Friday 15 July 2011

BAB 10

BAB 10 ialah tentang bermulanya segala misi Juju.
Misi busuk yang lebih tengit dari bau belacan hangit kena bakar.
Muka manis dan ayu. Gaya sopan dan tertib.
Tetapi... hati busuk berkuman.

Jom! Kita baca BAB 10 okey.

ANTARA BELACAN DAN KEJU
-BAB 10-
Misi Bermula

Senarai Orang KL Yang Baru Dikenali
Perlu Diberes / Tidak Perlu Diberes

Leesa, Surie dan Honey
(Baby Gorgeous)
-
Sangat beres! Dalam gengaman! Boleh dijadikan kuli.
Geng anak Mami
-
Tidak sesuai dibuat geng. Buang jauh-jauh! Buang masa.
Geng anak Jutawan Indonesia
-
Tidak sesuai dibuat geng. Juga kena buang jauh-jauh! Tidak sesuai langsung.


            Juju tersenyum sendirian. Dia terkinja-kinja menari di dalam telekung. Sempat mengemaskini buku comel selepas solat subuh sebelum ke sekolah. Sempat juga dia membelek gambar Tok Hamzah Dollah dan kambing Conan di celah buku comel. Sungguh tiada keinsafan. Hati Juju masih berkuman. Masih kekal menulis dendam kesumat walaupun sedang bertelekung.
@@@@@@@@@@
            “Seronok?”
            “Gila tidak seronok? Mestilah tersangat seronok!” Leesa memicit muka Juju. Walaupun tidak tembam, seronok sungguh memicit muka Sang Juara. Surie dan Honey pula menari sambil berlaga pinggul gaya dangdut. Terlalu gembira. Kehadiran Juju memang menyemarakkan lagi kumpulan mereka. Selesai waktu sekolah, mereka berkumpul di sudut kantin sekolah sebelum pulang dengan kejayaan yang menjadi sebutan ramai. Mereka telah diumumkan oleh Datin Shilaila Majidi di depan semua pelajar sekolah selaku juara Kuiz Perdana. Kuiz Perdana di antara sekolah-sekolah seluruh Kuala Lumpur dan Selangor. Kemenangan tahun keempat berturut-turut untuk Sri Putri KD. Juara bertahan yang menjadi sebutan ramai.
            “Macam tidak sangka. Kita? Kita...! Kita dapat kalahkan sekolah berasrama penuh!” Honey masih terbayang-bayangkan saat-saat indah menjulang piala pusingan yang menjadi rebutan.
            “Tengoklah siapa jadi penyelamat kita tadi. Tidak sia-sia jaguh yang kita impot khas dari kampung berjuang habis-habisan. Ops...! Sorry...” Surie mengatup mulutnya dengan tapak tangan kanan. Risau kena pelangkung dengan Juju. Juju yang sedang membelek mukanya tidak jemu-jemu, nyaris membaling cermin genggaman tangannya ke arah Surie. Dia mengetap bibir. Geram diungkit asalnya dari kampung. Bukan malu tetapi Juju tidak suka kampung dijadikan kayu pengukur.
            “Mulut kasi insuran sikit ya. Ini kampung bukan sebarang kampung ya... ini...” Belum sempat Juju menghabiskan ayat dengan menghayun cermin di tangannya, cepat Leesa mententeramkan suasana. “Okey... okey... mulut si Surie memang hendak kena sumbat dengan sambal belacan. Sudah...  jangan kita panjangkan. Janganlah ambil hati ya Juju. Surie memang kadang-kadang terlepas cakap. Maafkanlah sahaja dia. Okey! Jom kita makan besar. Kami belanja!. Cakap sahaja hendak makan apa. Cakap sahaja di mana. Kepala gajah? Kepak garuda? Otak unta? Semua beres!”
            “Hehe... ingat kita semua anak gergasi? Asyik-asyik kena makan binatang. Remember, we have to maintain slim.  Forever and ever! Hmm...Tetapi betul kata Leesa.  Kita kena meraikan kejayaan kita bersama. Kena makan besar! Kamu memang hebat tadi Juju. Kamu penyelamat pasukan kita. Siap boleh jawab tiga soalan cepumas. Soalan paling susah di abad ini. Tercengang lawan kita tadi.” Honey menepuk bahu Juju sambil memuji sebakul. Matanya menjeling ke arah Lailah Farihah yang duduk tidak jauh dari mereka. Dari tadi, Lailah hanya memberi reaksi bahasa tubuh. Tidak sekelumit perkataan yang keluar dari bibirnya. Surie pula tunduk membisu. Takut terlepas cakap lagi. Takut kena baling dengan cermin Juju. Dia menggigit bibirnya sendiri. Menyalahkan dirinya sendiri mengata Juju orang kampung.
            “Hah! Lailah! Jomlah ikut sekali. Kami belanja. Kita makan besar. Kamu pun sebahagian dari kami juga dalam Kuiz Perdana. Hmm... walaupun cuma peserta simpanan.” Honey mengajak Lailah Farihah dengan nada separuh menyindir. Ajak-ajak ayam. Antara acuh dengan tidak. Nampak sangat tiada keikhlasan. Muka sahaja cantik, hati masih penuh dengan kuman bersarang.
            Lailah Farihah tersenyum kelat. Dia hanya menggelengkan kepala. Malas hendak membalas kata-kata Honey Afrina. Jika tiada Juju, pasti Lailah menjadi peserta keempat. Bukan peserta simpanan. Namun, Lailah tidak dapat menafikan kehebatan pengetahuan am Juju. Memang tidak silap pilihan pihak sekolah. Lailah Farihah pura-pura sibuk mengorek isi kandungan beg galasnya. Pura-pura mencari sesuatu yang penting. Siap dengan aksi muka herot-benyot.
Thanks. May be next time ya. I need to make a move now. I’ve left something just behind.”  Lailah segera berlalu pergi. Bingkas berlari anak. Terasa sedikit bergegar kerana badannya yang tinggi dan besar ragam. Dia tidak mahu melekat dengan empat jelitawan yang sentiasa menjadi perhatian ramai. Sempat ekor mata Lailah melirik pada Juju dengan penuh makna tersirat. Walaupun hanya peserta simpanan, Lailah turut gembira. Cuma Lailah agak terkilan kerana Juju menyertai grup Baby Gorgeous. Bagi Lailah, sikap Juju telah berubah mengikut gaya tiga sekawan yang sentiasa tinggi angan-angan. Tidak Lailah sangka yang Juju boleh menjadi ahli kumpulan mereka yang keempat. Serentak dengan itu juga Lailah dapat menghidu perubahan diri Juju. Wataknya bertukar karakter. Atau mungkin memang itu watak sebenar Juju, Lailah Farihah sendiri tidak dapat menelah. Ada sedikit rasa kecewa di hatinya apabila Juju yang nampak bagai si sopan dari kampung telah menyertai geng terlebih perasan itu. Tiada siapa sangka Baby Gorgeous akan ada ahli yang keempat. Nampaknya Juju memang seorang yang spesial. Bukan Juju yang tergedik-gedik atau terkinja-kinja mahu menyertai Baby Gorgeous seperti pelajar lain. Juju terpilih! Malah Juju diundang untuk menyertai Baby Gorgeous yang meletakkan diri mereka setahap lebih tinggi dari pelajar lain. Grup yang terkenal dengan kuasa kebal. Berselindung di sebalik kekebalan bapa Leesa, Cikgu Ally Putra. Walaupun cantik, cerdik, gedik, bergaya, kurus dan glamor... Lailah Farihah sentiasa mengecop Baby Gorgeous sebagai grup bermasalah. Grup terlebih sudu dari kuah. Grup terlebih perisa ajinomoto. Lailah Farihah perlu menjaga statusnya sebagai Ketua Pengawas sekolah. Perlu sentiasa berkarisma. Ketokohan dan kewibawaan perlu dijaga sentiasa. Tidak boleh klik bersama mana-mana kumpulan. Apatah lagi dengan Baby Gorgeous. Tidak sama sekali. Tidak sesuai langsung!
            “Hmm... makan kita set malam nanti. Kita dinner di Mandarin Oriental. Boleh? Tetapi... janji dulu satu perkara.” Juju memberi usul bersyarat lagi.
            “Hendak dinner di bulan pun boleh, Juju. Eh! Kejap... kejap! Janji yang mana pula? Janji... janji untuk seiya sekata, sehati sejiwa? Ha ha ha macam filem hindustan. Janji sambil menari keliling pokok. Siap ada penari latar.” Leesa terkekek ketawa sambil memandang Surie dan Honey. Senang hendak ketawa mengilai jika Lailah Farihah sudah mengangkat punggung.
            “Janganlah buat-buat lupa pula. Janji untuk tolong laksanakan misi. Misi melumatkan keluarga belacan. Keluarga yang makan belacan. Busuk! Sudahlah mulut busuk. Hati pun busuk!” Juju menghentak meja. Nyaris cermin di tangannya tidak pecah.
            “Janji tetap janjilah, Juju. Memang tiada masalah. Kita buat sama-sama. Janganlah risau. Baby Gorgeous memang tetap setia dari dulu. Hmm... kita hendak mula dari mana? Bukan kami tidak boleh usulkan tetapi rasanya kamu yang lebih kenal setiap ahli keluarga belacan dengan lebih tepat.”       Leesa memberi usul awalan. Surie dan Honey mengangguk kepala setuju. Bukan perkara baru buat mereka bertiga. Agenda kelabu asap dan hitam legam memang sudah sebati dalam hidup mereka. Sengaja menyucuk Juju. Tanduk setan masing-masing timbul di kepala. Sungguh busuk isi perut mengalahkan kebusukkan belacan. Siap hendak bersengkongkol tidak kira cara sekali pun.
            “Hah! Ini baru betul! Janji mesti dikota. Baru sedap telinga mendengar. Nah! Tengok sini! Ambil seorang satu. No worries girls! I’ve scribbled everything for us.  Juju menyerahkan senarai misi yang diatur malam tadi. Leesa, Surie dan Honey mengambil dengan penuh kagum. Sedikit tercengang! Mata masing-masing membulat. Misi yang siap bertaip dengan kemas, terperinci dan jelas. Mengalahkan misi strategik skor A untuk SPM!
Misi Menghancurkan Keluarga Belacan
  1. Misi perlu dijalankan secara berasingan untuk setiap ahli keluarga. Satu persatu. Kenakan setiap seorang sampai habis-habisan. Biar padan muka. Biar sedar diri.
  2. Bukan niat untuk membunuh tetapi matlamatnya adalah untuk memberi pengajaran. Yang penting, mesti puas! Jangan mereka asyik tenggelam di dalam zon selesa.
  3. Misi perlu dijalankan secara halus. Secara senyap. Biar nampak professional.
  4. Tidak boleh ada sesiapa pun yang tahu, perasan atau terhidu walau sebesar zarah sekali pun.
  5. Misi harus bermula dengan target pertama iaitu Mama Rosnita selaku ibu sawat. Dialah punca Abah Meli tidak mahu membela Juju sejak dulu. Semuanya sebab kelahiran Acan dan Acun. Dua orang yang terlebih perasan. Terutama si Acun yang perasan cun tetapi hati busuk berulat.
  6. Selepas Mama Rosnita, target seterusnya ialah Acan dan Acun. Benci! Kemudian baru Abah Meli.
  7. Orang-orang yang ada kena mengena dengan hidup keluarga belacan juga tidak akan terkecuali. Semua sekali perlu dibereskan. Ibu (Aunty Mariyah Fareedaz dikecualikan)
  8. Contoh mereka yang ada kena mengena dengan keluarga belacan ialah : Bibik Im yang penyibuk mengalahkan tuan rumah. A.C. Misai yang macho turut terlibat sebab mesti rampas A.C. Misai dari Acun. Siapa yang tidak ada dalam senarai pun boleh terkena jika tiba-tiba cari pasal dan buat hal.
  9. Selain dari itu... orang, binatang dan benda kesayangan Mama Rosnita, Abah, Acan dan Acun juga tidak terkecuali. Binatang-binatang di zoo mini di belakang rumah juga akan jadi target... jika perlu.
  10. Semua misi akan dijalankan dan diaturkan dengan terperinci. Setiap misi akan dijalankan secara kerjasama dengan bantuan semua ahli Baby Gorgeous. Jika sesuatu misi telah berjaya, Perlu jadi pelakun handalan. Perlu berlakun sedih dengan apa yang berlaku. Meraung kesedihan, jika perlu.
Tidak boleh bocor rahsia. Tidak boleh mungkir janji.
Apa pun terjadi, mulut perlu dikunci dan dizip kemas.
Biar pecah di perut. Jangan pecah di mulut!

            “Wow, wow, wow! Hebat betullah kamu Juju. Pertama kali saya tengok misi lengkap siap bertaip kemas. Nampaknya kita kena mulakan dengan ibu sawat, Mama Ros kamu. Ha ha! Paling best, part kena jadi pelakun handalan. Kena meraung kesedihan jika perlu. I like!” Surie memandang muka Juju, Leesa dan Honey sambil terkebil-kebil matanya. Mulutnya tersengih sendirian.
            “Jangan risau geng, kali ini misi menghapuskan keluarga belacan. Bukan kita tidak biasa dengan kerja macam ini. Sudah lebih dari biasa. Nampaknya Juju memang best. Sekepala dengan kita.”
            “Ha ha! Betullah Leesa. Dulu ingat lagi kita hapuskan janda tua perasan yang teringin hendak mengorat bapa kamu. Seminggu dia di hospital, retak buku lali. Lepas itu ingat lagi kan, misi kita hapuskan dua orang pekerja bangla bapa Surie yang hendak rompak stok di stor simpanan bapa Surie. Polis boleh cuci tangan. Kita sendiri yang hantar dua orang bangla itu ke depan pintu balai. Tengok oranglah kan. Ini Baby Gorgeous! We are really smart and gorgeous in every of our single deeds.” Honey menari sambil mendabik dada. Bangga dengan kejayaan ‘busuk’ mereka selama ini.
            Leesa memandang muka Juju. Serius! Selaku ketua Baby Gorgeous sejak sekian lama, dialah yang paling cerdik, paling menonjol dan pembuat keputusan. “Last and for all, Juju. Why we must do all these? What’s your main reason. Don’t get me wrong... Kami memang di pihak kamu, Juju. Cuma misi ini bukan sebarangan. Jadi, biar kami jelas akan sebab utama semua ini perlu dilakukan.” Surie dan Honey turut terdiam sejenak. Memandang muka Leesa dan kemudian muka Juju. Memang mereka bangga dengan Leesa selaku ketua mereka selama ini. Ketua yang sentiasa menjaga kebajikan ahli kumpulan. Ketua yang boleh diharapkan walaupun dalam melaksanakan misi tidak bertauliah.
            Juju bukan tidak dapat menelah fikiran Leesa. Juju bukan bodoh dan Leesa juga cerdik orangnya. Sebab itu masing-masing mengkagumi antara satu sama lain. Mereka sekepala, walau baru berkenalan. Juju menarik nafas panjang. Sengaja membiarkan emosi beralun dengan jawapannya.
            “Look! I thought I’ve made this clear before. But... it’s ok! You all have the right to know the true answer.” Mereka bertiga tidak berkelip memandang muka Juju. Walaupun berhati busuk tetapi sejuk mata memandang wajahnya. Matanya redup. Dagunya runcing. Mulutnya comel. Macam anak patung sedang berkata-kata. Tiada siapa yang dapat menyangka apa yang bersarang di hatinya jika tidak mengenalinya. Juju berjaya mengumpul air mata untuk meneruskan kata-kata. Sengaja mengingati Tok Hamzah Dollah di kampung yang amat dirinduinya untuk menerbitkan butiran jernih dipelupuk mata.
            “Geram! Benci! Menyampah! Itu yang saya nampak dalam mata keluarga belacan setiap hari. Mereka perampas hak saya selama ini. Saya hanya akan puas jika saya dapat kenakan setiap seorang dari mereka. Mereka berhutang masa silam dengan saya. Saya anak yang dipinggirkan oleh ibu kandung sendiri. Saya tidak dibela oleh bapa kandung sendiri ketika ibu saya sakit. Saya dibiarkan dan dibesarkan di kampung yang ulu! Penuh dengan hutan, pokok, kambing...Busuk! Jijik! Kamu ingat saya suka?! Saya paksa diri saya. Saya seorang! Saya tiada kawan!” Juju menendang kerusi dan meja di kantin. Nasib baik tiada siapa yang perasan. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 3 petang. Tiga sekawan di depannya tertunduk. Leesa seakan menyesal bertanyakan soalan yang mereka sendiri sudah tahu jawapannya. Leesa marahkan dirinya sendiri yang kononnya mahukan jawapan muktamad sebelum misi dilaksanakan bersama.
            Air mata Juju berderai. Bukan air mata kesedihan atau keinsafan tetapi... air mata dendam kesumat. Hatinya girang bila berjaya menerbitkan air mata yang dapat mengaburi ahli Baby Gorgeous yang lain. Air mata palsu. Air mata yang dipaksa keluar. Sejak dahulu, Juju memang pelakun air mata handalan. “ Jujurnya... saya hanya akan rasa puas jika saya dapat kenakan setiap serorang dari mereka. They owe me!”
            Leesa menyeka air mata Juju dengan tisu di tangan. Surie merangkul mereka semua. Honey menggenggam tangan mereka berempat. Masing-masing menenangkan Juju. Juju memang sebahagian dari mereka. Tidak boleh dipisahkan lagi. Semua rahsia peribadi adalah rahsia kumpulan mereka.
            Sudah tentu yang paling seronok ialah Juju. Hatinya berbunga. Dendam kesumatnya bakal berbalas. ‘Hendakkan jawapan muktamad sebelum melaksanakan misi konon. Leesa ingat dia siapa hendak ajar aku!’ Juju sempat menempias Leesa di dalam hatinya. Baby Gorgeous bakal membantu misinya. Memanglah mereka sekepala dengan Juju tetapi... mereka bakal menjadi kuli-kuli barunya!
8888888888888888888888888888888888888888888888