Friday 15 July 2011

BAB 8

 BAB 8 ialah tentang kumpulan terhebat di Sri Putri KD Girls School.
Mereka adalah Leesa, Surie dan Honey!
Siapakah mereka? Hebat sangatkah?

Jika mereka hebat, mengapa pula mereka yang mahukan Juju?
Juju pelajar dari kampung, kawan baik kepada kambing di kandang atuknya.

Jomlah menyelami BAB 8 pula ya.

ANTARA BELACAN DAN KEJU
BAB 8
Baby Gorgeous mahukan Juju

Juju sedang menjamu selera dengan sosej keju dan sosej cendawan. Secawan horlick panas menjadi pelengkap. Sarapan ringkas ala barat yang termampu Bibik Im sediakan untuk Juju. Untuk ahli keluarga yang lain pula, Bibik Im menyediakan nasi goreng belacan kangkung dengan udang kering yang harus diletak sedepa dari Juju. Dia tidak tahan bau belacan bakar yang menjadi ramuan utama nasi goreng belacan. Sambil bersarapan, Juju sibuk menyelak surat khabar Pancaindera, Mingguan Malaysia. Setiap hari Ahad, semenjak di kampung dahulu, Juju tidak terlepas dari membaca ruangan Di Celah-Celah Kehidupan. Ruangan kegemaran semenjak umurnya dua belas tahun lagi. Ruangan yang banyak mengajar Juju untuk mengenal rencah hidup suka duka orang lain. Sesekali dia bersyukur walaupun ketika asyik dimarahi oleh mamanya dahulu, dia masih dikira bernasib baik. Bersyukur kerana membaca ada manusia lain yang lebih derita hidupnya berbanding dirinya. Juju sempat membelek mukanya pada cermin tangan yang diletak di sebelah pinggan sosejnya. Pagi itu dia memilih cermin berbingkai biru muda dengan bintik merah jambu. Acun mencebik melihat aksi mengada-ngada Juju. ‘Belek muka konon. Boleh tukar jadi Tuan Puteri Gunung Ledang agaknya.’
“Abah dan Mama Ros tidak sarapan sekali, Bibik Im?”
“Juju jangan tidak tahu, minggu ini Puan Ros diet sup kobis. Hari-hari sup kobis sahaja selama seminggu. Kalau lapar, itu... pisang yang jadi pelapik perutnya. Tuan Meli pula menguruskan katering pagi ini. Ada Datuk buat majlis besar hari ini.” Juju mengangguk kepalanya dua tiga kali dengan penjelasan Bibik Im. Dia baru mula hendak faham aktiviti harian keluarga barunya. ‘Nampaknya, hari minggu pun abah asyik cari rezeki untuk keluarga belacan. Tidak cukup dengan lapan cawangan restoran. Aku? Aku pula selama ini terbiar comot membesar di kampung. Selama ini, hujung minggu aku di ladang. Tolong Pak cik Jins, Sham dan Sudin jadi mandur kira tandan biji sawit. Tidak glamor langsung!’ Juju meletakkan cermin tangannya secara kasar di sebelah pinggannya.
Acan membuat muka semanis gula kabong sambil menyapa Juju di meja makan utama. Acan berdehem dan berusaha membuat suara lunak-lunak basah gaya ketua nasyid. Jika disuruh menyanyikan lagu nasyid buat pembuka selera Juju di pagi Ahad pun dia sanggup. Apa sahaja untuk Juju! Biar Juju rasa dia dihargai sebagai ahli keluarga yang baru. Memang Acan sentiasa mahu mengambil hati Juju. Tidak mahu dicop perangai serupa Acun.
“Hmm... Juju, kalau Juju mahukan apa-apa, beritahu sahaja. Jangan malu-malu ya. Acan boleh tolong belikan.”
Juju mengerutkan dahinya gaya pelik. ‘Mimpi apa pula si belacan yang seorang ini. Hendak buat baik dengan aku pagi-pagi lagi. Tidak mengapa, aku memang perlu jaga hati dia. Senang hendak suruh macam-macam nanti.’
“Mahukan apa-apa? Apa yang Acan maksudkan dengan apa-apa? Semua Juju sudah ada.”
“Maksud Acan, apa-apa sajalah. Contohnya cermin pegang yang baru.  Itu... macam cermin tangan favourite Juju. Maklumlah Juju gilakan cermin! Ha! Atau... mungkin jika mahu pesan sebarang makanan pun boleh juga. Sebut sahaja hendak makan apa pun. Hmm... atau mungkin Juju mahukan selendang, telekung, buku atau novel? Acan hendak keluar kejap lagi dengan Abang Zaibon. Sajalah tanya Juju tadi, kalau mahukan apa-apa. Biar Acan belanja Juju!” Acan terlebih perasan yang dia telah berjaya mengambil hati Juju. Tetapi... dia mula sedar bila melihat reaksi muka Juju berubah. Juju mula geram! Hatinya mula membengkak. Tanpa memandang ke muka Acan, Juju laju menggelengkan kepala sambil membisik kepada dirinya sendiri. ‘Kawal diri, Juju. Kawal mulut. Mungkin niat dia baik. Hendak belikan selendang dan telekung? Macamlah aku ini tidak solat. Suka betul pandang rendah pada orang.’
“Amboi! Abang... selama ini tidak pula tanya pada Acun atau Bibik Im. Hari ini sungguh berhati mulia. Pelik bin ajaib sungguhlah. Hah! Telekung Bibik Im sudah ada lubang tiga penjuru. Tolonglah belikan ya. Besar pahala yang abang dapat nanti.  Tanya pada Kak Juju seorang sahaja? Pilih kasih!”
“Hah! Lubang tiga penjuru? Ada-ada sahaja kamu ini, Acun. Telekung Bibik Im masih barulah. Ada dua helai. Masih cantik! Telekung dari Tanah Abang dengan renda perancis. Masih elok!” Acun menjegilkan matanya sambil membuat mulut muncung sedepa gaya geramkan Bibik Im. Comel mukanya walaupun sedikit amuk pada Bibik Im yang lambat tangkap maksud yang tersirat. Acan malas melayan reaksi Acun yang suka mencari pasal. Acan tidak suka Acun buat hal ketika mengadap rezeki. Dia lantas tersenyum pada Juju yang tidak sedikit pun memandangnya lagi. Tidak mengapa jika Juju tidak mahu pesan apa-apa. Acan percaya perlahan-lahan nanti pasti Juju dapat menerimanya sebagai abang. Abang yang berkongsi sama harijadi dengannya. Abang yang lahir cepat sejam! Acan segera mahu mengajak Zaibon keluar.  Zaibon pula sedang sibuk menghidupkan kereta Volkswagen Golf GTI di halaman banglo. Sudah banyak hari kereta tersebut tidak digunakan. Enjinnya perlu dipanaskan. Kereta yang digunakan khas untuk keluar bersama anak-anak Rameli. Kereta orang bujang. ‘Lebih baik sarapan di Can Meli Can. Ada sambal sotong dengan nasi lemak! Rindu betul dengan kaki sotong.’ Acan berbisik sendirian.
Fetriz baru tiba di muka pintu banglo Rameli Saripin. Tiba-tiba dia rasa hendak ikut serta Acan keluar dengan Zaibon. Program pagi Ahad yang diberitahu malam tadi oleh Acan melalui pesanan ringkas kepada Ahmad, Fetriz dan Yahaya. Lagi pun, inilah peluang Fetriz untuk bertemu Juju. Pada pendapat Fetriz, sudahlah Juju cantik rupawan, malah ada aura yang tertarik dan menarik. Jadi, tidak perlu ajak Ahmad dan Yahaya untuk turut serta pagi itu. Nanti mereka potong peluangnya pula. Nanti mereka akan kacau daun. Berceramah padanya mengalahkan Ustaz Mahir dan Uztaz Zain. Rumah Acan sudah menjadi bagai rumahnya juga. Begitu juga sebaliknya. Fetriz menerpa masuk setelah bersalaman dengan Zaibon di luar banglo. Kemudian dia terpacul di pintu utama. Dia menjengahkan kepalanya. Tidak menyorok langsung aksi gatal mencari kelibat Juju. Fetriz segera berlari ke meja makan untuk mencelah celoteh semua yang berada di situ.
Fetriz yang perasan dengan perubahan wajah Juju segera memainkan jarumnya gaya lelaki gentleman. ‘Pagi-pagi lagi sudah ada macam ada yang tidak kena’. Nalurinya berbisik. Dia segera dapat merasa ada ribut taufan kecil di meja makan.
“Assalammualaikum Juju. Apa khabar? Sihat? Pagi-pagi pun Juju sudah nampak cantik. Tidak kiralah, Juju mandi atau belum. Sentiasa wangi dan cantik menawan di mata saya. He he.” Fetriz mula memainkan jarumnya. Juju nyaris tersedak. Matanya terkebil-kebil dan cuba mengecam jejaka yang segak dan tampan yang berdiri di sebelah Acan. Suara nakal yang menceriakan suasana pagi. Acan sudah dapat mengagak yang Fetriz mesti hendak mengikutnya bersama Zaibon hari itu.  Sedikit sebanyak Acan suka dengan keletah Fetriz. Pandai menaikkan mood! Acun menarik muka bosan kerana Fetriz hanya menegur Juju seorang. ‘Macamlah tiada manusia lain di meja makan. Macamlah hanya Juju seorang sahaja yang wujud. Orang lain semua halimunan.’
“Walaikumsalam. Oh! Awak rupanya. Hansome guy! He he, jangan marah ya. Saya lupa nama tetapi... saya memang ingat muka awak sebab macam Remy Ishak!”
“Woo...” Serentak mereka yang berada di meja makan mengejek Fetriz yang membetulkan kolar bajunya tegak berdiri di belakang leher. Gaya upturned collar. Fetriz memang sudah mangli apabila orang sekeliling memanggilnya persis adik pelakon terkenal Remy Ishak. Apa salahnya jika dikaitkan dengan sitampan dan segak menawan.
“Ha ha! Juju adalah orang yang ke 44 yang kata saya macam Remy Ishak. Janganlah puji lebih-lebih. Saya ini jenis pemalu orangnya. Nama saya Fetriz! Fetriz bin Farhan. Lepas ini mesti ingat nama saya ya... simpan nama saya dalam poket elok-elok.” Semua yang ada di meja makan tergelak lagi melihat gelagat Fetriz yang penuh gaya seronok memperkenalkan diri sendiri. Sekarang, baru Juju teringat si tampan di sebelahnya ialah salah seorang dari geng Acan.
“Okey, lain kali saya pasti ingat! Fetriz! Hmm... mana lagi dua orang ahli jemaah kamu? Kata Acan tadi hendak pergi beli Quran, sejadah dan minyak attar!”
“Ha? Saya tidak tahu pun yang dia hendak pergi shopping barang surau. Hmm... maksud Juju tadi si Ahmad dan Yahaya? Biasalah, dua orang itu kaki tidur. Hari Ahad ini mesti sambung buat tahi mata empat, lima kilo.” Fetriz sungguh menghiburkan hati Juju. Juju tidak pandang langsung ke arah Acan. ‘Sibodek yang tidak tahu tempat dan caranya.’ Juju masih geram diperli tadi. Seolah-olah dia tiada telekung dan selendang.‘Jangan harap aku hendak terima jika Acan hendak belikan apa-apa pada aku. Biar jual mahal sikit.’ Acan pula berfikir sendirian. ‘Juju kata aku hendak beli Quran, sejadah dan minyak attar? Silap cakapkah tadi?’
@@@@@@@@@@
Genap seminggu! Tujuh hari berturut-turut. Setiap hari, ada sahaja bungkusan kotak pelbagai saiz di depan bilik Juju. Siap bereben dan berbalut dengan kertas keemasan dan berkilat-kilat pembalut hadiahnya dengan pelbagai corak menarik. Kejutan yang tidak diharapkan langsung oleh Juju. Hadiah tanpa nota. Tanpa kad! Tanpa pesan! Juju menendang ke tepi kotak-kotak tersebut. Walaupun ada kalanya kotak yang diterima sedikit berat, habis Juju tendang terpelanting ke bawah katil dengan ganasnya. Ada yang berdesup masuk gol ke belakang pintu dan ada pula yang tergolek di tepi almari.
“Huh! Mesti ini kerja mengada si Acan. Si ketiak bau belacan. Jangan harap hendak ambil hati aku. Mimpilah! Jangan fikir aku hendak buka hadiah dia bagi. Mesti telekung dan selendang. Tidak pun buku motivasi dan nasihat supaya aku jadi gadis kumpulan nasyid muslimah. Hendak perli aku tidak sudah-sudah. Ingat aku tidak tahu mengaji? Ingat aku buta agama agaknya. Hmm... nanti boleh suruh Bibik Im humban semuanya. Atau kalau Bibik Im mahu, ambillah! Apa aku peduli!” Kuat Juju bercakap seorang diri di dalam biliknya. “Eh! Tetapi kalau Quran bagaimana? Aku tendang-tendang semua. Alamak! Dosanya! Eh! Tidak mungkin Quran... kalau Quran mesti Acan letak di tempat tinggi. Ini mesti setakat bagi selendang, tudung atau buku-buku penuh nasihat suruh aku belajar jadi muslimah solehah. Huh! Jangan harap!” Juju cuba menyedapkan hatinya sendiri.
Mariyah Fareedaz tersenyum keseorangan di rumahnya. Tentu Juju suka! Tentu citarasa Juju sama dengan arwah Schar Minn. Tentu Juju terharu. ‘Malu agaknya hendak ucapkan terima kasih. Maklumlah kejutan dari ibu baru. Semua yang arwah Schar Minn suka mesti Juju juga sukakan. Sehati sejiwa!’ Dia berbisik dalam hati dengan penuh kesyukuran. Pelbagai hadiah diletakkan sendiri oleh Mariyah Fareedaz di depan pintu bilik Juju. Ada baju, jam, kasut, aksesori, buku serta novel dan VCD portable dengan pelbagai koleksi filem cakera padat terbaru di pasaran. Semuanya citarasa arwah Schar Minn belaka. Semua yang asli! Tulen belaka.‘Oh! Mesti si Juju suka semuanya!’
Mariyah Fareedaz sering meminjam khidmat Bibik Im untuk membersihkan banglonya. Bibik Im boleh datang bila-bila masa jika ada kelapangan. Khidmat tenaga yang bukan percuma. Bibik Im yang tidak materialistik itu tidak pernah berkira. Terpulang pada Mariyah Fareedaz sama ada hendak memberi tunai atau memberi sepersalinan baju dari kedai butik muslimahnya. Sejak berpindah di sebelah banglo Rameli, Mariyah Fareedaz dahagakan kasih sayang. Dia mahukan banglonya riuh dan gamat. Banglo tiga tingkat yang hanya kedengaran suara derap kakinya seorang sahaja selama ini.
Tiba-tiba jantung Mariyah Fareedaz berdegup kencang bagai tidak percaya. “Eh! Si Bibik ini... pakai baju warna magenta jenama Zara, jam Guess Limited Edition, aksesori kristal tulen gred A. Hmm... entah-entah novel dan cd semua penuh dalam bilik Bibik Im... Nasib baik tidak mop rumah pakai kasut Nine West. Something must be wrong somewhere!
Bibik Im tidak sedikit pun terketar lutut memberi penjelasan. Dia sudah biasa dengan Mariyah Fareedaz. Sudah masak dengan rentak perangai jiran bosnya. Dalam tercengang, Mariyah Fareedaz mengangguk faham. Dia menghalalkan pada Bibik Im segala yang telah menjadi hak milik si bibik bertuah itu. Semuanya gara-gara setelah Juju minta dihumbankan segala hadiah yang tidak dibuka langsung. “Daripada di humban ke lori sampah, lebih afdal kalau saya yang ambil dan pakai, Puan... tidak membazir. Lagi pun, semuanya mahal-mahal belaka. Rugi besar!” Penuh gaya Bibik Im memberi sebab musabab dia memanfaatkan segala hadiah yang dibuang oleh Juju.
“Sambil menendang semua hadiah. Juju menyumpah nama Acan. Mungkin dia fikir Acan yang berikan. Lagipun Acan pernah bilang mahu belikan telekung dan selendang padanya.” Bibik Im membela diri dan memberikan penjelasan pada Mariyah Fareedaz. Hati Mariyah berdetik laju. Dia mahukan yang terbaik untuk anak angkat barunya. Biar dimanja bertempat. Biar terhias peribadi mulia sebagaimana dia mendidik arwah Schar Minn yang hampir sempurna peribadinya dahulu.
‘Jika betul pun Acan yang berikan semua hadiah, Juju tidak patut tendang dan buang semuanya. Panas baran betul budak ini. Aku mesti betulkan si Juju. Jangan sampai melarat. Perlu dibereskan mana yang pincang!’
@@@@@@@@@@
“Hah! Apa dia Bibik Im? Selama ini Ibu Mariyah yang berikan semua hadiah-hadiah itu pada saya? Bukan Acan yang berikan? Cepat! Cepat pulangkan balik pada saya. Cepat!” Juju dan Bibik Im berlari sakan seisi banglo. Bibik Im terjerit-jerit satu rumah.
“Mana boleh Juju mahu minta balik. Buruk siku kalau ambil balik! Puan Mariyah sudah halalkan buat saya. Juju yang buang! Itu salah Juju sendiri. Sekarang, semuanya sudah jadi milik saya semuanya.” Bibik Im mempertahankan hak milik yang diberikan cap mohor oleh Mariyah Fareedaz. Biar Juju dapat pengajaran. Lagi pun siapa yang tidak mahu hadiah percuma yang mahal dan cantik-cantik belaka. Rameli Saripin dan Rosnita Chek Wah tiada di rumah. Acan tersenyum sendirian melihat acara kejar mengejar di sekeliling sofa. ‘Salah sangka rupanya. Kasihan Juju.’ Acun yang segera keluar dari biliknya bila terdengar riuh rendah pula mula menghentak kaki sekuat hatinya.  Hatinya yang terasa bengkak berbicara ‘Ingat kelakar sangat. Bising satu rumah. Baru datang rumah orang, sudah hendak tunjuk belang!’
Mariyah Fareedaz menjenguk Juju sebelum keluar bertemu pelanggan. Dia ternampak aksi Juju kejar mengejar dengan Bibik Im untuk mengambil balik semua hadiah pemberian Mariyah Fareedaz padanya. ‘Comel betul, Juju. Nakal dan suka mengusik macam arwah Schar Minn. Ada yang aku perlu bereskan tentang anak baru aku ini.’ Mariyah Fareedaz berbisik sendirian.
Juju menyangka selama ini, hanya dia seorang sahaja mempunyai senarai orang perlu dibereskan. Dia tidak tahu bahawa ibu barunya juga ada pelan. Pelan untuk membereskan sikapnya Juju!
@@@@@@@@@@
“Hmm... seorang sahaja?”
“Hari-hari western food?Tidak jemu?
“Boleh kami duduk sebelah sekali? Can we join?”
Tiga suara menerjah halwa telinga Juju. ‘Macam kenal sahaja suara-suara manja plastik ini. Hmm... di mana ya?’
Ruang makan di kantin Sri Putri KD terbahagi kepada empat bahagian. Ada bahagian masakan melayu, india, cina dan barat. Setiap hari tumpuan Juju hanya di bahagian paling hujung... bahagian untuk makanan barat sahaja. Belum cuba beralih selera. Jauh sekali hendak menyimpang ke seksyen makanan melayu. Dari jauh sudah boleh bau masakan melayu yang mempunyai unsur busuk menusuk. Unsur belacan! Tidak kurang dari tujuh juadah makanan bertukar menu setiap hari di setiap bahagian. Pilih sahaja hendak makan mana-mana maksima sehingga tiga juadah setiap hari untuk seorang pelajar. Para pelajar sekolah Sri Putri KD menggunakan sistem kupon yang diberi secara bulanan. Tidak perlu membeli atau membayar dengan tunai ketika mengambil makanan. Hanya perlu menghulurkan kupon yang tercetak tarikh pada hari berkenaan. Semua bayarannya sudah dilunaskan di dalam yuran semesta oleh ibu bapa masing-masing.
Semua mata di kantin tertumpu ke arah sudut tengah seksyen makanan barat. Sungguh pelik pemandangan hari itu. Para pelajar lain masing-masing mula berbisik. Bagai ada yang tidak kena. Bagai tidak percaya. Baby Gorgeous kelihatan sedang memohon izin untuk duduk di sebelah pelajar baru? Berita terhangat pada hari itu! Mesti diwarwarkan kepada seisi pelajar sekolah. Pelajar baru dari kampung mendapat perhatian Baby Gorgeous. Pertama kali Baby Gorgeous mencemar duli! Juju cepat dapat menangkap situasi sekeliling. Inilah peluang keemasan untuknya. Peluang membuktikan kepada semua pelajar betapa hebatnya dia. Bukan dia yang terhegeh-hegeh mahu menyelit dicelah percikan populariti Baby Gorgeous. Sebaliknya tiga sekawan yang anggun itu yang mahu menyapanya, duduk sebelahnya dan... mungkin juga mahukan dia menyertai mereka! Bau mereka sungguh harum sekali. Bau minyak wangi mahal yang kekal 24 jam sehari. Juju cepat menyembunyikan rasa terujanya. Lakonan perlu mantap. Muka mesti selamba. Perlu buat ‘muka sepuluh sen’. Perlu buat muka ‘wanted’sebab hebat! Bukan muka ‘wanted’ sebab jahat!.
“Silakan... duduklah. Banyak tempat kosong.”
Leesa, Surie dan Honey melabuhkan punggung masing-masing. Duduk pun penuh gaya. Rambut harus dibetulkan terlebih dahulu. Masing-masing sibuk mengelap meja di depan mereka dengan tisu basah wangian ros petal yang sentiasa dibawa di dalam poket masing-masing. Sentiasa tidak puas hati dengan kebersihan peralatan sekolah. Kononnya mereka bertiga terlalu prihatin soal kebersihan. Sudu dan garpu bersalut emas pada pemegangnya pula dibawa sendiri pada setiap waktu rehat. Tidak rela berkongsi dengan sudu garpu yang digunakan oleh para pelajar lain. Jijik untuk berkongsi. Pertama kali mereka duduk dan makan dengan pelajar lain pada hari itu. Satu-satunya pelajar yang terpilih.  Selama ini jika mahu makan, hanya sesama mereka bertiga sahaja. Mereka juga turut mengambil keju makaroni. Sama macam Juju!  
“Okey, can we go straight to the point. Surie, would you mind to explain?”
Leesa selaku ketua merangkap anak kepada Cikgu Ally Putra, cikgu disiplin tersohor sekolah memberi arahan kepada Surie. Surie pula tersenyum manis menerima arahan Leesa. Dipilih memulakan bicara adalah satu penghormatan buat Surie.
“Juliana... saya rasa banyak yang kamu telah dengar tentang kami bertiga. Siapa yang tidak kenal kami di sini. Mesti macam-macam pujian kamu telah dengar tentang kami dari pelajar lain. Betul?”
Juju memandang Surie yang tidak kurang cantiknya. Hidungnya terpacak. Matanya redup di sebalik cermin mata Gucci. Juju pula ingin mengatur tutur katanya semolek mungkin. Perlu tepat ayatnya dan tidak boleh nampak membodek. Perlu mengambil hati dan tidak boleh nampak tergedik . Biar nampak sempurna. Tidak boleh tersilap langkah. Biar nampak mereka yang perlukan dia. Juju mengangguk dan tersenyum tanda dia memang sedia maklum akan kepopularan Baby Gorgeous.
Surie menyambung bicara semula, sudu dan garpu di tangan dihayun dengan penuh gaya ketika bercakap. “For your info Juliana, bulan depan ada Kuiz Perdana antara sekolah. Wakilnya setiap tahun ialah pelajar terbaik dari tingkatan lima. Sekolah kita sudah tiga tahun berturut-turut menjadi johan. Wakilnya perlu empat orang selaku peserta kuiz dan seorang peserta simpanan. Tajuknya berkisar tentang isu semasa.”
“Hmm... so? Let me guess! Kamu bertiga mahu saya sertai kuiz tersebut. Mahu saya jadi peserta keempat? Am I right?”
Marvellous! Kamu ini memang jenis yang cepat tangkaplah. Senanglah kerja kami. Yes! We want you to join us!  Hmm... biar Lailah Farihah jadi peserta simpanan sahaja.” Leesa menjerit kegirangan. Dia suka dengan cara Juju. Selamba tetapi bijak! Honey Afrina pula siap bertepuk tangan. Sedikit makanan pun belum diusiknya.
“Kita sendiri yang tentukan siapa peserta kuiz? Bukan cikgu yang pilih? Dahsyat juga kabel kamu bertiga ya.” Juju cuba memancing Baby Gorgeous. Biar memuji dahulu. Baru senang meletak umpannya kelak. ‘Meneka dengan tepat apa maksud mereka tidak bermakna aku sudah setuju. Apa hal mereka beria seronok benar?’ Juju bercakap sendirian di dalam hatinya.
 Leesa pula bertambah seronok dengan cara Juju. Ada gaya boleh menjadi ahli kumpulan mereka. “Kamu mesti tahu siapa my dad. Lagipun kita bukan potong hak pelajar lain. Memang telah terbukti kita layak. Kita pelajar paling tiptop dalam kelas tingkatan 5 Alpha. Kelas paling top! Biar Lailah Farihah jadi peserta simpanan. Dia banyak sangat cipta undang-undang sendiri. Semua perlu ikut peraturan. Mengalahkan daddy saya, guru disiplin sekolah!”
Juju memandang mereka bertiga sambil menyuap makaroni keju kegemaran ke mulut.  Honey membuat isyarat kepada Leesa. Minta diusulkan segera pelan pokok yang sebenar.
Ops! Before that, Juliana... to be frank with you, kami sebenarnya...  kami mahu ajak kamu sertai kumpulan kami. Bukannya apa, cuma lebih senang nanti hendak bincang tentang Kuiz Perdana dan macam-macam hal lagi selepas ini. Sudah dua minggu kami perhatikan kamu. You are the most perfect candidate to join our group. Paling sama dengan kami. Bergaya, kaya, cantik, cerdik, stylo... semua sepadan benar dengan cara kami. Kamu memang layak. Kamu patut rasa bertuah sebenarnya.” Leesa membuka mulut dengan nada suara yang direndahkan tonanya.
Leesa adalah ketua Baby Gorgeous dan mempunyai kuasa veto dalam membuat sebarang keputusan untuk grup mereka yang gedik. Pendapat Surie dan Honey hanya boleh diguna pakai sekiranya Leesa telah memberi lampu hijau. Leesa terasa bagai setapak rendah darjatnya dengan memperlawa Juju menyertai Baby Gorgeous. Pertama kali mereka membuka pintu Baby Gorgeous kepada pelajar lain. Pelajar baru dari kampung pula. Pasti isu ini akan masuk di dalam blog gossip para pelajar Sri Putri KD. Sungguh lain nada suara Leesa tadi. Nada merendah diri. Rasa lain macam. Sungguh tidak selesa dan bagai ada yang tidak kena. Rasa bagai anak raja mencemar duli! Juju hanya tersenyum penuh makna. Tidak berkata ya atau tidak. Tiada jawapan spontan seperti yang diharapkan. Dia mahu bermain dengan perasaan tiga pelajar diva di depannya.
“Mulanya kami tidak mahu buat silap. Pelik sebenarnya jika kami yang jemput kamu masuk grup kami. Tetapi... setelah kami adakan perbincangan tergempar, kami rasa kamu memang patut jadi sebahagian dari kami.” Surie menokok tambah hujah Leesa di awal tadi.
“Cop! Maknanya jika terpilih menyertai Kuiz Perdana, saya perlu sertai kumpulan kamu bertiga juga... saya perlu sertai Baby Gorgeous?” Juju membuat muka keliru tidak faham walaupun dia sebenarnya sudah dapat mengagak apa yang berkelodak di fikiran tiga gadis rupawan di depan dan sebelahnya.
“Hmm... lebih kurang begitulah. Jika satu kumpulan, sekepala, senanglah hendak bincang apa pun. Kami tidak percaya pada ‘orang luar’. Bukan sahaja untuk Kuiz Perdana, Juliana. Lepas ini macam-macam lagi yang boleh kita buat bersama. Kamu pasti tidak akan menyesal. Pelajar lain beratur hendak masuk grup kami! Kamu pula terpilih! Kami yang jemput masuk geng kami.” Honey beria menjelaskan.
  “Bukan senang hendak sertai kami, Juliana. Kami tidak pernah buka penyertaan ahli baru selama ini. Kami tidak pilih sebarangan pelajar. Kamu memang kira sangat bernasib baik. Tahun lepas sahaja hampir dua puluh permohonan untuk menyertai kumpulan kami kena tolak mentah-mentah. Termasuklah pelajar yang ayahandanya kerabat diraja! Tetapi... kamu yang menjadi pilihan kami. Sebabnya... kamu memang lain dari yang lain, sama dengan taste kami. Sebab itu kami berbesar hati untuk pelawa kamu. Apa keputusan kamu? Hmm... Please take note that our leader, Leesa, would prefer an immediate answer.” Surie mula bersuara seakan mendesak meminta keputusan segera dari Juju.
“Wow! Berani betul tolak permintaan anak kerabat diraja untuk sertai kamu semua. Tidak takut kena sumpahan diraja? Anak raja ada daulat!” Mereka berempat ketawa serentak dengan jawapan Juju. Tidak dapat membayangkan bagaimana terkena sumpahan diraja. Mana mungkin permohonan Raja Sufina Suraya binti Raja Sood Sakdun diterima. Duitnya melimpah ruah tetapi saiz badannya mengalahkan Cikgu Siti Enota yang beranak lapan. Sudah tujuh pusat pelansingan badan dikunjungi. Hampir semua pusat tersebut mahu disamannya kerana tidak berjaya menjadikannya persis model berpinggang kerengga. Badannya macam belon terlebih pam. Pipinya kembung bagai pau terlebih yis. Pendakap giginya yang berwarna warni terselit sisa makanan yang melekat bagai lumut. Sangat geli! Sangat tidak memenuhi citarasa Baby Gorgeous.
Juju terus membuat aksi gaya orang sedang berfikir. Gaya teragak-agak untuk membuat keputusan. Siap meletakkan jari di dahi. Seolah-olah dia amat dikehendaki oleh Baby Gorgeous. Surie agak mendidih hatinya melihat gelagat Juju yang nampak macam telah naik tocang. Sudah dipelawa untuk menyertai kumpulan paling berprestij lagi hendak berfikir lama. Jika pelajar lain, sudah pasti tergedik-gedik setuju dengan spontan. Juju tersengih sumbing. ‘Hendak ajak orang, tetapi hendak berlagak pula. Ada aku kisah?’
“Well, I’m really flattered and honoured to be invited to join Baby Gorgeous. That’s really awesome! Tetapi... hmm... tolong beri saya masa berfikir dulu, satu hari sahaja. Esok saya akan beri jawapan.” Juju membuat muka semanis apom manis. Suaranya dimerdukan selunak mungkin. Dia mahu mereka bertiga nampak yang dia berminat. Tetapi... dia mahu bermain dengan perasaan mereka. Ego mereka dicantas halus. Jangan terlalu merasa gah. Jangan merasa orang lain terlalu tergedik mahu menyertai mereka. Biar nampak harga diri ahli baru jemputan mereka.
Leesa, Surie dan Honey menyepak kaki antara satu sama lain di bawah meja. Rasa geram pun ada. Rasa menyesal bertanya pun ada. Mereka menyangka Juju akan tergolek-golek seronok tidak menyempat mahu menyertai mereka bertiga. Ini, setelah menyatakan penghargaan atas pelawaan, Juju mahu berfikir sehari pula. Sungguh di luar jangkaan. Tiga sekawan Baby Gorgeous cuba menyembunyikan muka kelat masing-masing. Walaupun lapar, masing-masing cuma menguis makaroni keju yang ditabur dengan sosej berperisa lada hitam dan cendawan.
“Nampaknya kamu macam berbelah bahagi sahaja, Juliana. Apa sebabnya? Boleh beritahu kami? Kami jenis yang suka berterus terang. Jangan sampai menyesal tidak ambil peluang untuk sertai kami sudahlah.” Kali ini Honey Afrina bersuara dengan nada agak keras sambil mengajukan soalan yang tepat. Tiada lagi pelawaan penuh lemak manis. Tidak suka berbelit-belit. Tidak suka menunggu jawapan keesokan harinya. Cakap perlu terang. Perlu telus. Tidak boleh selindung kalau mahu menyertai Baby Gorgeous yang paling top di Sri Putri KD.
“Terus terang saya katakan, sebenarnya sudah ada kumpulan lain yang pelawa saya terlebih dahulu untuk menyertai grup mereka. Dua kumpulan lain yang tidak kurang hebatnya. Setahu sayalah, hanya saya seorang sahaja pelajar baru yang dipelawa untuk menyertai grup hebat di sekolah ini. Patutnya saya yang perlu mencari kumpulan saya sendiri. Tidak begitu?” Juju bangga menyatakan fakta bahawa dia telah dipelawa terlebih dahulu oleh kumpulan anak-anak VIP yang lain. Hanya mereka yang berkedudukan lebih tinggi dari pelajar lain sahaja suka menubuhkan klik sendiri. Pelajar biasa lain cukup sekadar berteman biasa tanpa kumpulan tertentu. Cukup dengan study group biasa setiap hari sudah memadai.
“Ha ha... no wonder... itu puncanya! Ada kumpulan lain sudah ajak kamu terlebih dulu rupanya. Dua kumpulan?. Kumpulan mana? Mungkin kami boleh beri pendapat. Mungkin kamu tersilap masuk grup otak udang atau... mungkin grup ala-ala gengster! Hmm... Don’t worry, no bias here. Kami rasional. Cuma setahu kami, hanya Baby Gorgeous paling top! Grup lain... masuk angin keluar asap!” Leesa, Surie dan Honey ketawa geli hati. Namun... selaku ketua yang berwibawa, Leesa terlalu ingin tahu. Membuak-buak dadanya. Dia tidak puas hati sebab ada kumpulan lain mahu mencuri Juju terlebih dahulu dari mereka. Siapa yang berani mendahului mereka? Berani melangkah garisan mereka? Alamatnya nanti, kumpulan tersebut terpaksa akur dan menikus dengan Baby Gorgeous yang kebal kuasanya.
“Baiklah. Kalau kamu bertiga beria benar hendak tahu... yang pertama, geng anak mami yang cun melecun. Kumpulan Faiee, Zeezah dan Ellai. Macam-macam mereka offer saya. Hmm... kumpulan kedua pula ialah klik anak jutawan dari Indonesia iaitu Bungah, Chenta dan Lestarin. Mereka siap telah sedia belikan saya gelang emas tanda  awal perkenalan...” Belum sempat Juju menghabiskan ayatnya, tiba-tiba Baby Gorgeous tergolek sakit perut ketawakan Juju. Tindakan reflek yang spontan. Dua minit mereka bertiga ketawa berdekah tidak menghiraukan sekeliling. Ketawa sampai hampir mengeluarkan air mata.
“Juliana... kamu tahu siapa Faiee, Zeezah dan Ellai? Geng anak mami Penang. Masing-masing ada hati hendak jadi artis rakaman. Rasanya sudah lebih dari sepuluh kali masuk audition tetapi tetap gagal. Ada hati hendak menyanyi tetapi suara macam itik serati. Macam keldai semput!  Menyanyi di karaoke pun tidak lepas hendak ikut tempo. Hendak jadi backup singer nasyid pun belum tentu lepas Ada hati berangan jadi super grup penyanyi terhebat. Siap pakai kabel dalaman pun masih tidak berjaya jadi artis. Pasti menangis air mata darah komposer yang hendak ambil mereka.. Syy... Hah! Lagi satu... berani kamu hendak sertai mereka? Bapa mereka ialah ceti besar di Pulau Pinang. Along versi mamak! Mereka ada kaki pukul. Pantang silap sikit. Pasti kena pukul! Eee... seram!”
“Alamak! Nasib baik kamu semua cepat beritahu saya. Takut pula dibuatnya. Tetapi... muka mereka betul-betul nampak baik-baik belaka. Nampak suci murni!”
“Memanglah cantik, muka anak mami, hitam manis, hidung terpacak, bulu mata melentik, mata bulat. Macam muka heroin Hindustan! Tetapi...otak mereka letak di lutut. Mereka kelas 5 Gamma. Kelas yang perlu mengulang kertas peperiksaan banyak kali. Mereka tidak pernah hairan jika gagal. Tenggelam dengan kemewahan. Kamu masih mahu masuk geng anak mami? Grup corot! Macam cencorot!” Juju tersengih sendiri dengan penjelasan dari Honey. Sungguh dia tidak sangka. Cempedak menjadi nangka berulat. Pandai betul Acun dan Abby Abadeez membohonginya. Memuji sakan kumpulan anak mami. Nampak sangat mereka berdua ingin mengenakannya.
“Hmm... apa hal pula dengan kumpulan anak jutawan dari Indonesia? Bungah, Chenta dan Lestarin? Rasanya, mereka sama citarasa dengan kamu  bertiga. Cantik, cerdik, kaya dan bergaya! Muka pun jelita belaka. Macam pelakon sinetron. Mereka pula sekelas dengan kita. Saya tengok mereka pandai dalam matematik. Boleh beri jawapan pantas tanpa perlu guna kalkulator. Apa kurangnya mereka?”
“Huh! Bungah, Chenta dan Lestarin? Kamu memang cari nahas. Tahun lepas enam bulan mereka balik Indonesia. Hilang begitu sahaja. Suka hati hendak buat undang-undang sendiri. Alasannya, bapa mereka ada kuasa! Siap bawa salah seorang pelajar kita yang menjadi ahli kumpulan baru mereka ke sana. Kamu hendak ke sana enam bulan? Tuang sekolah begitu sahaja? Cakap indon mereka pun masih pekat melekat. Macam susu pekat! Bahasa melayu mereka bercampur aduk dengan sastera dari seberang. Hah! Kamu tahu bapa mereka jutawan apa?” Juju menjongketkan kedua belah bahunya. Dia memang tidak tahu apa-apa tentang anak-anak jutawan Indonesia yang cantik, kaya dan agak cerdik itu. Dari luaran, memang nampak sangat menarik, anggun, menawan dan ada kelas tersendiri.
“Di sini memanglah ramai anak VIP, Juliana. Tetapi... harus hati-hati! Ada pelbagai kategori VIP. Ada pelbagai punca orang jadi jutawan. Syy... ini rahsia! Kami dapat tahu dari spy kami, bapa mereka terlibat dalam urusan kemasukan pekerja Indonesia secara beramai-ramai ke kilang-kilang di Malaysia. Kemasukan secara haram! Pemerdagangan manusia! Bapa Honey ada beberapa kilang rempah. Bapa Bungah dan Chenta pernah terlibat untuk memasukkan pekerja secara haram ke kilang tersebut. Dokumen pula diuruskan oleh kuncu-kuncu bapa Lestarin. Saya tidak suka cakap pasal perkara ini. Nanti ada yang pasang telinga. Closed case!” Leesa memberi fakta sambil berbisik dan memandang sekeliling.
“Alamak! Ini memang sudah masuk isu memperdagangkan manusia. Kes berat!” Juju sungguh terkejut. Dia selalu membaca tentang artikel tersebut di dalam majalah Dewan Masyarakat. Nasib baik dia tidak masuk geng anak jutawan Indonesia. Silap-silap jadi geng Bibik Im pula. Nampak sahaja masing-masing anak VIP di sekolah yang gah tersebut. Namun, ada pelbagai rencah kehidupan di sebaliknya. Punca duit masing-masing ketika mendaftar bukanlah pokok utama yang dipersoalkan. Janji, mereka mampu membayar yuran yang mahal setiap semesta. Juju membuat muka sedikit terkejut, keliru dan tidak dapat membuat keputusan.
“Macam inilah, sebenarnya Juliana... kami sudah siasat latar belakang kekayaan keluarga kamu, termasuk datuk kamu. Kami ada cara kami sendiri. Tidak perlu tanya bagaimana.” Leesa membuat muka berlagak macam spy tidak bertauliah.
“Siasat? Siasat datuk saya sekali? Mengapa perlu tahu tahap kekayaan orang lain. Materialistik betul! ” Juju cukup melenting jika ada sesuatu yang membabitkan orang yang paling dia sayang... Tok Hamzah Dollah.
“Ya lah, jika hendak sertai kami perlu setaraf. Jangan ada yang kaya celup sahaja. Ramai pelajar di sini yang ibubapa mereka kaya celup. Kaya sekejap, lepas itu melingkup. Sekolah di sini setahun dua... kemudian apabila bapa mereka muflis... terus kena tukar sekolah. Kami tidak mahu tertipu dengan kaya pencelup. Wow, wow, wow, that’s not our type.
“Hmm... maaf saya bertanya, Leesa. Sibuk betul buat edisi siasat tentang orang lain. Daddy kamu sendiri cuma cikgu sekolah... cikgu disiplin sekolah. Tetapi mengapa kamu asyik pandang taraf hidup orang lain?” Juju berani bertanya kerana mereka sendiri berani mengorek latar belakang keluarganya. Leesa sudah bercekak pinggang sambil berdiri. Terasa bahang kemarahan bagai keropok lekor panas di dalam kuali. Dia masih dapat menahan geram hatinya. Geram dikatakan anak cikgu sekolah yang tidak berharta. Surie dan Honey sudah naik risau. Jangan pula Leesa menjerit sekuat hati di kantin. Jangan sampai jadi bertambah popular dengan cara yang tidak glamor.
Correction please... mungkin daddy saya cuma guru disiplin sekolah. Tetapi...  jika dia tidak mahu berhenti kerja, bila-bila masa pun boleh! Sekarang pun boleh. Saya ulangi, anytime! Daddy saya gembira dengan kariernya sekarang. Dia cintakan karier perguruan. Biarlah! Kamu tahu siapa datuk saya? Datuk saya ialah Tan Sri Habiburahman. Tuan punya Habiburahman Jewels. Datuk dan daddy saya ada share dengan Bella KD Corp. Berhad, pemilik penuh saham sekolah kita. Daddy saya anak tunggal. Saya pula satu-satunya cucu datuk saya. Hah! Semua harta datuk saya, hendak ke mana jika bukan ke daddy saya dan saya?”
Cool down Leesa. Relaks! Juliana tidak tahu kedudukan kita sebenarnya. Jangan salahkan dia. Kita perlu terangkan. Biar jelas. Cepatlah duduk, Leesa. Malu pelajar lain tengok kita.” Honey cepat mententeramkan ketua Baby Gorgeous. Jangan sampai sang ketua naik angin. Nasib baik Leesa tidak menghumban pinggan makaroni keju yang masih berbaki ke atas kepala Juju. Surie pula mula menyambung memberi hujah tentang kekayaan keluarga masing-masing. Acara membangga diri memang menjadi amalan grup mereka sejak dahulu.
 “Hah! Juliana, sekarang puas? Sudah tahu siapa Nur Leesa Amirah binti Ally Putra? Cucu jutawan rangkaian kedai intan berlian Habiburahman Jewels! Untuk pengetahuan kamu juga, bapa saya pula ialah kontraktor bumiputera kelas A. Kamu tahu projek istana negara yang baru? Hah! Itu salah satu dari projek mega syarikat bapa saya. Projek jambatan Pulau Pinang ke 2, projek Menara Super Duper Mega... semua projek pembinaan yang besar dan gah, pasti bapa saya turut terbabit.” Surie Adelia bangga mendabik dada. Nada suaranya turun naik beralun-alun penuh gaya. Hidungnya yang terletak comel kembang kempis ketika bercerita tentang kehebatan bapanya, Datuk Maliki Noor.
“Betul Juliana, malah bapa Surie juga terlibat dalam projek pembinaan sekolah kita dan Sri Putra KD dulu. Segala penyelenggaraan memperbaiki sekolah kita juga dilakukan oleh syarikat bapa Surie. Semuanya percuma! Memang hartawan yang dermawan! Hmm... itu bapa Surie. Bapa saya pula ada beberapa kilang rempah di utara tanah air. Malah kami turut mengeksport rempah ratus sehingga ke Timur Tengah. Orang Arab pun makan rempah dari kilang bapa saya. Hah! Bapa kamu, Tuan Rameli Saripin, juga salah seorang pelanggan rempah ratus kilang kami. Bapa saya ialah tuan punya Alimudin Herbs Global!” Honey Afrina binti Alimudin sungguh bangga menjelaskan pada Juju yang menunjukkan muka terpinga. Muka rasa ingin tahu tentang info kekayaan keluarga Baby Gorgeous. ‘Patutlah mulut asyik bau kari.’ Getus hati kecil Juju sambil tersenyum sengit.
“Boleh saya tahu... mana datangnya nama glamor... Baby Gorgeous?”
Juju sengaja memuji Baby Gorgeous sebagai glamor. Mereka bertiga sudah kembang semangkuk tergedik seronok.
“Baby mewakili ahli kumpulan kita. Muka kita semua macam baby face. Manis dan berseri. Tidak dimakan usia. Sentiasa muda remaja sampai bila-bila. Hihihi... Gorgeous pula sebab kita menawan, menarik dan jelita. We are always elegant! Superb! Attractive! Stunning and Good looking!”
 “Jadi Juliana, maksud kami di sini ialah... kekayaan keluarga kamu memang layak untuk kamu menyertai grup kami. Bukan kaya celup atau kaya cara jahat! Jangan kata kami materialistik. Bila kita ada harta, ada duit, kaya raya,... semua misi kita akan berjalan lancar! Orang gila dan orang bodoh pun sukakan duit. Memanglah orang tua-tua asyik cakap duit bukan segalanya, tetapi dengan adanya duit, semua urusan akan jadi licin dan lancar. Duit memudahkan banyak perkara. Baby Gorgeous datang dengan pakej yang lengkap! Bukan sahaja kita berharta, kita juga ada rupa dan ada otak! Siapa yang berani lawan kita?”
“Saya sokong! Betul kata Surie. Malah, jika kamu masuk grup kami... kita akan saling membantu tidak kira apa juga masalah. Itu konsep padu kumpulan kami. Saling tolong menolong tidak kira hal sekolah atau hal peribadi. Tiada rahsia antara kita! Kami berkongsi segala masalah. Ini KL, Juliana, bukan macam di sekolah kampung. Jika ada grup, hidup kamu akan jadi lebih mudah. Kami semua sanggup bersusah payah antara satu sama lain. Tidak kira masa dan tempat. Tidak kira hal baik atau sebaliknya. He he he.” Belum sempat Leesa menghabiskan ayatnya... Juju menepuk meja keriangan!
“Betul kita akan saling membantu?” Leesa, Surie dan Honey mengangguk sambil tercengang. Masih terkejut dengan aksi Juju menepuk meja.
“Betul tiada rahsia antara kita dan sanggup bersusah payah walau apa pun terjadi? Walaupun saya ahli baru?” Mereka terus beria mengiyakan sambil memandang satu sama lain dengan muka pelik dan menjongketkan bahu masing-masing.
“Betul kita tidak akan mengira hal sekolah atau hal peribadi?”
Juju inginkan kepastian mutlak. Jangan hanya bercakap kosong. Selama ini di kampung, tiada pelajar yang berani mendekatinya. Dia tiada teman rapat. Tiada pelajar yang sanggup berkongsi suka duka masalah. Tiada pelajar yang mahu duduk semeja makan keju dengannya.
“Kalau betul... Saya setuju sertai Baby Gorgeous! Confirmed!”
Leesa teruja! Surie gembira. Honey kegedikkan. Juju pula seronok menjadi ahli baru. Ahli baru yang diundang khas. Ahli baru yang punya misi peribadi tersendiri.
“Nah! Sekarang nampaknya kamu telah muktamad menjadi sebahagian dari kami!”
“Ya! 50% setuju. Saya akan hanya 100% muktamad setuju jika kamu bertiga sanggup ikut syarat saya.”
“Syarat?!” Serentak Leesa, Surie dan Honey menjerit. Pertama kali berdepan dengan ahli baru yang banyak songeh. Banyak kerenah dan banyak ragam! ‘Mengada-ngada sungguh. Hendak jadi ketua agaknya. Mimpi!’ Leesa sudah mula menendang kerusi.
Kring... kring... kring...
Mereka berempat saling berpandangan. Masing-masing telah selamat makan sepinggan makaroni berkeju dan segelas chocolate ice blended.
Girls, jangan risau. Saya bukan hendak jadi ketua. Saya hormat Leesa sebagai ketua kumpulan kita. Waktu rehat pun sudah habis. Esok! Saya janji esok saya jelaskan syarat saya okey?”
Juju tersenyum gaya serikandi penuh kuasa. Leesa, Surie dan Honey saling berpandangan hampa. Masing-masing tersenyum kelat macam tertelan peria pahit. Esok yang dinantikan dengan penuh kesabaran. Esok yang penuh bersyarat dari Juju. Baki 50% persetujuan penuh dari Juju.
Petang itu, Abby Abadeez dan A.C. Misai datang ke banglo Acun. A.C. Misai sempat bersembang sebentar dengan Zaibon di luar banglo Acun. Abby pula macam lipas kudung terus meluru masuk secepat kilat. Matanya melilau mencari Acun. Sudah biasa bagai rumah sendiri. Dia berbisik laju ke telinga Acun yang bertindik subang emas putih. Abby berbisik penuh gaya macam tukang gosip antarabangsa. Acun menghentak meja kaca tebal di ruang tamu dengan tangannya yang gebu. Berderai rantai tangan mutiara asli hitam yang dibeli dari Sabah. Habis tergolek juga bunga ros kaca di dalam pasu kristal. A.C. Misai dan Zaibon tersentap. Masing-masing bingkas masuk ke dalam. Sakit sungguh tangan Acun. Syukur tangannya tidak luka. Namun... akibat geram dia tidak endahkan semua itu. Abby membuat muka terkejut. Sedikit melopong. Nampak benar mulutnya berbisa menyampaikan khabar berbau busuk.
“Apa? Kak Juju masuk kumpulan Baby Gorgeous?”

88888888888888888888888888888888888888888888888888