutup rapat.
            Juju cepat menyeluk tangannya ke bawah katil. Di bawah samar lampu tidur, Juju membetulkan gambar Tok Hamzah dengan kambing Conan yang tertanggal gamnya dari buku comel akibat tercampak tadi. Juju segera mencapai telefon bimbitnya yang diletak pada mod senyap sewaktu jamuan makan malam tadi. Terdapat empat panggilan tidak berjawab dari mamanya. Panggilan dari London. Terdapat mesej susulan dari mamanya yang berbunyi “ Take good care of yourself, Juju.  No matter what happen, we always love you, forever.- Mama, London.” Juju menjuihkan mulutnya. ‘Siap letak mama dari London? Tahulah mama di London. Tidak perlu ulang banyak kali. Sudahlah tidak mahu bawa aku ke sana.’ Juju mengomel di dalam hatinya. Dia tidak ada hati untuk membalas mesej dari mamanya, Maiya Karina. Sebaliknya, Juju menekan nombor telefon Tok Hamzah Dollah. Jika kambing Conan boleh berbicara, mahu sahaja dia telefon kambing Conan juga. Juju mahu berceritakan apa yang berlaku pada dirinya hari ini. Antara seronok dan sedih.  Bercampur baur.
            “Atuk...”
            “Juju...”
            “Atuk......”
            “Cu.....?”
            Kemudian tiada lagi kata-kata susulan. Hanya bunyi esakan tangisan mereka berdua di talian. Esakan rindu yang tidak bisa diungkap dengan kata-kata. Hanya atuknya dapat membuatkan hati Juju lembut. Bagai keju yang mencair. Masing-masing sangat memahami erti esakan tanpa bicara.  Sangat mengerti!
  @@@@@@@@@@
“Abang Zaibon tolong perlahankan sedikit kereta ya. Kalau boleh, berhenti di depan sekolah. Ya, di depan sana.”
“Eh! Mengapa pula Acun? Esok sekolah buka, bawalah Juju jalan-jalan sekeliling sekolah. Sama juga.”
“Iskh... abang sibuklah. Sudahlah kacau daun hendak ikut orang perempuan pergi shopping. Ini Acun hendak tunjukkan Kak Juju sekolah kami pun abang menyibuk. Patutnya tadi abang ikut sahaja abah ke driving range KLGCC atau lepak dengan geng abang. Biarlah Acun hendak tunjuk siap-siap sekitar sekolah kami dari luar, supaya esok tidaklah Kak Juju terkejut. Maklumlah sekolah kampung dan Sri Putri KD Girls School mana sama.”
“Acun...!”
Lantang dan tegas suara Rosnita Chek Wah. Rasanya sudah lama benar Acun tidak mendengar mamanya menjerit begitu kepadanya.Siap dengan menoleh kepadanya dan menjegilkan mata. Bulu mata palsu Rosnita Chek Wah bergerak-gerak. Nampak sangat darahnya sedang mendidih. Zaibon terkedu. Acan kaget. Juju beraksi bagai Cinderella sedang didera mindanya. Acun tertunduk mengadap lantai karpet Range Rover Sport. Dia tahu yang dia telah terlepas kata-katanya yang lancang. Sengaja sebenarnya. Nampak benar abah dan mamanya sudah melebih-lebihkan Juju yang baru tiba dari kampung. Baginya kalau kampung tetap kampung. Bergayalah bagaimana pun. Tetap nampak kekampungan. Tidak dapat menutup gaya kampung hanya dengan memakan keju.
“Acun, tolong ya. Mama tidak ajar Acun cakap begini pada Kak Juju kamu. Memang Juju bersekolah di kampung tetapi dia pelajar terbaik. Among the top best student in Perak state during PMR. Acun sendiri mesti belajar dengan Kak Juju nanti. Acun jangan ingat mama dan abah lebihkan Juju bila Juju tinggal dengan kita. Semua sama rata! Semua anak abah dan mama tetapi... perlahan-lahanlah kita beri peluang pada Juju untuk sesuaikan diri.  Boleh, Acun?”
“Baik, mama. Acun faham. Kak Juju... maaf ya.” Acun menyesal mengata Juju secara terbuka tadi. Sepatutnya tiada yang boleh perasan akan curiganya pada Juju. Acan membuat jari tanda bagus pada Acun. Tanda mengejek padan muka! Acun mencubit lengan Acan. Juju tersenyum sinis. ‘Padan muka Acun!  Hendak kenakan aku konon. Silap oranglah.’ Getus hati kecilnya. Puas!
“Ha! Nanti waktu balik sekolah, Juju ikut Acun tunggu Abang Zaibon di bawah pokok bunga kemboja ini ya. Jika di depan pintu sekolah, agak sesak. Jangan risau... Abang Zaibon akan selalu sharp! On time!”
“Wah... nampak hebat sekolah ini, Mama Ros. Patutlah Acun beria hendak tunjuk pada Juju. Elok pun, biarlah Juju tahu serba sedikit tentang sekolah ini sebelum mula sekolah esok.”
“Kak Juju nampak di sebelah sana? Ha! Yang itu sekolah abang Acan, Sri Putra KD Boys School, Kota Damansara. Sekolah kita hanya dipisahkan oleh Kelab Polo, padang polo di sebelahnya, mini taman tasik dan masjid kuning di sana nun. Masjid Kota Damansara.”
“Wau, luasnya. Macam kolej atau mini universiti. Betul cakap Acun tadi, berbeza benar dengan sekolah Kak Juju di kampung. Eh! Ada kolam renang juga? Besarnya!”
“Ya, ada kolam renang. Tidak cukup berenang di renang di banglo, Kak Juju boleh sambung berenang di sini. Kak Juju boleh berenang?” Juju tersenyum dengan penjelasan dan bertanyaan berbau sinis dari Acun. Dia bukan bodoh untuk tidak memahami setiap sindiran kata-kata Acun kepadanya. Dia tahu, walaupun bunyinya ikhlas, Acun cuba mengenakannya.  Walhal dia anak gadis kampung yang lasak. Setakat berenang dan terjun di sungai di hujung Kampung Daun Melambai adalah perkara biasa baginya. Semudah makan nasi! Masih terasa kedinginan air sungai yang mengalir dari Bukit Sekupang. Malah Baba Izzat juga agak kerap membawa Juju dan Izzat ke Burmese Pool di kaki Bukit Larut di Taiping. Juju memang mahir berenang gaya kuak lentang atau terjun menjunam.
“Sekolah ini sangat lengkap, Kak Juju. Sekolah swasta milik sepenuhnya Bella KD Corp. Berhad. Semua bilik berhawa dingin. Tidak kira kelas, makmal sehingga ke tandas.  Ada pentas teater dan auditorium mini ala Istana Budaya. Kita ada band orkestra koir dan nasyid yang hebat. Kita juga adalah juara karate dan silat cekak lima kali berturut-turut di bawah 17 tahun. Hah! Abang Zaibon adalah salah seorang tenaga pengajar silat cekak separuh masa di sini.” Zaibon tersenyum melihat Acun yang beria-ria memberi penerangan.  Ibarat makan nasi bertambah-tambah. Juju memang tidak dapat menipu diri sendiri. Dia sangat kagum kerana bakal menjadi salah seorang pelajar di sekolah swasta yang berprestij di depan matanya. Mesti sungguh seronok Acan dan Acun dapat menikmati keseronokan bersekolah di situ selama ini.
  “Kak Juju, di sebelah sana... ada padang futsal tertutup.  Sebelahnya pula ada padang paintball. Di belakang sekolah ada kondominium para guru. Ada kelas hafazan Quran dan hadis setiap minggu... ustaz dan ustazah didatangkan khas dari Darul Quran. Paling menarik, kantin kita pula ada 4 ruang berbeza. Ruang masakan melayu, india, cina dan... barat.  Bolehlah Kak Juju makan western food hari-hari sampai bosan. Semua kemudahan yang ada di Sri Putri KD Girls School ini, turut terdapat di Sri Putra KD Boys School, sekolah abang Acan dan gengnya. Semuanya sama.  Kita juga dapat menikmati kemudahan di Kelab Polo Kota Damansara. Ada keahlian spesial sebab abah adalah ahli VIP merangkap salah seorang AJK di situ.”
Juju cuba menyembunyikan rasa terpegunnya. Memang dahsyat. Semua boleh menjadi jika ada wang. Hebat betul penangan kemewahan orang bandar. Atuk sahaja yang orang yang suka hidup di kampung. Ada duit tetapi suka hidup dengan pokok-pokok dan binatang. Beza sungguh erti mewah di kampung dan bandar.  Juju menggenggam jari-jarinya kemas. Geram!
“Wah, wah, wah... Acun kalau bercerita mengalahkan pembaca berita tidak bertauliah. Siap dengan gaya tangan-tangannya sekali. Cerita pasal kemudahan sekolah pun macam pertandingan pidato.” Acan menyakat Acun yang sudah berlebih-lebihan bercerita.  Bangga sungguh dengan sekolahnya.    
“Okeylah Zaibon... mari kita ke One Utama dahulu. Jika mahu tunggu Acun berceloteh tentang sekolahnya, sampai subuh esok pun tidak habis-habis.” Rosnita Chek Wah mengajak Zaibon meneruskan perjalanan. 
“Okey, okey... mama menang! Tetapi... sekejap! Boleh kita singgah kejap di J.Co Donuts & Coffee di Giant sebentar, mama? Abby baru sms! Dia tunggu di situ. Acun hendak ambil kertas projek sains dari Abby. Janji!  Tidak sampai 5 minit!” Rosnita Chek Wah mengeluh mendengar permintaan Acun. ‘Ada-ada sahaja si Acun ini’ Bisik hati Rosnita. Dia memandang muka Zaibon sambil memberi arahan tangan supaya membelok sebentar ke Giant Kota Damansara.
“Ha! Kak Juju... nanti kalau bosan, bolehlah ikut Acun melepak di J.Co Donuts & Coffee. Baby donatnya sangat best. Ada 24 perisa yang enak belaka. Juju, Abby dan A.C. selalu lepak di sini waktu petang atau hujung minggu. Tidak jauh dari banglo kita. Sangat santai. Cool!” Juju hanya mampu tersenyum kelat mendengar Acun semangat memberi penjelasan tentang tempat dia melepak.  Setakat donat pun hendak kecuh.  Apa pulalah modal Acun untuk mengenakannya kali ini.  Juju buat-buat tidak dengar sahaja.
“Jangan ikut dia lepak, Juju. Lebih baik duduk rumah lagi bagus. Semuanya serba lengkap! Makan donat nanti gebu dan montel macam Acun. Elok Juju ikut Acan ke Kelab Polo dengan geng Acan. Lebih bagus!”
“Haha... rasanya Kak Juju hanya biasa lepak atas bukit... atau di kandang kambing.  Kambing Conan milik Kak Juju itu makan keju juga?” Acun mula terkekek-kekeh sendirian. Tanpa reaksi dari mereka yang lain.
‘Acun pun boleh tahu tentang kambing Conan? Nampaknya mereka rancak bercerita tentang aku selama ini. Memang tidak patut sungguh.’ Juju merungut seorang diri. Geram bukan main. Terasa bagai hendak melompat keluar dari kereta.  Hampir luruh air mata Juju. Baru masuk dua hari dengan keluarga abahnya, sudah disindir begitu. Acun bersorak riang di dalam hati.  Berjaya mengenakan Juju secara halus lagi. 
“Acun!  What did I told you just now? Or else, we don’t have to go to J.Co.” Rosnita Chek Wah sangat geram dan mendidih hati Acun. Zaibon sudah naik risau sebab pertama kali dia melihat majikannya naik angin. Semua yang ada di dalam kereta terkedu. Senyap sunyi.  Juju membuat muka seolah-olah tidak ambil hati sambil mata berkaca-kaca menahan gelodak di jiwa. Acun tidak meminta maaf tetapi hanya memalingkan muka ke luar tingkap Range Rover Sport. Acun mencebikkan bibirnya. Acan cuba memujuk Juju. Risau benar Acan jika Juju berasa hati. Di dalam hatinya, Acan menyumpah perangai buruk Acun.
“Tidak mengapa, Mama Ros. Juju okey. Betul kata Acun. Kami tiada J.Co, Star Buck  atau Coffee Bean di kampung. Tempat lepak Juju pun, kalau bukan di Bukit Sekupang, Juju dan atuk akan sibuk di ladang sawit atau di kandang kambing kami. Macam terapi minda di situ.  Aman dan damai sekali di sana. Tetapi... rasanya kalau Juju minta atuk belikan J.Co Donuts & Coffee atau seluruh Giant ini pun boleh.”
Semua yang ada di dalam kereta tersentak. Jangankan Acun, Rosnita Chek Wah turut terkedu dengan sindiran halus Juju pada Acun. Makan dalam sungguh. Sindirannya menyucuk ke tulang sumsum semua yang ada. Apatah lagi mereka semua tahu, Rameli Saripin memulakan bisnes rangkaian katering dan restoran pun hasil dari modal permulaan dari Tok Hamzah Dollah. Yang pasti juga, Tok Hamzah Dollah tidak pernah mahu mengambil wang dari pulangan modal dari Rameli Saripin. Ikhlas membantu setulus hati.  Malah nafkah bulanan untuk Juju juga masih tersimpan rapi dalam buku simpanan bank dan ASB sejak lahir. Tidak pernah terusik walau sesen pun.
Rosnita Chek Wah merasa geram! Geram dengan perangai Acun yang mengundang suasana keruh. Dia laju menghantar pesanan ringkas pada suaminya. Mengadu tentang perangai buruk Acun. Sungguh tidak sangka. Jika sebelum ini dia agak mencurigai Juju.  Sekarang dia keliru. Tidak terbayang pula dalam diam Acun yang mempunyai perasaan hasad dengki pada Juju. Hasad dengki yang memakan diri sendiri. Baru sangat Juju bersama mereka, Acun sudah menunjukkan sikap yang amat dikesali oleh Rosnita Chek Wah.  Sungguh mengecewakan.
Kali ini Juju pula memandang ke luar tingkap. Acun berlari turun dari Range Rover untuk mendapatkan kertas projek sains dari Abby di J.Co. Zaibon. Rosnita Chek Wah dan Acan saling berpandangan. Tidak terkata apa-apa. Air liur yang hendak ditelan pun terasa tersekat. Masing-masing geram dengan Acun yang sejak mula cuba cari pasal dengan Juju.   Juju menahan butiran putih dari gugur ke pipi. Namun dia tersenyum tanda menang dalam diam. Makin senang untuk menjalankan misi. Misi gerak gempur melumatkan keluarga belacan. Pasti senang meletakkan kesemua kesalahan pada Acun kelak. Mengalah awal tidak bererti kalah. Juju merasa puas!

88888888888888888888888888888888888888888888888