Friday 15 July 2011

BAB 19

BAB 19 ialah tentang bab belacan yang kena sabotaj.
Siap pakai tukang sabotaj upahan.
Sanggup merosakkan bisnes bapa sendiri.
Sudahnya, terkena sendiri pula.

Marilah kita melayari BAB 19 ya.

ANTARA BELACAN DAN KEJU
-BAB 19-
Belacan Kena Sabotaj

          “Meli, boleh Mariyah tanya sikit?” Mariyah Fareedaz menegur Rameli Saripin di depan halaman banglonya. Suaranya diperlahankan.
            “Mariyah... Assalamualaikum. Eh! Tanyalah. Saya pun tengah tunggu Zaibon. Lepas hantar budak-budak ke sekolah, dia pergi tukar minyak hitam kereta kejap.”
            “Waalaikumussalam. Saya nampak Ros keluar awal pagi tadi masa siram pokok bunga. Ada majlis pecah tanah projek baru katanya.”
            “Biasalah Ros. Sibuk tidak habis-habis. Macam itulah dari dulu. Workaholic!  Bukan Mariyah tidak tahu.”
            Mariyah Fareedaz ingin memastikan terlebih dahulu kelibat Bibik Im. Dari luar, dia terjenguk-jenguk ke dalam banglo Rameli. Lehernya dipanjangkan. Setelah pasti tidak ada, barulah dia ingin meneruskan perbualan. Rameli perasan dengan gelagat Mariyah. “Mariyah cari Im? Jangan risau, dia sibuk di atas, kemas bilik anak-anak. Cakaplah apa yang Mariyah hendak tanya tadi?”
            “Serba salah saya, Meli. Ini hah! Saya hendak tanya... Meli tahu atau tidak siapa yang hantar video perbualan antara Bibik Im dan Meli tempoh hari? Kita semua terima rakaman tersebut. Saya sendiri pun terima. Memang tidak tertera nombornya... private number. Ada Meli siasat siapa?”
            “Saya tidak siasat, Mariyah. Saya anggap sebagai tutup kes.” Rameli melontar pandangan ke arah lain. Dia tahu, Mariyah Fareedaz seorang yang bijak dan tidak mudah diperkotak-katikkan dengan surat layang atau kiriman video bergambar yang tidak diundang.
            “Maaf, Meli. Saya siasat! Saya ingin tahu angkara siapa. Saya ingin tahu relevannya kita terima rakaman melalui telefon tersebut dengan penangkapan doktor gila tersebut. Apa kaitannya? Saya ada sepupu yang bekerja di syarikat telekomunikasi. Malah adik arwah suami saya pula ada syarikat penyiasatan persendirian... cekap dan pro ala-ala CSI. Jadi saya telah...”
            Rameli meletakkan jari telunjuk pada mulutnya. Isyarat supaya Mariyah tidak meneruskan perbualan. “Saya sudah tahu, Mariyah. Saya tahu...”
            “Meli tahu? Ros? Ros tahu?” Kali ini Mariyah Fareedaz pula membisik.
            “Ros tidak tahu. Saya lihat pada CCTV tersembunyi. Ada beberapa CCTV di dalam dan sekitar rumah yang hanya saya seorang yang tahu. Saya nampak dengan jelas semuanya.”
            “Siapa? Juju?”
            “Hmm... Juju dan Leesa... tetapi saya tahu mesti Surie dan Honey terlibat sama. Empat sekawan, satu kepala! Saya kusut, Mariyah... Saya...” Berkerut dahi Rameli sambil menyatakan bukti yang dilihat sendiri melalui CCTV.
            “Juju tidak cukup bijak dalam soal mencuri. Rasanya mereka ambil kesempatan dari kes doktor gila tersebut. Juju sendiri kata ibu saudara si Leesa tinggal dekat situ. Mereka sudah tahu lebih awal. Apa lagi, mulalah cari idea untuk kenakan famili Meli. Apa kena mengena kes curi pakaian dalam dengan kes rakaman Bibik Im mengadu pada Meli? Lepas itu forward pula rakaman kepada kita semua. Famili Meli dan saya sahaja. Dia sendiri pula pergi tidur di rumah gengnya. Kononnya tidak tahu menahulah kalau kita tanya. Eee... nakal betul, budak Juju ini!”
            “Juju... Juju... apa lagilah yang ada dalam kepalanya. Nyaris kami semua berpecah belah. Syukurlah saya masih waras.” Rameli sempat mengenangkan peristiwa yang begitu menguji dia dan Rosnita. Tidak dapat dibayangkan jika perkara yang lebih buruk berlaku.
            “Zaibon bagaimana? Patutnya Zaibon jadi bodyguard. Perhatikan gerak geri Juju” Mariyah teringatkan Zaibon yang sepatutnya berperanan melapurkan perbuatan anak-anak Rameli di luar rumah.
            “Zaibon cuma ikut Juju kalau dia di luar. Di tempat awam. Kalau alasan ke rumah Leesa, Surie dan Honey... tentulah Zaibon tidak ikut sekali.” Rameli menjelaskan biar terang lagi bersuluh.
            “Mariyah rasa, apa yang dia betul-betul mahu sebenarnya?”
            “Hmm... perhatian... mungkin juga kepuasan! Mungkin suka melihat suasana kelam kabut.” Mariyah Fareedaz mengagak.
            “Perhatian dan kepuasan yang betul-betul menguji kesabaran, Mariyah.”
            “Ya, Bawa banyak-banyaklah bersabar, Meli. Sayang sekali anak itu... cerdik, pandai, cantik, bijak persis arwah Schar Minn tetapi...”
            “Tetapi saya yang silap, Mariyah. Saya tidak ada semasa dia memerlukan kasih sayang saya dulu. Salah saya, Mariyah.” Rameli berkata-kata sambil mengawal suaranya. Tidak mahu ada telinga yang mencuri dengar. Mariyah Fareedaz menarik nafas panjang-panjang dan menghela lambat-lambat.
            “Rasanya elok kita berdua sahaja yang tahu. Saya sayang anak itu, Meli. Kita bentuk dia perlahan-lahan. Ada sudut lembut dalam diri dia.” Mariyah takut Rameli hilang sabar dengan Juju. Kalau itu berlaku, dia sanggup berpindah rumah dan membawa Juju tinggal bersamanya.
            Telefon bimbit Rameli berdering. Zaibon memberitahu yang dia akan lewat lagi sejam kerana ada masalah lain pula pada kereta. Perlu tukar tayar sekali. Rameli Saripin boleh sahaja menggunakan keretanya yang lain tetapi dia hanya menggangguk kepala dan menyuruh Zaibon datang bila semuanya beres. Dia mahu merungkai sedikit kekusutan tentang Juju bersama Mariyah yang boleh dipercayai.
            “Kalau Mariyah hendak tahu, sebenarnya...” Lalu Rameli pun meluahkan segalanya yang berlaku selama ini. Segala apa yang telah Juju lakukan. Mariyah terkejut kerana dia hanya tahu separuh sahaja. Paling terkejut dengan pengakuan Juju melalui Tok Hamzah Dollah tentang pembunuhan Deko dan Apeto yang mati rentung berpelukan. Rameli bercerita tentang segala perbualannya dengan Tok Hamzah Dollah tentang Juju. Mariyah Fareedaz menganggap Juju bagai jelmaan arwah anaknya. Dia cuba bersikap tenang mendengar segalanya. Hatinya sudah boleh menerima apa sahaja berita semenjak kematian arwah anak dan suaminya. 
            “Juju adalah ujian dari Tuhan buat saya, Mariyah. Saya cuba mencari satu persatu hikmah dari setiap perbuatannya.”
            “Lega Mariyah dengar jawapan Meli. Saya risau Meli hilang sabar dengan Juju.”
            “Kalau saya hilang sabar, Tok Hamzah suruh pulangkan Juju padanya. Dia mahu saya janji untuk tidak apa-apakan Juju.”
            “Kalau masalah sangat... biar Juju tinggal dengan saya terus pun tidak mengapa, Meli. Kalau susah sebab kita tinggal dekat-dekat, kami berdua boleh pindah dan buat hidup berdua. Tahulah Mariyah hendak bentuk Juju dengan cara Mariyah sendiri.” Beria Mariyah Fareedaz mengusulkan cadangan yang dia tahu mustahil. Rameli Saripin menjeling memandangnya. Ada hati hendak mengambil anaknya yang baru dikenalinya sendiri.
            “Saya, bapa kandungnya, masih hidup lagi, Mariyah. Saya perlu bayar hutang kasih sayang padanya. Tujuh belas tahun yang dia anggap saya telah abaikannya.”
            “Itulah yang sebaiknya, Meli. Itulah yang sebaiknya...” Mariyah Fareedaz merasa sebak. Sebak kerana kembar arwah anaknya jauh sedepa perangainya. Juju dianggap bagai bayangan kembar arwah anaknya. Seiras tetapi tidak sama. Serupa tetapi berbeza!
            “Tok Hamzah Dollah ada bagitahu. Dia kata jangan risau. Dia ada rancangannya tersendiri untuk beri pengajaran pada Juju dalam diam. Buat masa ini, dia kata, kita ikut sahaja dulu rentak Juju.” Ada rasa kurang puas hati di benak fikiran Mariyah Fareedaz dengan kata-kata Rameli tersebut.
            “Beri pengajaran dalam diam? Kita ikut dulu apa saja rentak dia? Biar dia buat apa dia suka sekarang...”
            “Hmm.... jangan risau, Mariyah. Sudah tentu Tok Hamzah ada cara dia sendiri, Mariyah. Dia yang bela Juju dari kecil. Kita ikut sahajalah.” Rameli Saripin dapat membaca rasa kurang senang Mariyah dari riak wajahnya.
            “Masalahnya Meli, Tok Hamzah duduk di kampung. Kita yang ada dekat dengan Juju. Kita tidak boleh tengok dan ikut rentak dia saja. Biar dia terus menerus buat silap. Sampai bila? Sampai Tok Hamzah datang?”
            “Habis... apa cadangan Mariyah?” Rameli menghela nafas, dia memandang wajah balu cantik yang berhati besi dan berfikiran kental di depannya.
            “Kalau Meli dan Ros tidak kisah, saya rasa saya hendak pasang spy untuk Juju. Ha! Tolong jangan buat muka macam itu ya. Dengarlah dulu. Semuanya demi Juju. Biar saya yang uruskan soal spy, segala bayaran dan sumbernya. Tugasnya ialah memberitahu kita berdua semua perancangan nakal Juju. Jadi kita boleh tahu awal. Kita pantau sebelum terjadi perkara yang bukan-bukan. Setuju?” Mariyah Fareedaz mengusulkan cadangan yang tidak pernah terfikir dek Rameli sebelum ini. Rameli sudah mula menganggukkan kepala perlahan-lahan sambil jarinya diletakkan ke dagunya yang sedikit berjanggut.
            “Logik juga. Tetapi Ros tidak perlu tahu hal ini. Kita berdua cukup rasanya. Bukan saya hendak simpan rahsia dari dia tetapi saya mahu Ros, Acan dan Acun fikir yang positif saja tentang Juju. Lagi satu, niat asal Tok Hamzah, kita tidak boleh ketepikan juga.”
            “Janganlah risau, Tok Hamzah tetap kita hormati. Dia yang jaga Juju dari kecil. Tempat Juju mengadu. Kita buat cara kita. Biar Tok Hamzah Dollah dengan cara dia, Meli.” Mariyah suka berurusan dengan Rameli yang tenang dan senang diajak berunding.
            Spy di luar rumah sajalah kan.” Rameli meminta kepastian dari Mariyah.
            “Ya lah. Hanya di luar ruma! Dalam rumah spy no entry. Spy dari jauh sahaja. Kalau Juju buat dalam rumah pun, dia mesti beritahu Leesa, Surie dan Honey... pasti kita akan tahu apa rancangannya. Tengoklah nanti, Meli.” Mariyah bercakap dengan penuh keyakinan. Dia berhasrat menggunakan khidmat spy dari syarikat penyiasatan persendirian milik adik iparnya. Adik arwah suaminya itu adalah bekas komando yang pernah bekerja sebagai perisik kepada orang-orang kenamaan. Kerja mereka adalah setaraf CSI dan James Bond 007.
                       
@@@@@@@@@@
            “Selalunya saya datang sini pada hujung minggu dengan ibu dan bapa saya. It’s a must for our famili to lepak here. Maklumlah abah Juju salah seorang pelanggan Alimudin Herbs Global. Juju, kamu patut dari dulu lagi ajak kami lepak sini juga. Saya memang boleh pengsan kena penangan makanan di sini. Tambah-tambah yang berempah dan... sorry jangan marah ya, saya suka sambal belacan juga.” Honey menjamah nasi berlaukkan kari kepala ikan dan sambal belacan mempelam dengan begitu berselera. Lahap sedikit dia menikmati keenakan masakan melayu yang lazat.
            “Hmm... sekarang anak tekak ini sudah boleh terima sikit-sikit. Dulu... yaks! Hendak tengok pun tidak boleh. Gelilah ada bau belacan. Busuk!” Juju masih tidak boleh lagi menerima belacan. Masih di tahap percubaan. Leesa dan Surie ketawa melihat gelagat Juju. Mereka berdua mengadap murtabak tiga lapis garing yang enak tidak terperi.
            “Suka sangatlah makan burger melayu besar talam. Montel dan tebal! Nanti perut pun jadi macam itu. Besar, tebal dan berlapis-lapis, baru padan muka!” Juju memuncungkan mulutnya. Dia hanya minum milo ais dan mee goreng sahaja. Kalau boleh, dia hendak tabor keju mozzarella atas mee goreng tersebut.
            “Oit! Ini murtabak king size lah! Bukan burger melayu besar talam. Belum cuba belum tahu, Juju. Kalau sudah cuba, boleh pengsan dibuatnya sebab sedap sangat.” Leesa memberi fakta tentang makanan di depannya.  Dia tidak mempedulikan Juju yang banyak kerenah bila tiba soal makan. Terlalu memilih sehingga terlepas nikmat makan yang sebenar.
            “Mana abah kamu Juju? Tidak nampak batang hidung pun dari tadi.” Mata Honey melilau sambil kuah kari sudah bergenang menutupi nasinya.
            “Entahlah! Pergi cawangan lain agaknya. Abah selalu pusing-pusing melawat semua cawangan restorannya. Macam YB melawat kawasan. Apa hal? Hendak buat misi baru? Boleh kita kenakan dia lagi?” Juju membulatkan matanya.
            “Iskh! Kita bercakap tentang abah kamulah, Juju. Rasa hormatlah sikit pada abah sendiri. Saya ingat kamu sudah insaf. Hari itu kata sedih menangis, sampai  jadi tukang masak masakan melayu untuk seisi keluarga. Sekarang pula, masih ada hati hendak sambung misi kenakan abah sendiri.” Surie terkejut dengan jawapan Juju yang masih mempunyai hati berpalit kuman selori. Kali ini, dia tidak kira jika Juju hendak kecil hati dengan kata-katanya yang tidak berlapik.
            “Insaf? Eh! Sorry okey? Ini Jujulah. Mestilah serba boleh! Kalau hendak jadi heroin, mesti kasi harung semua! Alah, setakat keluar air mata sebaldi dan jadi tukang masak spontan, apa hal? Misi tetap misi. Alang-alang sudah buat mesti sampai habis-habisan. Mana main sekerat-sekerat jalan. Ada peluang sahaja, kita masuk jarumlah.” Juju bercakap dengan nada tegas tetapi tona suaranya sedikit diperlahankan. Suasana perlu diperhatikan juga kerana mereka berada di dalam restoran abahnya, cawangan di Bandar Sri Damansara. Di sudut kiri restoran, Zaibon sedang makan bertambah dua pinggan nasi beriani kambing.
            “Juju, kalau kamu hendak tahu, kami semua tidak ada masalah. Memang sokong kamu selalu, Juju. Tambah-tambah sejak kamu joined grup kami... solat pun kamu ingatkan kami. Siap ajak kami mengaji al-Quran. Ustazah Wardina pun puji kamu sakan. Ibu bapa saya pun suka. Sejuk hati mereka.” Surie meluahkan kata-kata memuji Juju. Juju tersenyum sekerat. Dia masih menunggu point dari kata-kata Surie. Mesti ada lagi sambungan kata-kata yang seakan menjerat. Surie memandang Leesa... minta kata-katanya disokong padu.
            “Betul, Juju. Saya pun sudah mula rasa macam ada yang tidak kena kalau tidak solat. Daddy pun suka saya klik dengan kamu, Juju. Soal pelajaran pun kamu hebat... satu sahaja saya hendak cakap jika kamu tidak kisah, Juju. Kitakan friends, jadi...Leesa selaku ketua Baby Gorgeous membuka mulut bagi pihak Surie dan Honey. Sengaja berhenti sejenak, sengaja mahu melihat reaksi dari Juju terlebih dahulu.
            “Okey... cakaplah apa dia? Aku dengarlah” Juju bercakap gaya orang bosan.
            “Kasarlah kamu, Juju. Asyik ber aku, aku...” Honey menegur lagi.
“Eh! Suka hatilah hendak cakap apa... aku atau saya. Suka hatilah.” Juju mula berang dengan Honey yang suka menegurnya.
“Hmm... macam inilah Juju. Sebenarnya, tanpa kamu sedar, banyak perubahan yang kamu bawa pada kami sebenarnya. Kamu bijak, pandai soal pelajaran, suka bantu kami... dan yang tadi, maksud saya bab solat. Tetapi... sayang Juju... sayang sekali kalau kita solat, kita mengaji segala, tetapi semua itu semua tidak dapat halang kita dari buat perkara yang bercanggah dengan tujuan asal solat itu sendiri. Sepatutnya...” Leesa hilang ayat untuk menyambung kata-katanya apabila didapati wajah Juju yang mencuka. Matanya tajam memandang tepat ke anak mata Leesa. Baki mee gorengnya dicucuk dan dicincang dengan garpu sampai hancur. Mukanya merah sebab menahan geram. Jika tidak difikirkan mereka sedang berada di restoran bapanya, sudah tentu dia menjerit sekuat hati pada Leesa, Surie dan Honey. Tiga sahabatnya yang berkomplot untuk membasuh otaknya. Rupa-rupanya... ada hati mereka telah berpakat mahu menasihatinya. Pusing-pusing ayat kata dia rajin solat. Dalam masa yang sama mahu mengatakan solat tidak dapat menghalangnya melakukan kemungkaran. Apa mereka bertiga ingat mereka baik sangat? Pijak semut tidak mati? Juju geram tahap maksima. ‘Suluhlah muka sendiri dulu. Kalau tidak cukup cermin, aku boleh bagi sepuluh cermin!’
            “Okey macam inilah geng. Aku pun tidak suka cakap banyak. Tidak suka bising-bising. Lagi pun tempat ini restoran bapa aku. Nanti kalau cakap kuat, jadi isu pula. Sudahlah pertama kali kita ke sini bersama. Kalau kamu bertiga tidak mahu ikut buat misi seterusnya, you girls can back out from my plan. I don’t have any problem to proceed alone. Dulu janji sehati sejiwa. Seiya sekata. Tiada rahsia. Kongsi segalanya. Penipu!” Suara Juju sedikit kuat. Namun, dia masih ingat dia berada di mana. Juju terlalu geram dan marah dengan komplot Baby Gorgeous kepadanya. Mendidih suhu badannya.
            Leesa, Surie dan Honey saling memandang antara satu sama lain. Mereka sudah dapat mengagak apa jawapan dan reaksi Juju sebenarnya. Mereka hanya ingin cuba menyentuh sisi keinsafan Juju. Nampaknya mereka terjolok sarang tebuan. Baby Gorgeous mengalah. Mereka tidak rela berpisah. Tidak rela ada keguguran ahli. Walaupun Juju masih baru dalam kumpulan, dia merupakan aset yang sangat bernilai untuk mereka bertiga.
            Ops! Don’t get us wrong, Juju. All of us are still Baby Gorgeous. We stick together for ever and ever. No such thing as back out. Saja test kamu tadi. Tersilap haribulan rupanya. Takutlah... marah betul. Garanglah! Kita saling tolong menolong ya. Jika kamu tidak suka kami cakap macam tadi... sorry okey... thousands apologize! Kami janji, tidak akan cakap macam tadi lagi. Closed case okey. Leesa cepat memujuk. Dia mengangkat kedua belah tangannya gaya Jepun menyerah kalah. Surie dan Honey turut mengiyakan laju. Masing-masing risau dengan aksi Juju. Risau juga makanan yang lazat di depan mata tidak dapat dihabiskan jika Juju menghalau mereka keluar dari situ.
            “Ha... macam itulah bagus. Senyum baru lawa. Baru cute! Baru nampak gorgeous! Okey... okey kita lupakan semua yang tadi. Kita buat apa-apa pun mesti bersama ya.” Surie memuji Juju yang sudah menunjukkan riak ceria sambil menghirup baki milo aisnya.
            “Eh! Itu Aunty Mariyah! Wah! Cantiklah dia hari ini. Macam artis baru balik dari buat show.” Honey menunjuk ke arah pintu gerbang masuk ke Restoran Can Meli Can.
            “Hi Girls! Wah makan besar! Sedapnya. Boleh aunty join? Boleh ibu makan dengan anak ibu? Mariyah Fareedaz menegur empat anak dara yang cantik jelita di depannya. Mana ada pelanggan di restoran tersebut yang tidak menoleh ke arah mereka berempat. Paling teruja apabila mendapat tahu bahawa salah seorang daripada mereka... yang muka macam Barbie doll adalah anak Rameli. Mariyah Fareedaz sengaja ke restoran Rameli di cawangan Bandar Sri Damansara apabila diberitahu oleh Rameli tadi bahawa Zaibon membawa mereka berempat ke situ. Rameli sendiri sibuk untuk menyemak akaun di cawangan lain pula. Mariyah Fareedaz ingin mengambil hati Juju dengan memesan mee goreng dan milo ais juga. Sama macam Juju. Biar nampak macam anak beranak yang sehati sejiwa.
            “Berselera sungguh aunty tengok Honey makan. Tidak sangka ya, muka comel-comel tetapi makan sambal belacan bukan main lagi. City girl likes belacan!” Mariyah Fareedaz menegur Honey yang makan bertambah. Semuanya penangan sambal belacan mempelam yang memang terangat. Kena pula digaul dengan kuah kari. Boleh membuatkan siHoney sendawa dua kali.
            “Ya lah aunty, hairanlah. Bagaimana belacan uncle Meli sedap betul bila dibuat masakan. Macam ada candu.  Ketagih hendak lagi dan lagi. Tidak sama dengan tempat lain atau yang di rumah. Yang dekat sini memang ada umph betul!” Honey tidak habis memuji.
            “Eh! Mana ada candu pula. Ini belacan dari kilang belacan Ezzaniz yang amat terkenal di Perlis. Buatannya dijamin bersih dan halal. Setiap bungkus siap dibakar satu persatu atas permintaan abah Juju. Belacan bakar memang wangi. Ada aroma yang tersendiri.” Mariyah Fareedaz memberi penerangan bagaikan pakar tentang belacan.
            “Belacan bakar wangi? Ada aroma tersendiri? Apa? Bau lavender, camomile atau vanilla?” Juju bercakap sambil memicit hidungnya. Geli mendengar belacan bakar dikatakan wangi. ‘Belacan pun boleh dapat pujian. Yaks! Geli!.’ Getus hatinya.
            Come on Juju. Maksud Aunty Mariyah ialah belacan bakar ada bau yang tersendiri. Unik! Ada aroma yang dapat menimbulkan rasa sedap pada penggemarnya.” Honey sibuk membela nasib belacan yang selalu menjadi bahan kejian Juju.
            “Eee... nanti besar, kahwin sajalah dengan taukeh belacan. Sesuai dengan kamu, Honey. Ngamlah! Bapa kamu taukeh rempah. Rempah kahwin dengan belacan. Mesti semakin meletup bisnes bapa kamu.” Mariyah, Leesa dan Surie ketawa besar dengan seloroh Juju kepada Honey yang sudah memuncungkan mulutnya macam mulut anak ikan todak.
            “Eh! Agaknya, belacan ada expiry date atau tidak, aunty?” Leesa mula menunjukkan minat kepada belacan pula. Rasa tidak logik pula jika belacan yang berupa macam kek kecil yang busuk itu tiada tarikh luputnya.
            “Mestilah ada tarikh luputnya. Masakan yang enak perlu menggunakan belacan yang bermutu sahaja. Belacan bakar mesti disimpan di tempat kering. Tidak boleh terkena air. Kalau tidak, semuanya akan hapak, berkulat dan tumbuh cendawan kecil. Busuk!” Mariyah Fareedaz sendiri meletakkan belacan di rumahnya dalam bekas yang dapat mengekal dan menjamin mutu belacan bakarnya.
            Tiba-tiba Juju mendapat idea baru. Berkelip-kelip matanya seorang diri. Mentol ideanya menyala terang benderang. ‘Belacan tidak boleh kena air? Kena simpan di tempat kering? Kalau tidak, akan menjadi hapak? Akan jadi busuk? He he he’ Hatinya berlagu riang. Kalau Baby Gorgeous berlagak suci tidak mahu berkomplot pun tidak mengapa, biar dia seorang yang lakukan. Yang pasti, Rameli Saripin perlu terkena lagi. Biar abahnya terduduk kali ini.
            @@@@@@@@@@
            Keesokkan harinya, Juju resah. Hatinya gelisah. Tidur malam pun berkeluh kesah. Penat memikirkan bagaimana hendak memercikkan air pada belacan. Bagaimana hendak mendapat peluang membuka tong atau bekas belacan di Restoran Can Meli Can. Belacan duduk sebatu jauh darinya pun dia boleh pengsan dengan bau belacan yang menusuk sehingga ke akar umbi tulang sumsum. Bagaimana kalau dia muntah hijau di situ?  Bagaimana pula jika ada orang terjumpa dia pengsan di tepi tong belacan? Pasti menjadi isu paling hangat digosipkan di sekolah.
Juju memerlukan orang tengah yang boleh diharapkan untuk melaksanakan misi membasahkan, melembapkan dan sekaligus menghapakkan belacan Ezzaniz yang menjadi nadi utama Restoran Can Meli Can. Siapakah gerangan orang suruhan itu? Orang upahan yang boleh menjalankan kerja dengan pantas, cekap dan mulut perlu terkunci rapat.
Balik dari sekolah, Juju meminta Zaibon menguruskan Acan dan Acun sahaja. Juju hendak ikut Leesa, Surie dan Honey. Honey menyuruh pemandunya berhenti di gerai pulut cendul milik Mamak Abduh. Juju buat hal pelik lagi. Dia buka bungkusan keju mozzarella bersagat yang dibungkus dalam bekas kedap udara di dalam begnya. Lalu ditaburnya parutan keju mozzarella di atas cendul pulut. Juju menyanyi kecil sambil makan cendul pulut berkeju. Sedap terangkat katanya. Leesa, Surie dan Honey sudah biasa dengan kerenah Juju dengan kejunya.
            “Girls, ada kenal sesiapa yang boleh kita harapkan buat kerja... buat kerja tut, tut.”
            “Apa? Buat kerja tut, tut? Jangan cari pasal Juju. Kita masih bersekolah. Jahat-jahat kita selama ini pun, kita tidak terlibat isu yang melibatkan body.” Leesa memberi amaran gaya seorang seorang guru pencen. Siap dengan jari telunjuknya digerak-gerakan berkali-kali.  Walaupun dia masih teguh dengan gaya tomboy, Leesa tetap menjaga tata susila seorang gadis timur. Maruah gadis melayu masih kental pada sanubarinya.
            “Isu yang melibatkan body?” Juju mencubit lengan Leesa yang tidak berapa berisi. Leesa menjerit kecil sambil cuba menjauhi Juju. Surie dan Honey ketawa senget sebelah.
            “Menyimpang betullah. Siapa cakap melibatkan body segala? Eee... sampai ke situ pula fikirnya. Otak kuninglah. Aku rancang hendak busukkan belacan Ezzaniz yang abah aku selalu pakai. Biar hapak semua. Biar busuk dan berkulat. Biar orang semua makan masakan dari belacan basi. Hasilnya nanti...” Juju memberi usul jahat untuk menghancurkan bisnes Rameli pula. Mukanya sudah berubah gaya gangster dari kumpulan Enam Jahanam, filem P. Ramlee.
            “Hasilnya nanti bisnes Tuan Rameli Saripin kena sita. Business will be closed down. Kalau abah kamu susah, jatuh miskin... apa akan jadi pada kamu, Juju? Eee... cubalah risau sikit.” Surie tidak berapa gemar dengan idea membasikan belacan. Dia menarik muka tanda protes terang-terangan.
            “Aduh, mak cik! Relaxlah. Aku hanya hendak kenakan abah. Usik sikit belacan dia. Biar dia rasa bagaimana kalau bisnes kena sita, kena angkut, kena tutup. Biar ibu tiri aku, adik-adik aku rasa bagaimana bila hidup susah. Biar mereka merasa hidup perit. Asyik hendak senang lenang dan lenggang kangkung dari dulu. Lahir-lahir, celik-celik mata sudah hendak senang dan bahagia. Tadah tangan pada atuk aku hendak itu dan ini. Sekali-sekala eloklah rasa terlungkup. Kejap saja. Bukan lama pun. Bila sudah melutut merayu pada aku dan Tok Hamzah... kita up baliklah restoran abah aku.” Juju bercakap dengan nada selamba segala misi kejamnya kali ini. Seolah-olah tidak merasa bersalah walaupun sekelumit.
            “Apa hal diam? Takut?” Juju meminta jawapan dari Baby Gorgeous yang masih diam membisu dan tertunduk. Terasa muka masing-masing bagai hendak tersembam ke dalam pulut cendul. Malas hendak bertentang mata dengan Juju.
            “Alah, janganlah risau... sebab itu tadi aku tanya, ada kenal sesiapa atau tidak, yang boleh tolong buatkan kerja tut, tut. Kerja membuatkan belacan jadi basi, busuk dan hapak. Aku sendiri geli gelaman bila melibatkan bab belacan. Geli bercampur tidak tahan dengan bau belacan. Ada sesiapa yang boleh tolong kita? Bab upah tiada masalah. Cakap saja berapa. Semua beres!” Juju menunggu jawapan yes dari Leesa, Surie dan Honey yang sedang galak berfikir siapakah gerangan yang bakal melaksanakan misi tut, tut tersebut.
            Leesa, Surie dan Honey lega mendengar mereka bakal tidak terlibat secara langsung dalam misi kali ini. Tidak dapat dibayangkan bagaimana jika restoran Rameli Saripin kena sita. Itu namanya agenda menutup periuk nasi orang. Ibarat menabur pasir dan kaca ke dalam periuk belanga orang. Menutup punca rezeki orang lain. Memang bab ini tidak boleh diuruskan sendiri. Perlu pakai orang suruhan. Orang upahan bergaji yang sanggup membuat kerja tut, tut yang Juju katakana tadi.
            “Ha... Surie, baru aku ingat! Suami bibik kamu... alah, yang baru sampai Malaysia... dia sudah dapat kerja atau belum?” Juju teringatkan bibik kepada Surie yang dikenalinya semasa bermalam di rumah Surie tempoh hari.
            “Mas Hendra? Suami Bibik Marsyanti? Dia belum dapat kerja lagi tetapi dulu mereka berdua adalah pelakun tambahan untuk sinetron di Indonesia.” Surie memberi fakta tentang bibiknya suami isteri.
            “Oh! Patutnya ada rupa. Ada gaya. Bekas pelakun tambahan sinetron rupanya. Handsome juga Mas Hendra itu ya.” Honey terbayangkan muka suami Bibik Marsyanti yang sejuk mata memandang.
            “Amboi! Gatalnya... Ada hati pula puji suami bibik orang. Mana ada kelaslah... Eh! Kita panggil dia Mas? Bukankah panggilan itu hanya untuk suami isteri?” Leesa sedang memandang muka Surie selaku anak majikan kepada Bibik Marsyanti yang wajahnya persis pelakun muda Indonesia, Marsyanda.
            Surie segera terbayangkan Bibik Marsyanti dan suaminya. “Mas itu maknanya abang. Kalau tidak silaplah kan, kakak pun bermaksud abang juga dalam bahasa mereka. He he he... saya pun kurang faham sebenarnya. Kita panggil sahajalah Mas Hendra. Gelilah hendak panggil Kakak Hendra. Hmm... setakat ini dia belum dapat kerja lagi. Memilih kerja orangnya. Tidak mahu kerja buruh kontrak. Tidak mahu kerja yang susah-susah atau yang berat-berat macam di tapak pembinaan. Maklumlah ada rupa orangnya.”
            “Baiknya parents kamu, Surie. Benarkan dia tinggal di rumah kamu sekali. Ada permit dan pasport? Kalau pendatang haram nanti dengan kamu sekali kena tangkap masuk lokap.” Honey bertanya gaya pegawai imigresen sedang menyoal siasat.
            Surie segera memberi penerangan tentang Mas Hendra yang ada gigi taring yang comel sebagai pemanis wajah. “Eh! Kami ada rumah kecil di belakang villa. Khas untuk mana-mana pekerja yang ingin tinggal di situ macam bibik, pemandu atau tukang kebun. Our driver comes daily, he stays at kampung nearby. Our gardener just resigned recently. Balik kampung... tanam jagung agaknya. So, Mas Hendra tinggallah dengan Bibik Marsyanti. Dia ada pasport dan permit kerja. Sepatutnya dialah jadi pengganti tukang kebun kami yang baru. Tetapi... habis pokok bunga mama saya mati semuanya. Panas agaknya tangan Mas Hendra. Hmm... nampak gaya macam dia hendak cari kerja lain pula. Tidak sesuai bercucuk tanam.”
            Juju menepuk meja yang masih ada baki pulut cendul bersama keju. Mereka turut memesan rojak pasembor sebagai pelengkap. Terpelanting sengkuang dan timun di dalam rojak pasembor tersebut. “Hah! Inilah orangnya yang dicari-cari, Surie. Bagi aku ayatkan dia habis-habisan. Dia mesti hendak kerja mudah walau tidak glamor macam pelakun tambahan. Mudah saja, hanya perlu renjis air pada tong simpanan belacan abah aku. Spray saja. Pastikan sampai betul-betul hapak dan busuk berkulat, nanti aku bayar lebih mahal dari gaji pelakun tambahan sinetron. Okey?”
            Leesa, Surie dan Honey saling berpandangan. Mereka saling tersenyum dan mengangguk laju tanda setuju. Yang penting, tangan mereka bersih dari kotoran belacan basi. Biar guna orang upahan kali ini. Mereka berempat ketawa terkekeh-kekeh mengenangkan Mas Hendra yang tampan bergaya beraksi dengan tong belacan. Pemandu Honey sedang memerhatikan mereka berempat dari meja lain sambil menikmati cendul dengan perisa durian dan makan mee rojak. Jenuh dia mengagak apakah yang diketawakan oleh empat orang anak gadis itu.
@@@@@@@@@@
            “Mana kamu ambil duit sampai RM5,000 untuk upah Mas Hendra tadi, Juju?” Leesa mula menaruh curiga dan syak wasangka. Dia selaku cucu hartawan barang kemas dan intan berlian pun perlu minta izin dari daddy atau datuknya terlebih dahulu, jika mahu menggunakan wang. Masih bersekolah, jadi perlu minta izin kalau hendak pakai duit. Itu kata-kata Cikgu Ally Putra pada Leesa selalu.
            “Dari kecil sampai sebelum tinggal dengan abah, setiap bulan abah masukkan duit dalam buku bank. Tetapi... masa itu ibu kandung aku tidak benar sentuh walau sesen pun duit pemberian abah. Macam-macamlah alasan dia. Duit kotorlah, abah jahatlah, tidak bertanggungjawab dan macam-macam lagi. Bayangkanlah berapa jumlah wang dalam buku bank aku kalau tidak pernah dikeluarkan langsung sejak lahir. RM500-RM1000 sebulan selama hampir tujuh belas tahun. Kadang-kadang abah masukkan lebih dari itu. Tok Hamzah laburkan pula dalam Amanah Saham bagi pihak aku. Sebelum datang ke sini, Tok Hamzah bagi buku pelaburan itu pada aku... suka hati kalau hendak guna atau hendak simpan saja. Terpulanglah, katanya. Lagipun sekarang, abah selalu berikan duit belanja. Tok Hamzah dan mama di London pun selalu bagi... cuma aku sahaja yang jarang guna.” Juju memberitahu dengan nada selamba sambil tersandar. Leesa, Surie dan Honey melopong mendengarnya. Walaupun mereka bertiga juga hidup mewah, mereka tiada kuasa memegang buku bank dan duit sendiri. Semuanya perlu dibuat lapuran lisan dan memerlukan izin terlebih dahulu. Mereka bertiga tidak terkata apa-apa dan cemburu dalam diam. Tersenyum kelat sambil memandang antara satu sama lain. Itulah antara hikmah kelebihan Juju yang tidak disedarinya. Mewah walaupun menagih kasih ibu kandung sendiri semasa kecil.
            “Aku puas hati dengan semua gambar yang Mas Hendra ambil. Memang jelas nampak busuk berkulat semua belacan. Cuma tidak ada ulat saja. Paling best ialah Mas Hendra sudah berjaya dapat kerja di dapur Restoran Can Meli Can, cawangan Taman Tun. Aku beri dia upah tambahan nanti. Setakat ini, kerja dia memang tip top.” Juju tersenyum lebar dengan hasil kecekapan kerja Mas Hendra yang boleh diharapkan.
            “Wah! Senanglah ya, dapat kerja di restoran abah kamu, mesti senang hendak masukkan belacan hapak ke dalam masakan. Maknanya lepas ini tidak bolehlah kita makan di situ lagi. Alamak... rindulah dengan sambal belacan, kari kepala ikan, kangkung belacan, laksa Penang...” Honey sudah kehampaan. Mengkelan sungguh dia dibuatnya. Maklumlah dia penggemar tegar masakan di restoran Rameli.
            “Macamlah tidak boleh ke cawangan lain. Mas Hendra hanya berperanan di cawangan Taman Tun sahaja. Sebab di situlah pusat untuk menguruskan masakan untuk tempahan katering. Kita boleh pergi makan di cawangan lain. Semuanya ada lapan cawangan. Pilihlah cawangan lain selain di Taman Tun.” Juju seakan memujuk Honey yang rindukan sambal belacan dari restoran abahnya.
            “Paling strategik ialah, Mas Hendra di tempatkan di bahagian tong simpanan belacan dan bahan-bahan mentah yang lain. Urusan potong memotong dan menerima kemasukan stok bahan mentah. Urusan menghancurkan belacan memang tugas dia. Maklumlah mana ada pekerja yang suka rela mahukan tugasan di bahagian busuk. Semua hendak glamor ke depan jadi waiter dan jaga kaunter.” Juju bangga memberi lapuran. Bangga dengan hasil kerja Mas Hendra yang cekap dan pandai menyimpan rahsia. Kerjanya sehebat rupanya yang tampan.
            “Berani betul kamu, Juju. Kalau semua orang mati tergolek bagaimana? Bukan sahaja restoran abah kamu sahaja yang kena sita, silap-silap... dengan Mas Hendra dan kita semua kena tidur lokap dan masuk penjara sebab bunuh orang makan belacan basi.” Honey sudah mula hendak menangis. Tambah tragis, kerana tidak dapat menikmati keenakan masakan Restoran Can Meli lagi selepas ini.
            “Alah... cubalah jadi bijak, Honey. Cubalah fikir guna kepala, bukan guna lutut. Think wisely! Kita cuma campur belacan hapak dan basi dalam masakan. Paling teruk pun orang sakit perut terguling-guling masuk hospital. Muntah-muntah akibat keracunan makanan. Itu saja! Yang penting, belacan perlu terhapus semua. Bukannya kita masukkan racun tikus atau asid dalam makanan.” Juju mencubit paha Honey yang sudah menampakkan gigi depannya menahan kesakitan. Cubitan yang kecil dan di pulas 360 darjah. Juju memang gemar mencubit semenjak akhir-akhir ini.
            “Eee... sanggup si pelakun tambahan sinetron yang macho itu buat kerja bahagian dapur jaga tong belacan ya. Lebih baik jadi tukang kebun. Bibik Marsyanti sendiri ada mengadu tidak senang dengan bau belacan pada tubuh suaminya sejak akhir-akhir ini...” Surie memberi lapuran tentang rungutan Bibik Marsyanti setiap hari.
            “Duit, Surie... duit! Bagitahu Bibik Marsyanti, duit lebih wangi dari bau belacan yang menyerap tubuh suaminya. Dengan pekerja Indon, kipas sahaja duit di muka... mulut dia kunci, kerja dia pun pantas! Senang cerita.” Juju memberi fakta sambil menari-nari dan membelek mukanya di cermin yang dibawanya. Leesa, Surie dan Honey turut melonjak ceria. Seronok kerana kali ini, tangan mereka bersih dari noda berurusan dengan belacan.
            Di satu sudut, ada sepasang mata memandang gelagat Baby Gorgeous. Lapuran tentang perbincangan mereka pantas sampai kepada Mariyah Fareedaz. Semua perbualan mereka telah dapat dirakam terperinci secara tersembunyi oleh spy upahan yang bertauliah.
            @@@@@@@@@@
            “Eh! Apa hal semua orang sedap saja makan? Sampai jilat-jilat jari. Tidak ada yang pengsan pun? Tidak ada pun yang berguling sakit perut. Ini mesti kes Mas Hendra cuai buat kerja. Kena potong gaji dialah!” Juju sudah naik berang. Dia bersama Leesa, Surie dan Honey menghadiri majlis kenduri kahwin sahabat ibu Honey.  Masakan kenduri tersebut adalah tempahan dari katering Restoran Can Meli Can, cawangan Taman Tun.
            “Eee.... sabarlah Juju. Kamu sendiri yang kata, ini bukannya racun tikus atau asid. Ini belacan basi. Prosesnya makan masa sikitlah. Bukan serta merta. Tengoklah sejam dua nanti.” Leesa cuba menenangkan Juju yang sibuk membetulkan kerongsang berjurai pada baju kurung pesaknya. Juju mula memikirkan kebenaran kata-kata Leesa. Memang logik alasannya.
            “Eee... laparlah. Pagi tadi pun tidak makan. Sedap betul tengok orang lain makan berselera. Jomlah kita makan cepat. Perut saya sudah berbunyi kriuk, kriuk.” Honey yang sudah terliur melihat nasi pelangi dengan pelbagai lauk pauk kenduri yang seolah-olah melambai-lambai padanya.
            “Sabarlah dulu, Honey. Mari kita ke khemah katering di belakang sana. Kita cari Mas Hendra dulu.” Leesa, Surie dan Honey mengekori Juju dengan laju. Masing-masing sudah kelaparan macam empat hari tidak makan. Puas di cari sampai ke belakang khemah. Ternyata tiada kelibat Mas Hendra di situ. Juju menelefon Mas Hendra dengan pantas. Juju bercakap dengan Mas Hendra di talian sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.Mukanya menunjukkan riak tidak puas hati dan geram.
            “Apa kata Mas Hendra, Juju?”
            “Hmm... Mas Hendra kata tugasnya cuma menghancurkan belacan yang telah basi. Tukang masak yang memasukkan semua bahan ke dalam masakan. Eee.. patutnya dia kena guna otak. Masukkanlah belacan hapak semasa orang lain tidak sedar. Itulah tujuan aku bayar dia.” Juju mula menunjukkan angin bayu sepoi-sepoi bertukar menjadi puting beliung.
            “Lagi... lagi...” Honey sudah tidak sabar hendak makan kalau benar periuk di depan mereka tidak dimasukkan belacan basi.
 “Mas Hendra kata lagi, tukang masak macam mengesyaki sesuatu. Mungkin tidak jadi dimasukkan belacan basi ke dalam masakan. Lagipun Mas Hendra sibuk di bahagian tong belacan dan bahan mentah yang lain. Dia tidak boleh selalu menjenguk ke kuali dan periuk belanga. Macam tidak logik kan.. Patutnya dia lebih proaktif! Tetapi itulah... dia cakap macam tersorok-sorok, jadi tidak jelaslah sangat apa yang dia cakap tadi. Bunyi macam berbisik. Takut-takut hendak cakap pun.”
            Belum sempat Juju menyambung ayatnya... Honey sudah menyelak periuk di belakang khemah katering. Leesa dan Surie menurut aksi Honey. Bau harum dan enak nasi dan lauk pauk menusuk kalbu sehingga ke jantung masing-masing. Tiga sekawan yang kelaparan sudah tidak dapat berkata apa-apa lagi. Sengaja menyimpan ruang perut sejak pagi tadi. Mereka mula makan dengan penuh berselera. Tidak mempedulikan lagi panas berbaju kurung dan berkebaya di tengah hari. Honey berpendapat kali ini misi belacan basi tidak menjadi kerana tukang masak mesti lebih mahir dan mengesyaki bau belacan hapak. Sekali pandang atau sekali bau sahaja tukang masak yang mahir sudah dapat syak sesuatu yang tidak kena.
Pekerja katering yang perasan dengan kehadiran mereka berempat, tidak menegur gelagat mereka kerana kebanyakan dari para pekerja kenal dengan mereka semua yang agak kerap singgah dia Restoran Can Meli Can. Lagipun para pekerja di khemah tersebut sibuk belaka. Masing-masing ke hulu dan ke hilir sibuk memastikan majlis berjalan dengan lancar.
            “Jomlah makan, Juju. Cepatlah! Nampaknya masakan hari ini tidak dimasukkan belacan basi. Memang sedap betul! Sebab itu semua orang makan sampai menjilat jari. Tukang masak sudah dapat syak agenda Mas Hendra agaknya.” Surie cuba memujuk Juju.
“Ya lah, Juju. Esok-esoklah kita rancang macam lain pula ya. Kita basuh otak Mas Hendra cukup-cukup biar dia lebih cekap selepas ini ya. Umph... sedap betul! Syy... kena tumpu pada makanan. Pok, pek, pok, pek esok pun boleh. Jomlah makan, Juju.” Honey mahu tumpu pada keenakan makanan di depannya sambil turut memujuk Juju yang sudah muncung mulutnya. Honey sibuk menambah sendiri nasi dan lauk dari periuk di sudut paling belakang di khemah katering. Juju sudah bosan dengan celoteh Honey walaupun memang nampak logik. Dia tengok sahaja Leesa, Surie dan Honey yang gelojoh makan macam hendak makan pinggan sekali. Walaupun agak terliur... Juju lebih rela mencari burger berkeju dan kentang goreng rangup sahaja di restoran Mc Donald sebentar lagi. Pandang pun tidak sudi dengan lauk kenduri. Tambah tidak berselera mengenangkan misinya yang tidak menjadi hari itu. Penat sahaja datang dengan baju kurung yang sudah menimbulkan peluh hangat di pelipat ketiak. Juju menyambung menelefon Mas Hendra. Mengugut tidak mahu memberi baki duit upahan.
            Di satu sudut yang lain, dua orang pekerja Rameli sedang berbual sesama sendiri. “Eh! Itukan anak bos. Cantik betul ya dia. Macam anak patung! Panas-panas, berpeluh pun masih nampak cun. Kawan-kawan dia pun comel juga.”
            “Ha ah... apa mereka buat di situ? Apa hal makan di meja belakang? Meja tetamu banyak lagi yang kosong. Tadi bos telefon. Bos pesan jangan usik periuk-periuk dari van yang sampai awal. Tuan Meli suruh letak sahaja di belakang sekali. Suruh ketepikan. Dia sendiri akan uruskan nanti. Dia pesan suruh hidang hanya makanan dari van kedua dan ketiga.”
            “Apa yang tidak kena dengan makanan dari van pertama? Siap suruh asing dan letak di belakang sekali. Eh! Cuba tengok, anak bos dan kawan-kawan dia makan dari periuk yang turun dari van pertamalah.” Pekerja yang berambut terpacak kehairanan. Risau jika ada yang tidak kena dengan makanan tersebut.
            “Alah... macam biasalah agaknya. Mungkin bos hendak bagi semua itu khas untuk tuan rumah. Biarlah mereka makan. Siapalah kita hendak tegur anak bos? Silap-silap nanti kena buang kerja terus. Sudahlah! Cepat lap pinggan! Jangan masuk campur hal orang.” Pekerja yang berkumis tebal selaku pengurus tidak mahu menyibuk hal Baby Gorgeous. Dia menumpukan pada kerja memastikan semuanya beres teratur.
            Semua tetamu memberi pujian dengan keenakan masakan kenduri dari katering Restoran Can Meli Can. Pengantin cantik dan makanan pula sedap, puji mereka bertalu-talu.
Lewat petang, Rameli pun tiba untuk berjumpa dengan tuan rumah. Dia sudah biasa membiarkan pengurusnya mengaturkan segalanya. Para pekerjanya memang cekap dan boleh diharapkan. Sebelum pulang, Rameli mahu menguruskan sendiri masakan dari periuk-periuk yang turun dari van pertama tadi. Masakan yang diasingkan kerana mendapat info dari spy Mariyah tadi. Semasa Rameli Saripin menyelak periuk tersebut, pekerja yang berkumis tebal selaku pengurus, segera membisikkan sesuatu. Dia risau jika Rameli perasan yang nasi dan lauk di situ sudah luak disentuh orang. Segera diberitahu bahawa Juju dan kawan-kawannya menjamu selera dari periuk tersebut.
            “Empat-empat orang sekali makan?”
            “Mereka ambil sendiri, Tuan Meli. Semua makan. Berselera betul. Tetapi... hmm, baru saya teringat, anak tuan seorang saja tidak makan. Dia sibuk di telefon. Sampai sudah dia tidak makan. Yang tiga orang lagi, makan begitu berselera di belakang sinilah. Siap bertambah!”
            “Anak saya lebih suka makanan barat. Lauk kenduri dia tidak suka.” Rameli menjelaskan tanpa dipinta.
            “Maaf saya tidak tegur mereka tadi, bos. Serba salah hendak halang mereka makan. Saya ingat bos pesan, jangan usik periuk di belakang.”
            “Biarlah, sudah makan pun. Hendak buat bagaimana lagi? Angkat sahaja semua bawa balik ya. Tutup kemas-kemas. Jangan dibuka lagi. Nanti biar saya dan Abang Abu uruskan.” Abang Abu Sudarman ialah ketua tukang masak untuk katering mereka.
            “Eh! Ada yang tidak kena bos? Saya ingatkan bos hendak berikan pada tuan rumah tadi.” Rameli Saripin hanya tersenyum penuh mana dengan pertanyaan tersebut. Tidak memberi sebarang jawapan. Pekerja berkumis tebal segera faham. Dia hanya perlu mengikut arahan. Terasa silap kerana menyibuk tidak tentu pasal pula. Dia langsung menutup kemas dan mengangkat semua periuk belanga tersebut. Periuk belanga yang mengandungi lauk pauk dengan ramuan belacan hapak, berkulat dan basi.
@@@@@@@@@@
Malam itu, Juju menelefon Leesa, Surie dan Honey. Tiga-tiga panggilan tidak berjawap, pesanan ringkas juga tidak berbalas. ‘Pelik bin ajaib! Tidur awal agaknya. Kenyang sampai terpongkang.’ Fikir Juju. Dia terus menelefon Bibik Marsyanti pula.
            “Hah? Apa? Surie masuk hospital?  Leesa dan Honey pun? Keracunan makanan? Muntah? Pengsan? Alamak! Jangan main-main, bibik! Okey... okey... baiklah, saya ke sana.” Juju sudah tidak keruan. Macam ibu itik kehilangan anak-anaknya. Kelam kabut menelefon Zaibon.
            “Abah, Mama Ros... Juju hendak ke hospital. Leesa, Surie dan Honey masuk hospital. Keracunan makanan. Abang Zaibon sudah sampai. Juju pergi dulu ya.” Juju mencium tangan Rameli dan Rosnita pantas, lalu kelam kabut dia menaiki kereta. Rosnita terpinga-pinga. Tidak tahu menahu hujung dan pangkal. Rameli tersenyum selamba tidak melayan sebarang pertanyaan Rosnita.
            Di satu sudut rumahnya, Rameli Saripin menelefon Mariyah Fareedaz. Mereka berdua tersenyum penuh makna. Penuh erti yang tersirat.
             8888888888888888888888888888888888888888888888888