Friday 15 July 2011

BAB 7

 BAB 7 ialah tentang Ibu Angkat Segera khas buat Juju.
Wah! Seronoknya. Ada ibu kandung, ibu tiri dan ibu angkat.
Jika selama ini dia tidak dapat meneguk kasih sayang seorang ibu,
sekarang Juju mempunyai 3 orang ibu!

Siapakah ibu angkat segera Juju? Mariyah Fareedaz namanya!

Marilah bersandar selesa sambil menyelami BAB 7 pula.

ANTARA BELACAN DAN KEJU
-BAB 7-
Ibu Angkat Segera 

       Tok Hamzah Dollah terketar-ketar tangannya. Menggigil walau tidak sejuk. Dia menanggalkan cermin mata tebalnya. Sudah hampir sepuluh kali dia membaca kertas di tangannya. Kertas tulisan tangan Juju. Kemas tulisannya tetapi... di hujung kertas siap dicop dengan ikrar secalit darah. Darah Juju gamaknya. Tidak mungkin darah kambing Conan. Macam ikrar dengan syaitan layaknya. Sungguh menakutkan hati tua Tok Hamzah Dollah.
“Kerja gila! Juju ini hendak buat perangai lagi nampaknya. Juju... Juju...”
Tok Hamzah Dollah sengaja ke bilik cucu kesayangannya. Dia kesunyian dan amat rindukan hiruk pikuk anak, menantu dan cucu-cucunya. Sekarang Tok Hamzah Dollah tinggal seorang diri. Ladang kepala sawit, kandang kambing, surau dan gerai milik Mak Biah di hujung Ulu Trong. Di situlah tempat Tok Hamzah berulang alik saban hari. Sesekali sengaja disuruh Mak Biah memasak makanan kegemaran Juju untuknya, mee udang berkrim keju. Makanan pelik kegemaran cucu kesayangannya. Jangan kata Tok Hamzah Dollah, malah Mak Biah si peniaga gerai pun turut merindui Juju yang membesar di Kampung Daun Melambai. Mak Biah sering mengajukan soalan kepada Tok Hamzah Dollah yang bisa membuatkan air mata melabuh di pipi tuanya...
“Hmm... Baru lagi cucu kamu si Juju tinggalkan kampung kita. Rasa macam sudah setahun! Jangan kata kamu, Hamzah... aku ini hah! Aku pun rindukan dia. Rindukan Juju yang rajin mengusik aku. Aku rindukan muka dia yang macam anak patung!” Mak Biah meluahkan rasa rindunya pada Juju setiap kali Tok Hamzah Dollah singgah di gerainya.
Sesekali juga Tok Hamzah Dollah mengajak pekerja-pekerja ladang kepercayaannya untuk menemaninya. Teman tidur bergilir di rumahnya. Pak cik Jins, Sham dan Sudin. Tiga pekerja ladang setia yang telah hampir dua puluh tahun berkhidmat dengannya. Merekalah peneman bicara dan teman bertadarus. Mereka adalah tiga orang kanan kepercayaan Tok Hamzah Dollah.
Dulu semasa Juju berumur sepuluh tahun, dia pernah buat kerja gila. Kerja gila yang tidak terfikir dek akal budak seusianya. Nekad untuk mencederakan adik tirinya Hanzz Izzul. Mungkin cubaan membunuh sebenarnya. Semuanya gara-gara cemburu, hasad dengki dan dendam kesumat. Merasa diri disisih. Merasa tidak mendapat kasih sayang ibu dan ayah sejati. Merasa didiskriminasikan. Juju pernah tiga kali membuat onar. Pertama, menekan kepala Hanzz Izzul ke dalam kolam air minuman kambing-kambing ternakan. Hampir lemas Hanzz Izzul, kembung perut menelan air minuman kambing. Syukur kerana Pak cik Jins, Sham dan Sudin berada di sebalik kandang kambing.  Kedua, mengikat Hanzz Izzul di pokok kepala sawit dan ditabur kerengga penuh satu plastik pada waktu malam ketika semua orang menghadiri kenduri.  Dua minggu Hanzz Izzul bengkak teruk dan masuk wad di Hospital Taiping. Kasihan pekerja Bangladesh pula yang kena tuduh. Nasib baik Tok Hamzah cepat menghidu gerak kerja gila Juju. Ketiga pula adalah yang  paling trajis kerana Juju membakar bilik stor yang disangka terdapat Hanzz Izzul di dalamnya. Walhal tikus-tikus munduk yang menghuni stor yang menjadi korban.
Setiap kali membuat angkara, Juju adalah orang pertama yang akan menangis bersungguh-sungguh bagai tidak dapat menerima ‘kematian’ Hanzz Izzul. Apabila di khabarkan kepadanya bahawa Hanzz Izzul selamat. Juju akan terkejut besar kerana marah dengan ‘kematian palsu Hanzz Izzul’ tetapi cepat-cepat merangkul adik tirinya gaya sayang hipokrit dan palsu. Sayang plastik. Sayang yang dibuat-buat. Hanya Tok Hamzah Dollah yang tahu apa yang sebenarnya terjadi kerana sememangnya dia selalu mengintip gerak geri Juju. Spy tidak bertauliah! Maiya Karina, ibu kandung Juju sendiri percaya yang Juju tidak ada kena mengena dalam hal tragis yang melibatkan nyawa Hanzz Izzul hampir melayang. Tidak dapat Tok Hamzah Dollah bayangkan jika Maiya Karina tahu segala kerja kotor Juju. Pasti teruk Juju semakin dibencinya. Sejak lahir, Maiya Karina memang tidak dapat menerima Juju sebagai anaknya. Walaupun ketika lahir, seluruh menduduk kampung menggelar Juju anak patung. Sangat comel! Anak hasil perkahwinan dengan Rameli Saripin. Bagi Maiya Karina pula ketika itu, Juju adalah anak hasil paksaan kahwin! Paksaan kahwin oleh bapa sendiri!
Tok Hamzah Dollah mengeluh berat. Tidak kira apa pun terjadi, Tok Hamzah Dollah memang sangat sayangkan Juju. Tiada siapa dapat menongkah fakta hakiki itu. Dia sering menyalahkan dirinya atas apa yang terjadi. Kini Juju bukan lagi berumur sepuluh tahun. Sekarang dia sudah dewasa remaja. Sudah tujuh belas tahun. Matlamat rancangannya semakin terperinci, tajam, jelas dan jitu. Tok Hamzah Dollah menatap kembali kertas di tangannya. Kertas rangka matlamat gila Juju yang bertajuk  : “Mengapa Aku Perlu Hapuskan  Keluarga Belacan!”
Mungkin Juju tidak sedar yang dia tertinggal kertas itu di dalam sarung bantal busuknya di kampung. Mungkin terlupa. Mungkin juga sengaja ditinggalkan, takut untuk dibawa ke Kuala Lumpur. Juju mungkin tidak terfikir ada kemungkinan sesiapa dapat menjumpai kertas pelan jahat tersebut di dalam bantal busuknya. Tetapi... ternyata Juju silap caturan. Tok Hamzah Dollah amat merindui Juju. Sengaja jarang menelefon dan tidak mahu menjenguk Juju di Kuala Lumpur. Takut dirinya sendiri tidak tabah mahu merayu Juju tinggal kembali bersamanya. Ketika diulit rindu mendalam, bantal busuk Juju didakap dan dipeluk. Ada bau Juju yang hanya Tok Hamzah tahu bagaimana semerbak ‘harum’nya. Tiba-tiba ada pula kertas terjojol keluar dari sarung bantal busuk Juju. Kertas tentang taruhan nyawa Keluarga Belacan!
‘Haruskah aku nasihatkan Juju? Tetapi... Juju degil. Kepala batu. Mana makan nasihat.’
“Atau... aku beritahu sahaja pada Meli! Meli sangat memahami. Dari dulu... memang hanya Meli yang dapat memahami. Biar Meli tahu dari awal. Biar Meli tidak tersalah sangka. Biar Meli atur rancangan untuk mencantas pelan busuk Juju. Atau... aku boleh bincang dengan Meli bagaimana untuk lembutkan Juju. Tetapi... bagaimana kalau Meli tersilap beritahu bini dia? Bini dia memang baik tetapi... mana boleh bini dia tahu bagaimana perangai Juju yang sebenar. Iskh... bahaya! Sangat bahaya!” Tok Hamzah Dollah penat bermonolog. Tiga kali dia berubah tempat duduk. Bermain perasaan yang berbelah bahagi. Mahu menyelamatkan keadaan dengan cara sebaik mungkin. Tidak mahu tersilap langkah. Jangan ada tersilap percaturan. Juju bukan sebarangan remaja. Dia jenis yang nekad. Dia bijak. Jenis keras hati. Keju kental yang susah dicairkan!
Tok Hamzah tertidur sebentar kerana penat berfikir jalan penyelesaian yang terbaik. Dia terjaga semula pada pukul 4.00 pagi.
‘Nasihatkan Juju si keras kepala atau ajak Meli sama-sama cari penyelesaian. Bini dia, Rosnita bagaimana pula?’
Tersedar pukul 4.00 pagi pun, Tok Hamzah masih memikirkan tentang hal yang sama. Sekali lagi, Tok Hamzah Dollah penat bermain teka-teki sendirian. Mukanya tersungkur mengadap lantai. Tok Hamzah Dollah menuju ke bilik air. Mengambil wuduk. Biar sejuk hati dan perasaan. Sejurus melakukan solat sunat, Tok Hamzah mengadu domba dan menangis hiba semahu mungkin. Kali ini dia bermonolog dan mengadu habis-habisan pada Yang Maha Esa. Tok Hamzah Dollah lega. Dia nekad! Hatinya bulat!
‘Juju atau Meli? Juju atau Meli?’
Esok paginya sesudah bersenam dengan berjalan tiga pusingan di padang di depan rumahnya, dengan lafaz Bismillah... Tok Hamzah Dollah mencapai telefon.
“Assalammualaikum... Meli?”
@@@@@@@@@@
“Mariyah! Masuklah... Jemput masuk! Boleh berkenalan dengan anak kami. Maiya Juliana! Alah... yang Ros dan Meli ceritakan pada Mariyah minggu lepas. Ingat...?”
“Ya lah, memang datang pun untuk berkenalan dengan anak dara Ros yang baru.”
Rosnita Che Wah mempelawa Mariyah Fareedaz masuk. Mata bundar Rosnita Chek Wah melilau mencari kelibat Juju. Juju yang sedang kusyuk membaca novel di sudut yang penuh dengan puluhan patung itik pelbagai saiz. Sekejap Juju membelek muka di cermin, sekejap lagi pula menyambung bacaan novelnya. Berselang seli setiap sepuluh minit. Novel Twilight Saga yang dibaca berulang kali tanpa jemu. Hari ini Juju memilih cermin berbingkai kain songket merah. Sengaja memilih cermin pemberian Rosnita Chek Wah. Sengaja mencari jalan agar dia kelihatan sebagai anak yang menghargai ibu tirinya itu. Juju duduk membelakangkan pintu masuk utama.
“Ha... di situ pun dia. Juju, cepat ke sini sayang. Mari tengok siapa yang datang. Puan Mariyah Fareedaz hendak berkenalan dengan Juju. Jiran sebelah rumah kita. Kawan baik famili Mama Ros dan abah!”
Juju cepat menangkap. Mariyah Fareedaz! Mindanya ligat mengingati kata-kata Zaibon dalam perjalanan dari kampung ke Kuala Lumpur tempoh hari : “Kesian sungguh dia! Balu yang tinggal seorang diri di banglo besar. Huh! Cantik orangnya, Juju. Lekuk badan macam gitar. Dia ada salun wanita muslimah dan stokis kepada pelbagai produk kecantikan.” Itu pujian melambung yang pernah diberikan oleh Zaibon kepada wanita yang bernama Mariyah Fareedaz.
Juju menoleh. Dia segera berlari anak mendapatkan dua wanita jelita di depannya. Mariyah Fareedaz tercengang! Ternganga! Dia terjelepuk... pengsan!
Seisi rumah menjadi kecoh dan riuh rendah. Bibik Im bertindak pantas tanpa disuruh. Dia memang proaktif! Bibik Im mengambil semangkuk air putih. Mulutnya berkumat kamit gaya membaca ayat suci al-Quran. Kemudian, dia berselawat dan membasahi tangan kanannya dengan air putih di dalam mangkuk. Gaya ayahnya, Pak Kiyai Baim Wonggo. Tangan yang basah dijelun ke ubun-ubun Mariyah Fareedaz sebanyak tiga kali. Masih tidak sedar! Semua yang ada panik. Bibik Im kelihatan tenang. Dia mengulangi proses yang sama tetapi kali ini menyapu pula air ke muka Mariyah. Kebetulan Rameli Saripin dan Zaibon baru pulang dari Restoran Can Meli Can cawangan utama di Taman Tun Dr. Ismail. Mereka turut panik. Masing-masing berpandangan keliru dan bermain teka-teki tanpa bersuara.
Perlahan-lahan Mariyah Fareedaz tersedar. Dia menangis perlahan dan memeluk Rosnita Che Wah. Semua terdiam dan tidak bertanya apa-apa. Acan dan Acun berpandangan. Acun sempat berbisik pada Bibik Im, bertanyakan kalau-kalau Juju membuat sebarang perkara yang bukan-bukan tadi. Pantas Bibik Im menggelengkan kepala berkali-kali. Hatinya sedikit marah dengan tuduhan Acun di saat genting sebegitu.
Mariyah Fareedaz meletakkan kedua belah tangannya di kedua belah pipi Juju yang putih mulus tanpa sebutir jerawat. Mariyah Fareedaz beristighfar panjang sebanyak tiga kali. Butiran jernih masih laju menjunam pipinya. Hatinya sebak...
“Jom... jom kita semua ke rumah saya sebentar. Cepatlah!” Suara Mariyah Fareedaz agak perlahan. Suara orang baru sedar dari pengsan. Antara dengar dan tidak. Tangan kanannya menarik tangan Rosnita Che Wah. Tangan kirinya menarik tangan Juju. Juju sempat membawa cermin tangan berbingkai songket merah yang digenggam sejak tadi. Semua yang lain pula saling berpandangan. Tidak berkata-kata apa-apa. Bagai ditusuk hidung, mereka juga turut serta berjalan pantas ke rumah jiran mereka itu. Banglo sebelah yang tidak asing lagi bagi mereka. Sering berulang alik bagai rumah sendiri. Banglo berkembar tiga tingkat yang hanya dipisahkan oleh sebuah dinding konkrit utuh.
Masing-masing mengambil tempat duduk tanpa perlu disuruh. Sememangnya seisi keluarga Rameli Saripin sudah biasa benar dengan banglo jiran mereka. Dekorasi inggeris dengan sentuhan perabut itali mewah. Mariyah Fareedaz meninggalkan mereka sekeluarga di ruang tamu utama. Dia ke bilik di tingkat atas dan membawa turun empat buah album besar. Mariyah Fareedaz membuka luas keempat-empat buah album dan dibentangkan di tengah meja.
Semua mata  saling berpandangan. Mulut melopong bulat. Juju mengambil salah satu album di depannya. Tidak percaya dengan kebesaran Tuhan di depan matanya. Tertera jelas pada gambar-gambar tersebut nama pemiliknya.
“Schar Minn Yahya AlQudri? A... anak Aunty Mariyah?” Juju melihat gambar pada album yang dipegangnya. Kemudian dia membelek pula mukanya pada cermin tangan yang dibawanya. Dia berbuat demikian berulang kali.
Rameli, Rosnita, Zaibon, Bibik Im, Acan dan Acun berulang kali menoleh kepada gambar di album dan kemudian menoleh ke arah Juju pula. Rameli dan Rosnita saling berpandangan. Zaibon membuat muka gaya berfikir tetapi tetap mencuri pandang kepada Mariyah Fareedaz yang pada firasatnya semakin cantik menawan ketika pengsan tadi. ‘Alangkah bertuahnya siapa yang dapat buat bantuan kecemasan CPR’. Gatal sungguh berangan bagai ulat bulu naik daun. Acan menggosok mata yang tidak gatal. Bibik Im melopong gaya melihat pertunjukan silap mata. ‘Mata akukah yang silap?’ Acun mengecilkan matanya. Seolah-olah mahu berlari mengambil kanta pembesar di biliknya. Mahu teropong biar jangan ada tipu muslihat Juju.
“Mariyah! Abang, Macam acuan! Seiras benar! Saling tidak tumpah macam fotostat dengan Juju!”
“Betul, Ros! Tengoklah ini... patutlah Mariyah tidak pengsan tadi. Juju sebiji macam arwah Schar Minn. Hidung sama terletak, mata bulat pun sama, tulang pipi tinggi, dahi sama luas, rambut sama ikal dan perang, dagu runcing, saiz badan pun sama, Ros! Sama sangat-sangat!”
Bibik Im cepat mencelah walaupun masih melopong. “Iya iyalah! Acun tengok sini, macam anak patung apa itu? Anak patung Bibi? Sama bangat!”
“Anak patung Barbie lah, Bibik Im!” Jika tadi Mariyah Fareedaz bagai hilang nafasnya. Sekarang, dia sudah boleh menghirup oksigen dengan lebih lancar. Terkumat kamit mulutnya mengucapkan syukur yang tidak berbelah bahagi. Bagai mimpi dialam nyata!
“Siapa nama tadi sayang? Maiya Ju...”
“Panggil sahaja saya Juju, Aunty Mariyah.”
“Juju, semua ahli keluarga Juju tahu yang Aunty Mariyah sudah kematian suami dan anak kira-kira satu setengah tahun yang lalu. Tetapi... tidak seorang pun pernah tengok album ini. Aunty sendiri pun sudah lama sengaja tidak mahu membelek lagi gambar-gambar ini.”
“Schar Minn sudah meninggal? Dia sakit?”
“Schar Minn dan suami Aunty Mariyah, Yahya Al Qudri meninggal dalam sebuah kemalangan yang sungguh tragis, Juju. Kami bertiga baru balik dari meraikan hari jadi Aunty Mariyah sendiri. Semasa kami bertiga meraikan majlis makan hari jadi Aunty Mariyah, mereka berdua tidak henti-henti mendoakan Aunty Mariyah dipanjangkan usia. Selepas itu, kami bertiga menaiki kereta menuju ke rumah. Masa itu kami tinggal di Desa Park City. Seperti biasa, kami melalui tapak pembinaan yang biasa kami tempuhi setiap hari. Cuaca sedikit buruk pada petang itu. Hujan lebat dan kilat sabung menyabung. Tiba-tiba...”
Mariyah Fareedaz sudah terlalu sebak untuk meneruskan cerita. Air matanya belum kering sejak tadi. Rosnita Che Wah meneruskan cerita tanpa disuruh. Malah cerita itu hanya Rosnita dan Rameli yang tahu. “Ada bongkah batu besar yang dialihkan dari kren di tapak pembinaan tersebut. Malang memang tidak berbau. Entah bagaimana, kren tersebut hilang kawalan.”
“Bongkah batu besar?” Acun menyampuk kerana dia sendiri sudah lebih setahun keluar dan masuk banglo Mariyah Fareedaz pun tidak pernah tahu tentang cerita kemalangan yang dimaksudkan.
“Pernah tengok bongkah-bongkah batu besar dan palang besi di tapak pembinaan? Ha! Lebih kurang macam itulah besarnya. Mungkin sebesar bahagian sebelah atas kereta. Hmm... tidak semena-mena bongkah batu yang besar itu terhuyung hayang. Aunty Mariyah kamu tidak sedar apa-apa lagi. Di hospital, dia hanya luka ringan. Schar Minn dan Uncle Yahya Al-Qudri tidak dapat diselamatkan lagi. Mayat mereka hampir tidak dikenali...” Rosnita Che Wah memeluk erat Mariyah Fareedaz. Dia menyeka airmata jiran merangkap sahabatnya itu.
“Arwah anak Aunty Mariyah sebaya Acan. Sebaya kamulah ya. Itulah satu-satunya anak Aunty Mariyah. Dulu... banglo ini kami sewakan. Kami jarang ke mari. Jika datang pun tidak pernah terserempak dengan keluarga Mama Ros kamu. Kami hanya berkenalan setelah Aunty Mariyah berpindah ke mari. Tetapi... semenjak tiga bulan pemergian arwah berdua. Fikiran Aunty Mariyah jadi celaru. Asyik nampak bayangan mereka berdua berwajah suram di rumah kami di Desa Park City. Pelbagai ikhtiar telah lakukan. Solat hajat, kenduri arwah dan bacaan yassin tanpa henti. Ibu Aunty Mariyah ada nasihatkan supaya tinggal di kampung atau pindah ke sini. Waktu itu, aunty berkeras tidak mahu walaupun sering tidak tenang di rumah lama. Entah mengapa, satu hari Aunty Mariyah dapat suatu mimpi yang pelik. Mimpi wajah Schar Minn datang dan tersenyum di depan rumah kami. Banglo inilah. Tiga kali berturut-turut mimpi tersebut.” Semua yang ada di situ saling berpandangan. Zaibon pula tidak kelip-kelip matanya memandang balu jelita di depannya sedang bercerita. Sungguh terpesona. Nampak tambah jelita ketika menangis. Zaibon sempat tersenyum galak dalam diam.
“Itulah, akhirnya Aunty Mariyah akur dengan nasihat ibu aunty. Aunty Mariyah berpindah ke mari setelah penyewa lama turut pindah ke luar negara. Walaupun nampak tidak padan sebab banglo besar tiga tingkat untuk Aunty Mariyah tinggal seorang. Tetapi... memang rasa lebih tenang di sini. Tambahan pula dapat jiran yang begitu mesra dan memahami macam keluarga Rameli. Aunty juga sengaja menyibukkan diri dengan bisnes yang baru setahun jagung. Semata-mata tidak mahu bosan dan tidak asyik memikirkan arwah berdua. Bayangan wajah arwah juga tidak datang lagi selepas aunty pindah ke sini. Tetapi...”
Rameli Saripin menarik nafas panjang. Dia cuba mencelah dengan mengatur ayat sebaik mungkin. Tidak mahu hati Mariyah Fareedaz terguris jika tersilap bicara.
“Ya! Tetapi... itulah kebesaran Tuhan, Mariyah. Datangnya dalam pelbagai cara. Itulah petunjuk mimpi tersebut. Memang tiada siapa dapat mengganti tempat arwah berdua. Sekurang-kurangnya kami ada sebagai pengganti keluarga besar buat Mariyah. Juju pula datang kepada kami dan sebagai tanda ingatan manis Mariyah pada arwah. Mungkin alamat mimpi Mariyah nampak bayangan arwah di sini sebab suatu hari nanti, Mariyah akan berjumpa dengan Juju. Wajah yang sama dengan arwah Schar Minn.”
Tanpa disuruh... Juju menerpa memeluk erat Mariyah Fareedaz. Zaibon merasa geram betul. ‘Kalaulah aku yang dapat menerpa begitu’ Sungguh nakal! Berimaginasi kalaulah dia pula yang dapat memeluk balu berbadan persis gitar itu. Esakkan tangisan Mariyah Fareedaz bertambah kuat. Kali ini lengkap dengan sedu sedan dan dadanya terasa semput dan berombak-ombak.
“Ya, betul kata abah kamu, Juju. Aunty Mariyah begitu degil tidak mahu pindah ke sini dulu. Sayangkan rumah nostalgia lama kami bertiga di Desa Park City. Tetapi... bila sudah pindah ke mari, rasa begitu tenang. Rupa-rupanya Aunty Mariyah bakal dikurniakan anak baru! Juju mahu jadi anak Aunty Mariyah? Hmm... boleh Meli? Ros? Please... please”
Bagai dirancang, dengan Rameli dan Rosnita mengangguk kepala serentak berkali-kali.
“Aunty Mariyah cuma mahu pinjam Juju sahaja. Aunty tahu, semua yang Tuhan beri pada Aunty Mariyah hanyalah pinjaman. Boleh Juju panggil Aunty Mariyah dengan panggilan ibu? Dulu arwah Schar Minn juga panggil Aunty Mariyah, ibu!” Juju mengangguk laju sambil tersenyum. Rosnita Chek Wah memeluk erat Mariyah Fareedaz dan Juju. Masing-masing mahu mengembalikan semangat seorang ibu yang telah pudar, hancur dan lebur.
Sedari tadi air mata jantan Acan bertakung berat tetapi tidak jatuh ke pipi. Penat betul menahan air mata dari keguguran. Zaibon menepuk bahu Acan. “Anak lelaki mesti kuat! Tidak boleh menangis” Bisiknya ke telinga Acan.
Acun juga turut terharu. Tidak dapat menyembunyikan rasa sedihnya dengan cerita sebenar yang tidak diketahuinya selama ini. Dadanya sebak. Terasa berat dan tersekat hendak bernafas. Namun, sebaik melihat Juju memeluk Mariyah Fareedaz, jiwanya kencang bergelodak. ‘Huh! Mesti ada tempoyak disebalik sambal! Mesti hendak cari kesempatan! Seronoklah dia.’ Getus hati prasangka Acun yang diulik syaitan jantan dan betina.
Bibik Im pula sudah basah lengan baju kurungnya. Lenjun hujung tudung bawalnya. Dia yang berada di perantauan memang mudah terusik jiwanya. Hatinya cepat sayu. Mudah benar tersentuh. Tambahan pula dia turut kematian anak kecilnya akibat demam panas di kampung halamannya. Esakkan tangisannya mengalahkan Mariyah Fareedaz. Tidak sembunyi langsung. Kuat betul esakkannya! Mengalahkan esakkan ketika menonton sinetron.
“Wah! Sekarang kita sudah ada keluarga besar! Abang, Ros cadangkan, apa kata malam Jumaat nanti kita adakan kenduri kesyukuran di Masjid. Kita sudah ahli keluarga baru, Juju. Mariyah juga dapat anak angkat baru!” Rosnita Che Wah memberi usul yang cepat disahut gembira oleh Rameli dan Mariyah Fareedaz. Masing-masing tersenyum lebar sampai ke telinga.
“Betul juga, Mariyah sendiri sudah berbulan tidak buat kenduri doa selamat. Apatah lagi ibu sudah dapat anak angkat baru! Juju, anak ibu!” Mariyah Fareedaz mendepakan tangannya lebar untuk mendakap Juju. Diciumnya pipi gebu Juju berulang kali bagai mencium Schar Minn dahulu.
“Ha! Jangan tidak tahu Aunty Mariyah, Kak Juju ini bukan tekak melayu macam kita. Nama sahaja datang dari kampung, tetapi dia suka makan makanan barat. Makan keju! Mesti pening dibuatnya Aunty Mariyah nanti.” Rosnita Chek Wah menjegilkan matanya pada Acun. Hampir tercabut bulu mata palsunya akibat geramkan Acun. Nakal betul Acun memberi fakta. Fakta yang sengaja ingin membiarkan Mariyah Fareedaz nampak buruk segalanya tentang Juju. Fakta mengungkit hakikat yang Juju berasal dari kampung tetapi pemakan keju.
“Bukan soal makanan masalahnya disini, Acun. Yang penting asalkan kehadiran  Kak Juju dapat membuatkan hati semua orang gembira... selama ini Kak Juju tidak pernah rasa orang seronok dengan kehadiran Kak Juju. Syukur sangat-sangat,  baik sungguh keluarga abah dan Mama Ros serta ibu angkat Juju yang baru ini.” Pandai sungguh Juju mengatur ayat penyedap halwa telinga. Sungguh terusik hati Rameli, Rosnita dan Mariyah mendengarnya. Gaya pemidato peringkat daerah berbicara. Anak gadis yang pandai benar menjaga hati orang tua. Acan, Zaibon dan Bibik Im turut tersenyum mengkagumi kata-kata Juju yang nampak penuh ketulusan. Pandai berbicara menenangkan hati orang lain. Acun pula geram sambil mencebik mulutnya dalam diam.
 “Alah... Acun cuma melawak sahaja tadi. Sajalah sebut soal makanan kegemaran Kak Juju. Maklumlah dapat ibu angkat baru. Biar Aunty Mariyah tahu kegemaran makanan anak barunya...” Acun cuba membela diri apabila terasa keadaan memihak kepada Juju. Hatinya bertambah panas.
“Acun, kalau hendak melawak pun, biarlah kena pada tempatnya dan masanya.” Acan memberi amaran pada adiknya Acun dengan nada separuh berbisik. Dia agak kurang senang dengan gelagat Acun semenjak akhir-akhir ini. Kalau tidak ditegur, pasti menjadi-jadi perangainya. Rosnita Chek Wah pula dari tadi asyik menjegil mata ke arah Acun. Dia tidak suka memarahi anak-anaknya. Cukup sekadar renungan amaran.
“Jika isu selera western yang jadi hal. Tentu tidak ada masalah. Bila-bila masa kita boleh ke Victoria Station, Chillis atau The Ship. Just name it. Kita pergi ramai-ramai nanti. Nampaknya Juju sama macam arwah Schar Minn... tekak antarabangsa!” Cepat Mariyah Fareedaz cuba meredakan suasana. Jangan ada ketegangan. Dia cuma mahu yang terbaik untuk Juju, anak barunya itu. Rosnita Chek Wah juga tidak suka suasana anak-anaknya yang semakin mengeruh. Biarlah dengan kehadirian Juju kehidupan keluarganya bertambah ceria.
“Ros setuju Mariyah! Sesekali tidak berdiet okey juga. Mesti seronok sekali sekala kita ramai-ramai kita keluar bersama ya.”
“Lagi satu, kalau selama ini Acun ada temankan Aunty Mariyah tidur di sini pada hujung minggu. Hah! Sekarang anak ibu, Juju boleh tidur di sini hari-hari jika mahu. Aunty Mariyah sunyi tinggal seorang diri. Hmm... Acun dan Im pun boleh lepak sini sekali, buat macam biasa!”
“Kalau macam inilah Mariyah, kita pecah sajalah tembok rumah kita. Ros rasa apa kata kita sambung sahaja banglo kita. Habis cerita!” Semua yang berada di situ tertawa riang menyambut usul Rosnita. Pandai sungguh dua orang ibu menceriakan suasana. Jangan ada yang berkecil hati. Jangan ada yang rasa kurang senang. Mariyah Fareedaz sudah tidak nampak apa-apa lagi. Sebenarnya dia cuma nampak jelmaan Schar Minn depannya. Bukan bermaksud mencari pengganti tetapi memang dalam sekelip mata Juju sudah dianggap bagai anaknya. Dia menggenggam erat tangan Juju bagai terpateri.
Acun merejang kakinya. Sengaja protes dalam diam. Dia sempat menghantar pesanan ringkas kepada Abby. Bercerita tentang peristiwa Juju mendapat ibu angkat segera! Acun menekan butang telefon bimbitnya dan menaip : ‘Sungguh mengada, meloyakan dan macam hendak muntah! Yakss...!’
Hati Juju pula menari riang. Kalau boleh dia ingin menari gaya agogo di situ. Rasa ingin terkinja-kinja. Dia harus segera memasukkan ibu angkat segeranya ini ke dalam senarai pemudah cara baginya melaksanakan misi menghapuskan Keluarga Belacan. Satu persatu, perjalanan hidupnya sudah menjadi bertambah mudah. Jika dahulu, selama tujuh belas tahun dia merasa tersiksa dengan sikap ibu kandung sendiri. Hari ini, dia mendapat ibu angkat yang amat dahagakan kasih sayangnya. Nampaknya doanya semakin dipermudahkan Tuhan. Doa untuk merasa kasih sayang seorang ibu.
Dalam Juju sedang asyik tersenyum, dia tidak sedar, gelagat dan aksinya diperhatikan terperinci sejak tadi oleh Rameli Saripin. Terngiang-ngiang di telinga Rameli kata-kata Tok Hamzah di dalam telefon pagi tadi. Walaupun mengawal rasa terperanjatnya dari dihidu oleh Tok Hamzah, Rameli sendiri tidak dapat tidak, memang menyalahkan dirinya atas segala perlakuan Juju. Rameli Saripin juga mahu memegang erat janjinya pada Tok Hamzah Dollah agar kandungan surat dalam lipatan sarung bantal busuk itu hanya untuk pengetahuannya seorang. Tidak boleh diketahui Juju, mahupun isterinya sendiri, Rosnita.
Rameli Saripin masih menggigit bibirnya sambil terus memerhatikan Juju. Dalam hatinya, dia berdoa agar tiada kerja gila yang bakal dilakukan oleh Juju kelak. Penuh harapan agar Juju menjadi anak yang baik. Harapan yang penuh makna yang mendalam...
Di biliknya malam itu, Juju mengemaskinikan senarai rahsianya...
            Senarai Orang KL Yang Baru Dikenali
Perlu Diberes / Tidak Perlu Diberes

Lailah Farihah
-
Beres! 
Perlu pegang baik-baik ‘ketua kepala’ pelajar sekolah. Biar senang misi terlaksana.
Leesa, Surie dan Honey
-
Belum Beres! (tetapi akan dibereskan segera)
Penting untuk mencelah diantara geng terhebat sekolah. Nota:Leesa ialah anak Cikgu Ally Putra (guru disiplin). Penting untuk pegang mereka bertiga. Biar mereka jadi kuli aku kelak di sekolah.
Mariyah Fareedaz
Ibu baru
-
Sangat Beres!
Yeeha! Paling senang misi aku bakal terlaksana. Pastinya ibu baru akan menyokong semua misi aku!

Benarkah Mariyah Fareedaz bakal menyokong semua misi busuk Juju? Sebusuk belacan abahnya? Juju tidak sedar, dia hampir tersilap caturan!
888888888888888888888888888888888888888888