Friday 15 July 2011

BAB 15

 BAB 15 ialah tentang bab Acan kena buli!
Acan sanggup dan rela kena buli.
Tadah tangan minta kerja dari Juju.
Apa lagi, syoklah Juju.

Mari kita jengah BAB 15.
Bab Juju buli Acan tetapi terkena batang hidung sendiri pula.

ANTARA BELACAN DAN KEJU
-BAB 15-
Acan Jadi Kuli Juju

“Mana Juju? Tidak mahu makan malam? Hendak jaga badan macam mama? Cepat pergi panggil dia.” Rameli Saripin menyuruh Bibik Im menjenguk Juju di biliknya. Rosnita Chek Wah pula sibuk menggaul mayonis rendah lemak ke dalam campuran buah-buahan potong sebesar dadu untuk dijadikan salad buah-buahan rendah lemak. Itu pun dia turut berada di meja makan malam itu kerana tiba-tiba Mariyah Fareedaz ingin makan malam bersama mereka sekeluarga. Bosan makan seorang katanya. Jika tidak, Rosnita jarang berada di meja makan pada waktu malam.
“Eh! Meli. Biarlah Mariyah yang panggil. Juju tidak tahu ibunya makan malam sekali agaknya.” Mariyah meluru ke bilik Juju. Rameli tersenyum sumbing. Rosnita pula melirikkan matanya ke arah Mariyah. Mariyah Fareedaz yang selalu bertindak selaku ibu angkat yang terlebih prihatin mengalahkan Rosnita.
Tiba-tiba Mariyah turun semula ke meja makan. Terjengket-jengket dan meletakkan jari telunjuk di bibirnya. Gaya spy antarabangsa.
“Syy... mari kita semua ke bilik Juju. Kita intip ramai-ramai kali ini, apa dia buat. Cepatlah! Perlahan-lahan ya. Jangan sampai Juju perasan.” Rameli, Rosnita dan Acan dan Bibik Im mengikut kata-kata Mariyah. Mereka terjengket-jengket mengekori Mariyah ke bilik Juju. Acun seorang sahaja yang malas hendak turut serta. Dia sedang bergayut di telefon bimbitnya dengan A.C. Misai. Nada suaranya agak keras. Seakan ada pertelingkahan kecil. Dia tidak rela terhenjut-henjut dan terkedek-kedek naik tangga untuk mengintip Juju. Juju yang suka berdrama.
“Ha! Cuba tengok! Tengok sendiri! Terutamanya kamu, Im. Kamu yang kena bulatkan mata, besarkan cuping telinga. Pandai-pandai hendak menuduh Juju hari itu.” Mariyah Fareedaz bersuara separuh berbisik. Antara dengar dengan tidak suaranya. Mariyah Fareedaz menguak sedikit pintu bilik Juju. Begitu berhati supaya tidak didengari oleh Juju. Juju yang membelakangkan pintu sedang duduk bersila sambil bertelekung di atas sejadah. Dia sedang asyik mengalunkan bacaan ayat suci Al-Quran. Surah Ar-Rahman yang dialunkan begitu merdu. Sesiapa sahaja yang mendengarnya pasti mengkaguminya. Siap bertaranum. Tajwidnya dijaga. Suaranya sederhana perlahan. Nampak sangat dia tiada niat untuk menunjuk-nunjuk. Tiada niat mengganggu orang lain. Cicak di dinding pun turut berhenti berdecit. Rameli, Rosnita, Acan, Bibik Im dan Mariyah terdiam sejenak. Menghayati bacaan ayat suci oleh Juju selama dalam seminit, dua. Sungguh bagus bacaannya. Mereka saling berpandangan. Acan dan Bibik Im tertunduk. Perasaan insaf menyelubungi. Terasa bersalah beranggapan yang bukan-bukan pada Juju sebelum ini. Bibik terasa bagai hendak mengetuk kepalanya dengan senduk yang sememangnya dipegang semenjak tadi.
Mariyah mencubit paha Bibik Im kecil. “Hah! Lain kali kalau hendak tuduh orang tidak solat, tidak mandi... tengok baik-baik dulu. Nah! Buktinya sekarang, selesai solat maghrib, Juju terus mengaji. Kamu ada mengaji?” Bibik Im tersenyum kambing sambil menjerit kecil akibat menerima cubitan yang kedua dari Mariyah.
“Ouch! Sakitlah Puan Mariyah! Apa main cubit-cubit pula. Cubit kecil sakitlah.” Jika Mariyah Fareedaz bukan setaraf majikannya, mahu sahaja Bibik Im membalas cubitan berbisa Mariyah yang berbekas di paha Bibik Im. Juju terkejut. Pura-pura dari tadi tidak perasan ada yang mengintip aktiviti suci murninya.
“Habis mengaji Juju? Mari kita turun makan malam. Mama Ros ada suruh Bibik Im masakkan chicken chop. Spesial untuk Juju.”
“Ya lah sayang... ibu pun ada bawakan makaroni olio untuk Juju. Ibu yang masakkan sendiri. Ada udang besar. Ada taburan keju parmesan. Mari makan sayang.”
“Eh! Semua orang ada di sini? Ha... intip Juju lagi ya. Hmm... okeylah... Juju pun sudah solat dan mengaji. Mari kita makan.” Semua yang ada di situ seronok melihat wajah Juju yang ceria. Acan dan Bibik Im pula saling tuduh menuduh antara satu sama lain.
“Acanlah yang intip Juju hari itu.”
“Oit! Bibik Imlah yang intip. Tuduh Acan pula.”
“Ha! Sudah! Sudah! Siapa intip siapa tidak penting. Kalau suka intip orang, akibatnya nanti diri sendiri pula kena intip dengan hantu pula. Mari kita turun makan cepat. Nanti makanan sejuk.” Rameli mengajak semua turun ke meja makan segera.
“Siapa kena intip dengan hantu? Mesti Bibik Im, sebab dia punya angkara... suka curiga pada orang lain.” Acan bertanya pada abahnya. Rameli tersenyum penuh makna. Juju membuat muka tidak tahu apa-apa. Muka tidak bersalah. Bibik Im seram sejuk teringatkan dia diusik dengan kain putih terbang dan terperasan macam ada orang mengekorinya tempoh hari. Mariyah dan Rosnita pula ceria bergandingan sambil turun tangga ke meja makan. ‘Padan muka semua. Ingat aku tidak pandai mengaji? Ingat aku tidak solat? Silap oranglah!’ Bisik hati kecil Juju. Dia sengaja tidak kunci pintu masa mengaji tadi. Sengaja menguak sedikit daun pintu. Sengaja mengaji lama sedikit apabila mengetahu yang Mariyah Fareedaz akan makan malam bersama mereka. Lain kali, jangan mereka silap cari pasal dengan Juju. Dia penuh dengan idea otak bergeliga. Otak geliga yang sering disalah gunakan.
@@@@@@@@@@
Juju masih tidak puas hati untuk mengenakan Acan. Dia mahu jadikan Acan kulinya habis-habisan. Alang-alang Acan suka benar mengambil hatinya, Juju mahu menjadikan Acan orang suruhannya. Orang suruhan untuk seluruh geng Baby Gorgeous. Orang suruhan atau kuli adalah setaraf orang gaji. Namun, Juju ingin menjadikan Acan kuli yang tidak bergaji. Acan perlu buat kerja tanpa bayaran untuk Juju. Percuma! Acan perlu buat kerja dengan ikhlas, tidak boleh mengomel... jauh sekali hendak komplen atau mengadu. Acan pula memang sering kali cuba sedaya upaya untuk mengambil hati Juju. Baginya, kehadiran Juju dalam kelurganya bagaikan satu sinar, satu rahmat yang menceriakan seisi keluarga. Selaku anak sulung, dia sedia maklum akan cerita tentang masa silam Juju. Keperitan Juju dengan sikap ibu kandungnya dan kehidupan Juju yang bersalut debu tanah merah, ladang serta kambing di kampung. Seboleh-bolehnya Acan ingin melakukan yang terbaik untuk Juju. Ingin memberi bantuan apa sahaja yang dapat membuatkan Juju gembira. Cakaplah apa sahaja, Acan pasti sanggup buat untuk Juju. Biar Juju rasa senang dan tenang dengan keluarga barunya di bandar. Biar Acan memegang motto ‘Sedia Berkhidmat Untuk Juju’. Sedia berkhidmat untuk adik yang hilang kasih sayang selama ini.
“Juju mahu Acan tolong buatkan karangan? Kalau mahu Acan tolong, no problem! Lagi pun tajuk karangan kita selalunya hampir sama.”
“Ha... macam inilah bagus. Acan yang pelawa Juju. Jangan nanti buat cerita pada abah, pada Mama Ros... kata Juju yang paksa Acan pula ya. Lagi satu, jangan ingat Juju otak udang. Juju otak genius! Cuma Juju work smart. Juju banyak lagi kerja lain hendak buat. Juju hanya minta Acan tolong buatkan, itu pun kalau Acan sudi tolong. Lagi pun, Acan sendiri yang pelawakan diri tadi kan.”
“Eh! Bila masa pula Acan pernah beritahu abah dan mama atau sesiapa yang Juju paksa Acan? Macam budak tadikalah. Mengadu sana sini. Acan sebenarnya bangga ada adik macam Juju. Cantik, pandai, baik hati... I know you always work smart. Okey, cakap apa sahaja yang Juju mahu Acan buat. Acan rela buat tanpa paksaan. He he.” Acan membuat muka macam ahli pasukan Rela yang sedia menerima arahan. ‘Apalah bodoh sangat si Acan ini? Bangga ada adik macam aku? Suka benar ambil hati aku. Betul bentul. Lurus macam tiang!’ Juju berbisik sendirian sambil memandang Acan yang bila-bila masa sedia berkhidmat.
“Hmm... nampaknya memang bagus kerja sekolah Juju yang Acan tolong buatkan minggu lepas.  Essay writing dan projek sains Juju dapat A+. Bagus! Leesa, Surie dan Honey pun suka. Lain kali, kalau Acan tidak menang tangan, boleh minta Ahmad, Fetriz dan Yahaya tolong buatkan sekali untuk kami ya. Minggu ini, Juju hendak minta tolong Acan buatkan karangan Bahasa Melayu pula. Boleh?” Juju bercakap siap bercekak pinggang macam mandur ladang Tok Hamzah.
“Amboi... amboi... amboi... abang! Bila masa pula abang jadi kuli Kak Juju. Kak Juju malas betullah! Macam bos besar! Suruh Abang Acan buat semua kerja sekolah. Suka ambil kesempatan dengan kebaikan orang lain. Dasar budak kampung tidak sedarkan diri.” Acun yang terdengar perbualan Acan dan Juju di ruang tamu, sudah tidak dapat menahan kegeraman melihat abangnya diperlakukan bagai kuli batak oleh Juju.
“Acun! Cukup! Jangan memandai kata Kak Juju budak kampung. Kita sendiri dapat hidup mewah sebab pertolongan datuk Juju dulu. Sedarlah sikit! Hah! Lagi satu, ingat yang mama hampir mati lemas hari itu. Kalau bukan Juju yang tolong? Apa akan jadi pada mama kita?” Acan cuba menyedarkan Acun yang bermulut lancang. Juju berpura-pura bersedih hati. Tertunduk gaya orang terkena semburan fitnah melampau.
“Oh! Sebagai balasan Kak Juju tolong selamatkan mama, abang kena jadi kuli Kak Juju seumur hidup? Maknanya, Kak Juju tidak ikhlaslah tolong selamatkan mama? Eee... bosanlah hendak layan abang. Tolonglah buka mata sikit, abang. Buka luas-luas! Sedar sikit supaya orang lain tidak buli kita. Tidak pijak kepala kita. Jangan ingat baru datang sini, tolong sikit sana sini... sudah boleh buat sesuka hati. Iskh...! Bosanlah!” Acun terus meninggalkan Acan dan Juju. Juju berpura-pura ingin angkat kaki. Pura-puar berkecil hati dan merajuk. Pura-pura juga ingin membuat kerja sekolahnya sendiri.
“Pedulikan dia, Juju. Jangan ambil hati dengan kata-kata Acun ya. Biarkan dia. Bodoh sombong! Tidak tahu hargai orang lain. Okey, mana dia tajuk karangannya? Mari cepat Acan tengok.” Acan beria-ria ingin membantu Juju. Membantu yang tidak kena pada tempatnya.
“Ini dia! Tolong buat tajuk B ya.” Tiba-tiba telefon Juju berdering. Juju kelihatan serius apabila menjawab panggilan dari Leesa. Mendengar cerita Leesa tentang masalah bapanya, Cikgu Ally Putra yang ada ura-ura ingin berkahwin lagi. Duda terhebat di pasaran bakal mendapat jodoh baru. Leesa memprotes habis-habisan. Selaku ahli Baby Gorgeous, Juju sedia memberi khidmat nasihat untuk membantu sahabatnya itu.
“Tajuk yang mana satu Juju? Ada enam tajuk. A sampai F” Acan bertanya semula kerana inginkan kepastian. Semua enam tajuk yang diberikan oleh Leesa tidak ada masalah untuk Acan laksanakan. Acan tidak kurang hebatnya. Dia pelajar pintar. Dia minat berkarya. Acan seorang yang meminati lukisan, kraf dan bidang penulisan. Setakat tajuk-tajuk karangan yang Juju berikan, semuanya boleh dibereskan dengan mudah oleh Acan.
“Eee... Acan nampak atau tidak Juju sedang bercakap telefon dengan Leesa. Janganlah kacau. Buat tajuk B! Nanti letakkan atas meja. Okey?” Juju terus meninggalkan Acan yang masih terpinga-pinga. Acan agak kurang jelas kerana bunyi bising dari televisyen yang agak bingit. Bibik Im sedang bersimpuh sambil menonton rancangan sinetron dari seberang kegemarannya. Menonton sambil duduk mengadap makan buah duku sebakul.
Tanpa membuang masa, Acan bingkas ke biliknya. Mengadap komputer dengan penuh tekun. Acan membuat tajuk D!
@@@@@@@@@@
“Ha ha! Bibik! Hari ini ada orang kena berdiri di luar kelas. Pelajar terbaik dari kampung kena denda berdiri atas kerusi! Sungguh memalukan! Mesti kes tidak buat kerja sekolah. Ada hati hendak buli orang tetapi terkena diri sendiri.” Acun siap menari-nari mengejek Juju. Menari sambil menggolekkan pinggulnya. Gaya Mas Idayu membuat pusingan ayunan pinggul 360 darjah. Muka Juju bertukar menjadi warna merah macam udang kena panggang. Giginya diketapkan. Hatinya panas membara. Juju berlari naik ke biliknya. Dia membaling beg sekolah dan mengunci diri di dalam bilik. Juju bingkas menelefon Acan. Dia mahu Acan segera pulang. Sekarang juga.
“Mengapa dengan Juju? Kerja sekolahnya pasti beres. Dia anak yang pintar. Dia pelajar terbaik. Itu yang Puan Mariyah selalu beritahu pada bibik.” Bibik Im yang tidak faham, bertanya pada Acun yang riang gembira dan berseri-seri wajahnya.
“Pelajar terpintar pun, kalau malas tahap lepat liat, hendak buat apa, bibik. Buat lempeng hangit bolehlah. Hampir semua kerja sekolah dia sekarang, Abang Acan yang tolong buatkan. Bukan sahaja kerja sekolah, macam-macam lagi yang Kak Juju buli abang. Abang pula tidak mahu buka mata. Lurus! Betul bendul! Biar orang buli diri sendiri. Eee... bosanlah Acun tengok drama dalam rumah kita. Drama mengalahkan sinetron Bibik Im!”
Acun membebel sambil menarik kerusi untuk makan tengahari di meja makan di dapur. Seleranya membuak-buak hari itu kerana seronok dapat melihat Juju kena denda berdiri terpacak atas kerusi macam sedang menyanyi lagu Negaraku. Bibik Im hanya mampu tersenyum dengan gelagat anak majikannya. Berselera sungguh Acun menikmati ikan pari masak asam pedas yang dengan sayur kangkung goreng belacan dan telur masin. Acun yang semakin berisi pipinya sering susah hati jika Bibik Im menghidangkan masakan kegemarannya. Dia risau jika takut terlupa diri dan boleh makan bertambah sehingga dua, tiga pinggan.
“Acan sengaja hendak kenakan Juju ya. Sengaja cari pasal. Kalau tidak mahu tolong, beritahulah dari awal-awal. Puas hati kenakan orang?” Juju terus menyerang Acan yang baru pulang dari sekolah. Acan menumpang kereta Fetriz. Dia tidak pulang bersama Zaibon kerana perlu ke kedai sukan bersama Fetriz tadi.
“Bertenang, Juju. Sabar dulu. Apa yang puas hati?”
“Ya lah. Puas hati sebab Juju kena denda? Denda berdiri keras terpacak atas kerusi di luar kelas. Semua orang nampak. Semua orang ejek Juju. Acun dan Abby pun ‘boo’ pada Juju. Habis status Juju sebagai pelajar terbaik sekolah. Buat malu betul! Juju bukan budak darjah satu. Ini semua Acan punya pasal. Nantilah! Acan belum kenal siapa Juju!” Juju terasa macam hendak penyet-penyet muka Acan.
Leesa, Surie dan Honey tidak terlibat. Walaupun masing-masing lewat menyiapkan karangan yang diberi oleh Cikgu Errin Fazzirin, mereka masih sempat menghantarnya di saat-saat akhir. Juju pula telah tersilap tajuk karangan. Dia berada di barisan kedua telah membuat tajuk untuk pelajar dari barisan keempat. Juju sepatutnya membuat tajuk B bukannya tajuk D sepertimana yang dikarangkan oleh Acan dengan baik sekali. Kalau boleh, Juju hendak menjerit memprotes apabila didenda macam budak sekolah rendah. Bukannya dia tidak buat langsung karangan. Cuma tersilap tajuk sahaja. Sebenarnya, Cikggu Errin bukanlah bodoh... semenjak akhir-akhir ini dia dapat menghidu yang karangan Juju bukan hasil karyanya yang asli. Susun atur ayat dan bunga bahasanya lain benar dari kebiasaan. Mesti ada ‘orang suruhan’ yang buatkan kerja sekolah untuk Juju. Sebagai pengajaran, sengaja Cikgu Errin mendenda Juju walaupun hanya tersilap tajuk, bukannya tidak buat langsung. Cikgu Errin tidak mengira bulu. Tidak mengira status dan kedudukan para pelajarnya.
“Karangan yang Acan buat tidak cukup bagus? Salah semuanya? Okey! Okey... Acan janji nanti Acan buat yang lebih baik lagi.” Acan yang lambat menangkap maksud, masih terkial-kial sambil berfikir.
Acun dan Bibik Im yang mengintip perbualan Juju dan Acan dari dapur mula mengerutkan dahi masing-masing. Bibik Im hairan bagaimana Acan boleh menjadi begitu lurus. Begitu membuta tuli mengikut telunjuk Juju. Acun pula bengang dengan Acan yang dianggap bodoh dan Juju yang dianggap pembuli terbesar di abad ini. Acun siap menggenggam penumbuk sambil mengintip. Tangannya masih kuat dengan bau asam pedas ikan pari tadi.
“Lain kali Acan koreklah telinga! Orang suruh buat tajuk B! B for baby! Not D for donkey like you!” Sesekali Juju membahasakan dirinya dengan panggilan ‘orang’ sepertimana kebiasaannya di kampung dahulu.
“Hah? B? B? Acan dengar Juju cakap D hari itu. Minta maaf sangat-sangat. Acan yang silap sampai Juju yang kena denda.” Acan merasa amat serba salah. Dia yang begitu ingin mengambil hati Juju bertukar menjadi perang ribut taufan akibat kena sembur dengan Juju. Nyaris sahaja rambut lepernya yang berminyak dan tersikat rapi tidak bersepah.
“Tajuk B ialah Memupuk Minat Me’labur dan Tabungan Bijak’ Itu tajuk yang sebenar! Tajuk D yang Acan buatkan ialah’ Fenomena Pendatang Asing Tanpa Izin yang Berleluasa’. Buat apa buat tajuk pendatang asing? Tajuk itu hanya sesuai untuk geng Bibik Im. Bukan untuk Juju! Lepas ini, bagi karangan itu pada Bibik Im, suruh rebus dan minum buat jamu! Acan sengaja hendak kenakan Juju. You owe me! You pay for it!”  Bibik Im yang mendengar kata-kata Juju, segera menjuihkan bibirnya apabila terdengar namanya disebut oleh Juju.
Juju geram dan berang! Geram dengan aksi muka tidak bersalah Acan yang terkebil-kebil matanya. Berang mengenangkan dia didenda berdiri atas kerusi di luar kelas tadi. Bertambah malang kerana kena berdiri seorang diri tanpa ditemani ahli Baby Gorgeous yang lain. Paling membuatkan dia merasa tamparan hebat ialah kerana Acun dan Abby melalui kelasnya ketika itu. Mereka berdua ketawa sampai tergolek. Ketawa sakit perut sampai hendak menangis. Acun siap memanggil dua tiga orang lagi kawan-kawannya untuk melihat Juju terpacak di atas kerusi. Macam patung Barbie sedang buat pameran dengan memakai baju sekolah. Macamlah Juju didenda sebab kencing dalam kain. Sungguh sadis dan kejam aksi ketawa Acun dan gengnya. Juju begitu berazam akan mengenakan Acun dalam masa terdekat.
“Apa bising-bising ini?. Riuh abah dengar sampai keluar.” Rameli Saripin berdehem sambil melangkah kaki ke dalam banglo.
Muka Juju sedikit pucat. Dia sempat menjegil mata sebesar bola pingpong kepada Acan. Acan cepat mengerti. Juju sempat berbisik... “Jangan cari pasal, Acan. Jangan cerita apa-apa. Biar Juju yang cakap. Apa-apa hal, Acan kata ya sahaja. Faham?” Acan mengangguk laju. Macam robot mengikut arahan bosnya.
“Tadi abah... tadi di sekolah Juju kena denda. Denda berdiri atas kerusi!” Juju mengadu gaya anak kecil kehilangan guli.
“Denda berdiri atas kerusi? Biar betul! Juju buat salah apa sampai kena denda?” Rameli memandang sambil tersenyum pada anak gadisnya. ‘Apa pula yang Juju buat kali ini. Nanti minggu depan pasti Datin Shilaila panggil aku lagi.’ Rameli berfikir seorang diri. Namun dia hanya tersenyum tenang.
“Ya lah abah... Juju hendak membela abah. Backing abah! Abah ingat atau tidak? Makanan yang abah buat katering minggu sudah? Untuk majlis harijadi kawan sekelas Juju, Aida Arisa. Dia tuduh abah buat makanan basi. Semua orang sakit perut. Juju rasa sangat marah bila dia tuduh abah macam-macam. Dia kata makanan abah masak busuk dan basi, tidak berkualiti. Dia kata muka abah macam muka belacan hapak. Juju hilang sabar. Juju cubit dia dan tarik rambut dia supaya dia tutup mulut. Cikgu Errin Fazzirin pula, tanpa usul periksa terus menuduh Juju bersalah dan denda Juju berdiri atas kerusi di luar kelas. Sakit hati betul! Sungguh tidak adil!” Juju bercerita dengan penuh semangat siap dengan tangannya sekali menerawang di udara menunjuk gaya penuh emosi.
“Dia bohong, abah! Kak Juju bohong!” Acun meluru ke depan. Tampil memberi maklumat sebenar. Tampil dengan penuh berhemah ingin menegakkkan kebenaran. Gayanya mengalahkan peguam cara di mahkamah agung.
“Ini seorang lagi, abah. Acun dan Abby lalu di luar kelas Juju. Bila nampak Juju kena denda, dia gelak tergolek tengok Juju kena denda. Siap bawa geng sekelas untuk sama-sama gelakkan Juju. Bukan hendak kasihankan kakak sendiri.” Juju sudah hampir menangis. Sebenarnya dia risau bagaimana Acun boleh menjelma sekelip mata. Bibik Im terus menyelinap ke dapur. Tidak mahu masuk campur hal anak-anak majikannya.
“Juju patut kasihankan kakak. Bukan gelakkan kakak. Walau di mana pun kita berada. Kita mesti menyebelahi adik beradik kita. Darah daging kita. Jangan bagi orang luar apa-apakan atau gelakkan adik beradik kita. Ini tidak, Acun boleh ajak Abby dan kawan-kawan lain gelakkan kakak?” Rameli sengaja berpihak kepada Juju yang sudah hendak menangis. Mudah sungguh Juju mengalirkan air mata minta simpati. Acun terkejut. Dia terasa terpukul sebab abahnya menyebelahi Juju yang ternyata berbohong melebihi seratus peratus.
Acun ingin membuka mulut lagi. Ingin menceritakan hal sebenar Acan dibuli. Acan pula cepat menjegilkan matanya pada Acun. Membuat isyarat ‘angka dua’ dengan jarinya. Acun cepat dapat mengerti. Acun telah meminjam duit Acan sebanyak dua ribu minggu lepas. Mereka mengeluarkan wang tanpa pengetahuan Rameli dan Rosnita. Semuanya gara-gara Acun yang pergi membeli belah bersama Abby telah menjatuhkan sebuah telefon bimbit jenama nokia yang terkini ketika membeleknya. Dia membelek telefon tersebut sambil berangan-angan. Akibatnya telefon bimbit baru tersebut pecah berderai skrinnya. Acun terpaksa menelefon Acan untuk minta bantuan kecemasan. Acun meminta Acan mengeluarkan duit simpanan dan membantu membayar ganti rugi kepada taukeh kedai yang sudah membeliakkan mata macam singa lapar. Itulah rahsia mereka dua beradik. Rahsia yang dilipat kemas oleh Acan selaku abang yang bertanggungjawab.
“Okeylah! Malaslah Acun hendak masuk campur. Macam budak-budak... semua hendak mengadu pada abah. Nampak sangat masa di kampung tiada tempat mengadu. Anak terbiar!” Acun membuat muka sambil bibir dimuncungkan bagai anak ikan todak. Geram dan panas membara bercampur baur.
“Ayu Raudahtul! Abah tidak suka kamu cakap macam itu pada Kak Juju. Jaga mulut kamu!”
Rameli tidak senang dengan kata-kata Acun. Acun yang sering kali mengungkit Juju yang dibesarkan di kampung. Rameli tidak dapat menerima Acun mengatakan Juju sebagai anak terbiar. Acun membuat muka bosan. Dia siap menyepak kaki sofa tanda geram ditegur oleh Rameli di depan Juju. Acun sendiri hairan, cepat benar mulutnya mengeluarkan kata-kata nista kepada Juju di depan abahnya. Sungguh tidak sesuai pada masa dan ketika.
“Hmm... kalau Juju yang kena denda di sekolah, apa hal pula Acan tercegat di sini? Acan buat apa pula pada Juju kali ini?” Rameli hairan mengapa Acan turut berada di situ. Acan yang kena sembur dengan Juju tadi.
Acan segera membela Juju. Sejak tadi, Acan sudah merangka ayat-ayat pelapis supaya nampak tulen di depan Rameli. “Sebenarnya Acan yang tersilap ambil order hari itu, abah. Order katering untuk majlis Aida Arisa. Kawan Juju hendak western food... sama selera dengan Juju. Tetapi... entah bagaimana sebab Acan hendak bagi bisnes pada famili kita, Acan sarankan Aida Arisa ambil pakej hari jadi dari restoran kita. Makanan melayu... bihun goreng, laksa, popiah goreng, pulut kuning... Jadi Juju marah sebab semua ini salah Acan. Akibatnya, bila tiba-tiba makanan semua basi, Juju yang kena hina pasal abah. Bila Juju hendak membela dan mempertahankan nama baik abah... dia pula yang kena denda.” Beria Acan membela Juju di depan Rameli. Gembira di dalam hati kerana berjaya mencari idea sekelip mata. Acan dapat menutup cerita karangan tajuk B yang menjadi tajuk D.
Juju membuat muka sedih tahap maksima. Muka sedih kena denda dan muka sedih kena gelak dengan Acun di sekolah tadi. Masam mencuka mengalahkan cuka basi. Acun sempat menjelirkan lidah pada Juju di belakangnya.
“Juju mahu abah jumpa keluarga Aida Arisa? Kita bayar ganti rugi apa yang patut. Apa boleh buat, perkara sudah jadi. Abah sendiri tidak tahu menahu pasal kes makanan kita yang basi. Kita ada lapan restoran. Abah harapkan pengurus kita uruskan majlis yang kecil.”
“Abah jangan risau. Nanti Juju uruskan esok jika Aida mahu ganti rugi atau apa-apa. Ini semua Acan punya pasal, abah. Pandai-pandai tukar pesanan. Orang kata western food, dia pandai-pandai tukar makanan melayu! Juju tidak kisah sangat kena denda sebab Juju backing abah. Tetapi... Juju tidak tahan sebab Acun pula siap gelakkan Juju. Malukan Juju depan pelajar lain. Acun tidak habis-habis mengata Juju budak kampung di sekolah. Hina sangatkah jadi budak kampung, abah? Patutnya dari kecil abah pelihara Juju, jaga Juju. Bawa Juju ke bandar. Tengok! Akibatnya sampai hari ini orang mengata Juju. Adik sendiri pula yang mengata. Bencilah! Benci!”
Juju bercakap dengan penuh emosi. Siap dengan air mata yang berjurai entah dari mana. Dia memang mudah mengalirkan air mata jika orang menghinanya budak kampung. Teruk sangatkah jadi budak kampung? Hina sangatkah memegang status gadis pingitan? Juju berlari ke biliknya. Menyembamkan muka ke bantal empuk dan gebu.
“Kamu berdua datang sini! Sini cepat! Abah hendak basuh kepala kamu berdua cukup-cukup. Tidak habis-habis hendak sakitkan hati Juju. Apa lagi yang abah tidak bagi pada kamu berdua selama ini? Masih tidak cukup-cukup lagi? Masih hendak mengenakan Juju? Tolonglah abah... abah mohon, abah merayu pada kamu berdua... berbaik-baiklah dengan Juju. Dia juga anak abah. Kakak Acun, adik Acan. Semua darah daging abah. Semua sama! Semua anak abah! Ingat! Mulai sekarang, abah tidak mahu dengar lagi kes macam ini. Terutama kamu, Acun! Suka mengata Juju budak kampung dan suka gelakkan dia. Berapa kali sudah abah cerita, siapalah kita kalau bukan Tok Hamzah Dollah yang menolong bisnes abah dulu? Silap-silap, kita yang duduk di kampung. Kalau Tok Hamzah Dollah hendak beli semua bisnes abah, banglo dan kereta-kereta kita, hari ini pun dia boleh beli semuanya sekali. Jadi, tolonglah, tolong bersyukur dengan apa yang kita ada.”
“Alah... bangga sangat dengan datuk Kak Juju. Bayar baliklah abah, semua modal dia. Apa yang hendak disusahkan. Asyik-asyik hendak ungkit jasa dia yang lama. Nanti Kak Juju besar kepala. Naik tocang!” Lancang sungguh mulut Acun. Masih tidak serik-serik. Acan segera menjegilkan matanya sampai hendak terkeluar dari kelongsong mata ke arah Acun. Tidak dia sangka Acun sanggup menjawab di kala abah mereka sedang marah membara. Takut pula jika Acun terkena pelempang sulung dari Rameli.
“Acun... dengar sini baik-baik abah hendak terangkan. Modal yang Tok Hamzah Dollah bagi selama ini, tidak pernah sedikit pun dia ungkit, apa lagi dia hendak minta balik. Dia memberi ibarat tangan kanan menghulur, tangan kirinya tidak tahu langsung. Dia ikhlas! Hatinya sangat mulia. Tidak pernah minta sesen pun dibayar balik. Malah dia marah jika abah hendak mula sebut pasal perkara itu. Dulu, duit susu, duit klinik, makan dan pakai kita masa Acan dan Acun kecil, semua Tok Hamzah Dollah bagi tanpa abah minta. Ada sahaja pemberian dia buat keluarga kita sementara bisnes kita membangun. Dia berikan percuma! Bukan pinjamkan. Cuma satu yang dia minta... Acun, Acan. Cuma satu! Dia minta keluarga kita bagi kasih sayang pada Juju. Itu sahaja! Selama ini abah tidak ada peluang memelihara Juju. Inilah masanya abah hendak balas balik semua hutang lama abah. Bukan susah. Cuma kasih sayang yang tulus ikhlas. Itu pun susah sangatkah Acun dan Acan hendak tolong abah? Beri kasih sayang pada Kak Juju. Bukan wang ringgit!” Rameli Saripin menepuk tangannya kuat pada meja kaca di ruang tamu. Hati Acun takut macam mempelam kecut. Kepala lututnya terketar-ketar. Terasa bersalah kerana lancang mulutnya spontan yang sering menaikkan darah. Acan tertunduk 90 darjah ke permaidani yang menenggelamkan kakinya. Takut terkena tempias tamparan Rameli. Bibik Im yang tersentak di dapur, turut terketar-ketar mendengar kata-kata Rameli.
Rameli Saripin benar-benar marah dan suhunya mendidih. Jarang dia berang sedemikian rupa pada Acun. Acan masih tertunduk muram. Acun tidak berani mengangkat mukanya. Takut hendak bertentang mata dengan Rameli. Acun terpukul dan merasa bersalah apabila terngiang-ngiang dan teringat kata-kata abahnya tadi ‘Silap-silap, kita yang patut duduk di kampung.’ Rameli meninggalkan Acan dan Acun. Dia mahu mereka berfikir dengan lebih matang. Sudah berbuih mulutnya memberi taklimat dan nasihat khas. Malah sebelum Juju tinggal bersama mereka, pelbagai nasihat telah diberikan. Nasihat agar sama-sama berbuat baik dengan Juju. Rameli tidak suka bersikap kasar, marah-marah dan menunjukkan emosi di luar kawalan. Tetapi... dia perlu memberi pengajaran pada Acan dan Acun. Walaupun Juju juga sering naik tocang, jauh di sudut hati Rameli, dia tetap salahkan dirinya. Dia yang mengabaikan tanggungjawabnya pada Juju selama ini.
Sehari suntuk Juju merajuk. Menguncikan diri di dalam bilik. Dia tidak keluar langsung. Mogok lapar! Tidak mahu sentuh sebarang makanan dan minuman walau dihidang sepuluh jenis makanan berkeju sekali pun. Puas dipujuk Bibik Im, Rosnita, Rameli dan Mariyah. Juju hanya meminta tidak diganggu dengan suaranya yang sengaja dibuat sedih dan hiba. Dia memprotes dalam diam. Walhal dalam begnya penuh dengan kerepek berkeju dan berbotol air buah-buahan kegemarannya.
Keesokkan harinya, selepas balik dari sekolah, Juju masih merajuk. Riak mukanya masih bermuram durja. Dia hanya mengangguk atau menggelengkan kepala jika ditanya sebarang soalan. Tiada sepatah perkataan keluar dari mulutnya. Diam seribu bahasa. Juju pulang dari sekolah bersama Leesa, Surie dan Honey. Begitulah berlanjutan selama seminggu. Juju dan Baby Gorgeous mengunci diri di dalam bilik selepas pulang dari sekolah sampai ke malam. Malah Leesa, Surie dan Honey turut tidur di situ selama seminggu. Ibu bapa masing-masing memang telah sedia maklum dengan keakraban mereka berempat. Mereka sudah berpakat mahu berkongsi segala suka dan duka. Pulang sahaja dari sekolah, mereka pantas meluru ke bilik Juju dan bertenggek di atas katil Juju. Bilik Juju memang selesa, ibarat bilik suite  mini di hotel lima bintang. Lengkap dengan televisyen flat screen 42 inci, sofa, interkom, internet, bilik air dengan tab mandi sauna, peti ais mini dan katil king size. Mereka siap membawa bekalan makanan yang disorok di dalam beg masing-masing. Bibik Im pula sentiasa memenuhkan peti ais mini di setiap bilik dengan pelbagai minuman dan makanan ringan kegemaran mereka.  Baby Gorgeous mengunci diri di dalam bilik Juju. Setia menemani dan mendengar luahan hati Juju yang kononnya merajuk tidak terpujuk.
“Ha ha! Aku puas geng! Puas dapat kenakan dua dalam satu.”
“Dua dalam satu?” Honey meminta kepastian dari Juju.
“Acan dan Acun dua-dua kena tergolek. Dua-dua kena marah maha hebat dengan abah. Inilah yang aku mahukan selama ini. Sebelum ini, abah aku yang tidak pernah atau jarang benar marah Acan dan Acun. Baru puas hati aku. Lepas ini tengoklah. Acun akan kena lebih hebat lagi.” Leesa, Surie dan Honey saling berpandangan. Masing-masing menelan air liur sambil membuka sandwich tiga lapis berkeju tuna mayonis. Juju makan berselera sambil merancang agenda seterusnya.
Tiba-tiba kucing Demok datang bergesel sambil mengiau manja di pintu bilik Juju. Juju yang rindukan kambing Conan segera membuka pintu dan memeluk kucing Demok. Si Demok adalah kucing parsi berbulu putih lebat dan panjang milik Mariyah Fareedaz yang bebas datang ke banglo Rameli. Bulu si Demok yang semulajadi cantik, bagaikan dibuat teknik rebonding. Panjang, halus dan lembut.
“Ha! Aku dapat idea? Idea paling best!”
“Idea best apa pula kali ini Juju? Eee... makanlah dulu. Letak dulu si Demok. Nanti bulu dia melekat pada sandwich.”
“Demok yang bagi aku idea. Acun suka binatang. Belakang banglo kami macam zoo mini!”
“Ha! Apa hal pula? Hendak tambah beruang dan musang dalam zoo mini? Atau... hendak angkut kambing Conan datang sini?” Leesa menyindir sambil membelai bulu si Demok yang terurus rapi.
“Apa lagi... kita pastikan binatang mana yang Acun paling sayang... kemudian...”
“Kemudian apa Juju? Suspenlah!” Surie yang sedang menogok air jus berry bertanya dengan tidak sabar-sabar.
“Kemudian apa lagi? Kemudian kita musnahkanlah. Bunuh semua sekali!” Juju bercakap dengan penuh gaya muka pembunuh bersiri. Matanya dikecilkan seolah-olah sedang berfikir pelan cara membunuh binatang. Yang pasti, binatang tersebut mestilah yang paling Acun sayangi.
“Hah...?” Leesa, Surie dan Honey terkejut besar. Masing-masing memandang si Demok. Mereka bertiga bakal bersubahat menjadi pembunuh binatang pula. Pembunuh binatang-binatang kesayangan Acun!
“Bila?” Honey bertanya inginkan kepastian. Tarikh dan masa pembunuhan perlu direkodkan rapi.
“Bila-bila sahajalah! Sesuai sahaja, terus jalan. Tidak perlu rancang. Jangan nampak macam pembunuhan terancang. Biar nampak mati semula jadi. Natural!” Leesa, Surie dan Honey risau hendak menasihatkan Juju. Juju yang nekad dengan misinya. Hatinya bulat. Niat busuknya semakin bernanah.

88888888888888888888888888888888888888888888888