Friday 15 July 2011

BAB 16

BAB 16 ialah tentang Aiman Cullen a.k.a A.C. Misai!
Juju berebut dengan Acun mahukan seorang lelaki yang sama.
'Belacan dan keju' berebut seorang lelaki dengan penuh emosi. 
Siapa yang menang? Juju tidak mengira siapa yang menang.
Yang penting, dia dapat mengenakan keluarga barunya.

Selamat membaca BAB 16.
Bab Aiman Cullen berkumis nipis dan jarang lagi tampan bergaya
dengan otot berketul.

ANTARA BELACAN DAN KEJU
-BAB 16-
Mengorat A.C. Misai

“Leesa, apa pendapat kamu tentang A.C. Misai?”
“Wow! Wow! Aiman Cullen! The most wanted handsome guy. Siapa tidak geram? Macho, baik hati, kaya raya, tinggi lampai dan comel! Misai dia yang paling comel! Auw! I like!” Leesa memberi jawapan yang berlebih-lebihan. Dia mula berangan-angan. Matanya menerawang ke udara. Kakinya sudah menari-nari kegedikkan.
“Macam tidak percaya. Aiman Cullen baru tingkatan empat. Sebaya Acun dan Abby tetapi... muscular macam orang dewasa. Otot bonjolan sana-sini. Dia nampak matang macam jejak umur awal 20-an. Tough Macam Fahrin Ahmad!” Juju menggaru-garu dagunya yang tidak gatal sambil membayangkan A.C. Misai yang kemas berkumis jarang.
“Peduli apa dia tingkatan empat? Cuma beberapa bulan saja muda dari kita. Janji dia macho. Aduh! Bayangkan dapat tidur di dadanya yang bidang.” Surie sudah menunjukkan kegatalan berganda. Tidak berselindung meluahkan imaginasinya.
“Amboi! Sampai terbayang tidur di dada Aiman? Gatal betullah! Gelilah! Yakss!” Juju mencubit peha Surie. Terdengar jeritan suara Surie menjerit halus kesakitan dan kegedikkan.
“Mana? Mana A.C.? Mana Aiman Cullen? Mana? Mana...?” Honey yang terleka tadi sibuk melihat ke kiri dan kanan Restoran Papa Rich, tempat mereka berempat melepak petang itu.
“Aduh! Slow betul! Berangan! Mana ada A.C. di sini? Aku cuma tanya tadi. Test market, tanya pendapat tentang dia.” Juju kelakar melihat gelagat tiga orang sahabatnya. Kegedikkan yang tidak disembunyikan langsung. Tiada langsung tanjak sebagai gadis timur yang penuh kesopanan.
“Oh! Setakat minta pendapat sahaja hendak buat apa? Ingatkan dia ada di sini tadi. Kacak macam Robert Pattinson pelakon Twilight, siapa yang tidak geram? Rasa macam hendak picit-picit pipi dia. Dadanya yang bidang, hidungnya yang mancung, matanya yang galak... Auw!” Honey pula terjerit-jerit kecil, tidak terkawal sambil terus mencari maklumat di internet tentang Robert Pattinson pada komputer riba yang dibawanya. Dia tersalah sangka ingatkan A.C. Misai yang lalu di situ sebentar tadi.
“Guess what?” Juju menarik perhatian Leesa, Surie dan Honey. Mereka bertiga memandang muka Juju dengan penuh bersemangat. Mata masing-masing berkelip-kelip menanti agenda Juju yang panjang akal. Pastinya agenda busuk hapak tidak terperi. Agenda yang melibatkan keluarga pemakan belacan.
“Next week is Acun’s birthday. I thought of arranging something surprise for her. Something really surprise to be arranged together between me and Aiman Cullen.” Juju berkata-kata dengan wajah yang penuh berbunga ceria.
“Amboi, ada hati hendak buat kejutan konon. Hendak pakat dengan A.C. pula. Pandai betul hendak kenakan orang. Nanti diri sendiri yang terkena kejutan baru tahu, Juju.” Honey memberi amaran. Risau hendak bersekongkol dengan Juju lagi sebenarnya.
“Kali ini aku hendak rancang biar sampai semua terkejut beruk! Paling best, si Aiman akan jadi perancang misi untuk birthday Acun sekali. Biar nampak macam kami berdua sama-sama mahu yang terbaik untuk Acun. Sebenarnya biar Acun terkena! Dalam masa yang sama, kita grab si Aiman. Dua dalam satu! Biar Aiman masuk poket kita! He he.” Juju sudah berangan-angan bergandingan tangan bersama Aiman. Berjalan di taman bunga yang penuh dengan seribu jenis bunga bak musim bunga di Belanda. Penuh dengan kudup bunga tulip berwarna-warni.
            “Ha! Jangan lupa! Kalau berjaya tangkap Aiman Cullen masuk poket, mesti kena kongsi dengan kami. Jangan sapu seorang.” Leesa mencubit manja pinggang Juju.
            “Ha ha! Jangan risau, nanti kita share Aiman Cullen sama-sama. Kita jadikan dia teman tapi mesra kita bersama. He he he...” Mereka berempat ketawa berdekah-dekah dengan kuat. Tidak langsung menjaga tatasusila gadis melayu penuh kesopanan. Semua yang berada di restoran tersebut memandang mereka. Ada pelanggan restoran yang mengeleng-gelengkan kepala.
            “Bila pula bab hendak menghapuskan binatang kesayangan Acun?” Leesa dan Honey menjegilkan mata ke arah  Surie kerana memandai-mandai mengingatkan Juju tentang niat membunuh binatang kesayangan Acun. Surie sendiri terasa telah silap bertanya. Silap mengingatkan Juju untuk melaksanakan satu lagi misi busuk. Surie menyumpah dirinya sendiri dalam diam.
            “Bab yang itu mana boleh lupa. Jangan risau. Cuma sekarang, kita kena buat satu persatu. One at a time! Tetap akan dilaksanakan. You girls, mesti tolong sekali. Yang penting! Apa sahaja yang Acun miliki, semua mesti jadi milik kita! Kalau tidak menjadi milik kita... kita musnahkan! Semua misi tidak boleh gagal! Biar padan muka minah gebu itu. Baru betul-betul puas hati aku.” Juju ketawa dengan mengilai kali ini. Mengalahkan Pontianak Harum Sundal Malam. Semenjak membahasakan dirinya dengan panggilan aku pada geng Baby Gorgeous, semacam tumbuh tanduk kecil syaitan di kepalanya. Semakin menjadi-jadi misi jahat berkumannya. Hilang sudah ciri-ciri keayuan gadis yang sopan serta kekampungan pada dirinya. Leesa, Surie dan Honey agak malu dengan gelagat Juju. Mereka juga agak terkedu dengan agenda Juju yang masih belum puas hati untuk memusnahkan keluarga belacan. Namun, masing-masing hanya mampu tersenyum kelat. Mereka bertiga mesti turut menjayakan misi terbaru Juju. Misi mengorat Aiman Cullen yang tampan berkumis jarang!
@@@@@@@@@@
 “Malam nanti, datanglah sini A.C. ya. Jangan tidak jadi pula okey. Kita buat khas untuk Acun. Majlisnya minggu depan. Nanti kita tidak cukup masa. We gonna plan the best for her birthday. We give her big surprise!” Juju membuat suara menggoda selentuk mungkin. Suara manja, sayup dan perlahan. Gaya suara gedik dan menggatal menerjah halwa telinga A.C. Misai. Biar A.C. tergoda dengan kelunakkan suaranya yang sengaja dibuat-buat. Sungguh gemersik bunyinya. Namun, A.C. Misai masih takut-takut dengan ajakan Juju. Juju yang dianggap kakak sebab Juju adalah kakak kepada Acun.
“Eh! Erk... Kalau betul hendak buat kejutan buat Acun, elok kita bincang di luar sahaja, Juju. Kita bincang sambil makan atau minum. Lebih manis rasanya jika di luar sahaja.” A.C. Misai serba salah. Takut disalah anggap oleh Acun. Serba salah juga kerana takut terpedaya dan tergoda dengan kecantikkan Juju yang turut dikaguminya dalam diam.
“Bincan di luar? Mana boleh bincang di luar. Kalau Acun jumpa kita berdua di luar, bagaimana? Mesti dia lagi salah sangka. Kalau di rumah, paling tidak pun, ada Bibik Im. Apa hendak dirisaukan?” Sedaya upaya Juju cuba meyakinkan A.C. Misai. Terbayang olehnya misai A.C. yang jarang-jarang dan manis mata memandang. Boleh cair dibuatnya memandang kumis jarang yang tersisir rapi milik Aiman Cullen yang tampan bergaya.
“Kalau Acun sendiri ada di rumah bagaimana pula?” A.C. Misai sebenarnya masih ragu-ragu. Tambah meragui ialah tentang bagaimana Juju dapat nombor telefon bimbitnya. Namun, dia kelu dan malas pula hendak bertanya pada Juju tentang itu.
 “Oh! Saya ingatkan kamu tahu tadi. Malam ini Acun pergi ke rumah Abby. Hendak siapkan projek bengkel penulisan bersama katanya. Silap-silap, dia tidur di sana terus. Senanglah kita hendak buat agenda kita.” Juju bersuara memujuk.
A.C. Misai tertelan air liur terkejut. ‘Senanglah kita hendak buat agenda kita? Alamak? Agenda apa pula si Juju ini. Takut aku!’ Bisik hati kecilnya. Dia masih di talian telefon bersama Juju.
 Juju bercakap sambil membayangkan dia bercengkerama bersama A.C. Misai. Masih bersekolah tetapi sudah gatal berimaginasi hendak berkepit dengan lelaki. Hati Juju girang dan melonjak. Dia sudah menari-nari seorang diri gaya kerabat diraja menari di ballroom istana.
“Lagi satu, jangan lupa bawa hadiah untuk Acun malam nanti. Mesti A.C. sudah siap belikan untuk Acun.”
“Bawa hadiah sekali? Memang saya sudah siap tempah khas. Tetapi... mengapa perlu bawa malam ini?”
“Bawa sahajalah. Sebab kita akan letak hadiah spesial itu dalam kek. Adalah caranya. Kalau hendak tahu, mestilah datang malam nanti! Kita bincang sama-sama. Ingat! Rancangan ini semua untuk kebahagian Acun dan A.C. juga. Saya sebagai kakak Acun, saya mahukan yang terbaik sahaja untuk adik saya.”
“Okey, okey... malam ini saya datang. Lepas maghrib.” Perlahan A.C. Misai menyatakan persetujuan. ‘Baiknya Juju. Sayang betul dia pada Acun. Sedangkan Acun selalu cakap yang bukan-bukan tentang Juju dibelakang Juju.’ Dalam diam A.C. Misai memuji-muji hasrat murni Juju. Hasrat murni penuh warna warni dan noda hitam di sebaliknya.
Juju gembira bukan kepalang dengan persetujuan A.C. Misai. Namun, dia geram tidak terkata dengan hadiah yang A.C. Misai maksudkan. ‘Cis! Siap tempah hadiah hari jadi untuk Acun? A.C. Misai buta agaknya. Tidak nampak aku lagi vogue berbanding Acun. Mana boleh macam ini. Tengoklah malam nanti.”
@@@@@@@@@@
“Jemputlah masuk. Kita bincang di ruang santai tingkat dua ya. Kalau di sini nanti, tiba-tiba ada sesiapa balik, tidak sempat pula kita sorok apa yang kita hendak rancangkan. Tiadalah surprisenya lagi.” Juju menguntumkan senyuman bak mawar terlebih mekar pada A.C. Misai yang terkedu mempelawanya masuk.
‘Bincang di atas? Di bawah cukuplah.’ A.C. Misai berperang di dalam hatinya. Serba salah hendak masuk ke banglo Rameli. Mulutnya terkunci pula untuk memberi usul agar berbincang di ruang tamu utama di bawah sahaja. Walhal dia telah biasa keluar masuk ke situ banglo Rameli. Bukan asing lagi antara A.C. Misai dan keluarga Rameli selama ini. Cuma yang lain kali ini ialah, pertama kali dia diajak masuk oleh Juju, kakak kepada Acun dengan suasana yang sepi di malam hari.
“La... cepatlah masuk. Takut-takut pula dia. Bibik Im adalah. Lagi cepat kita bincang, lagi cepat habis! Lambat-lambat nanti, kalau orang lain balik, rosaklah rancangan kita. A.C. sudah makan malam?” A.C. Misai mengangguk kepala tanda mengiyakan yang dia sudah makan di rumahnya.
 “Juju ada sediakan air jus markisa dan kek keju kukus spesial untuk A.C. Sambil bincang, boleh minum dan rasa kek yang Juju buat sendiri!” Kalau boleh, Juju hendak segera memegang dan menarik tangan si jejaka berotot pejal di depannya. Namun, Juju masih waras mengingati batasan yang perlu dijaga. Lagi pun tidak boleh nampak kalut dan gelojoh. Perlu nampak sopan dan tertib.
A.C. Misai melangkah masuk lambat-lambat macam kura-kura tua. Dengan penuh rasa serba salah, A.C. Misai berat dan lambat-lambat menuruti jejak langkah Juju ke atas. Dia tertelan air liur. Entah mengapa Juju kelihatan sangat ayu dan jelita malam itu. Jelita semulajadi yang tidak dibuat-buat. Dia berpakaian biasa, cuma t-shirt merah hati potongan badan dan seluar panjang krim berkain jersey potongan kaki aladin. Namun, Juju tetap nampak anggun menawan tanpa secalit alat solek. A.C. Misai bukanlah anak remaja yang alim tetapi dia tetap beristighfar dan berdoa agar tiada yang buruk berlaku padanya dan Juju malam itu. Risau pula dicekup kerana berkhalwat dengan kakak kepada Acun.
“Ha! Inilah dia rancangannya. Rancangan kita berdua! Kejutan di majlis hari jadi Acun! Mana hadiahnya yang A.C. tempath? Kita kena letak hadiahnya nanti di dalam kek hari jadi.” Juju menghulurkan sekeping kertas tentang rancangan kejutan tersebut. A.C. pula teraba-raba di celah poket seluar mencari hadiah harijadi istimewa buat Acun.
Aunty Ros minta saya uruskan bab kek harijadi Acun. Sebab tiga hari sebelum majlis, Aunty Ros ada kursus outstation. Saya tidak mahu kata tidak. Nampak tidak manis pula. Apa pendapat Juju? Kita tempah di mana yang paling best? Secret Recipe? La Manila? Atau... any particular hotel?” A.C. Misai cuba bereaksi selesa dengan Juju. Biar nampak semulajadi dan tidak kekok. Maklumlah mereka akan merangka kejutan bersama untuk majlis Acun. Juju pula mendapat idea baru apabila disebut soal tempahan kek. Pucuk dicita, ulam mendatang!
“Mama Ros suruh A.C. yang uruskan bab kek harijadi Acun? Wow! Nampaknya Mama Ros lebih percayakan A.C. berbanding Juju, kakaknya sendiri.”
“Eh! Bukan macam itu. Kami sudah lama kenal. Tahun lepas masa tidak sempat buat majlis hari jadi untuk Acun pun, saya yang sukarela belikan kek istimewa untuk Acun. Sebab itu agaknya Aunty Ros suruh saya tempahkan juga tahun ini.”
Hati Juju mula mendidih dengan jawapan A.C. Misai. Dia mula mengomel sendirian di dalam hatinya. ‘Mengada-ngada betul Acun. Semua orang layan dia macam tuan puteri kayangan. Dia ingat dia siapa? Tahun ini tahulah dia macam mana pula. Tunggulah!’
“Oh! Itu sahaja masalah A.C. Masalah hendak tempah kek yang terbaik untuk Acun ya. Kalau A.C. tidak kisah, saya ada kawan yang pakar bab kek. Bisnes famili dia. Specially baked from home. Home made marvellous delicious cake! Jangan risau... keknya memang setaraf hotel lima bintang. Memang tip top hasilnya. Kalau tidak percaya, saya akan bawakan katalog dan contoh keknya untuk A.C. pilih kek yang tercantik dan tersedap. Nanti kita cakap pada Mama Ros, A.C. yang uruskan. Bukan saya... jadi, biar nampak A.C. yang betul-betul ambil berat hal Acun.”
“Baguslah kalau begitu, Juju. Settled bab kek!”
 “Hah! Mana hadiahnya tadi? Bagi saya. Nanti kita akan letakkan hadiahnya di dalam kek. Betul-betul di tengah-tengah kek! Bila Acun potong kek, dia akan terpotong benda keras, tengok-tengok ada hadiah dari A.C di tengah-tengah kek. Mesti dia terkejut gila. Mesti dia suka! Setuju?” A.C. Misai nampak teruja dengan pelan kejutan Juju. Juju bercakap dengan suara yang paling merdu dan paling lunak. Suaranya sengaja diperlahankan tonanya. Turun naik alunannya. Suara separuh berbisik macam dalam kelambu pengantin baru. Biar nampak semulajadi manja orangnya. Biar nampak benar dia seorang kakak yang ikhlas mahukan kebahagiaan adiknya. A.C. Misai memuji-muji di dalam hati akan kebaikan Juju. Semuanya demi Acun yang nampak tulus.
“Ini lokek dan rantainya! Saya sendiri kurang pasti, cantik atau tidak?” A.C. Misai menghulurkan kotak baldu biru berbingkai emas gemerlapan. Klasik berbentuk love comel dalam versi 3D yang boleh berpusing 360 darjah. Lokeknya boleh dibuka dua di bahagian tengahnya apabila butang emas sebesar biji saga ditekan. Sungguh unik! Sungguh menarik dan terpegun Juju melihatnya. Ada gambar A.C. dan Acun berdua di dalamnya. A.C. Misai menjadi malu-malu kucing ketika Juju membelek keunikkan rantai dan lokek yang ditempah khas untuk hari jadi Acun. Terkesima dan bulat mata Juju membelek penuh asyik. Tiba-tiba Juju menjadi cemburu tahap berapi. Perasaan iri hatinya meluap-luap membara. ‘Bagamaimana aku yang cun ini tidak ada buah hati yang dapat berikan aku hadiah indah macam ini? A.C. Misai memang buta warna agaknya. Buta tidak nampak aku yang cantik di depan matanya.’
“Wow! Sungguh romantik! Bertuah sungguh Acun. Kalau sayalah jadi dia, saya akan jaga buah hati macam A.C. elok-elok.” A.C. Misai hampir tersedak. Juju pula terkelip-kelip matanya. Juju terus membelek rantai dan lokek emas tersebut. Dia sempat mengerling pada A.C. Misai. Jelingan yang paling manis yang pernah dibuat. A.C. Misai menggaru hidungnya yang tidak gatal berkali-kali. Tanda tidak tentu arah. Tanda tidak keruan. Tidak dapat membohongi bahawa Juju memang lebih anggun. Pandai mengambil hati dan pandai menyusun ayat indah berbanding Acun. Kata-katanya akan membuatkan sejuk hati mendengarnya. Jauh sebakul perangainya berbanding Acun. Acun yang suka memberontak. Suka naik angin. Suka mengamuk! Mahu semuanya cepat dan suka panas baran ketika bersama dengan A.C. Misai. Pada hemat A.C., ternyata dua beradik berlainan ibu itu berbeza sekali karektor mereka.
 “Hmm... baru saya perasan. Mana orang lain semua? Maksud saya, selain Acun yang Juju kata tiada di rumah?”
“Alah... jangan risaulah A.C., Bibik Im kan ada di biliknya di bawah. Orang lain semua keluar. Ha... janganlah marah saya pula, Juju sendiri pun baru tahu abah ada jemputan kenduri arwah sahabatnya. Mama Ros, Aunty Mariyah dan Acan pun ikut sekali. Ada majlis tahlil. Malam ini malam Jumaat.” Juju dapat membaca kerisauan hati A.C. Misai. Risau tinggal serumah berdua dengan gadis secantiknya. Risau dicekup Pegawai Pencegah Maksiat.
Bibik Im pula batuk teruk hari itu. Batuk macam ayam tua berkokok di pagi hari. Sampai perit tekaknya akibat batuk yang tidak mahu kebah sudah seminggu lamanya. Juju sengaja memberi Bibik Im makan setengah botol ubat batuk yang dibeli di farmasi oleh Baby Gorgeous. Ubat batuk yang dapat melegakan batuk teruk Bibik Im. Bibik Im yang sudah lena berdengkur seawal selepas maghrib. Lena dan lega dapat tidur lena setelah lama tidak dapat melelapkan mata dengan nyaman dan tenang.
Juju membelek mukanya pada cermin berbingkai perak yang berlekuk-lekuk. Cermin koleksi terbaru pemberian Mariyah Fareedaz. Dengan selamba Juju membetulkan alis dan keningnya. Dia dapat melihat A.C. yang masih agak takut-takut dan kekok. Sambil A.C. meneguk jus markisa dan makan kek keju kukus, Juju terus menerangkan rancangan yang diatur pada malam majlis hari jadi Acun nanti. Rancangan kejutan yang penuh romantik. Kejutan bagaimana nanti A.C. akan menyarungkan rantai berlokek istimewa ke leher Acun di depan semua tetamu. Rantai yang tersembunyi rahsia di dalam kek harijadi. Upacara romantik cinta monyet yang akan membuatkan Acun seronok tidak terhingga. Bersemangat Juju bercerita manja. Rancangan yang nampak tidak berbau busuk dan jahat langsung. Jauh sekali menunjukkan hasad dengki. Juju menerangkan dengan penuh lemah lembut, penuh gaya tersendiri. Rancangan yang diatur nampak sungguh mulia. Nampak seolah-olah seorang kakak yang tulus ikhlas merancang yang terbaik untuk hari jadi adik perempuannya yang seorang. Perlahan-lahan sekali lagi A.C. Misai amat mengkagumi Juju. Cara cakapnya, gayanya, rancangannya untuk Acun dan A.C.... nampak sangat yang Juju seorang gadis yang berhati mulia dan berhemah tinggi. Tanpa disedari mereka telah duduk semakin dekat dan rapat, walaupun tidak bersentuhan.
Tiba-tiba telefon bimbit A.C. Misai berdering. Mereka berdua yang ditemani syaitan di tengah tersentap dengan bunyi deringan telefon tersebut. Juju menyumpah seranah di dalam hati. ‘Kacau daun betul, masa inilah telefon dia hendak bunyi pun. Esok-esok barulah bunyi!’
“Hello... Acun...? Hah! Acun pergi ke rumah A.C. dengan Abby? Mengapa pergi rumah A.C. tidak bagi tahu awal-awal? Ya betul, betul... A.C. di rumah Acun sekarang!” A.C. Misai terketar-ketar menjawab panggilan dari Acun.
‘Eee... apa yang bodoh sangat si A.C. ini? Apa yang betul bendul dan lurus benar beritahu yang dia di sini? Harap muka sahaja handsome. Otak macam udang geragau!’ Juju geram mendengar perbualan A.C. Misai bersama Acun di talian. A.C. Misai sebenarnya terkejut mendengar Acun ke rumahnya bersama Abby. Paling malang apabila Acun memberitahu bahawa ibu A.C. Misai memberitahu kepada Acun bahawa A.C. Misai telah keluar ke rumah Acun. Puas A.C. Misai memberi penerangan kepada Acun di talian. A.C. Misai siap bangun dan mundar mandir memberi penjelasan dan memujuk Acun yang kedengaran sudah naik angin seluruh badan. Sekejap dia duduk, sekejap dia berdiri. Jenuh memujuk si jantung hati.
Juju dengan segera menghantar pesanan ringkas kepada tiga sahabatnya. Mereka memang telah sedia tunggu di dalam bilik Juju sebenarnya. Sengaja melepak di situ tanpa pengetahuan ahli keluarga yang lain, mahu pun A.C. Misai. Sengaja bersiap sedia sekiranya Juju memerlukan pertolongan mereka. Bagi Leesa, Surie dan Honey pula, paling penting ialah sekiranya mereka dapat mengintip aksi romantik Juju bersama A.C. Misai.
Tidak sampai sepuluh minit, tiba-tiba Acun muncul di ruang tamu utama di bawah bersama Abby. Sedangkan A.C. masih di talian menjelaskan kepadanya akan perkara sebenar. Acun terjerit-jerit macam orang gila sambil memanggil nama A.C. Misai. Dia memanggil macam orang terkena histeria tahap parah. Abby pula tidak mampu menenangkan Acun lagi. A.C. Misai dan Juju berlari beriringan turun tangga ke bawah. Terkejut betul mendengar jeritan suara Acun yang bergema sekuat alam. Entah bagaimana ketika berlari tidak cukup tanah, kaki Juju dan A.C. Misai tersadung antara satu sama lain. Tersadung yang sengaja dibuat oleh Juju spontan! Sengaja meletakkan kakinya ke depan sedikit supaya mereka berdua saling terjatuh. Mereka berdua jatuh tergolek beberapa anak tangga. Tanpa sengaja, Juju betul-betul jatuh terduduk di atas ribaan A.C. Misai. Jatuh tergolek yang tidak dirancang dan betul-betul menjadi. Betul-betul mengena tepat kepada sasarannya. Dalam menahan sakit kakinya, hati Juju melonjak kegirangan. Dia membuat aksi gaya tergolek yang hebat sambil tanpa sengaja A.C. Misai terpaksa merangkulnya. Demi mengelak muka Juju dari tersembam menjamah lantai marmar, rangkulan tidak sengaja antara mereka berdua berlaku betul-betul bersaksikan Acun dan Abby. Leesa, Surie dan Honey sempat mengintip dari ruang tamu atas, sudah siap bertepuk tampar tanda sokongan padu. Walaupun masing-masing iri hati melihat Juju dapat merangkul bahu A.C. Misai tanpa sengaja, mereka tetap seronok melihat adegan yang penuh aksi berguling bagai cerita hindustan. Mulut Acun dan Abby pula melopong macam lubang gua. Kelam kabut Juju dan A.C. Misai bingkas bangun dalam kesakitan apabila mendengar Acun menjerit bagai hendak pecah semua kaca di dalam banglo. Jeritan mega yang memecah keheningan malam seisi banglo. Bergoyang-goyang kaca swaroski lampu chandelier yang terhuyung hayang. Seekor cicak kelabu gemuk di dinding terus jatuh ke lantai akibat lantunan suara Acun yang terlalu nyaring.  
“A.C.! A.C.! A.C.! Pembohong! Penipu! Bedebah! You ada skandal sulit dengan Kak Juju! I ke rumah Abby. You pula datang ke sini senyap-senyap masa orang lain tiada di rumah. Kak Juju memang jahat! Pergilah balik kampung! Berambus! Benci! Berambus...!” Acun menjerit-jerit bagai orang gila. Tiba-tiba penampar sulung hinggap di pipinya. Pipinya terasa kebas. Telinganya terasa berdesing. Giginya nyaris tercabut.
“Ayu Raudahtul! Jaga mulut kamu! Berapa kali sudah abah pesan. Kamu suruh Kak Juju berambus? Ini... ini apa semua ini?” Rameli Saripin baru pulang bersama Rosnita, Mariyah dan Acan. Masing-masing kelam kabut masuk ke rumah apabila terdengar Acun menjerit-jerit bagai orang gila terkena sawan meroyan.
Apabila melihat Acun terdiam akibat terkejut kena tamparan maha hebat, Abby Abadeez kelam kabut menceritakan apa yang telah berlaku. Dia bercerita A sampai Z dengan penuh emosi dan gaya. Siap menokok tambah dengan perisa masam dan manis bagi merancakkan lagi isi cerita. Gaya pembela Acun yang sudah tidak boleh berkata-kata akibat terkena penampar sulung abahnya. A.C. Misai pula turut bercerita tentang tujuan asalnya yang tulus ikhlas dan suci murni untuk membuat kejutan yang paling gempar bagi majlis hari jadi Acun minggu depan. Kejutan yang dirancang khas bersama Juju.
“Apa semua ini Juju? A.C.? Mana Bibik? Kamu berdua sahaja di rumah? Siapa ajar kamu buat begini? Berdua-duaan?” Rosnita Chek Wah membuka mulut bertanya pada A.C Misai dan Juju.  Walaupun kurang senang dengan keceluparan mulut Acun, Rosnita juga tidak suka cara suaminya menampar Acun tadi. Memberi penampar sulung di depan orang lain. Dia tidak rela satu-satunya anak kandung perempuannya yang sangat disayangi diperlakukan sedemikian rupa. Naluri keibuannya bergetar.
Tiba-tiba Bibik Im keluar dari biliknya dengan keadaan lali dan pening lalat. Dia terkejut mendengar suara hiruk pikuk di ruang tamu. Keadaannya sedikit serabai. Dia memang tahu kedatangan A.C. Misai sebelum menelan ubat batuk setengah botol tadi.
“Saya ada... saya di sini, tuan, puan.  Saya terlena sebentar sahaja. Saya minum ubat batuk sebab sudah tidak tahan sakit benar leher saya. Perit sekali. Juju memang sudah beritahu saya yang A.C. akan datang ke rumah untuk bincangkan kejutan buat majlis Acun.” Lemah suaranya bersuara sambil terbatuk-batuk terus. Sementelahan dengan itu juga, tiga sahabat sehidup semati pun menjelmakan diri mereka. Leesa, Surie dan Honey melompat turun tangga dengan laju dari ruang tamu di atas. Gaya cat woman yang muncul tiba-tiba.
“Kami pun ada sekali... aunty, uncle... kami dari tadi ada bersama Juju dan A.C. di atas. Kami tengok televisyen dalam bilik Juju. Siapa kata A.C. dan Juju berduaan sahaja di rumah?” Leesa bercakap bagi pihak Surie dan Honey. Hati Juju kembang berbunga apabila para sahabatnya telah memainkan peraanan bagai backup singers. Mereka bertiga telah memunculkan diri tepat pada waktunya. Memang boleh diharapkan. A.C Misai sendiri agak terkejut dengan kemunculan tiga anak dara gedik itu, tetapi cepat-cepat dia menyembunyikan rasa terperanjatnya melihat Baby Gorgeous sambil menjeling ke arah Juju. Nampaknya Juju memang bukan sengaja ingin memerangkap mereka berdua bersama Juju di rumah. Memang ada kawan-kawan Juju yang lain di situ rupanya. Hati A.C. Misai semakin lega. Bab menenangkan dan memujuk Acun boleh diuruskan kemudian. Yang penting nama baiknya tidak busuk berhapak atau kena tuduh berdua-duaan dengan Juju oleh Rameli.
“Kasihan sungguh anak ibu. Tidak tentu pasal kena tuduh berdua-duaan. Sudah! Mari ke rumah ibu. Mari ibu tengokkan kakinya yang sakit akibat jatuh. Nanti biru lagi macam di tasik hari itu. Mari sayang, ajak teman-temannya sekali.” Leesa, Surie dan Honey memimpin Juju berlari terkedek-kedek mengekori Mariyah Fareedaz yang sering menjadi pembelanya di saat-saat genting. Rosnita tertunduk dan mengeluh berat.
Acun berlari ke biliknya. Acan menggeleng-gelengkan kepalanya sambil menepuk bahu A.C. Misai yang masih serba salah dan tidak keruan. Tidak mungkin A.C. Misai mengekori Acun ke biliknya untuk memujuk. Nanti apa pula kata ibubapa Acun. Sudahlah dia menjadi dalang pengeruh keadaan. Mahu tidak mahu, A.C. Misai meminta diri untuk pulang segera. Dia tertunduk menikus ketika bersalam dengan Rameli. Tidak rela mengangkat muka walau satu sentimeter. Takut terkena pelempang tidak tentu pasal. Masih terasa bahang kemarahan di hati Rameli. Namun, A.C. Misai tetap teringat akan pelan gempak untuk majlis hari Acun kelak. Pelan gempak yang dirancang rapi bersama Juju tadi. Abby pula takut-takut melangkah kaki keluar. Niat di hati ingin memujuk Acun ditangguhkan dahulu. Risau pula untuk mencurahkan minyak petrol ke api yang sedang memercik. Takut pujukannya menyemarakkan rasa geram Acun kepada Juju dan A.C. Misai. Bibik Im yang masih tidak berapa faham akan apa yang telah berlaku, masuk semula ke biliknya. Sambung tidur hasil penangan ubat batuk yang melenakan. Acan meninggalkan ibubapanya berdua di ruang tamu.
“Mengapa abang sampai tangankan Acun? Selama ini... tidak pernah abang angkat tangan pada anak-anak kita. Jauh sekali hendak jentik sedikit pun.” Rosnita berbicara dengan nada sedikit sedih. Dia sedia maklum akan kesalahan Acun, namun... dia tidak rela anak gadisnya dipelempang walaupun oleh Rameli sendiri.
“Apa kaitan A.C. dan Acun? Tunang? Boy friend? Mereka masih bersekolah. Baru kawan sahaja. Belum ada sebarang ikatan... Acun sudah cemburukan Juju tidak tentu pasal. Juju itu kakaknya sendiri. Tuduh A.C. berkhalwat dengan Juju. Sedangkan niat Juju hendak buat surprise untuk siapa? Acun juga!” Rameli berkata-kata dengan nada yang masih mendidih hangat nadanya. Rosnita ingin menjawab tetapi Rameli cepat mencelah semula.
“Sudahlah Ros... jangan pasal budak-budak, kita pula yang bergaduh. Tidak habis-habis kata Juju anak kampung dan suruh berambus dari sini. Acun ingat dia siapa? Ros ingatkan Acun lepas ini. Dia masih bersekolah. Masih belajar! Jangan hendak berteman lelaki setaraf orang sudah bertunang atau bersuami. Cemburu buta mengalahkan orang sudah kahwin. A.C. itu siapa dengan dia? Jaga anak dara awak baik-baik!” Rosnita terkedu. Dia tidak mahu memanjangkan hal tadi walaupun hatinya masih terbuku. ‘Aduh! Pening betul ada anak dara yang semakin membesar.’ Getus hati kecil Rosnita. Jauh di sudut hatinya dia sendiri geram dengan sikap Juju yang terasa sengaja dibuat-dibuat. Sengaja bereaksi teraniya. Semuanya terasa bagai dirancang oleh Juju. Namun, Rosnita tidak rela menjadi bagai ibu tiri Cinderella atau si Bawang Merah. Dia mahu menjadi ibu tiri alaf baru, ibu tiri millenium yang baik hati dan adil untuk semua anak-anaknya.
Malamnya tepat jam 12 tengah malam, A.C. Misai masih tidak berjaya bercakap di talian bersama Acun yang merajuk tidak terpujuk. A.C. Misai mula muak dan bosan. Mula dalam diam membandingkan Acun dan Juju. ‘Sama cantik, sama ayu, sama bijak, sama manja tetapi perangai jauh panggang dari api. Seorang panas baran, kuat mengamuk, kuat merajuk... seorang lagi pula berhati suci murni dan mulia ingin yang terbaik untuk adiknya.’ Bisik hati kecil A.C. Misai yang mula nampak yang indah-indah belaka sahaja tentang Juju yang berjaya menjadi pelakun handalan sebentar tadi.
Sebelum tidur, A.C. Misai tidak lagi memujuk Acun yang merajuk secupak tetapi mengada segantang. A.C. Misai siap berbalas pesanan ringkas dengan Juju pula. Memuji ketulusan dan keikhlasan Juju. A.C. Misai meminta maaf bagi pihak Acun yang menuduh Juju. Hati Juju berlagu riang. Dia ketawa keriangan ketika sedang baring berempat bersama Leesa, Surie dan Honey di bilik tetamu utama banglo Mariyah Fareedaz. Semua terpinga-pinga apabila Juju bangun dari pembaringan dan terus menari ronggeng.
“Sudah-sudahlah Juju. Bawa-bawa tidurlah. SMS, gelak, SMS, gelak! Sekarang bangun menari agogo pula. Nasib baik tidak ada pokok. Kalau tidak, mesti kamu sudah menari keliling pokok pula.” Leesa sudah membebel. Pening melihat gelagat Juju.
“Haha! Aku berjaya! A.C. Misai bukan pujuk Acun. A.C. Misai pujuk aku! Minta maaf dari aku. Puji aku kakak yang baik dan berhati suci murni! Seronok betullah!” Juju sambung menari keseronokan di atas tilam empuk yang gebu.
“Wow! Nampaknya kamu sudah berjayalah mengorat Aiman Cullen. Jangan lupa share dengan kami ya.” Surie yang separuh lena bingkas bangun semula. Sempat lagi mengingatkan soal berkongsi A.C. Misai dengannya.
“Belum... belum berjaya lagi. Nanti ada sambungan masa birthday party Acun next week. Just wait and see! Masa itu, baru betul-betul Aiman jatuh ke tangan kita. Mereka berempat ketawa keriangan. Menari tergolek-golek sambil berlaga pinggul. Terbayangkan ahli Baby Gorgeous terbaru yang unik iaitu Aiman Cullen.
 @@@@@@@@@@
 “Ruginya! Rugi besar kamu, Leesa... rugi sebab tidak ada masa birthday party Acun semalam. Majlis yang paling hangat di abad ini. Paling gempak! Panas... panas!” Leesa geram mendengar kata-kata Surie. Alangkah indahnya jika dia dapat bersama ahli Baby Gorgeous yang lain. Sama-sama dapat meraikan usaha mengorat A.C. Misai dan mengkucar kacirkan majlis harijadi Acun.
Leesa tidak dapat mengelak dari menurut arahan daddynya malam tadi. Cikgu Ally Putra mahu mengenalkan seseorang yang kononnya sangat istimewa kepada Leesa. Seseorang yang mungkin bakal menjadi ibu barunya. Menggantikan arwah ibunya yang telah lama meninggal dunia ketika melahirkannya. Leesa tidak pernah merasai walau seteguk kasih sayang seorang ibu. Masuk malam tadi, sudah empat kali Leesa melalui upacara perkenalan yang sama. Ada sahaja yang tidak kena. Leesa geram! Geram kerana tidak dapat turut serta dalam majlis harijadi Acun yang dikatakan hebat dan penuh kejutan. Bertambah geram berganda kerana bakal ibu tirinya kali ini tidak sedikit pun menepati cita rasanya. Harapkan muka sahaja comel baby face dan tinggi lampai, tetapi perangai tidak langsung sebagaimana ciri-ciri ibu yang diimpikan oleh Leesa selama ini. Geli geleman melihat aksi bakal siibu tiri yang begitu manja mengalahkan budak darjah satu. Mahu saling bersuapan, mahu berpegang tangan sentiasa, mahu dilap kuah yang tertumpah di mulutnya. Hanya mahu mengambil hati Cikgu Ally Putra, daddy Leesa sahaja. Sedangkan Leesa... bagaikan tidak wujud langsung di meja makan romantik tersebut. Cikgu Ally Putra sendiri termalu alah dengan Leesa. Malu dengan anak gadisnya sendiri kerana aksi buah hatinya. Hajat di hati agar bakal si ibu tiri mengambil hati Leesa. Lain pula jadinya. Leesa tidak habis-habis merungus dan menunjukkan tanda protes terang-terangan sambil menarik muka monyok seribu. Sudahnya, Leesa yang sememangnya agak kasar dengan gaya tomboynya, telah menyucuk lengan baju berlace bakal si ibu tiri dengan garpu sampai terlekat di meja makan.
“Alah... cepatlah cerita. Apa yang terjadi semalam? Mesti menarik! Cepatlah cerita... cepatlah...” Leesa merayu sambil menarik bahu Juju yang tidak habis-habis tersengih seorang diri dari tadi. Leesa geram dengan aksi Juju, Surie dan Honey. Sengaja buat Leesa berdebar-debar.
“Bayangkanlah Leesa, kek harijadi Acun meletup! Aku suruh orang kek buat kejutan bagi kek itu terbelah cantik masa dipotong untuk ambil hadiah yang disorok di dalamnya... Tup,tup, kek itu meletup sebab orang kek itu letak macam mercun kecil di dalamnya. Alah, mercun kecil sahaja. Kecil sedikit dari mercun katak. Siap ada timer. Pemetik butang timer itu, kawan si A.C. yang control. Bukan kami bertiga. Jadi, kami tidak masuk campur kes letupan semalam. Tidak ada sesiapa boleh salahkan kami. Salah orang yang buat kek yang telah tersilap faham dan salah si pemetik timer!” Juju bercerita selamba gaya tidak bersalah. Siap ketawa terkedek-kedek dengan Surie dan Honey. Bagai tidak ada perasaan langsung. Surie dan Honey bertepuk tampar seronok mengingati kes semalam.
“Hah? Kek meletup? He he... macam tidak percayalah. Agaknya orang yang buat kek itu mesti sudah silap faham. Atau pun... dia tidak ada idea hendak bagi kek itu terbelah cantik. Bukan senang, hendak sorok hadiah lagi di tengah kek.” Leesa syak pasti ada yang tidak kena. Dia sudah mula masak dengan perangai busuk Juju. Surie dan Honey pula menjadi orang suruhan yang mengikut telunjuk Juju membabi buta sahaja.
“Juju sudah bayar mahal-mahal... kenalah orang kek itu buat sampai jadi juga. Selain buat kek, kena juga kunci mulut. Itu kan kerja dia. Mengapa dia kata sanggup buat kalau tidak pandai buat bagi kek terbelah cantik? Dia yang kata dia profesional. Cuba bayangkan Leesa, bukan sahaja kek yang meletup sampai tersembul, hadiah di tengah kek terus melambung masuk betul-betul ke dalam kolam renang. Maklumlah, birthday girl requested birthday party mesti buat betul-betul tepi kolam renang.” Honey bercerita kepada Leesa dengan penuh gaya tangan menerawang terapung di udara. Bersungguh-sungguh bercerita dengan nada suara naik dan turun. Terlopong Leesa mendengar hadiah rantai dan lokek tercampak ke kolam renang. Leesa sempat meneguk air jus oren di depannya. Rugi benar rasanya tidak dapat turut serta menyaksikan hadiah harijadi terbang ke dalam kolam renang.
“Alamak! Habis? Siapa yang selamatkan hadiah harijadi? Apa jadi dengan kek harijadi yang meletup? Tidak boleh makanlah ya. Eee... buat membazir sungguhlah. Sudahlah bayar mahal-mahal. Mesti kelam kabut jadinya.” Leesa tidak sabar lagi menantikan cerita seterusnya. Sebenarnya dia geram sebab tidak dapat turut serta dalam misi busuk itu.
“Habis bagaimana lagi? Si hero macho pun terjunlah ke dalam kolam untuk mendapatkan hadiah yang terbang ke dalam kolam renang demi si jantung hati. Semua orang jadi panik gila. Yang paling dahsyat menjerit penuh gaya, siapa lagi? Kami bertigalah! He he he. Seronok betul! Niat di hati hendak terjun sekali dengan A.C., tetapi takut nanti Acun bagi pelempang pula.” Juju seronok menyambung cerita sampai tidak terusik air nescafe shake dan sandwich keju bertelur dengan mayonis di depannya.
Just imagine, Leesa... paling tragis, bila A.C. bersusah payah naik bawa kotak hadiah yang diambil di tengah kolam renang, masa dia hendak kalungkan hadiah rantai dengan lokek unik itu, satu penampar hebat hinggap di mukanya. Berdesing! Si Acun menampar muka A.C. Di depan semua tetamu! Acun macam biasalah... menjerit dan mengamuk macam orang tidak sedar diri. Acun menuduh A.C. sengaja merancang mengenakannya bersama Juju. Juju pula menangis teresak-esak akibat dituduh perancang agenda kek meletup. Nasib baik ada Aunty Mariyah. Kasihan si A.C., sudahlah basah kuyup kembung perut minum air kolam renang, dapat pula makan penampar dari Acun.” Honey menyambung cerita sambil berdiri melakunkan dengan gaya bagaimana  A.C. Misai ditampar dengan penuh hebat di depan semua orang yang hadir.
“Pelik betulah Acun. Memang dia suka mengamuk dan menjerit. Semua hal hendak jerit-jerit. Manalah boyfriend handsome macam A.C. boleh tahan dengan perangai dia. Macam orang gila. That’s her weakness! Kasihan pula pada A.C. Oh... inilah rupanya surprise yang ditunggu-tunggu ya. Dapat kek meletup, dapat hadiah terbang masuk ke kolam renang, dapat jadi hero basah lenjun dan dapat makan penampar! Complete package! Leesa turut ketawa besar mengenangkan apa yang diceritakan padanya.
“Eh!!! Ada lagi kejutanlah. Kejutan yang lagi hebat! Kejutan dari bakal ibu mertua! Mesti cerita ini mengalahkan cerita P. Ramlee, Ibu Mertuaku. Puan Sabarina, ibu A.C. Misai pun ada dalam majlis harijadi Acun. Apa lagi, macam hendak terjojol biji mata dia tengok anak teruna dia kena penampar dengan Acun. Nyaris pelempang balasan hinggap di muka Acun. Maklumlah Aiman Cullen is her only son. Anak tunggal! Anak tunggal kena tampar oleh bakal menantu di depan semua orang. Ibu mana yang boleh tahan?” Juju bercerita sambil tersenyum seronok sekali. Siap bertepuk tangan seorang diri.
“Habis? Acun kena tampar atau tidak dengan bakal ibu mertua? Hehe makin seronok pula drama semalam ya. Mengalahkan sinetron Bibik Im.” Leesa tidak sabar-sabar hendak mengetahui penyudah cerita yang penuh tragis dan emosi.
“Mana boleh tampar Acun! Uncle Rameli saja boleh tampar dia. Acan selaku abang yang berwibawa, bersama geng nasyid berambut leper, si Ahmad, Fetriz dan Yahaya sempat bertindak pantas. Acan menyambut tangan ibu A.C. yang sudah hampir mengenai pipi Acun. Semua sibuk menenangkan ibu A.C. tetapi Acun sempat kena tolak dengan ibu A.C. sampai tersandar! Terduduk dia di celah kaki meja kek. Habis kek yang meletup tadi terbalik dan jatuh tepat atas kepala Acun. Kelam kabut Uncle Rameli dan Aunty Ros. Jenuh memujuk ibu A.C. dan Acun. Ibu A.C. pun apa lagi... terus laju dia tarik tangan A.C. balik ke rumah. Macam budak tadika kena marah dengan ibunya depan semua orang. Sempat lagi ibu A.C. merampas hadiah rantai dan lokek. Maklumlah mahal harganya.” Honey bercerita sambil ketawa terbahak-bahak membuat gaya jatuh tersandar dan kek terjatuh atas kepala. Mereka berempat ketawa sampai keluar air mata. Surie siap terguling-guling ketawa geli hati. Leesa tidak habis-habis menyatakan rasa mengkelannya kerana tidak dapat turut serta menyemarakkan lagi aksi mengenakan Acun. Juju ketawa penuh bangga mendabik dada. Bangga misinya betul-betul berjaya sungguh kali ini.
“Eh! Kejap-kejap, birthday cake yang meriah meletup itu tempah dari siapa? Kedai mana? Hotel mana? Mesti selama ini Mama Ros kamu yang tempahkan setiap tahun! Kalau dia siasat? Hah! Bagaimana? Siapa hendak jawab?” Risau pula si Leesa mengingatkan Juju.
“Semua beres, geng. Jangan risau! Aunty Ros yang minta A.C. tempahkan kek surprise untuk Acun sebab dia ada kursus outstation. Si A.C. pula bagi Juju yang urukan segalanya.  Kamu tidak tahu hal ini Leesa, sebab kamu sibuk dengan hal emak baru! Kami pun apa lagi, kami suruhlah bibik si Honey yang buatkan kek.”
“Hah! Bibik Honey yang buatkan kek majlis Acun?” Leesa tidak percaya langsung dengan penjelasan Surie.
 “Ya, betullah! Dia yang beria-ria hendakkan duit lebih. Memang sedap pun kek buatan dia selama ini. Ingat atau tidak? Cup cake comel yang kita makan sekelas minggu lepas. Lembut, gebu dan yummy! Ingat Leesa? Hah! Bibik Honeylah yang buatkan.” Surie menjelaskan bagi pihak Juju yang masih tidak kering gusi ketawa mengenangkan hal semalam.
“Oh! Ingat! Ingat! Memang sedap terangkat pun. Bibik Honey yang buatkan rupanya. Eh! Mula-mula kata hendak tempah dari orang profesional, dari kedai kek atau hotel. Birthday cake Acun hanya dibuat oleh seorang bibik? Apa kelas?” Leesa sengaja mengorek rahsia kek harijadi dengan lebih dalam. Dia geram kerana telah ketinggalan dalam hal itu. Dalam hati, dia turut mengakui keenakan kek cawan buatan bibik Honey. Memang comel, lazat dan enak berkrim.
 “Apa pula tidak ada kelas? Jangan tidak tahu ya, Leesa. Bibik si Honey memang sampai ke tahap pembuat kek profesional. Ada sijil kek dan pastri dari Jakarta. Dia memang ada kedai kek. Kedai kek masa dia di Indon dulu. Kedai kek yang paling ngetop di Kampung Lompong Selombok.”
“Alamak! Kedai kek yang paling ngetop di Kampung Lompong Selombok?”
Apa lagi, mereka berempat ketawa lagi sampai tergolek-golek dan keluar air mata. Ketawakan harijadi Acun yang penuh makna, penuh sejarah dan penuh duka. Sungguh surprise!
8888888888888888888888888888888888888888888888888