Friday 15 July 2011

BAB 11

BAB 11 ialah tentang Secretaries’ Week!
Hebat! Gemerlapan! Bling bling! Ramai perempuan cantik!
Tetapi... ada sesuatu yang tidak cantik, tidak merdu didengari.
Juju sudah pasang misi mantap. Ibu tiri dan abahnya nyaris berantakkan.
Itu yang Juju idamkan. Suka tengok keluarga barunya huru hara.
Senyuman plastik tetap mekar di bibir mungilnya.

Selamat membaca BAB 11. Jangan tertidur ya, sebab penuh debaran.

ANTARA BELACAN DAN KEJU
-BAB 11-
Minggu Setiausaha Yang Haru Biru

Okey Ladies... Attention please! Now we proceed with... Secretaries Week!”  Rosnita Chek Wah selaku setiausaha sulit kepada big bos Merimbun Berhad merangkap ketua setiausaha senior cuba menarik perhatian para setiausaha lain di hadapannya. Sidang mesyuarat para setiausaha yang sejak tadi agak hambar mula menjadi hangat. Mata yang lena mula celik dan mekar.
“Ha! Inilah yang kami hendak dengar. Ini... dari tadi, asyik-asyik kursus, program pecah tanah, perasmian acara kebajikan dan sistem pemfailan. Bosanlah...sampai tidur pun mimpi kena hempap dengan almari fail.” Semua yang berada di dalam bilik mesyuarat tersenyum dengan kata-kata Alyna. Dia memang bersuara lantang. Cakap tidak berlapik.
 “Kalau dari mula cakap pasal minggu setiausaha barulah seronok. Baru semangat naik sikit. Kalau tidak, mengantuklah. Sudahlah penghawa dingin sejuk macam duduk dalam igloo. Macam orang eskimo.” Semua mata tertumpu kepada Finaz pula. Setiausaha junior yang sukakan aktiviti berseronok melebihi bab kerja. Dia seksi memakai baju mengikut lekuk badan. Kerjanya bagus tetapi suka mengomel. Nasib baik bosnya Encik Azizi tidak banyak kerenah. Senang bertolak ansur. Bagi Encik Azizi, yang penting kerjanya perlu siap teratur mengikut masa yang diberikan.
Rosnita Chek Wah mula membulatkan matanya.  Pandangannya tepat ke arah Alyna dan Finaz. Mereka pura-pura buat tidak faham. Alyna selamba mengetuk pen di meja membuat aksi tidak sabar. Finaz pula sibuk mencapai karipap sardin di depannya.
“Kita mesti ingat, bos kita bermurah hati membawa kita semua ke Minggu Setiausaha setiap tahun... sebab?”
“Sebab bos kita amat menghargai kerja kuat kita! Kerja gigih kita. Kita yang setia dan berusaha!” Pantas Lily Chan menyambung kata-kata Rosnita sambil menjeling ke arah Alyna dan Finaz. Ibarat jelingan anjing yang hendak menerkam kucing.
“Okey, okey... untuk makluman semua. Tahun ini, Datuk Ziana Zeni telah setuju untuk kita ke...” Sengaja Rosnita Chek Wah berhenti sejenak. Mencuri perhatian para setiausaha lain di depannya. Biar sedikit berdebar. Biar mereka bermain teka-teki.
“Alah.... Madam comel, cepatlah! Kami sudah tidak sabar. Cepatlah beritahu.”
 “Hmm... Datuk setuju dengan pilihan pertama kita. Kita akan meraikan di Hotel Meridien tahun ini.”
“Wau! Meridien! Yeeha! Anuar Zain! I like! I like! I like!” Alyna sudah tergedik. Siap bertepuk tampar dengan Finaz di sebelahnya. Setiausaha lain turut melonjak gembira.
“Iskh... kalau ya pun, control lah sikit. Nanti kena tarik balik baru pada muka kita.”
“Haha... jangan bohonglah Cik Izzati oi... kamu pun tentu suka. Betul kan. Siapa tidak suka dapat berhibur tengok Anuar Zain sambil menjamu selera.” Finaz bersuara sambil membayangkan ketampanan Anuar Zain. Penyanyi tersohor yang terhebat masa kini. Artis teruna idaman Malaya. Jolokan nakal yang mereka sering diberikan kepada artis pujaan ramai itu. “Ouch... the most handsome and available macho man.” Sekali lagi Finaz dan Alyna bertepuk tampar. Gedik sungguh walaupun masing-masing sudah berumahtangga dan beranak pinak.
“Okey, bertenang... bertenang semua. Selain dari itu, tahun ini juga... kita ada senarai jemputan khas dari pihak Datuk. Pihak syarikat membeli dua meja tambahan. Tiga untuk para setiausaha syarikat kita dan bos masing-masing. Dua meja lagi untuk jemputan khas pihak Datuk. Bayaran meja akan diuruskan sepenuhnya oleh Merimbun Berhad.”  Rosnita Chek Wah sendiri seronok mewarwarkan berita gembira kepada para setiausaha di bawah seliaannya.  Dia suka menjadi pengumum berita gembira. Suka menceriakan orang lain. Wajahnya berbunga. Memang berbaloi setiausaha syarikat dihargai. Mereka tidak mengenal erti penat lelah, waktu dan tenaga dalam melaksanakan misi syarikat. Walaupun ada seorang dua yang gedik, seksi dan mulut lepas cakap... mereka semua merupakan setiausaha terpilih yang berdedikasi, berwibawa dan berhemah tinggi. Mereka tahu membezakan soal kerja dan soal peribadi.
Semua setiausaha seramai lima belas orang sudah tersengih-sengih macam apam balik panas baru masak. Terkinja-kinja di kerusi empuk masing-masing. Ada yang tidak segan silu memberi reaksi. Ada pula yang malu-malu. Suka tetapi mahu pergi. Mahu turut serta. Mata mereka bersinar. Mereka ceria memandang Rosnita. Masing-masing teruja.
“Sekarang, saya edarkan senarai tugasan masing-masing sempena Hari Setiausaha tersebut. Tahun ini, kita ada sedikit tugas tambahan disamping kita makan-makan dan menyaksikan persembahan.”
Masing-masing sibuk membaca senarai di tangan.  Mereka menarik nafas lega.Tiada sebarang kerja berat. Cuma setakat memastikan semua beres. Mereka hanya perlu menguruskan jemputan Datuk Ziana Zeni di meja VIP tambahan yang dibeli. Selain dari itu, perlu juga menguruskan penyediaan cenderahati untuk meja VIP tersebut. Datuk Ziana Zeni juga mahu mereka menguruskan penajaan beberapa hadiah cabutan bertuah. Mereka juga merancang untuk mengadakan ‘surprise’ untuk Anuar Zain dan para jemputan lain. Khas dan istimewa dari konglomerat tersohor, Merimbun Berhad.
“Okey, Lily Chan... kamu bahagikan semua tugas yang disenaraikan kepada tiga kumpulan. Saya sendiri akan menguruskan penyediaan cenderahati VIP. Saya tinggalkan mesyuarat untuk kamu teruskan. Saya perlu jumpa Datuk sekarang. Boleh kamu sambung?”
No problem, Rosnita. You proceed with Datuk. I will handle all the rest.” Yakin Lily Chan bersuara. Selain menjadi setiausaha kepada salah seorang pengarah syarikat, Lily Chan merupakan setiausaha kanan yang boleh diharapkan oleh Rosnita Chek Wah. Rosnita berjalan ke bilik Datuk Ziana Zeni dengan penuh bangga. Terlebih yakin yang semuanya akan berjalan lancar dan licin.
@@@@@@@@@@
Pulang ke rumah, Rosnita Chek Wah yang kepenatan meletakkan fail mesyuarat siang tadi di atas meja di ruang tamu. Dia bingkas ke dapur mencari air epal, timun dan saderi yang siap dikisar oleh Bibik Im. Lega menghirup air detox kegemarannya.
“Wau... Anuar Zain! Bestnya! Juju hendak ikut, Mama Ros! Boleh?”
“Eh! Hello! Cuba Kak Juju buka mata luas-luas. Itu kerja ofis mama. Untuk Minggu Setiausaha. Cubalah hormat sikit. Jangan sesuka hati sentuh dan baca barang mama. Mengapa hendak menyibuk pula. Kami sendiri tidak pernah sibuk baca kerja mama. Kak Juju selongkar kerja mama?” Acun buat aksi macama polis kecil. Sengaja bersuara lantang. Tona suara paling tinggi. Biar seisi banglo mendengar kesalahan Juju. Kesalahan menyibuk membaca kertas kerja Rosnita Chek Wah. Juju menjuih. Geram! ‘Mama Ros tidak bising, si gebu ini pula pok, pek, pok, pek!’ Juju berbisik di dalam hatinya dengan meluap-luap.
“Tetapi... Juju tidak pernah pergi acara macam ini. Mesti seronok ya.”
“Mana Kak Juju pernah pergi acara prestij macam ini. Di kampung mana ada semua ini. Hi hi”
Acun... enough! Juju, it’s okey dear. Acun, Kak Juju tidak tahu. Kalau dia tahu mesti dia tidak usik barang mama. Mesti ada cara yang lebih baik untuk Acun tegur Kak Juju. Tidak perlu cakap sambil menjerit sampai dengar ke rumah Aunty Mariyah.” Acun memandang Juju. Matanya dikecilkan. Mulutnya diherotkan ke kanan. Buruk muka lawanya apabila dia sedang marah. Geram kerana mamanya sering menyebelahi Juju. Juju tersenyum sendirian. Membuat muka orang tidak bersalah. Muka tidak berdosa.
 “Aduh... lenguhnya badan mama. Okeylah Juju, Acun... mama penat. Esok sahaja kita sambung ya. Juju boleh pergi lain kali dengan mama ya. Yang ini urusan pejabat.”
“Mama pergi mandi cepat... nanti Acun urutkan ya.” Acun memicit bahu Rosnita Chek Wah sambil mereka dua beranak tersenyum berjalan menuju ke bilik Rosnita. Dia memang anak yang pandai membodek. Pandai mengambil hati. Mereka meninggalkan Juju yang cemburu dengan aksi yang dirasakan sengaja dibuat-buat. ‘Menyampah! Benci! Urusan pejabat konon. Tengoklah nanti.’ Juju mencebikkan bibirnya. Bibik Im tersenyum melihat gelagat keluarga majikannya. Malas hendak masuk campur.
Juju sempat menarik sekeping dari kertas contengan tangan Rosnita Chek Wah dari fail yang ditinggalkan di atas meja. Pantas dimasukkan ke dalam poket baju tidur. Juju ligat membaca kertas tersebut di dalam biliknya. ‘Uruskan hadiah untuk VIP. Hmm...’ Otak Juju ligat berfikir. Dia mula mendapat idea busuk. Cepat dia mendail nombor geng Baby Gorgeous yang lain.
@@@@@@@@@@
“Zaibon! Bukan tadi kamu yang masukkan semua cenderahati untuk VIP? Saya suruh kamu ambil dari Bibik Im pagi tadi. Cenderahati yang saya asingkan sebelah. Tiga beg untuk setiausaha, empat beg untuk cabutan bertuah dan dua beg besar istimewa. Yang dua beg besar itu ialah untuk VIP. Jangan buat pasal Zaibon. Souvenirs itu semua bernilai dan penting. Semua Datuk Ziana yang pilih sendiri.”
“Eh! Mengapa Puan? Ada yang kurang? Saya sudah masukkan ke dalam Range Rover semua yang Bibik Im letak sebelah.  Saya angkut semua sekali. Satu pun tidak tinggal.”
“Kalau semua sudah diangkut. Mana dia dua beg besar yang ada cenderahati untuk VIP?” Zaibon dan Rosnita sibuk mencari di celah Range Rover. Berpuluh kali mengira semua beg dan cenderahati. Zaibon menggaru kepala yang tidak gatal. Rosnita sudah resah gelisah. Hampir menangis dibuatnya. Lily Chan turut kecuh membantu. Mencari cenderahati yang lesap entah ke mana.
Pertama kali rasanya Datuk Ziana Zeni memberi pandangan penuh makna pada Rosnita. Dia terdengar bicara Rosnita kepada Zaibon tadi. Rosnita tidak pernah cuai sebelum ini. Apatah lagi untuk acara yang melibatkan VIP khas yang dihormati. Seumur hidupnya bergelar setiausaha sulit, Rosnita memang amat teliti dan boleh dikatakan hampir tidak pernah cuai sama sekali. Urusan kerja memang dijaga betul. Segalanya tip top selama ini. Kerjayanya yang juga merupakan periuk nasi yang banyak membantu keluarganya semenjak dahulu. Rosnita Chek Wah gelabah. Peluh dingin memercik di dahi walau di dalam penghawa dingin Dewan Bunga Emas yang sejuk membeku. Penampilannya yang anggun dengan pakaian evening dress tema ungu berjemeki penuh tidak dipedulikan lagi. Lily Chan turut bersimpati. Sampai dia menawarkan diri untuk berpatah balik ke rumah Rosnita bersama Zaibon. Bibik Im di rumah sudah kecut kerana sudah lama tidak kena marah dengan Rosnita. Sebakul Bibik Im kena marah semasa Rosnita menelefon Bibik Im tadi. Zaibon turut memarahi Bibik Im sebagai impak tambahan akibat cuai. Kiri dan kanan, atas dan bawah Bibik Im kena sergah. Kena marah sehingga tidak sempat membela diri. Semua kesalahan diletakkan di bahu Bibik Im yang amat cermat kerjanya selama ini. Terketar-ketar Bibik Im mencari cenderahati VIP yang dimaksudkan. Semua kotak dibalut indah menawan mengandungi barangan Selangor Pewter dan Kristal Langkawi telah lesap. Ghaib entah ke mana. Habis semua tempat digeledah. Sampai ke dalam peti ais Bibik Im mencari. Kalau boleh, Bibik Im hendak ‘miss call’ cenderahati tersebut. Biar berdering. Biar menunjukkan diri di mana letaknya.
“Mama Ros!”
“Eh! Juju!” Juju menghulurkan dua beg besar. Beg yang dinanti-nantikan. Juju dan geng Baby Gorgeous yang lain telah menjadi penyelamat! Rosnita tergamam. Secara automatik dia memeluk Juju.
“Thanks, dear. Where did you find all these?”Juju mencuit Leesa. Leesa mencubit Surie dan Surie memijak kaki Honey. Honey menjerit dan membuka mulut.
“Kami nampak tadi, aunty... kami nampak Bibik Im nyaris hendak buang semua ini dalam tong sampah besar. Mesti dia tidak perasan isi kandungan beg-beg ini semua. Sudah siap ikat dalam plastik hitam. Nasib baik kami sempat ambil sebelum dia humban dalam tong sampah depan rumah. Nyaris bercampur gaul dengan plastik sampah tahi ikan. Ee... geli! Nasib baik tidak dibuang dengan plastik belacan!” Honey berkata-kata dengan penuh semangat. Siap tangan-tangannya sekali dihayun ke kiri dan kanan sambil bercerita.
“Lepas ini aunty mesti cepat telefon dan marah dia semula cepat. Kalau boleh,buang kerja terus. Memang tidak boleh diharapkan langsung. Kalau mama saya, mesti hari ini juga hantar dia balik ke Indon.” Surie menyokong kata-kata Honey dengan berkobar-kobar.
“Kasihan betul saya tengok aunty. Ada pembantu yang tidak boleh diharapkan macam Bibik Im. Nasib baik Juju yang perasan aktiviti Bibik Im. Juju yang selamatkan semua cenderahati ini.” Leesa menepuk bahu Juju. Juju senyap! Dia memainkan peranan ala gadis suci. Tidak mahu menuduh. Juju membuat muka gadis sopan dan ayu. Maklumlah Anuar Zain akan muncul bila-bila masa sahaja. Penampilan perlu dijaga. Biar Anuar Zain nampak kehadirannya.
“Biar betul, Bibik Im hendak buang? Aunty sudah pesan hampir sepuluh kali pada dia malam tadi. Syukurlah kamu semua dapat selamatkan barang ini semua. Juju... thank you so much, my dear. These are precious gifts. Bukan duit Mama Ros. Duit syarikat!” Rosnita menghulur beg-beg tersebut kepada Lily Chan untuk diuruskan. Lily Chan ingin bertanya seribu satu soalan tetapi dia ketepikan dahulu. Yang penting, majlis sudah hampir benar hendak bermula.
“Anuar Zain!” Juju melompat apabila badannya yang mengadap pintu masuk utama ternampak kelibat artis yang berlesung pipit itu. Leesa, Surie dan Honey turut terkinja-kinja. Tidak mempedulikan Rosnita Chek Wah lagi.
“Kami duduk sini ya Mama Ros.” Juju dan Baby Gorgeous yang lain sibuk mengambil tempat di meja Rosnita. Tidak mempedulikan jawapan persetujuan dari Rosnita.  Mereka berempat duduk di kerusi berbalut riben putih berbelang kuning. Empat kerusi yang sudah ada tuan punya. Kerusi-kerusi tersebut adalah tempat duduk kepada empat setiausaha lain yang bangun untuk ke tandas dan beratur untuk mengambil makanan buffet. Rosnita tercengang. Majlis sudah bermula. Suasana gamat. Datin Ziana Zeni berada di meja bersama VIP menggamit tangan kepada Rosnita. Rosnita yang masih tercengang meluru ke arah bosnya dan meninggalkan Juju bersama Baby Gorgeous.
“Aduh! Sakitnya. Emak gajah duduk atas aku!” Semua mata di meja tersebut memandang Leesa. Dia yang berbadan genik dan kecil molek kena hempap dengan setiausaha bersaiz XXXL. Zalika Adila, setiausaha bahagian kewangan yang garang telah terduduk di atas Leesa yang petite. Zalika Adila baru bersalin anak ke enam. Baru habis berpantang. Sungguh pun badannya tidak sesolid setiausaha yang lain, soal kerja... dia memang paling cekap. Pantas dan tiptop kerjanya. Sangat produktif dan inovatif. Nasib baik tumpuan kepada Anuar Zain melebihi tumpuan kepada kes gajah menghempap kancil. Suara Anuar Zain memecah seisi Dewan Bunga Emas. Suara Leesa yang menjerit kesakitan tenggelam timbul. Leesa sudah hampir sesak nafas.
“Juju... ajak kawan-kawan kamu ke meja ibu. Cepat! Majlis sudah bermula.”  Tiba-tiba Mariyah Fareedaz muncul entah dari mana. Penyelamat suasana gamat dan haru biru. Rosnita Chek Wah memandang muka Mariyah Fareedaz dengan penuh ucapan terima kasih yang tidak terungkap. Mariyah Fareedaz membuat isyarat bagus dengan ibu jarinya pada Rosnita Chek Wah. Siap mengenyit mata sebagai isyarat yang sukar difahami Juju. Mariyah Fareedaz ibarat ultraman penyelamat bumi. Rosnita Chek Wah betul-betul bersyukur dan terharu. Rosnita sibuk menguruskan bosnya dan para tetamu jemputan.
Juju dan Baby Gorgeous yang terpinga-pinga terus akur mengikut arahan Mariyah Fareedaz. Tidak mampu berkata apa-apa lagi. Mereka tercengang dan melopong. Bagai dipukau, mereka mengikut sahaja jejak Mariyah Fareedaz ke meja di sudut belakang sekali di Dewan Bunga Emas. Mereka bertiga menarik tangan Leesa. Leesa yang masih tercungap akibat kena hempap macam ayam penyet. Hati Juju sudah meluap-luap. Marah dan geram. Rancangan yang disusun rapi hampir rosak dan jahanam.
“Ibu pun datang?”
“Ya! Ibu memang beli meja untuk staf syarikat ibu. Tetapi... last minute lima orang staff ibu ada hal. Tiba-tiba pula pegawai dari pejabat audit datang hendak audit stok dan akaun. Pemeriksaan mengejut. Hmm... elok benarlah, Juju dan kawan-kawan boleh ganti tempat mereka. Tidaklah membazir. All on me. Just take your seat, girls. Okey?”
“Tetapi... mengapa meja ini paling belakang aunty? Jauh dari pentas utama. Mana nampak Anuar Zain dengan jelas.” Berani Surie bertanya bagi pihak Baby Gorgeous. Berani bersuara walaupun bukan tetamu jemputan. Apatah lagi semuanya percuma belaka.
“Oh! Sebabnya ialah aunty beli meja pada saat-saat akhir. P.A. Aunty baru tempah dan bayar semalam. Itu pun nasib baik ada meja terakhir. Rezeki kita! Okey girls, help yourselves ya.” Mariyah Fareedaz meninggalkan Baby Gorgeous yang masih tercengang-cengang dan tidak dapat menerima hakikat. Hakikat di humban ke meja paling corot di belakang.
Juju memandang Leesa. Leesa yang lemah mencari nafas dan membuat muka sepuluh sen pada Surie. Surie menjungkitkan kening ke arah Honey. Mereka tidak langsung dapat menyelami keseronokkan hiburan kelas satu yang diberikan Anuar Zain. Kelunakan suara Anuar Zain tidak dapat dihayati langsung. Ketampanan wajah Anuar Zain tidak dapat dipandang dari dekat. Makanan ala buffet yang enak juga terasa tawar dan hambar. Masing-masing membuat muka kusam dan bermuram durja. Senyuman dipaksa-paksa. Segala pelan mereka musnah! Ketika Anuar Zain turun berjabat tangan dengan para peminat tegarnya... Baby Gorgeous kaku di tempat duduk mereka. Tidak bergenjak langsung seperti yang dirancang. Tidak mengambil sebarang foto. Tidak tergedik-gedik. Tidak terkinja-kinja sepertimana para setiausaha yang kebanyakannya telah berstatus emak-emak orang belaka.
            How Juju? Everything spoit now.” Leesa yang masih kesakitan bertanya sambil menikam buah strawberi yang bersalut cokelat pada pinggan.
            “Ya lah Juju. Ibu baru kamu jadi penyelamat pula. Rosak program kita.” Surie turut geram kerana dia yang sepatutnya menonton konsert Bruno Mars di PWTC hari itu terpaksa berkorban segalanya demi Juju. Bruno Mars yang julung-julung kali datang ke Malaysia. Sudahnya, segalanya hancur dan lumat. Slumat sambal belacan.
            “Patut kita humban sahaja semua cenderahati tadi. Baru betul! Baru padan muka. Ini kita terperangkap di sini. Sudahlah meja di belakang sekali pula. Iskh... rimaslah.” Honey menguis kulit udang tempura yang dimakannya tadi. Geram tetapi hampir sepuluh ekor udang tempura telah berjaya memasuki perutnya.
            Cool girls. Relax. Tidak boleh kelam kabut. Ini Maiya Juliana. Baby Gorgeous tidak boleh kalah. Jangan tunjuk kita gagal. Misi ini belum tamat. Saya akan hancurkan di rumah malam nanti. Anyway, thank you so much for your effort today. Really appreciate.” Leesa, Surie dan Honey memandang Juju. Mereka tahu, otak Juju memang pakar soal misi melumatkan keluarga belacan. Masing-masing tersengih jahat. Lega mendengar Juju akan menyudahkan agendanya sendiri. Juju sibuk membelek mukanya pada cermin. Tersenyum geram macam kakak tiri Cinderella. Mariyah Fareedaz pula tidak lekat pada kerusinya di meja mereka. Dia asyik bertemu para kenalan dan jemputan yang lain. Majlis tersebut turut menemukan para jemputan dengan kenalan masing-masing. Kakitangan dan P.A. Mariyah Fareedaz yang lain pada meja tersebut pula asyik berbual dan tersorak-sorak melihat aksi Anuar Zain.
            Juju sibuk merencanakan pelan lanjutan malam nanti. Dia berjanji yang Baby Gorgeous bakal mendengar berita baik tentang kemusnahan keluarga belacan pagi esok.
@@@@@@@@@@
“Ha... abah dengar Juju jadi penyelamat Mama Ros di majlis Anuar Zain tadi. Anuar Zain bagaimana? Hebat?”
He’s superb, abah! Memang sangat meriah.”
“Hah! Im... bagaimana boleh lalai benar tadi. Boleh buang sebelum periksa apa kandungan barang. Bukankah kita yang sama-sama telah asingkan dan labelkan malam tadi? Saya sendiri terkejut bila Puan telefon saya siang tadi.”
“Ya Allah... demi Tuhan, Tuan Meli. Tuan bukan sehari dua baru kenal saya. Saya mengaku jika saya buat silap selama ini, Tuan. Tetapi... memang saya tidak tahu bagaimana hadiah itu semua ada dalam plastik sampah. Betul-betul bercampur dengan sampah yang lain. Campur dengan sampah tahi ikan. Nasib baik plastiknya berasingan. Saya ingat semuanya sampah. Jadi saya pun nyaris membuangnya. Nasib baik tidak lekat bau sampahnya. Tolonglah Tuan, jangan tuduh saya sebarangan.” Bibik Im sudah teresak-esak menangis. Air mata kesedihan yang berjurai kali yang ke 44. Hampir kering sudah stok air matanya hari itu. Air mata orang gaji yang dituduh membuat angkara. Bibik Im sendiri kebingungan. Tidak pernah dia secuai dan seteruk itu sebelum ini. Hatinya mula terdetik mungkin angkara Juju. Juju yang baru singgah dalam hidup keluarga majikannya. Dia memandang Juju dengan penuh makna. Juju cepat mengerti. Peranan perlu dimainkan segera sebelum Rosnita Chek Wah pulang.
“Abah, tolong jangan sebarangan menuduh Bibik Im. Betul kata bibik. Bukan sehari dua dia bekerja dengan famili abah. Sudah bertahun. Kesian dia kena tuduh. Lagi pun, semuanya sudah selamat. Janganlah kita ungkit-ungkit lagi. Yang sudah biarlah. Juju pasti, Bibik Im tidak bersalah. Mungkin ada salah faham yang tidak sengaja. Yang penting, semuanya telah berjalan dengan lancar.” Bibik Im terkejut dengan pembelaan Juju yang nampak ikhlas. Juju membela Bibik Im dengan penuh gaya dan tonasi suara yang lemak merdu. Rameli Saripin sendiri terharu melihat kebaikan hati budi anak gadisnya. Bibik Im terasa bersalah kerana tersilap menuduh Juju dalam hati tadi. Ternyata Juju menyebelahinya. Malahan Juju yang perasan semua cenderahati itu di dalam plastik sampah tahi ikan. Cuma berlainan plastik tambahan. Tidak dapat dibayangkan jika Juju dan gengnya tidak perasan hal tersebut. Mungkin Bibik Im sudah dibuang kerja. Mungkin juga dia sudah berada di atas tongkang ke Indonesia malam ini. Menyelinap lari membawa hati yang luka. Pulang ke Indonesia akibat kena marah akibat dari kecuaian yang diletakkan di atas bahunya. Tiba-tiba Bibik Im terasa ingin memeluk anak majikannya yang baru ini. Mula terasa hendak menyediakan spaghetti sepinggan dan macaroni keju semangkuk untuk Juju sekarang juga. Muka Bibik Im berbunga. Hatinya kembali ceria. ‘Senang sahaja hendak ambil hati si bibik, goreng sikit sudah termakan pujuk’. Juju puas hati dengan kata-katanya apabila melihat wajah Bibik Im ceria dan muka abahnya tidak seketat tadi lagi. Bibik Im sopan meminta diri ke belakang. Ingin menyorok diri sementara Rosnita Chek Wah belum pulang sebenarnya. Juju segera memainkan jarum seterusnya.
“Abah... Juju ada hal sikit hendak cakap. Tetapi... Juju betul-betul serba salah. Takut nanti abah salah anggap.”
“Cakaplah Juju. Jangan sorok apa-apa dari abah jika Juju ada sebarang masalah. Abah sendiri tidak mendengar masalah Juju selama Juju di kampung. Sekarang Juju boleh cakap apa sahaja dengan abah. Cakaplah, Juju.” Rameli Saripin memang tertunggu-tunggu saat bersama Juju sendirian. Acun dan Acan di bilik masing-masing. Bibik Im di dapur dan Rosnita masih belum pulang. Jarang dia dapat berbual dengan anak daranya yang seorang ini. Anak yang baru hadir dalam hidupnya. Kalau boleh, gunung dan laut ingin dihadiahkan buat anaknya yang seorang ini. Terasa terhutang kepada anak sendiri selama ini.
“Abah janji tidak akan marah Juju?” Juju membuat muka sesuci mungkin. Muka anak baik dari kampung yang tidak tahu berdusta.
“Abah janji, sayang. Cakaplah apa sahaja.”
“Tetapi ini bukan masalah Juju. Ini masalah abah. Masalah Mama Ros.” Juju menarik nafas. Seligat mungkin mencari ayat terbaik untuk bermula. Jangan ada yang tersilap. Jangan ada syak wasangka walau secubit. Biar nampak tulen. Perlu cepat menyusun kata sebelum Mama Rosnya pulang.
“Masalah abah? Masalah Mama Ros? Apa maksud Juju? Okey... okey, ceritalah! Abah sedia mendengarnya.”
“Juju sendiri tidak menyangka abah... mulanya sekali dua Juju ingat tidak sengaja tetapi sampai lebih dari lima, enam kali. Siap bertepuk tampar, pegang tangan... cubit peha! Ishk... seganlah Juju hendak cakap. Mula-mula Juju tidak perasan tetapi Leesa, Surie dan Honey pun nampak dengan jelas... Kalau abah tidak percaya. Juju boleh panggil Leesa, Surie dan Honey sebagai saksi.” Juju bercerita dengan nada perlahan. Hampir berbisik. Bukan menampakkan dia sengaja mereka cerita. Mulanya Rameli Saripin hanya membuat muka selamba. Tanpa reaksi. Namun Juju pandai mengatur ayat. Menyusun kata, menghasut dan menyucuk jarum dusta. Maklumlah dia juara pemidato dan pengarang terbaik di sekolah kampung.
Api kemarahan sudah terbit di muka Rameli. Jiwa geramnya membuak-buak. Hatinya panas. Tangannya terketar-ketar. Juju tidak dapat membohongi dirinya sendiri. Juju sebenarnya agak takut dengan reaksi abahnya tetapi dia semakin seronok memainkan peranan busuknya.
“Airnya... Tuan, Juju. Silalah minum.” Tiba-tiba Bibik Im muncul. Menyampuk perbualan dua beranak. Memang sejak tadi Bibik Im telah pasang telinga cuping gajahnya. Dia sengaja ke depan untuk mendengar dengan lebih jelas. Takut sekiranya soal dia terbuang cenderahati tadi masih menjadi pokok perbualan antara dua beranak itu. Entah-entah ada perancangan untuk menghantarnya pulang ke Indonesia malam itu juga.
‘Iskh... sibuk betullah Minah Indon ini. Sengaja hendak curi dengar. Penyibuk antarabangsa!’ Getus hati Juju. Geram membuak dibuatnya.
“Letak airnya di situ sahaja, Im... terima kasih.” Bibik Im segera ke dapur. Namun dia sempat mengerling ke arah Juju dari belakang. ‘Ada yang tidak beres dengan anak ini.’ Bisik nalurinya. Namun Bibik Im tidak bermaksud untuk mencampuri urusan keluarga majikannya.
“Juju betul-betul minta maaf, abah. Juju tidak berniat langsung untuk jadi orang tengah yang menyampaikan cerita. Tetapi... Juju betul-betul tidak sanggup lihat Mama Ros buat macam itu di belakang abah. Abah yang Juju sayang dan sanjung. Sedangkan abah percaya pada Mama Ros bulat-bulat selama ini. Paling dahsyatkan abah... waktu orang lain semua sibuk tengok Anuar Zain. Mereka berdua hilang. Leesa ingat mereka berdua ke tandas. Tetapi... Leesa nampak mereka naik lift. Mungkin... mungkin ke bilik hotel. Hilang terus sampai semua orang balik. Tengok... sampai sekarang belum pulang. Semua setiausaha lain terus balik. Tidak perlu pulang ke pejabat. Semua orang boleh pulang ke rumah terus. Mama Ros? Mana Mama Ros? Kasihan Juju tengok abah... kena tipu hidup-hidup selama ini.” Juju bercakap macam roket. Laju, tersusun dan tepat hala maksud tujunya. Tona suaranya tetap dijaga. Perlu perlahan dan mendayu-dayu. Perlu mencuit habis-habisan hati abahnya. Mata Rameli sudah merah. Pertama kali dia betul-betul termakan dengan hasutan tentang isterinya. Isterinya yang merupakan bekas Ratu Cantik Perak satu ketika dahulu. Apabila disuruh berhenti kerja, pelbagai alasan kukuh diberi. Rupa-rupanya gossip liar sipi-sipi yang didengari selama ini benar belaka. Sudah terbukti. Jelas, terang lagi bersuluh. Apatah lagi yang membuktikan ialah Juju. Anaknya sendiri. Darah dagingnya.
“Juju mohon satu perkara, abah. Juju tidak berniat untuk merosakkan hubungan famili kita. Juju sayang famili baru Juju. Juju mohon, abah janji. Abah tidak akan kaitkan langsung nama Juju dalam hal ini. Kalau abah janji, banyak lagi hal yang Juju boleh spy untuk abah nanti. Janji, ya abah. Janji?” Juju membuat muka macam budak tadika kehilangan aiskrim. Muka minta simpati. Muka memohon agar abahnya berjanji tidak membabitkan dia yang berlipur lara.
“Jangan risau, sayang. Abah janji. Tahulah abah hendak buat bagaimana. Abah betul-betul hendak ajar Mama Ros kali ini. Tetapi.. abah janji tidak akan babitkan Juju langsung. Juju kan anak abah.”
“Jangan apa-apakan Mama Ros ya, abah. Kasihan dia. Cakaplah elok-elok dengan dia. Mungkin dia ada masalah lain yang dia hanya dapat kongsi dengan... dengan kekasih gelapnya itu. Sabar ya abah.” Rameli memandang muka Juju. ‘Baik betul hati budak ini. Siap suruh aku jangan apa-apakan Mama Ros, ibu tirinya. Iskh... kekasih gelap? Ros ada kekasih gelap?’ Hati Rameli Saripin berkecamuk.
Terdengar deruman bunyi enjin kereta memasuki rumah. Juju segera meminta diri ke bilik. Tiba-tiba penat... katanya. Sempat dia berpesan buat kali ketiga supaya Rameli tidak memarahi Mama Rosnya. Siap berpesan supaya selidik dahulu. Namun, sempat juga mengingatkan supaya perlu diberi pengajaran supaya kecurangan tidak melarat. Juju berlari ke biliknya. Berlari terjengket-jengket macam musang mahu mencuri ayam. Berlari antara takut dan gembira. Takut kerana keberaniannya membuat tohmahan yang pertama kali. Tohmahan kepada ibu tirinya sendiri. Gembira kerana misi pertama yang hampir gagal siang tadi sudah menampakkan bunga mengembang. Bunga-bunga kejayaaan. Kejayaan melumatkan keluarga belacan. Biar Rosnita kena marah. Kalau boleh biar sampai bercerai berai. Biar padan muka. Biar berantakan keluarga pemakan belacan. Baru puas hati Juju.
“Hmm... balik seorang sahaja?”
“Eh! Biasalah sayang... macam biasa. Balik seoranglah.  Lagipun, Zaibon saya minta ambil Acan dan Acun dari konset Bruno Mars tadi.”
“Seronok siang tadi?”
“Penatlah sayang... ramai VIP yang Ros kena handle. Hah! Im mana... biar Ros tanya dia habis-habisan.”
“Soal Im settled! Saya sendiri sudah tanya dia. Lagipun semua sudah berjalan lancar di majlis tadi. Rasanya ada soal lain yang belum settle.” Rosnita Chek Wah yang kepenatan cepat dapat menangkap ada kelainan dengan kata-kata Rameli. Ada nada suara yang lain dari suaminya. Jika Rameli membahasakan dirinya ‘saya’ bermakna memang ada yang tidak kena. Ada yang tidak beres. Rosnita menarik nafas panjang dan menghala kakinya menuju ke tingkat atas. Rameli turut ke bilik mengekori Rosnita. Jika ada sebarang kemelut, lebih baik merungkai di dalam bilik, bukannya di ruang tamu.
Kedengaran suara perang mulut yang hebat malam itu. Mula-mula nadanya perlahan. Tetapi... lama-kelamaan kedengaran suara tuduh menuduh bagaikan orang berpidato politik di malam hari. Sebelum ini, ada sekali dua Rameli dan Rosnita bergaduh kecil tetapi malam itu nadanya tinggi dan kedengaran agak tidak menyenangkan. Siap ada perdebatan. Nasib baik tidak ada pinggan mangkuk yang terbang. Mariyah Fareedaz siap memperlahankan bunyi suara televisyen. Dia dapat meneka ada yang tidak kena dengan jirannya. Acan dan Acun turut menjenguk kepala keluar bilik. Sambil mengenyeh mata yang mengantuk, masing-masing berpandangan dan menjungkit bahu. Tidak mahu masuk campur. Dalam hati masing-masing berdoa agar semuanya akan kembali jernih esok pagi. Bibik Im menggigit bibir. Sudahlah siang tadi dia hampir dibuang kerja. Malamnya pula majikannya berantakan. Terasa benar, dia yang punya angkara.
Esok paginya, Bibik Im ke rumah Mariyah Fareedaz. Seusai kerjanya seawal subuh di rumah Rosnita, Bibik Im menolong membersihkan rumah Mariyah pula. Dia suka rela menawarkan diri membantu apa yang patut di rumah Mariyah Fareedaz. Itu pun setelah segala kerjanya beres di rumah Rameli Saripin. Sarapan juga telah siap terhidang di meja makan. Lagi pun Mariyah Fareedaz amat pemurah orangnya. Tidak berkira dan boleh juga dijadikan tempat berbual merangkap tempat meluahkan perasaan.
“Bibik, maaf saya ingin bertanya... apa hal bising-bising malam tadi? Bibik Im tahu apa yang terjadi?”
“Serba salah saya dibuatnya Puan... tetapi... itunya, si Juju, saya sendiri dengar dia...”
Bibik Im berbisik ke telinga Mariyah Fareedaz. Berbisik dengan penuh gaya dan emosional. Penuh melo drama bercerita apa yang didengari isi perbualan di antara Rameli dan Juju sebelum Rosnita pulang dalam kepenatan. Bibik Im dengar dengan jelas dan dia sengaja ke depan menghantar minuman kepada mereka anak beranak malam tadi. Mulut Bibik Im muncung macam muncung tikus munduk sambil rancak memberi maklumat.
“Niat saya baik, puan... saya tidak mahu keluarga Tuan Meli dan Puan Ros bercerai berai. Saya mahu semuanya aman damai. Macam dulu. Macam... sebelum ini.”
“Maksud Bibik... aman damai macam sebelum Juju datang?” Mariyah cuba serkap jarang. Bibik Im tertunduk. Dia memaki dirinya sendiri. Pandai-pandai membawa cerita. Jangan pula ceritanya membuatkan keadaan bertambah keruh.
“Okey... Bibik Im sambung kerja macam biasa ya. Terima kasih kerana beritahu saya. Saya tahulah apa yang patut saya buat. Juju itu kan anak saya juga. Keluarga Rosnita juga macam keluarga saya. Petang nanti saya belanja kamu. Bukan sebab kamu cerita hal majikan kamu tetapi sebab rajin buat kerja rumah. Kita makan bakso dan ayam penyet. Mahu?” Bibik Im tersengih. Hatinya kembali ceria. Memang tidak salah tindakannya mengadu pada Mariyah Fareedaz. Memang dia wanita unggul yang boleh diharapkan.
“Aik... seorang sahaja Meli? Ros mana?”
“Hah! Mariyah... Ros, hmm... dia keluar tadi.”
“Seronok betul semalam, saya yang bukan setiausaha pun enjoy the Secretaries Week. Show Anuar Zain memang hebat.”
“Ya, saya pun dengar Juju kata dia dan kawan-kawannya duduk di meja Mariyah. Terima kasihlah. Buat susah payah sahaja, pasal si Juju.”
“Eh! Apa yang susah payah! Juju anak saya juga. Dia anak yang baik. Nasib baiklah dia jadi penyelamat pasal cenderahati VIP semalam. Hah! Paling seronok majlis semalam memang lain dari yang lain. Memang spesial!”
“Eh... apa yang spesial sangatnya, Mariyah? Apa yang lain dari yang lain?”
“Spesial sebab majlis semalam khas untuk perempuan sahaja. No men were allowed to enter. Except one and only, Anur Zain. Show for Ladies Only!”
“Biar betul, Mariyah. Majlis itu untuk perempuan sahaja? Tiada jemputan lelaki? Saya tidak tahu pun.”
“Saya sendiri ada di sana, Meli. Lelaki cuma Anuar Zain seorang sahaja. Haha! Sampaikan pelayan pun semua waitress. Tiada pelayan lelaki langsung. Nah! Ini buktinya. Kad jemputan untuk tetamu. VIP pun ladies only. Tertera di sini. Majlis Khas untuk wanita sahaja!
“Jadi.. jadi apa yang Juju ceritakan semalam...”
It’s okey, Meli. I’ve known everything.” Rameli memandang muka Mariyah. Terasa malu. Mungkin api kemarahan dan maki hamunnya malam tadi terdengar sehingga ke sebelah.
“What do you mean you have known everything?”
“Of course I’ve heard both of you quarrelled last night! Itu tidak penting, Meli. Cepat pergi pujuk Ros. Kasihan dia. Walhal kami semua yang hadir, hanya perempuan semua semalam. Hmm... mungkin Juju ada maksud lain. Mungkin dia cuma perlukan perhatian extra dari kamu, Meli. Tolong jangan marah Juju. Kita sama-sama monitor dia, rasanya tidak perlu beritahu Rosnita. Yang penting, cepat... cepat! Pergi cari dan pujuk Ros. Nanti saya cuba slow talk dengan Juju.”
Rameli Saripin terkedu. Perutnya terasa senak. Nyaris rumah tangganya berantakan akibat api cemburu yang dicurah minyak petrol oleh Juju. Rameli mengucapkan terima kasih berulang kali pada Mariyah. Kedengaran antara dengar dengan tidak. Dia pantas mencapai kunci kereta. Menuju ke tempat biasa di mana Rosnita selalu pergi ketika hatinya merajuk. Tempat yang hanya mereka berdua tahu. Mariyah Fareedaz mengangguk dua tiga kali. Pantas dia menyuruh Rameli segera mencari Rosnita. Rahsia misi busuk Juju yang pertama biarlah Rosnita dan Rameli sahaja yang pegang kemas. Mulut Bibik Im sudah dikunci rapat. Semuanya demi kebahagian keluarga Rameli dan Rosnita.
Sebelum beredar mencari Rosnita, Rameli sempat menurunkan cermin kereta memandang Mariyah. Mariyah pula sempat berpesan buat sekelian kalinya.
“Tolong ya Meli. Tolong jangan sebut langsung nama Juju dalam hal ini. Anak itu cuma perlukan sedikit perhatian. Ros mungkin tidak faham jika dia tahu Juju punca dalam hal ini.”
“Jangan risau, Mariyah... semalam pun saya tidak sebut langsung nama Juju. Biar saya cari Ros dulu. Thanks again, Mariyah.”
Sepanjang memandu mencari Rosnita, Rameli teringatkan kata-kata Tok Hamzah Dollah di dalam telefon tempoh hari tentang Juju. Juju yang pernah hampir membunuh Hanzz Izzul.
8888888888888888888888888888888888888888888888888